Friday, July 31, 2020

BELIMBING BULUH - LAPOR MEDIA

BELIMBING BULUH (Averrhoa bilimbi) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga Oxalidaceae dipanggil juga sebagai belimbing asam banyak terdapat dijual oleh penjual sayur-sayur kampong di pasar-pasar tani. Buahnya berbentuk kecil dan bersegi empat memanjang. Pokok belimbing buluh berasal dari Indonesia dan Malaysia, sering digunakan dalam masakan orang melayu dan cina. Belimbing buluh jarang dimakan segar kerana rasanya yang terlalu masam, namun biasanya buah yang hampir masak dicampur sebagai ramuan dalam sambal belacan atau dibuat jeruk. Enak juga dicampur dalam masakan seperti udang masak lemak cili api atau kari ikan terutama masakan ikan air tawar kerana belimbing buluh dapat menghilangkan rasa hanyir. Selain dari digunakan sebagai ramuan tambahan dalam masakan, buah belimbing buluh juga digunakan dalam perubatan tradisional. Jus buah belimbing buluh dikatakan baik untuk melegakan kencing manis dan darah tinggi, ini mungkin disebabkan kemasaman yang terdapat pada rasanya. Secara tradisi ia dikatakan berkesan untuk melicinkan kulit muka serta mengatasi masalah jerawat dan merawat sakit gigi. Air rebusannya juga boleh meredakan penyakit batuk. Namun tiada kajian perubatan moden yang menyokong kesahihan dan keberkesanannya. Saya ada menulis beberapa artikel mengenai belimbung buluh sebelum iini dengan pautan berikut (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan beberapa lagi. Artikel petang Ahad ini sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid19 dalam blog "Anim Agro Technology" menulis beberapa kisah tentang belimbing buluh untuk bahan rujukkan dan bacaan anda semua.


Buah Belimbing Buluh sebenarnya sejenis buah yang mengandungi banyak khasiat yang tidak ternilai. Daunnya apabila ia digiling halus dan dilumur, ia dapat menghilangkan jerawat dan melembutkan kulit di muka, sakit-sakit sendi serta panau. jika direbus pula maka ia boleh mengubati batuk, menurunkan tekanan darah tinggi dan pitam. Selain itu, bagi menghilangkan batuk, segenggam bunga Belimbing Buluh dicampurkan sedikit jus pegaga yang telah ditumbuk, 2 biji bawang merah dan 1 batang kulit kayu manis sebesar jari kelingking. Lalu direbus dan ditapis air rebusan itu. Kemudian minum dengan mencampurkan sedikit madu. Minum segelas, tiga kali sehari. Untuk mereka yang menghidap penyakit seperti darah tinggi pula, petik 3 biji buah Belimbing Buluh. Potong kecil-kecil dan rebus. Minum air rebusannya selepas sarapan pagi setiap hari. Bagi bayi yang diserang penyakit kuning pula dimandikan dengan air rebusan daun belimbing untuk meredakannya. Banyak produk berasaskan belimbing buluh yang diusahakan secara komersil. Penulis blog ada menulis mengenai produk jus cermai serta sesekali jus belimbing buluh ini di Negeri Sembilan untuk dijadikan bahan bacaan (Sila klik disini). Khasiat Alam Enterprise dari rAntau, Port Dickson memproses jus cermai, beliimbing buluh, limau kasturi dan beberapa jenis jus lain untuk pasaran tempatan.



Dalam akhbar Harian Metro bertajuk 'Tanaman Belimbing Buluh Besar-besaran' sesuai dijadikan panduan. Bagi penduduk di Daerah Jerantut, Pahang mereka akan menjadi pengeluar dan pembekal terbesar belimbing buluh dalam jangka masa tiga tahun lagi apabila tumbuhan itu ditanam secara besar-besaran. Ini kerana ada usaha pihak kerajaan menanam pokok belimbing buluh kini banyak tumbuh liar atau ditanam secara kecil-kecilan di keliling rumah sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual. Pada masa ini permintaan belimbing buluh mendapat permintaan yang tinggi hingga tidak mencukupi khususnya di daerah Jerantut, Lipis dan Raub berikutan permintaan daripada pembuat Sambal hitam atau Sambal Pahang. Pada masa ini dilaporkan ramai penduduk di tiga daerah itu sudah mengkomersialkan produk sambal hitam ke seluruh negara dan mendapat sambutan mengalakkan sehingga buah belimbing buluh tidak mencukupi. Jabatan Pertanian telah menyampaikan 230 pokok belimbing buluh kepada penduduk di Kampong Bukit Mat Daling kepada peserta terpilih. Belimbing buluh serba guna kerana selain menjadi bahan utama membuat sambal hitam memang banyak lagi industri hiliran boleh dijana.

