Support My Blog

Tuesday, February 19, 2013

DURIAN - PRODUK DURIAN 2

PRODUK DURIAN (Durio zibethinus) merupakan segala jenis produk yang berasaskan kepada buah durian dan bahagian lain dari pokok durian. Banyak buah durian yang terhasil setiap tahun di Malaysia, Thailand dan Indonesia apabila musimnya sampai. Kebanyakan buah ini adalah untuk pasaran segar domestik dimana buah durian memang tidak tahan lama. Bergantung kepada varieti dan pengurusan lepas tuai, buah ini tidak boleh disimpan lebih dari 2-3 hari sebelum merekah dan kualiti isinya akan menurun. Banyak kajian telah dijalankan untuk menghasilkan pelbagai produk durian berasaskan isi buah durian. Pembangunan untuk Produk Nilai Tambah (value added) durian dan perlanjutan tempoh penyimpanan buah matang diantara usaha yang dijalankan. Selain itu usaha juga dibuat untuk kita dapat memanjangkan tempoh pemasaran (tempoh musim durian), mengurangkan bau yang kuat (untuk pasaran luar negara melalui udara), mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan amalan agronomi pertanian kearah yang lebih baik. Pelbagai produk berasaskan durian telah dicipta untuk tujuan ini bagi tujuan pemasaran dan penggunaan hasil durian yang optima. Artikel malam ini saya menulis satu lagi artikel mengenai durian dalam "Anim Agro Technology" iaitu mengenai pelbagai produk berasaskan durian dalam Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 untuk bacaan dan rujukkan bagi pembaca blog saya.


6.  AISKRIM DURIAN
Aiskrim Durian (Durian icecream) merupakan satu produk aiskrim berasaskan perisa buah durian dari segi aroma dan rasanya. Aiskrim durian merupakan satu produk popular di Malaysia, Thailand, Indonesia malahan ia laku sehingga pasaran antarabangsa yang lain. Aiskrim ini telah dihasilkan oleh beberapa syarikat besar seperti Magnolia, Nestle, Wall's, Kings dan sebagainya. Aiskrim ini dijual dalam bentuk bekas khas, cup dan juga aiskrim batang. Hidangan aiskrim durian ini sering dihidangkan di restoran-restoran antarabangsa, hotel, cafe dan pelbagai outlet lagi. Kebanyakan aiskrim durian memang diberikan warna sama seperti buah durian untuk menarik pembeli. Saya memang sangat suka akan aiskrim perisa durian kerana harganya berpatutan, sedap, aroma yang sesuai dan berkhasiat. Adakah anda berminat dengan aiskrim durian?


7.  LEMPUK DURIAN
Lempuk Durian (Durian paste) juga merupakan satu jenis produk berasaskan durian yang telah pun diusahakan secara turun temurun oleh datuk nenek kita. Lempuk durian dibuat dengan mengambil isi durian yang telah masak dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Isi durian daripada pelbagai varieti durian dikumpulkan dan dimasak sehingga pekat dengan api yang perlahan. Kaedah memasak dan menyediakan lempuk ini bergantung kepada jenis buah dan kuantiti yang hendak disediakan. Apabika sudah pekat ianya disejukkan dan akan dibungkus sebelum dipasarkan atau disimpan sendiri (Lihat foto diatas). Lempuk yang disediakan dengan baik tahan beberapa bulan dan akan lebih lama didalam suhu sejuk.


8.  PULUT DURIAN
Pulut Durian adalah makanan yang berasaskan durian yang sangat sedap. Saya suka makan pulut durian di Pataya , Thailand pertengahan tahun 2012 yang disediakan di restoran muslim dengan durian jenis Chanee dan pulut yang dimasak dengan santan (ada sedikit garam) bersama rombongan. Terdapat pelbagai kombinasi rasa makanan ini iaitu Manis (isi durian), Masin (pulut), Lemak (Pulut dan isi durian) dan aroma durian segar yang dihidangkan. Kita di Malaysia pula suka makan pulut durian dengan kuah durian yang dipanggil sebagai 'Serawa Durian'. Cara buat serawa durian ini juga sangat mudah dengan memasak isi durian bersama santan, gula melaka, daun pandan, sedikit garam sehingga pekat.  Tuang kuah serawa kedalam mangkuk yang mengandungi pulut yang telah dikukus... Sedapnya...


9. BISKUT DURIAN
Biskut Durian (Durian biscuit) adalah satu produk berasaskan buah durian yang paling mudah kita beli dimana-mana kedai. Biskut durian ini disediakan dalam bentuk biskut berlapis biasa atau dalam bentuk 'Wafer Durian'. Ada perasa durian yang dimasukkan terus didalam kepingan biskut tetapi banyak biskut durian yang dibuat dalam dua lapisan dimana diantara lapisan di lapik dengan krim perisa durian. Apa yang pasti mengenai biskut durian adlah ujudnya perisa durian dalam biskut tersebut tetapi yang penting aroma durian dapat dikekalkan didalam biskut tersebut. Harga biskut durian juga murah berbanding dengan produk biskut berasaskan buah-buah tropika lain yang ada dipasaran. Paling mengejutkan apabila saya berada di Mesir pada tahun 2005, saya beli biskut perasa durian diperbuat di Alor Gajah di Kaherah dengan harga yang murah dan masih segar dari kedai didepan hotel. 


10.  KEK  DURIAN
Kek Durian (Durian Cake) mungkin agak kurang diperkatakan diantara produk makanan berasaskan durian. Ini kerana saya tidak minat makan kek walau apa juga perasa kek tersebut. Didalam kedai kek pun, jarang-jarang ada dijual kek durian. Mungkin kita di Malaysia lebih suka makan isi buah durian segar berbanding dengan makan kek berasaskan durian. Pasaran kek durian adalah untuk 'Mat Saleh' yang mungkin kata bau durian itu 'busuk'. Maka dengan kita menyediakan kek durian setidak-tidaknya dia tidak kata bau kek itu busuk. Kek durian ini sering disediakan untuk hidangan Hari Raya (Jika kena dengan musim durian), Kek Durian Hari Jadi (Sah, memang kaki durian) dan Kek Durian Hantaran Perkahwinan dan sebagainya. 
Wallahualam!   

