Support My Blog

Showing posts with label HERBA. Show all posts
Showing posts with label HERBA. Show all posts

Friday, June 20, 2014

HERBA - Part 3


HERBA (Herbs) merupakan tumbuh-tumbuhan diketahui mempunyai nilai dari segi perubatan, khasiat kesihatan serta aroma untuk digunakan bagi kesihatan. Di Malaysia, perkataan herba memang dikaitkan dengan kaedah perubatan tradisional semenjak lama dahulu oleh masyarakat tempatan dan kini telah banyak jenis herba yang telah di komersilkan oleh usahawan-usahawan tempatan. Herba juga banyak digunakan oleh Masyarakat Melayu, India, Orang Asli dan Cina untuk ubatbagi menyembuhan dan juga bahan penguat tenaga batin. Terdapat banyak jenis herba yang ujud di negara kita dimana sebahagian telah dikomersilkan dan banyak yang masih tumbuh liar didalam hutan. Herba boleh diambil dalam pelbagai cara sama ada cara tradisional atau diproses menjadi macam-macam produk herba. Bagaimana pun cara paling mudah mengambil bahan herba paling asas adalah sebagai ULAM iaitu dimakan mentah (raw). Dalam pemerhatian penulis, lazimnya tumbuhan jenis herba kebanyakannya adalah mempunyai batang lembut dan banyak mengandungi air. Bagaimana pun terdapat juga herba yang ada batang keras yang digunakan daripada bahagian-bahagian tertentu tumbuhan tersebut. Artikel tengahari ini saya menulis satu artikel mengenai tumbuhan herba Part 3 dalam "Anim Agro Technology" untuk rujukan dan bacaan anda.


Halia (Ziniger officinale) merupakan sejenis tumbuhan kategori herba yang digunakan didalam perubatan purba China sejak dahulu lagi. Artikel mengenai tanaman herba boleh dibaca dalam artikel saya (klik disini). Halia digunakan sebagai bahan makanan untuk memanaskan badan, membuang angin yang terdapat dalam usus kecil dan usus besar, meredakan penyakit gout, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang senggugut, sesak dada, menangkis serangan ulser serta dapat meredakan kekejangan otot. Ia juga turut digunakan untuk merawat rasa loya- loya serta meredakan tekanan. Lazimnya halia dimakan dalam bentuk segar, dibuat ramuan masakan, jus halia, teh sarbat halia, halwa halia dan sebagainya. Namun pengambilan dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan berlaku kompilasi didalam sistem penghadaman.


Ginseng (Panax ginseng) merupakan herba yang sangat bernilai didalam sejarah perubatan China. Diantara ginseng yang popular ialah Ginseng Korea dan juga Ginseng China. Ginseng ini sering digunakan sebagai tonik atau cacair untuk diminum. Ginseng telah didikatakan dapat melegakan ketegangan, menambahkan kadar metabolisma menurunkan kandungan darah didalam badan serta memperbaiki daya imun badan. Ia juga digunakan untuk merawat penyakit kencing manis, menurunkan kadar kolesterol, merawat gejala-gejala menopous yang dialami wanita yang telah putus haid,mengubat kelesuan serta untuk melindungi badan daripada serangan kanser. Ia juga sesuai untuk para ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Ia digunakan untuk mengecutkan sistem peranakan serta memperbaiki kelancaran darah. Ginseng ini selalu dijadikan tonik dan diminum. Namun terdapat lagi cara tradisional, iaitu dengan merebus ginseng ini untuk mendapatkan air pati rebusannya.


Cendawan atau Kulat (Mushrooms) merupakan hidupan dalam kategori herba yang sangat bernilai tinggi. Terdapat beratus jenis cendawan yang ujud didunia yamn mana sebahagiannya merupakan tumbuhan yang berkhasiat untuk dikomersilkan. Cendawan turut diiktiraf sebagai herba yang berguna pada manusia. Cendawan ini kebanyakannya tumbuh meliar dan dikutip oleh manusia sebagai makanan serta untuk perubatan. Kajian mendapati cendawan boleh mengurangkan kandungan gula di dalam darah, menambah insulin di dalam darah, akan membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen khusus bagi mempertahankan badan dari serangan kanser. Cendawan ini boleh digunakan secara segar seperti dimakan sebagai sayur. Selain itu pada masa sekarang kebanyakan cendawan ini telah dijadikan serbuk di dalam bentuk kapsul. Ini untuk memudahkan para pengguna kerana cendawan yang segar agak terhad di pasaran.