BAU DURIAN ... ADUH MEMANG KUATNYA...
LORI DURIAN ... LAJU PERGERAKANNYA...
PRODUK DURIAN... MACAM2 NAMANYA...
ADA NILAI TAMBAH ... MENGUNTUNGKANNYA...

By,
M Anem
Kg Tras,
Raub, Pahang,
Malaysia.
(19 Safar 1434H)

Monday, February 18, 2013

DURIAN - PRODUK DURIAN 1

PRODUK DURIAN (Durio zibethinus) merupakan segala jenis produk yang berasaskan kepada buah durian dan bahagian lain dari pokok durian. Banyak buah durian yang terhasil setiap tahun di Malaysia, Thailand dan Indonesia apabila musimnya sampai. Kebanyakan buah ini adalah untuk pasaran segar domestik dimana buah durian memang tidak tahan lama. Bergantung kepada varieti dan pengurusan lepas tuai, buah ini tidak boleh disimpan lebih dari 2-3 hari sebelum merekah dan kualiti isinya akan menurun. Banyak kajian telah dijalankan untuk menghasilkan pelbagai produk durian berasaskan isibuah durian. Pembangunan untuk Produk Nilai Tambah (value added) durian dan perlanjutan tempoh penyimpanan buah matang diantara usaha yang dijalankan. Selain itu usaha juga dibuat untuk memanjangkan tempoh pemasaran (tempoh musim durian), mengurangkan bau yang kuat (untuk pasaran luar negara melalui udara), mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan amalan agronomi pertanian kearah yang lebih baik. Pelbagai produk berasaskan durian telah dicipta untuk tujuan ini bagi tujuan pemasaran dan penggunaan hasil durian yang optima. Artikel malam ini saya menulis satu lagi artikel mengenai durian dalam "Anim Agro Technology" mengenai pelbagai produk durian dalam Part 1, Part 2, Part 3 dan Part 4 untuk bacaan dan rujukkan pembaca blog saya.


1. DURIAN 'MINIMUM PROCESS'
Durian 'Minimum Process' atau MP merupakan satu nama yang diberikan kepada ulas durian yang dikeluarkan dari pangsa dan di masukkan dalam bekas khas untuk dijual. Buah durian yang segar digredkan mengikut kualiti (varieti, saiz, warna dan gred) dan dimasukkan kedalam bekas khas (polystyrene, plastik, kertas dan sebagainya) dan dipamerkan untuk jualan di pasaraya. Antara pusat jualan produk MP yang popular seperti Pasaraya Jusco, Giant dan beberapa lagi. Ruangan khas dipasaraya tersebut disediakan dikawasan strategik dengan harga yang berpautuan. Peminat buah durian hanya perlu memilih mengikut kegemaran buah durian MP ini. Tidak perlu susah kopek durian sendiri di rumah, kena duri, buah yang liat kulitnya dan mengelakan masaalah kulit durian. Kaedah MP ini termasuk teknologi menyimpan buah durian dalam suhu sejuk untuk mereka yang berminat.



2. KEREPEK DURIAN
Kerepek durian (Durian chips) merupakan satu produk yang popular sebagai satu hasil industri hiliran dari buah durian. Produk ini sangat popular di Thailand dengan menggunakan varieti jenis Munthong , Kan Yau dan Chanee. Buah durian yang masih peringkat muda hampir masak (isi masih pejal dan biji masih lembut) dipetik daripada pokok. Buah yang separa matang ini akan dikopek dan dikeluarkan ulas durian yang macam buah mengkal (keras). Potong ulas durian ini mengikut bentuk sekeping demi sekeping sama tanpa biji atau bersama bijinya. Kepingan ini kemudian di goreng seperti menggoreng kerepek pisang atau ubi kayu sehingga garing. Bubuh sedikit bahan perasa atau tanpa bahan perasa dan toskan. Teknologi penggorengan biasa atau lebihh canggih lagi menggunakan teknologi 'vacuum fry' boleh digunakan. Apabila sejuk boleh dimakan atau dibungkus sebagai produk 'Durian chips'. Rasanya lemak manis dan mempunyai sedikit aroma durian.


3. DURIAN SEJUKBEKU
Durian sejukbeku adalah teknologi terkini yang diusahakan untuk membekukan buah durian bagi tujuan simpanan atau dihantar kelokasi yang jauh. Terdapat dua kaedah memproses durian sejuk beku iaitu dengan menyejukkan ulas durian yang dikopek dan dibungkus dalam bekas kemudian disimpan dalam suhu sejukbeku. Kaedah ini sering dibuat untuk tujuan komersil atau kegunaan persendirian dirumah menggunakan peti ais biasa. Kaedah kedua adalah dengan menyejukkan sebiji buah (whole fruit) menggunakan teknologi IQF (Instant quick freeze). Kaedah ini memerlukan mesin khas yang mampu menghasilkan buah durian sejukbeku dalam beberapa minit sahaja dan boleh disimpan untuk beberapa tahun lamanya. Buah durian D24, D197 dan D168 antara varieti yang disejukbekukan di Malaysia untuk pasaran ekspot. Di Thailand pula mereka memproses durian jenis Chanee dan Kan Yau untuk produk sejuk beku bagi pasaran ekspot.


4. DURIAN POWDER
Durian Powder atau Tepong Durian merupakan produk khas isi durian (durian flesh) yang diproses dalam bentuk tepong. isi durian dari buah yang masak dikeluarkan dan dikeringkan menggunakan teknologi khusus (dehydration process) sehingga isi durian menjadi tepong. Walau pun tepong durian yang dihasilkan ini amat sedikit, harga tepong durian adalah mahal. Tepong ini boleh digunakan untuk pelbagai produk berasaskan tepong durian. Saya berpeluang melihat proses membuat tepong durian di CEPP, UTM Skudai beberapa tahun dulu dalam projek pilot yang dijalankan oleh Prof. Ramlan di UTM. Mereka menggunakan teknologi 'Spray jet' bagi menghasilkan tepong durian. Tepong durian merupakan pati asas yang penting untuk dibungkus dalam bekas kedap udara bangi menjamin ketahanannya (Lihat foto dibawah).