Selain itu terdapat juga jenis tumbuhan yang merbahaya kepada manusia. Walau pun tumbuhan ini dalam kumpulan herba, ianya mendatangkan kesan buruk kepada manusia. Tumbuhan ini perlu dielakkan dari manusia dalam penggunaannya terutama jika diguna melibatkan untuk dimakan. Terdapat banyak jenis herba jenis ini yang terdapat didalam hutan belukar. Diantaranya adalah seperti Kecubung (Datura metal) yang juga turut dikenali oleh penduduk tempatan sebagai kecubong, terung pengar, terung pungak dimana ia merupakan tumbuhan yang dilaporkan beracun. Tumbuhan herba ini boleh menjangkau ketinggian sehingga 6 kaki. Terdapat juga spesis yang boleh tumbuh melebihi ketinggian ini pada keadaan tertentu. Tumbuhan ini ujud dikawasan beriklim panas lembab di seluruh dunia. Selain daripada tumbuh meliar, ia juga ditanam untuk digunakan sebagai bahan didalam perubatan tradisional. Kesemua bahagian tumbuhan ini adalah beracun terutama bahagian biji dan daunnya. Ciri-ciri keracunannya tidak akan hilang atau terhapus walau bahagian tersebut dimasak atau dikeringkan. Hiosin dan hiosamin merupakan antara alkaloid yang banyak ditemui di dalam buah, daun, ranting dan akarnya. Biji dari tumbuhan ini merupakan sumber utama sebatian ini. Kesemua sebatian ini mempunyai sifat anti koligernik dan sedikit kesan narkotik. Kesan toksiknya akan mula ternyata iaitu didalam jangkamasa beberapa minit hingga beberapa jam selepas tumbuhan ini dimakan. Gejala yang berlaku seperti rasa mual kelihatan serta rasa haus, kering mulut, pembesaran anak mata dan lain-lain lagi. 


Pada kepekatan yang lebih tinggi, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi, sawan, koma dan boleh membawa maut. Walaupun tumbuhan ini beracun, namun ada beberapa bahagian tumbuhan ini kerap digunakan didalam perubatan tradisional. Ia turut digunakan sebagai ubat cacing kepada kanak-kanak, merawat bisul, sakit otot, cirit birit dan untuk melegakan sakit gigi dan bengkak-bengkak badan. Ia hanya digunakan di bahagian luar badan secara bersendirian atau dicampur dengan tumbuhan lain. Memandangkan kesan toksik yang mungkin berlaku didakwa adalah dinasihatkan supaya pengguna mendapat nasihat yang sewajarnya sebelum menggunakannya. Jangan gunakan kecubung tanpa nerujuk kepada mereka yang tagu, Perkataan 'kecubung' itu sendiri memberi makna yang agak menakutkan.


Dari apa yang dibincangkan di atas dapatlah saya simpulkan bahawa tumbuhan herba memberi manfaat yang tidak ternilai kepada manusia. Lebuh banyak kajian dan penulisan serta promosi mengenai tumbuhan dan produk herba tempatan yang perlu dilakukan. Sama ada kita menggunakan herba yang telah diekstrak atau masih didalam keadaan yang asli apa yang penting adalah kepentingan tumbuhan herba ini tidak dapat disangkal lagi. Tumbuhan herba ini juga merupakan anugerah yang tidak ternilai untuk digunakan oleh manusia sejak dahulu terutama kepada mereka yang memerlukan. Apa yang penting kita mesti berusaha untuk mencari penawar yang berkesan bagi setiap penyakit itu. Keujudan industri herba membantu rakyat gidup sihat disamping sistem perubatan moden yang serba cnggih. Industri herba negara kini dipacu dengan program di bawah NKEA iaitu EPP 1 iaitu didalam Pembangunan Projek Herba yang diberikan peruntukkan dalam jumlah yang banyak untuk dilaksanakan. Produk herba dari negara kita boleh ditingkatkan nilai pengeluaran bahan mentah dan produk akhir dengan perancangan rapi serta perlaksanaan yang terancang. Wallahualam!.


Penulis bercuti di London... ambil herba (Garlic product).
TANAMAN HERBA... BANYAK JENISNYA...
DIJADIKAN ULAM... MAKAN NASI SAMA...
KHASIAT BERNILAI... ADA BUKTINYA...
DITANAM LUAS...KOMERSIL PRODUKNYA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Bilik 127, Hotel Seri Malaysia,
Air Keroh, Melaka,
Malaysia
(30 RabiulAwal 1434H)
(Published on 20 Jun 2014)  

Thursday, June 19, 2014

HERBA - Part 2



HERBA (Herbs) merupakan tumbuh-tumbuhan dimana ia mempunyai nilai dari segi perubatan, khasiat kesihatan serta aroma untuk digunakan bagi kesihatan. Di Malaysia, perkataan 'Herba' memang dikaitkan dengan kaedah perubatan secara tradisional semenjak lama dahulu oleh masyarakat tempatan. Saya dapati kini telah banyak jenis herba yang telah pun dapat di komersilkan oleh beberapa usahawan tempatan. Herba juga banyak digunakan oleh Masyarakat Melayu, Orang Asli, Orang India dan Cina sebagai ubat terutama sebagai bahan produk penguat tenaga batin. Kalau kita lihat penjual ubat herba dikaki lima mereka akan megaitkan ubat produk herba dengan kehebatan tenaga batin sebagai strategi pasaran mereka. Kini produk herba boleh didapati dipasaran dalam pelbagai bentuk sama ada dalam bentuk cecair, pil, tablets, serbuk, teh, 3 in-one packet dan sebagainya. Bagaimana pun cara mengambil bahan herba yang paling asas adalah sebagai ULAM iaitu dimakan mentah (raw) bersama nasi. Tumbuhan jenis herba kebanyakannya adalah mempunyai batang lembut dan banyak mengandungi air. Sebahagian tumbuhan herba mudah ditanam tetapi kebanyakannya memang agak sukar juga untuk ditanam secara komersil. Nilai kimia yang ada dalam herba mungkin perluka kajian klinikal untuk mempastikan kualiti herba yang dihasilkan dikebun. Artikel tengahari ini saya menulis satu artikel mengenai tumbuhan herba dalam "Anim Agro Technology" untuk rujukkan dan bacaan anda.


Kunyit (Cucuma domestica) adalah sejenis herba dari kumpulan umbisi iaitu dari keluarga Zingiberaceae. Baca artikel mengenai kunyit dalam tulisan saya (Klik disini). Dalam dunia perubatan moden dan tradisional, kunyit memang digunakan sebagai bahan yang diguna sebagai antioksidan, antibakteria, antiradang dan antikanser. Kunyit juga berupaya untuk menyembuhkan luka-luka  didalam badan, membersih dan menghalang pembekuan darah, melancarkan perjalanan darah, membantu proses pencernaan serta juga  mampu menghilangkan selsema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, seliuh anggota dan kudis. Kunyit banyak digunakan dalam masakkan dan juga merupakan bahan perwarna dan perasa yang menyedapkan makanan. Kini saya dapati telah banyak produk kunyit untuk kesihatan dan kecantikan yang dijual dipasaran Malaysia. Ia dijual dalam bentuk serbuk, pil, tablets dan juga mungkin cecair. 