5. PES DURIAN
Terdapat banyak jenis produk yang dipanggil sebagai pes durian. Pes (Paste) adalah produk durian yang diproses daripada isi durian yang dimasak sehingga pekat untuk mengurangkan kandungan air. Dalam bahasa kita yang dimaksudkan dengan pes durian seperti lempuk yang mana ianya ada dijual dipasaran sebagai satu produk tradisional'. Pes durian boleh disimpan dalam masa agak lama dalam suhu biasa dan lebih tahan lama dalam suhu bilik sejuk beku. Pes durian ini memang boleh digunakan untuk membuat dodol, bubur, inti kuih dan sebagainya. Penyediaan pes durian lazimnya dibuat jika ada banyak lambakkan durian (harga rendah) atau pun dibuat daripada varieti durian yang kurang berkualiti.


Pelbagai produk berasaskan durian akan disambung dalam Produk Durian Part 2, Part 3 dan Part 4. Kita masih boleh menikmati durian segar di Malaysia tetapi banyak lagi durian yang tidak boleh dimakan segar sewaktu lambakkan dan perlu diproses kepada produk lain yang tahan lama, enak dimakan dan meliputi pasaran yang lebih luas. Artikel ini ditulis berdasarkan pembacaan dari beberapa buku ilmiah, rujukkan daripada bahan didalam laman maya (website) dan pengalaman penulis sendiri.





PRODUK DURIAN .... BANYAK JENISNYA....
DURIAN MP.... PALING SENANG JUMPANYA...
KEREPEK DURIAN... SEDAP RASANYA....
DURIAN SEJUK BEKU... LAMA SIMPANNYA...
DURIAN POWDER.... BANYAK GUNANYA...
PES DURIAN ... PELBAGAI BENTUKNYA...

By,
M Anem
Kg Tras, Raub,
Hotel Jelai, Raub,
Pahang,
Malaysia.
(16 Safar 1434H)

KOBIS BULAT 2

Kobis Bulat (Brassica oleraceae var capitata) adalah sejenis tanaman sayuran dari keluarga Brassicaceae yang popular dikalangan petani di kawasan tanah tinggi Malaysia. Kobis Bulat adalah komoditi sayuran utama di kawasan seperti Cameroon Highland, Pahang dan Kundasang di Sabah. Pengeluaran kobis diseluroh dunia adalah sebanyak 234.87 juta metrik tan setahun dengan negara Belanda sebagai pengeluar kobis utama dunia. Kobis ditanam untuk digunakan sebagai sayuran, dimakan mentah sebagai salad atau diproses sebagai jeruk dan sebagainya. Terdapat seluas 914 hektar tanaman kobis di usahakan di Malaysia pada tahun 2009 dengan pengeluaran sebanyak 12,184 metrik tan bernilai RM 20.184 juta. Keluasan penanaman kobis bulat saya dapati  ini tidak banyak berubah pada tahun 2010, 2011 dan tahun 2013. Kawasan penanam kobis bulat utama di Malaysia ialah di Cameroon Highland Pahang (520 ha) dan Kundasang Sabah (276 ha) dan Lojing Kelantan (166 ha). Kobis juga ada ditanam di Sarawak, Kedah dan Terengganu secara kecil2an dinama saiz keluasan kurang dari 5 hektar. Artikel kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman kobis bulat untuk rujukan dan bacaan anda berdasarkan pengalaman, rujukan kepad abuku teknikal dan pemerhatian yang dijalankan.


Antara perosak kobis adalah Serangga Ulat Plutella (Plutella xylotella Linn) yang memakan epidermis bahagian bawah daun terutama pada kobis muda. Plutella dewasa (Lihat foto sebelah) akan bertelur pada bahagian daun dan larvanya yang akan makan daun kobis. Daun-daun yang telah diserang menunjukkan lubang-lubang tembus cahaya. Jika serangan teruk, tunas kobis akan terbantut. Sembur racun Bacillus thuringiensis. Serbuk yang dibancuh dengan kadar 50 mg dalam seliter air. Gilirkan tanaman dengan tanaman jangka pendek. Sembur racun serangga seperti Permethrin (0.07% bahan aktif), Carbaryl, trichlorphon dengan kadar 0.1% bahan aktif Fermethrin (0.07% bahan aktif), triazophos (0.15% bahan aktif) dan Acephate (0.075% bahan aktif). Saya dapati serangan serangga ini mampu merugikan petani jika langkah kawalan tidak disempurnakan dari peringkat awal penanaman. Penanaman kobis bulat dikawasan tanah rendah lebih berpotensi untuk diserang serangga ini.



Perosak kobis yang lain adalah Ulat Pangkas (Agrotis ypsilon, Rott) dimana ulat ini lazimnya akan memotong batang anak benih muda di paras permukaan tanah dan memakan daunnya (Lihat foto sebelah). Serangga ini gemar kawasan tanah lembab oleh kerana peringkat larva tinggal di dalam tanah. Letak umpan seperti trichlorphon yang dicampur dengan dedah di keliling batang anak-anak benih. Sembur racun serangga seperti trichlrphon pada kadar 0.1% bahan aktif di sekeliling anak-anak benih. Perosak ketiga adalah Ulanah atau Ulat ratus (Prodenia litura) atau jenis lain (Spodoptera litura) yang memakan daun dan mengorek masuk ke dalam tunas. Ia juga menyerang semua peringkat tanaman kobis. Jika tanaman muda diserang dengan teruk, tunas kepala tidak akan terbentuk. Sembur racun serangga seperti trichlorphon pada kadar 0.1% bahan aktif. Ulang semburan tiap-tiap dua minggu bila bunga atau kepala sudah terbentuk.