Kesum (Polyganum minus) merupakan tumbuhan renek dari keluarga Polygonaceae yang mudah ditanam dikawasan keliling rumah. Sila baca artikel saya mengenai tumbuhan kesum untuk penjelasan lanjut (Klik disini). Tumbuhan ini memang banyak digunakan untuk menyedapkan rasa makanan terutama Asam Pedas, Laksa Penang dan juga Nasi Kerabu. Secara tradisionalnya, air rebusan daun Kesum digunakan untuk mengubati masalah penghadaman dan menghilangkan kelemumur di kepala. Daripada segi khasiat pemakanan, kesum kaya dengan Beta karotena, Vitamin A, Vitamin C dan juga bahan galian seperti kalsium , kalium dan fosforus. Limau Purut  (Citrus hystrix) merupakan tumbuhan jenis herba yang sangat bernilai kerana aromanya. Terdapat banyak  bahagian limau purut yang diambil seperti bahagian buahnya, daunnya malahan batangnya untuk kegunaan perubatan dan penyedap rasa makanan. Antara masakan yang mesti ada daun limau purut adalah seperti di dalam masakan seperti Tom Yam telah banyak dimonopoli oleh orang Pattani di Malaysia.  Artikel mengenai tumbuhan limau purut ada saya tulis sebelum ini (Klik disini). Ia juga digunakan sebagai ramuan ubatan dan juga bahan untuk mandi wap. Selain berkesan sebagai penggalak antitumor atau pencegah kanser, Limau Purut juga berupaya merawat, luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah. Menanam limau purut agak sukar sedikit kerana kos benih agak mahal, sukar diperolehi dan mudah diserang pelbagai serangga perosak.


Mengkudu (Morinda citrifolia) merupakan tanaman herba yang 'havoc' satu masa dulu kerana promosi berlebihan oleh sesetengah pihak (Penjual Benih dan usahawan jus noni). Saya ada menulis mengenai teknologi tanaman mengkudu dalam artikel sebelum ini (Sila Klik disini). Mengukudu adalah tumbuhan yang boleh ditanam secara komersil dan sangat cepat membesar dengan hasil yang banyak. Pokok Mengkudu saya dapati memang mempunyai pelbagai kegunaan. Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 22 jenis masalah kesihatan dapat dibantu dengan pengambilan ekstrak dari mengkudu. Antaranya ialah masaalah kanser, kencing manis, darah tinggi, tulang, jantung, kemurungan, pernafasan, penghadaman dan buah pinggang. Biasanya ia dibuat jus yang juga dikenali sebagai Jus Noni. Rosel (Hibiscus sabdariffa) merupakan tanaman yang saya amat kenal dari keluarga Malvaceae. Tumbuhan ini mempunyai kelopak buah Rosel yang berwarna merah kaya dengan vitamin A dan Vitamin C serta zat mineral. Saya ada menulis mengenai teknologi teknologi tanaman ini dalam artikel sebelum ini (Klik disini) Dengan menjadikannya sebagai teh ubatan, herba ini dapat membantu mempercepatkan peredaran darah serta mampu mengurangkan tekanan darah tinggi di samping memberi kesan awet muda. Selain itu, kelopaknya juga boleh diproses menjadi jem, halwa, jeli, jeruk dan juga pewarna makanan. Tanaman rosel mudah dijaga dan sesuai ditanam dikawasan yang mendapat cahaya matahari banyak serta kawasan tanah subur.

Pegaga (Centella asiatica) merupakan herba amat popular dari keluarga Makinlyaceae dan dimakan sebagai ulam atau dalam bentuk jus atau kapsul. Pada masan ini bukan sahaja dijadikan ulam dicecah dengan samabal belacan tetapi menjadi rebutan saintis perubatan dan kosmetik antarabangsa. Tumbuhan hijau yang tumbuh melata ini dikatakan mengandungi sejenis enzim yang bernilai tinggi “tetripenoids” yang menjadi antara bahan asas dalam pembuatan kosmetik kecantikan kulit dan ramuan penting untuk dicampur dengan herba tertentu bagi mengubati penyakit barah. Ia juga diproses untuk dijadikan minuman kesihatan atau tonik untuk menyegarkan badan selain peransang kepada pemulihan. Dengan keistimewaannya, pucuk pegaga kini dilihat sebagai tumbuhan komersil . kajian secara saintifik menunjukkan pucuk pegaga mempunyai enzim tetripenoid untuk dijadikan ubat anti kanser.  Selain itu terdapat empat jenis pegaga yang terdapat dinegara kita, iaitu pegaga biasa yang mudah diperolehi dikampung-kampung, pegaga salad yang mana daunnya menyerupai daun salad sebenar (versi daun lebar) pegaga nyonya dan pegaga hitam. 