Perosak keempat ialah Webworm Kobis (Hellula undalis F.) dimana ulat ini memakan daun dan selalunya merosakkan tunas. Menyerang kobis di semua peringkat. Larva yang kecil memakan epidermis di bawah daun. Larva yang besar mengorek batang, daun dan tunas. Akibat serangan serangga, tunas kepala tidak terbentuk. Sembur selang 4-7 hari dengan racun seperti trichlorphon 0.1% bahan aktif. Kumbang kutu (Foto sebelah) (Phyllotreta sinuate Ateph.) adalah perosak dimana pada peringkat larva ianya merupakan peringkat yang paling merosakkan. Larva yang baru menetas akan bergerak terus ke dalam tanah dan memakan akar di pangkal anak benih. Kumbang dewasa memakan daun yang mengakibatkan permukaannya berlubang-lubang halus. Sembur racun serangga seperti carbaryl, diazinon atau trichlorphon pada kadar 0.1% bahan aktif. Sembur pada tiap-tiap batas, selang 4 hari sekali.


Perosak terakhir ialah Bena atau Kutu Daun iaitu sejenis serangga berbadan lembut berwarna hijau kekuningan dan bersaiz kecil. Ada yang bersayap dan ada yang tidak. Serangga ini mempunyai mulut yang dikhaskan untuk menghisap cairan dari daun kobis. Biasanya kutu berkumpul di bahagian bawah daun. Kutu membiak dengan kadar yang cepat. Kutu menghisap cairan dari sel-sel daun. Akibatnya daun menjadi kuning dan kerekot, pokok menjadi terbantut dan mati. Anak-anak benih biasanya diserang teruk dan terus mati. Sembur dengan teliti racun serangga seperti Malathion, Endosulfan atau Diazinon pada kadar 0.1% bahan aktif. 

Tanaman kobis bulat juga diserang penyakit seperti berikut :-



1. Reput lembut (Erwinia carotovora)
Akar dan batang menjadi lembut dan berair, menyebabkan pokok layu. Akhirnya batang dan akar menjadi reput dan berbau busuk. Tiada kawalan kimia. Amalkan tanaman bergilir, elak melukakan pokok dan tanam di tanah yang baik salirannya.

2. Akar tongkol (Plasmodiophora brassicae)
Akar menjadi bengkak atau berbongkol-berbuku dan menjadi busuk. Cabut pokok yang berpenyakit, kawal rumpai, buatkan saliran yang elok dan sembur racun seperti calomel atau vapam dengan kadar 0.1% bahan aktif sebelum menanam.

3. Bintik daun (Cercospora spp.)
Daun-daun berbintik perang. Rawat biji benih dengan air panas selama 20 minit pada suhu 50oC.

4. Reput hitam (Xanthomonas campestris)
Penyakit ini kerap terjadi. Di awal serangan terdapat lekok hitam di bahagian tepi daun dan akan merebak keseluruhan daun. Urat-urat daun menjadi perang tua atau hitam. Seluruh daun akan menjadi kuning dan gugur. Bahagian dalam batang dan sistem akar menjadi hitam. Jaga kebersihan kawasan. Rawat biji benih dengan air panas selama 20 minit pada suhu 50 Celcius.


Pengutipan hasil kobis bulat bergantung kepada varieti ditanam dan juga kaedah pengurusan kebun . Bagi tempoh matang antara 60-80 hari selepas mengubah perlu dibuat persiapan sebelum kerja-kerja menuai seperti bakul, pusat pengredan, kemudahan pengangkutan dan sebagainya. Apabila kepala kobis bulat telah matang, warna daun menjadi lebih cerah dan kepala kobis menjadi mampat dan padat. Bahagian pangkal batang dipotong dan ditinggalkan 2-3 helai daun pembalut. Kobis yang telah matang dipotong menggunakan pisau tajam (Lihat foto sebelah) dan dikumpulkan didalam bakul. Bahagian daun disekeliling akan dibuang untuk mendapatkan bahagian bunga kobis yang berwarna hijau keputihan. Selepas itu kobis akan dibawa kepondok pengredan untuk dijalankan proses pengredan dan penjualan atau penghantaran dijalan seberapa segera.

Spesifikasi piawaian dan gred ini akan meliputi Kobis bulat (Brassica oleracea var. capitata Linn) bagi tujuan pasaran domestik. Spesifikasi piawaian dan gred ini hanya merangkumi kobis bulat yang diiimport dari Indonesia dan kubis bulat Cameron Highlands. Spesifikasi piawaian dan gred ini hanya digunapakai untuk kobis bulat yang telah dibuat perapian (trimming) yang minimum pada daun pelindung (wrapper leaves) dan tangkai. Terma-terma yang digunakan akan bermaksud (i) Ringan dan Berongga (ii) Berat dan Padat. 


Bagi tujuan spesifikasi tersebut, terma-terma yang digunakan akan bermaksud:-


1) Keragaman varieti
Mempunyai ciri yang sama dan segi rupa bentuk dan warna di dalam satu-satu lot.

2) Kekotoran
Tidak terdapat kesan bahan-bahan asing seperti tanah ataupun najis atau terdapat warna selain warna asal kubis, tetapi tidak termasuk kesan kapur untuk pencegahan proses pembusukan.

3)  Kerosakan
Kerosakan fisiologi - kubis retak/merekah/pecah di bahagian tangkai atau kepalanya akibat terlalu tua.
Kerosakan mekanikal - kelopak daun pecah/koyak/kesan ditebuk akiabt geseran/tercucuk benda.
Penyakit - terdapat kesan gigitan atau ditebuk serangga perosak pada dedaun kubis/ lain jenis penyakit.

Industri tanaman kobis di Malaysia perlu terus dipergiatkan untuk mempastikan kobis tempatan yang lebih segar, berkualiti dan selamat dimakan dijual kepada pengguna tempatan. Malaysia masih mengimpot kobis dari negara jiran terutamanya Indonesia melalui permit impot yang diuruskan FAMA walau pun kobis tempatan diekspot ke Singapura. Penanaman kobis bulat ditanah tinggi dan diatas tanah pamah perlu di buat kajian untuk mempastikan hasil yang tinggi dan boleh diekspot pada masa akan datang. Semuga artikel ini memberikan sedikit info kepada para pembaca . 
Wasallam.