Tongkat Ali (Eurycoma longifolia jack) merupakan tumbuhan yang masyur dan juga mujarab. Dalam ketegori perubatan tradisional, ia digolongkan dalam jenis perubatan atasan kerana ia dapat meningkatkan daya imuniti semulajadi badan, menguatkan daya tahan melawan penyakit dan sebagai ubat peransang eraksi. Oleh kerana keberkesanannya, ia sesuai merawat pelbagai jenis penyakit. Di antara keberkesananya ialah menambah tenaga (termasuk tenaga batin) serta menambah selera makan dan menguatkan sistem penghadaman. Memperbaiki sistem imuniti badan melawan penyakit. Khasiat tongkat ali juga memperbaiki keadaan fizikal dan mental badan serta mampu mengurangkan masaalah keletihan dan meningkatkan fungsi kulit dan otot.  Alfalfa (Medicago sativa) juga merupakan tumbuhan yang mempunyai reputasi tinggi didalam perubatan herba. Alfafa juga sering digunakan untuk membersihkan perjalanan darah serta untuk membuang toksik didalam badan. Ini kerana setiap hari kita mengambil makanan makanan yang mengandungi toksik seperti hidupan laut yang telah tercemar. Alfalfa turut digunakan didalam merawat dan mengesan jangkitan kuman pada pundi kencing, masalah penghadaman penyakit kulit serta ulser.  Beberapa usahawan rumput alfafa telah menanam tumbuhan ini secara komersil.
Bersambung pada artikel berikutnya - HERBA (Part 3).



TANAMAN HERBA... BANYAK JENISNYA...
DIJADIKAN ULAM... MAKAN NASI SAMA...
KHASIAT BERNILAI... ADA BUKTINYA...
DITANAM LUAS...KOMERSIL PRODUKNYA...

By,
M Anem
Bilik Melaka Delight
Seri Negeri, Air Keroh,
Bandar Melaka, 
Melaka,
Malaysia
(30 RabiulAwal 1434H)  

Wednesday, June 18, 2014

HERBA - Part 1

HERBA (Herbs) merupakan tumbuh-tumbuhan yang lazimnya mempunyai nilai dari segi perubatan, khasiat kesihatan serta aroma untuk digunakan bagi kesihatan. Di Malaysia, perkataan 'herba' memang dikaitkan dengan kaedah atau cara perubatan tradisional semenjak lama dahulu oleh masyarakat tempatan. Kini telah banyak jenis herba dan juga ulam-ulaman yang telah di komersilkan oleh usahawan-usahawan dinegara kita. Produk Herba juga banyak digunakan oleh Masyarakat Melayu dan Cina untuk ubat-ubatan tradisional atau juga lebih sinonim sebagai bahan penguat tenaga batin walau pun itu bukan khasiat menyeluruh produk-produk dari herba. Ini kerana salah tafsir pembeli oleh kerenah penjual-penjual produk herba kaki lima yang mudah mempromosikan produk tersebut dengan kekuatan tenaga seks dan tenaga batin sebagai strategi jualan mereka. Cara mengambil bahan herba paling asas adalah dimakan sebagai ULAM iaitu dimakan mentah (raw herbs). Terdapat banyak herba jenis ulam yang memang dimakan sebagai bahan makanan harian yang diambil dengan kerap. Tumbuhan jenis herba kebanyakannya adalah tumbuhan yang mempunyai batang lembut dan banyak mengandungi air serta berkhasiat. Tanaman herba yang tumbuh secara semulajadi disekeliling kita sebahagiannya boleh ditanam secara komersil dan sebahagian lagi agak sukar untuk di komersilkan. Tanaman seperti Tenggek Burung, Terung Pipit dan sebagainya antara yang agak sukar ditanam berbandingan jenis herba seperti pegaga, selom dan ulam raja yang mudah ditanam. Artikel tengahari ini saya menulis lagi satu artikel mengenai tumbuhan herba dalam "Anim Agro Technology" untuk rujukan dan bacaan anda.