MENANAM KOBIS....KOBIS BULAT...
PERLU TEKNOLOGI...ILMU DAN TEMPAT...
IKUT AMALAN GAP...HASILNYA PADAT...
DIMAKAN SEGAR... RAKYAT AKAN SIHAT....


By
M Anem
Cameroon Highland,
Pahang, Malaysia. 
29 Nov 2010
(Updated on 16 Febuari 2013)

Saturday, February 16, 2013

DURIAN : PEMASARAN

DURIAN (Durio zibethinus Murr) merupakan buah-buahan bermusim yang popular di kawasan Asia Tenggara sebagai 'Raja Segala Buah Tropika'. Kenapa buah durian layak mendapat gelaran tersebut?. Antara sebab yang mungkin saya boleh fikirkan adalah kerana baunya yang amat kuat sehingga peminat durian tidak tahan untuk makannya, mungkin juga bila buah durian sudah keluar, maka buah lain tidak laku atau pun sebab keenakannya menyebabkan ia layak digelar raja segala buah. Tahukah anda pemilik pokok durian juga mempunyai masaalah didalam menguruskan kebun durian dan menjual buah durian ?. Buah durian di Malaysia lazimnya telah 'masak ranum' baru gugur kebumi dan dikutip untuk dimakan atau dijual. Buah durian ini tidak tahan lama untuk dijual dalam pasaran segar tempatan dan tidak boleh dibawa jauh dalam masa lama kerana kualitinya akan menurun. Ramai rakan saya 'SERIK' membeli durian longgok murah (RM 10.00 satu longgok 3 - 10 biji) yang dijual kerana dari beberapa biji tersebut katanya, hanya beberapa ulas yang boleh dimakan - lainnya busuk. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai pemasaran buah durian berdasarkan pemerhatian sendiri, pengalaman dan rujukan dari beberapa buah buku teknikal.


Pengeluaran dan penghasilan buah durian segar tertumpu di kawasan Asia Tenggara sahaja dan ianya adalah bermusim. Hanya Thailand yang mampu menghasilkan durian untuk pasaran domestik dan juga ekspot dengan kuantiti banyak. Sementara itu Malaysia mampu hasilkan durian untuk pasaran domestik dan ekspot khususnya ke Singapura dan hanya ada kuantiti sedikit diekspot ke China dan Hong Kong. Bagaimana pun Malaysia juga banyak mengimpot durian Siam setiap tahun. Pemilik pokok durian sama ada dia membuat jualan sendiri (kebun yang tidak luas) atau memberi pajakan kepada peraih tempatan (Kebuh luas atau sedikit) bagi urusan pemasaran hasil setiap musim durian. Buah durian yang baru gugur perlu segera dikutip, dibersihkan, digredkan, disusun dan dihantar kelokasi jualan dengan segera untuk setiap kali musim durian. 


Pasaran Tempatan (domestic market) merupakan tumpuan utama peraih durian untuk memasarkannya sama ada perlu dihantar ke bandar-bandar utama atau pun perlu diekspot ke Singapura. Beberapa isu dalam pemasaran buah durian tempatan adalah seperti isu KUALITI, HARGA , PENGANGKUTAN dan KURANG MAKLUMAT PEMASARAN. Paling utama dalam penjualan buah durian adalah Kualiti Buah Durian itu sendiri. Ramai pembeli atau pun peminat durian tidak tahu kualiti buah yang dijual di mana-mana lokasi tepi jalan, pasar malam, pasar lambak, gerai sementara kecuali mereka membukanya (Kena bayar dulu!).  Lazimnya apabila membeli mereka akan membawa pulang kerumah untuk dimakan bersama keluarga, kalau nasib kurang baik akan dapat buah yang mengkal, busuk, terlalu masak, berulat dan tidak boleh dimakan. Maka disebabkan kualiti buruk ini menjadikan pembeli akan serik membeli durian pada masa akan datang dan bila di siasat, penjual durian sudah tiada dilokasi. Mereka yang bijak dan ada kenalan boleh pergi kedusun durian untuk mendapatkan kualiti terbaik dengan jaminan pulangan harga jika tidak berkualiti. Jangan lihat kualiti durian daripada bentuk dan kulit durian sahaja!.


Pengangkutan buah durian daripada kebun durian yang jauh dikawasan kampong dan dusun perlu cekap. Peraih tempatan perlu mengumpul, menghantar dan memeriksa setiap buah durian dan ini ambil masa agak lama di peringkat awal. Buah durian akan dihantar kepada pusat pengumpulan dan di buat penggredan lagi mengikut kualiti sebelum dihantar ke lokasi khusus seperti di Kl, JB, Ipoh, Penang dan sebagainya untuk diedarkan kepada penjual. Perjalanan yang jauh dan cuaca panas menyebabkan buah akan cepat masak dan menjatuhkan lagi kualiti buah. Belum banyak lori berhawa dingin digunakan untuk membawa buah durian bagi pasaran domestik. Di lokasi jualan juga buah durian terdedah kepada sinaran matahari sebelum pembeli membeli buah durian.


Harga Durian merupakan satu perkara yang penting untuk dibincangkan. Buah durian adalah bermusim dan ada waktu harga jualan awal musim (lazimnya agak tinggi), waktu kemuncak (tidak menentu) dan waktu hujung (juga agak tinggi semula). Buah durian yang cepat rosak perlu dijual dengan segera sama ada mahu atau tidak kecuali untuk di proses. Harga durian segar banyak bergantung kepada kualiti dan varieti atau klon yang popular. Durian Raja Kunyit atau Musang King yang sangat popular kini mencecah RM 25.00 sekilogram (Lihat foto sebelah) berbanding dengan klon lain sederhana popular seperti D24 sekitar RM 8.00 sekilogram. Durian bukan klon atau durian kampong hanya laku sekitar RM 1.00 - RM 2.00 sekilogram itu pun jika ada jaminan kualiti. Penjual ditepi jalan dilaporkan lagi dahsyat dalam menentukan harga, jika yang singgah menaiki BMW atau Mercedes, maka harganya akan automatik naik dan sebaliknya jika yang singgah naik kereta Kancil pula harganya boleh tolak ansur.


Maklumat mengenai pemasaran durian di Malaysia masih kurang lengkap dimana peraih, pemborong, pengedar dan peruncit masih menggunakan konsep 'trial and error'. Apa yang pasti mereka perlu ambil risiko besar akan buah durian yang hendak dijual terutamanya risiko buah rosak yang tidak laku dijual atau dijual murah sahaja (Lihat foto sebelah - RM 1.00 sekilogram). Kekalutan akan berlaku apabila buah durian gugur serentak pada masa sama akibat cuaca atau ribut berlaku dan perlu dipasarkan dengan segera. Maklumat berapa banyak pengeluaran, dimana buah durian sedang gugur, dimana lokasi sesuai untuk jualan dan anggaran harga jualan tidak mudah diperolehi dari mana-mana sumber rasmi dan tidak rasmi. Bagaimana pun setiap tahun pemasaran durian diperkatakan kerana buah durian adalah 'Raja Segala Buah'!.

PASARAN DURIAN .... UNIK CARANYA...
CEPAT ROSAK.... SEGERA HANTARANNYA...
KUALITI TIDAK TENTU... HARGA BAGAIMANA...
BALIK KAMPONG ... DAPAT FREE SAHAJA....

By,
M Anem
Dusun Durian, Jementah,
Segamat, Johor,
Malaysia.
(26 Muharram 1034H)
      


Friday, February 15, 2013

RUMPUT EKOR KUCING

RUMPUT EKOR KUCING (Pennisetum polystachion) merupakan sejenis rumput dari keluarga Poaceae yang sering kita jumpa di kawasan belukar dinegara kita. Rumput ini juga dipanggil sebagai Rumput Gajah, Rumput Berus, Rumput Kuning, Rumput Jurig, Mission grass (Inggeris) dan yaa khaehyon chop (Thailand). Baru-baru ini saya membuat lawatan kebun di Setiu (kawasan tanah bris) dimana terdapat terlalu banyak rumput ekor kucing tumbuh dikawasan kebun kelapa sawit baru ditanam dan keliling kebun sayur komersil yang saya buat pemeriksaan. Kenapa ia dipanggil sebagai 'rumput ekor kucing'?....Pastinya kerana bunga rumput ini memang betul-betul seperti ekor kucing bentuknya. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari kawasan tropika di Afrika seperti dari Ethiopia, Tanzania, Uganda, Cameroon dan sekitarnya tetapi kini telah tersebar diseluruh dunia. Artikel malam Jumaat ini saya sempat mennulis artikel kedua dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis rumput ekor kucing yang selalu kita jumpa dikawasan belukar terutama dikawasan tepi pantai tanah bris untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca blog ini. 


Rumput ini mempunyai ciri rumput yang tumbuh menegak (erected) dengan sistem akar serabut dan ia memang tidak mempunyai stolon (Lihat foto sebelah). Ketinggian rumput ini sekitar 0.5 - 2.5 meter bergantung kepada keadaan tanah dan persekitaran. Batang rumput ini ada yang bercabang dan ada yang tidak bercabang. Daunnya adalah jenis tirus  yang panjang (leaf blade) keluar dari batang rumput ini sepanjang 10 - 50 cm panjang dan 3 - 15 cm lebar. Batang yang mengeluarkan bunga berbentuk selinder tumbuh menegak dengan panjang melebihi 300 cm. Batang ini keluar kebanyakannya dari bahagian perdu pokok.


Bunga rumput ekor kucing keluar dibahagian paling atas batang yang tumbuh menegak. Bunga berbentuk 'spiciform' iaitu berbentuk selinder memanjang 5 - 35 cm dengan banyak bulu sekelilingnya (Lihat foto sebelah). Bunga ini berwarna coklat kekuningan atau kuning  kehijauan bergantung kepada tahap kematangan bunga. Bunga ini sebenarnya terdiri dari banyak bunga kecil (flower spikelets) yang tersusun padat membentuk selinder. Ada yang tumbuh menegak keatas dan sebahagian bunga akan melentur atau membengkok seperti ekor kucing. Setiap spikelet bunga berukuran 2-5 mm panjang dengan mempunyai banyak rerambut atau bulu (panjang bulu sekitar 4-12 mm panjang). Salah satu daripada bulu ini membesar sehingga 6 - 15 mm panjang. Biji rumput ini adalah ringan dan disebarkoan oleh air, haiwan, angin dan ia melekat pada pakaian kita serta mesin jentera ladang. 


Saya belum jumpa akan faedah rumput ini dalam sektor pertanian selain daripada dikategorikan sebagai rumput bermasaalah (noxious grass). Apa yang saya perhatikan jika rumput ini tumbuh dikawasan kebun, ia mengalahkan rumpai lain dan amat cepat membiak dikawasan yang ada air dan subur. Tanaman utama kita terjejas pertumbuhannya juka rumput ini tidak dikawal dari peringkat awal lagi. Kaedah penggunaan racun rumpai jenis sistemik boleh digunakan diselang dengan racun rumpai jenis sentuh. Jika pokok ini telah menjadi dewasa dengan bunga banyak (lihat foto sebelah) maka amat sukar untuk dikawal bagi kawasan yang luas terbuka. Belum ada kepastian sama ada rumput ini boleh digunakan sebagai tumbuhan penghalang hakisan tanah. Faedah saintifik mengenai khasiat rumput ekor kucing juga belum banyak kajian dijalankan. WallahuAlam!
  
RUMPUT EKOR KUCING... ITULAH NAMANYA...
TUMBUH LIAR... KAWASAN BERPASIR ASALNYA...
UNTUK HAPUSKAN... SUSAK KITA DIBUATNYA...
PERLU DIKAWAL... DARI PERINGKAT AWALNYA...