Tumbuhan herba diseluruh dunia terdapat beratus-ratus jenis yang ditanam dan di proses untuk pelbagai tujuan. Tumbuh-tumbuhan herba memang penting dalam Perubatan Melayu kerana pada zaman dahulu belum ada kaedah perubatan moden. Justeru itu tidak hairanlah jika ia terbukti membantu dalam menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah. Namun apa yang penting saya fikir adalah nilai khasiatnya yang mampu memberi kesan kepada kecantikan dan juga kesihatan. Sememangnya kehadiran semak samun atau pun tumbuh-tumbuhan di dalam kawasan rumah kita adalah sesuatu yang kita tidak gemari secara umumnya. Bagi kita untuk membersihkannya kita dengan mencabut jika ianya sedikit atau lebih menyenangkan lagi kita akan meracunnya jika ia terlalu banyak tumbuh. Tetapi pernahkah kita sedar bahawa semak samun itu mengandungi tumbuhan herba yang boleh dijadikan ubatan atau bahan makanan yang baik untuk kesihatan?. Ilmu pengetahuan mengenai hal herba masih belum dieksploitasi sepenohnya oleh kita. Mungkin kandungan bahan aktif dalam tumbuhan herba berbeza mengikut keadaan lokasi, varieti, umur, pengurusan dan kaedah memproses herba itu sendiri. Tumbuhan herba yang nampak subur, hijau, tinggi dan sihat tidak semestinya memberikan kandungan kimia yang baik sebagai produk herba. Apa yang penting bagi kebanyakan jenis herba adalah kandungan ekstrak bahan kimia yang dihasilkan dari herba tersebut.  


Antara tumbuhan herba yang dapat kita temui dikawasan rumah kita ialah seperti keremak, dukung anak, kematikan, tutup bumi, kacang kelo, cempaka, stevia, talin, bakawali dan aerva lantasjus. Manakala akar kayu pula ialah seperti jenis rumput samboi, cendawan susu rimau,ubi jaga dan dahan raja kayu. Kesemua tumbuhan herba ini adalah warisan masyarakat kita yang menjadi amalan turun temurun sejak dahulu lagi. Dalam kes herba, masih ramai dikalangan kita yang masih ragu-ragu akan khasiatnya dan bagaimana hendak menggunakannya bagi mendapatkan kesan optima.  Firman Allah S.W.T yanng mana maksudnya "....... dan (ingatlah satu bukti lagi) engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai." (Surah Al-Hajj : Ayat 5). Banyak lagi hasil kajian saintifik yang perlu dibuat dibuat oleh saintis mengenai khasiat herba dan diterbitkan dalam journal untuk dijadikan rujukkan.


Terdapat beberapa tumbuhan Herba yang akan dibincang dalam artikel pada kali ini. Sebenarnya terdapat beratus jenis herba yang telah dikenalpasti dan telah digunakan oleh masyarakat kita semanjak dulu kala. Bagaimana pun bagi perbincangan kali ini saya akan menulis mengenai herba Cekur, Mas Cotek, Cucur Atap, Kunyit, Kesum, Limau Purut, Mengkudu, Rosel, Pegaga, Tongkal Ali dan Alfafa dan beberapa lagi. Cekur (Kaempferia gallangga) merupakan herba terpilih kali ini dari keluarga Zingiberaceae yang popular (Sila Klik disini)Biasanya tumbuhan Cekur ditanam di sekitar rumah yang berkeadaan lembab atau dengan sedikit teduhan (Lihat foto sebelah). Terdapat banyak kelebihan khasiat cekur diantaranya digunakan sebagai tonik untuk senak perut, membuang angin, sakit sendi serta boleh melancarkan haid. Ia juga digunakan untuk melegakan batuk, mengurangkan bengkak dan dibuat bedak untuk merawat jerawat. Daunnya yang muda dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu. Cara-cara untuk hilangkan jerawat dengan cekur ialah dengan menyediakan daun cekur kira-kira sebesar ibu jari. Kemudian giling sehingga lumat. Setelah itu bolehlah campurkan dengan bedak sejuk. Sapukan campuran tadi ke muka dan biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibilas dengan air suam. Amalan ini perlu dilakukan selalu sehingga mendapat kesan positif yang dikehendakki.