By,
M Anem
Taman Bunga Saujana,
Putrajaya, WP ,
Malaysia.
(4 RabiulAkhir 1434H)   

Thursday, February 14, 2013

HARGA BAJA FOLIAR DAN KAPOR

BAJA FOLIAR (Foliar fertilizer) dan juga KAPOR (Liming) merupakan dua bahan input yang digunakan mengikut keperluan. Kedua-dua bahan ini dibeli oleh petani dan usahawan serta sektor perladangan mengikut keperluan semasa. Peranan kapor adalah untuk meningkatkan pH tanah atau mengurangkan keasidan tanah dan ini seterusnya akan membolehkan akar tanaman mudah untuk menyerap unsur baua yang diberikan. Kawasan tanah baru dibuka perlu dikapor dulu untuk kesuburan tanah sebelum menanam. Kapor adalah antara bahan input jenis baja yang paling murah dipasaran. Kapor juga mudah didapati dari sumber tempatan atau sumber impot. Baja foliar pula adalah baja dalam bentuk cecair atau larutan yang selalu disembur terus kepada bahagian hijau tius tumbuhan seperti daun dan batang. Nutrien dalam cecair ini akan terus diserap masuk kedalam daun atau melalui tanah (jika semburan itu terjatuh kedalam tanah) untuk meningkatkan kesuburan tanah dan seterusnya meningkatkan hasil berkualiti. Artikel subuh ini saya menulis trend harga runcit baja foliar dan juga baja Kapor GML dalam "Anim Agro Technology" untuk dibuat rujukkan dan bahan bacaan anda.




Baja Foliar yang dikali saya pilih iaitu jenama Bayfolan yang dikeluarkan oleh syarikat Bayer Agroscience Sdn Bhd. Terdapat berpuloh-puloh jenis baja foliar dipasaran daripada syarikat tempatan dengan pelbagai jenama, formulasi dan pembungkusan. Kebanyakan jenama lain dipasarkan secara 'localised' dengan strategi pemasaran yang tersendiri dan sasaran pengguna khusus. Baja foliar jenama Bayfolan telah berada lama dipasaran dan mudah dibeli daripada kedai-kedai pertanian diseluruh negara. Analisa kajian pasaran menunjukkan baja foliar ini dijual pada purata harga runcit RM 17.40 / 1 liter pada tahun 2001 dan turun nail kepada RM 14.50 (2009), RM 16.00 (2010), RM 19.20 (2011) dan terkini berharga RM 19.29 (2012). Apa yang boleh saya katakan perubahan harga ini mungkin akibat faktur penawaran dan permintaan bahan tersebut (supply and demand factor). Penggunaan baja foliar juga tidak diamalkan oleh semua petani di Malaysia terutama dikalangan penanam sayuran.




Baja Kapor atau juga dipanggil sebagai 'Perapi Tanah' adalah bahan yang digunakan untuk menambahkan pH tanah. Kapor yang paling banyak digunakan di Malaysia adalah GML (Ground Magnesium Limestone) yang diperoleh dari sumber tempatan. Jenis kapor lain yang ada dipasaran seperti jenis kapor cecair (jenama Kaolinite, Humibox) dan sebagainya. Kebanyakan kapor dibungkus dalam pek 50 kilogram satu beg dan dijual dimerata kedai pertanian. Kalau pasal kapor memang ianya tidak dapat dipisahkan dengan sawah padi kerana perlu digunakan sebaiknya setiap musim penanaman. Kapor GML juga merupakan input paling murah dipasaran dengan harga RM 14.81 (200), RM 12.34 (2009), RM 13.75 (2010), RM 14.72 (2011) dan kini berharga RM 14.85 (2012).  Geraf dibawah pula menunjukkan trend harga sekilogram baja kapor GML yang agak stabil iaitu pada harga RM 0.30 /kg (2008) dan turun terendah sebanyak RM 0.25/kg (2009) sebelum naik semula kepada RM 0.30/kg (2012).



Pasaran baja foliar dan baja Kapor GML tidak banyak perbezaan harga runcit dipasaran. Ini kerana kedua-dua produk tersebut banyak dikeluarkan dalam negara dan kuantiti yang digunakan tidak menentu jumlahnya. Petani boleh tidak membeli baja foliar dan kapor untuk menampong kos lain yang meningkat seperti baja, racun dan kos upan tenaga kerja. Bagaimana pun laporan kajian yang saya buat ini mungkin dapat memberikan sedikit informasi kepada anda semua. Wasallam!

BAJA FOLIAR... SEMBURAN DIDAUN...
KELARAN TEMPATAN...MURAH PUN...
KAPOR GML... MENYUBURKAN TANAH...
DI TABUR RATA... HARGANYA MURAH...

By,
M Anem
Jalan Istana, Air Keroh,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(25 Dec 2012) 


Wednesday, February 13, 2013

BUNGA KENANGA

BUNGA KENANGA (Cananga odorata) merupakan sejenis bunga berbau harum dari keluarga Annonaceae yang tumbuh di negara kita. Foto diatas yang saya ambil di Taman Herba Perak di Gopeng iaitu dikawasan 'Laman Aromatik' atau Plot Tumbuhan Bau-bauan yang mempunyai banyak koleksi bunga mengeluarkan bau-bauan. Bunga kenanga adalah satu jenis bunga yang mengeluarkan bau wangi dan harum. Tumbuhan ini merupakan tumbuhan berasal dari hutan malar hijau kita popular ditanam dikawasan taman bunga. Dalam bahasa lain tumbuhan ini juga dipanggil sebagai 'Perfume tree', Ylang-ylang, Lana-lana, alang-ilang, mato'oi, Kenongo dan banyak lagi. Tumbuhan ini banyak terdapat dikawasan tropika yang natif dari kawasan Indo-Malayan (termasuk Malaysia). Saya kenal akan pokok kenanga ini kerana memang ada pokok tersebut dikampong yang tumbuh secara semulajadi dan ditanam sebagai tanaman hiasan dihalaman rumah. Kami ketika zaman sekolah dulu suka petik bunga tersebut dan dimasukkan didalam beg sekolah atau dalam almari baju untuk mendapatkan baunya yang harum. Didalam majlis keramaian, bunga kenanga sering digunakan sebagai salah satu ramuan didalam menyediakan bunga rampai untuk diberikan kepada tetamu yang hadir. Artikel petang Selasa ini sempena cuti Tahun Baru Cina, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis bunga yang ada nilai komersil di negara kita iaitu bunga kenanga untuk menambahkan ilmu pengetahuan pembaca.