Bagi Mas Cotek (Ficus Deltoidea) iaitu tumbuhan daripada keluarga Moraceae, banyak terdapat di kawasan belukar di tepi laut atau rimba di pergunungan. Kini tumbuhan ini telah dikomersilkan dikawasan tanah bris di pantai timur dan di tanah gambut di negeri Johor dengan luas. Terdapat pokok Mas Cotek Jantan (daun kecil dan tirus) dan Mas Cotek Betina (Daun berbentuk Bulat dan lebar) mengikut terminologi orang biasa yang ditanam secara bercampur atau berasingan dalam kebun (Lihat fotoo sebelah). Maklumat mengenai tumbuhan mas cotek boleh dibaca disini (Sila Klik disini). Daunnya berwarna hijau berkilat dan mempunyai bintik yang berwarna emas di permukaannya manakala di bawah permukaan daunnya berwarna kuning keemasan dengan tompok-tompok hitam. Air rebusan keseluruhan herba ini diminum oleh wanita untuk merawat keputihan dan didakwa melawaskan haid. Tumbuhan ini juga dipercayai boleh mengekalkan awet muda. Selain itu, Mas Cotek berupaya dalam ikhtiar kita untuk mencegah dan menyembuhkan penyakit-penyakit seperti paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, cirit-birit, melancarkan peredaran darah dan rawatan sakit kulit. 


Cucur Atap (Beackea frustrcens) pula sejenis tumbuhan dan merupakan jenis herba dengan banyak khasiat. Daunnya yang kecil atau halus seperti jarum, tersusun secara bertentangan dan mengeluarkan aroma bila dihancurkan atau diramas (Lihat foto sebelah). Tumbuhan ini didapati hidup secara meliar di kawasan tanah tinggi dan juga tumbuh subur di tanah mineral. Lazimnya tumbuhan ini digunakan sebagai teh herba untuk kesihatan. Daunnya dikatakan mempunyai keupayaan untuk merawat demam, antibakteria dan juga melancarkan peredaran haid. Ia juga digunakan bagi merawat selsema, sakit kepala, demam campak, uluran dan juandis dengan cara mengasapkan pesakit melalui pembakaran daun kering atau menghidu wap air rebusan daun segar. 


LIDAH BUAYA (Aloe vera) adalah tumbuhan dari keluarga Xanthoreaceae yang kini telah dikomersilkan untuk penghasilan yang agak lumayan Saya ada menulis mengenai tanaman ini dalam artikel lain sebelumnya (Sila klik disini dan Klik disini). Lidah buaya merupakan herba yang mempunyai bahagian yang lembik dan lekit. Ia digunakan sejak dahulu lagi bagi meransang pengimunan badan, pelembab kulit, menghilangkan parut, mengubati kulit yang melecur dan juga untuk melebatkan rambut.  Aloe vera turut dikaitkan dengan penyakit asma, kencing manis, serta penyakit ulser. Namun pada masa sekarang lidah buaya telah menjadi bahan ramuan yang penting didalam alat-alat kosmetik wanita yang beredar didalam pasaran. Kajian yang dilakukan menunjukkan tumbuhan ini sangat berguna pada manusia dan patut ditanam oleh semua orang untuk digunakan secara tradisional seperti sebagai syampu serta mengubat kesan melecur yang sering berlaku dirumah kita. Ramai usahawan yang menanam lidah buaya dan memprosesnya untuk pelbagai produk yang berkualiti untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
Bersambung pada Herba - Part 2!.


TANAMAN HERBA... BANYAK JENISNYA...
DIJADIKAN ULAM... MAKAN NASI SAMA...
KHASIAT BERNILAI... ADA BUKTINYA...
DITANAM LUAS...KOMERSIL PRODUKNYA...

By,
M Anem
Bilik Melaka Delight,
Seri Negeri, Air Keroh,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia
(30 RabiulAwal 1434H)
(Posted on 18 Jun 2014) 

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...