Pokok Kenanga merupakan sejenis tumbuhan saka yang mampu tumbuh tinggi diantara 5 - 20 meter (Lihat foto pokok kenanga disebelah di Taman aromatik ,Taman Herba Perak). Pokok ini tumbuh dikawasan terbuka atau pun ada sedikit naungan lain dengan baik. Batangnya tumbuh menegak sehingga ukurilit batang 75-90 cm dengan banyak dahan dan ranting yang membentuk kanopi yang seimbang. Apa yang saya perhatikan, daunnya berbentuk bujur bulat ovat (ovate-oblong) dengan warna hijau pekat. Susunan daun adalah berbentuk bersilang (alternate) dengan saiz daun sekitar 13 - 28 cm panjang dan 4-10 cm lebar.  Daun pokok bunga kenanga adalah jenis simpel yang mempunyai tangkai pendek sekitar 1-2 cm panjang sahaja. Dibahagian tepi laidaun (leaf lamina) akan kelihatan sisi yang bergelombang dan urat daun amat jelas kelihatan. 


Bunga kenanga adalah dalam bentuk satu jambak bertangkai dengan saiz 5.0 - 7.5 cm panjang dimana ia berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada kuning pucat apabila matang (Lihat foto sebelah). Panjang tangkai jambak sekitar 2-5 cm panjang dengan 3 kelopak menujur keluar. Kelopak kenanga adalah penjang dan sering bergulung dengan panjang sekitar 3-9 cm dan lebar 0.5 - 1.5 cm sahaja. Terdapat banyak stamen pada bunga tersebut yang bersusun lurus bersaiz 2-3 mm sahaja panjangnya. Bunga kenanga yang matang berbau wangu dan harum hasil dari bahan kimia dikenali sebagai linalool, benzyl acetate, methyl benzoate dan bahan p-cresyl methyl ester. Beberapa laporan menyatakan ketahanan bau harum pada pada bunga kenanga tahan sehingga 1 minggu bergantung kepada cara penggunaan dan penyimpanan. Pada cuaca panas kering ia akan lebih cepat hilang berbanding dengan pemakaian didalam kawasan teduh, lembab atau bilik berhawa dingin.



Penanaman pokok bunga kenanga kini boleh dijalankan melalui menggunakan biji benih yang disemai. Buah (fruits) pokok kenanga adalah didalam tangkai yang mempunyai 7-10 pod yang mana mengandungi biji didalamnya (Lihat foto sebelah). Buah ini berukuran 1.5 - 2.5 cm mempunyai tangkai sepanjang 1-2 cm panjang dan berwarna hijau gelap. Semasa saya teliti buah kenanga di Taman Herba Perak, saya nampak yang buah mengandungi antara 2-12 biji didalamnya yang berwarna kekuningan dengan susunan dalam 2 barisan. Biji ini leper dengan bentuk 'elipsoid' berukuran sekitar 9 mm x 6 mm x 2.5 mm. Biji yang matang berwarna coklat gelap dan agak keras. Biji ini boleh disemai didalam dulang semaian (nursery tray) yang mengandungi media seperti 'peatmoss'. Benih yang bercambah perlu diubah kepada polibeg sebelum ditanam di kawasan kebun atau dijual kepada peminat yang hendak membeli anak pokok kenanga (Lihat foto dibawah).


Minyak ekstrak dari bunga kenanga (essential oil) digunakan dalam perubatan aroma terapi untuk menenangkan dan merelakskan jiwa terutamanya ketika PMS (pre-menstrual syndrome). Ia juga boleh digunakan untuk melegakan kesakitan atau kekejangan yang berlaku ketika haid dan juga melancarkan kitaran haid.ia juga mampu menurunkan tekanan darah, boleh digunakan untuk mengubat darah tinggi. Minyak ini juga boleh digunakan untuk kegunaan kosmetik seperti mengurangkan garis penuaan, menggalakkan pertumbuhan sel baru, merawat jerawat, mengatasi masalah kulit kasar dan berminyak, menggalakkan pertumbuhan rambut, menghilangkan kelumumur. Ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan tekanan dan insomnia. Ia juga dikatakan boleh digunakan untuk mengatasi masalah mati pucuk (impoten) bagi lelaki dan frigid bagi wanita.ia juga dikatakan berkesan bila digunakan ketika demam biasa atau demam malaria bronkitis dan asma .Cara menggunakan: Untuk malaria dan asma, 3 kuntum bunganya yang telah dikeringkan dimasukkan kedalam segelas air panas yag mendidih dan ditutup,tapis dan minum apabila telah sejuk.untuk sesak nafas pula, segenggam bunga kenanga direbus dengan 2 gelas air bersama segenggam gula pasir hingga tinggal segelas air tapis dan minum airnya pagi dan malam.untuk bronkitis, segenggam bunga kenanga direbus dgn dua gelas air hingga tinggal satu gelas dan diminum pagi dan malam.Oleh kerana bunga ini mempunyai bau yang amat kuat, anda dinasihatkan agar tidak menggunakannya secara berlebihan kerana ini boleh mengakibatkan loya dan sakit kepala. Dapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan sebarang persediaan herba. Itulah nukilan pada petaang ini untuk bacaan anda semua.
Wasallam!.

Semaian biji pokok kenanga dalam tray
BAUNYA HARUM ... BUNGA KENANGA...
WARNA KUNING... PUTIH ADA JUGA...
MUDAH DITANAM... TIDAK PERLU JAGA....
BERBAU PALING KUAT ....DIKALA SENJA ... 

By,
M Anem
Taman Saujana
Putrajaya
WP Persekutuan
Malaysia
(3 Rabiulakhir 1434H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...