Dalam pada itu selain daripada resepi ikan patin masak tempoyak, patin masak bersama belimbing buluh juga masakan tradisional Pahang yang belum dipopularkan. Di Pahang memang buah belimbing buluh selalu boleh dijadikan halwa dan air rebusannya buluh boleh dijadikan pencicah ikan bakar yang menyelerakan serta boleh dijadikan kordial berkhasiat ubatan. Beberapa inovasi dan inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu penduduk luar bandar menambah pendapatan memandangkan tanaman itu bahan utama dalam kebanyakan masakan tradisional Pahang. Biasanya rebusan belimbing buluh kini mencecah RM20 hingga RM30 sekilogram dan tidak mencukupi bagi menampung dalam permintaan industri kecil sambal hitam. Penduduk tempatan boleh menanam pokok belimbing buluh di kawasan tanah terbiar atau ditanam secara selingan kerana ia akan mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun. Peranan oleh pihak Jabatan Pertanian untuk mengalakkan orang ramai menanam pokok belimbing buluh kerana selain ianya cepat mengeluarkan hasil, cepat, pokok ini kurang penyakit dan berbuah sepanjang tahun. Jabatan Pertanian semenjak 2 tahun lepas memberikan bantuan 3,500 pokok belimbing buluh kepada penduduk Bukit Puas, Gintong dan Tebing Tinggi untuk ditanam secara sendirian atau kelompok.  Kiini dengan adanya projek ini ia akan memberi peluang perniagaan kepada penduduk tempatan sama ada menjual hasil itu secara mentah atau industri hiliran.


Adalah menjadi tanggungjawab Jabatan Pertanian disokong pihak lain agensi seperti MARDI dan FAMA  giat mengadakan kempen menanam pokok belimbing buluh bagi memenuhi permintaan usahawan tani yang mengusahakan produk sambal hitam. dilaporkan setakat ini telah ada kira-kira 100 petani yang mengusahakan tanaman berkenaan membabitkan kawasan lebih 50 hektar di daerah  Raub dan Jerantut malah jumlah mereka dijangka bertambah secara berperingkat. Pengarah Pertanian Pahang Dato' Hj. Mohd Anim ada menyatakan terdapat permintaan yang meningkat terhadap produk sambal hitam atau sambal Pahang dimana ini memaksa pihaknya mempergiatkan usaha menambahkan pengeluaran buah belimbing buluh. Dakwa beliau semasa ditemubual dengan wartawan Harian Metro menyatakan sebelum ini kebanyakan usahawan sambal hitam yang terdiri daripada kaum wanita yang hanya menanam pokok belimbing buluh di kawasan rumah serta mereka membabitkan tiga hingga lima pokok saja bagi kegunaan sendiri dan jiran. Bagaimana pun disebabkan permintaan semakin bertambah terhadap sambal hitam di Pahang dan beberapa negeri lain, usaha meningkatkan pengeluaran buah belimbing buluh perlu dilakukan secara berperingkat.


Memang mudah untuk anda menyediakan makanan tradisonal Pahang seperti Sambal Hitam atau Sambal Pahang. Ia memerlukan bahan-bahan seperti ½ cawan belimbing buluh rebus, ½ cawan cili padi (jumlah ikut kepedasan masing2), 2 cawan ikan bilis yang telah dikopek, 6 ulas bawang merah dimana sebaiknya sebanyak 3 ulas ditumbuk dan 3 ulas dihiris nipis, 5 sudu besar kicap manis atau secukup rasa (Jika perlu menggunakannya). Garam, Gula secukup rasa serta secawan minyak masak. Cara-cara untuk menyediakan dengan ambil dahulu belimbing buluh. Kuantiti belimbing buluh terpulang masing dan kemudian ia perlu di rebus. Cara ini untuk membolehkan ia disimpan dalam peti sejuk sebagai stok. Buah belimbing segar perlu dicuci bersih kemudian dimaasukkan ke dalam periuk TANPA AIR dan renih dengan menggunakan api yang kecil. Biarkan sehingga belimbing mengeluarkan jusnya sendiri dan mengecut. Sebaiknya selang seminit atau dua minit mesti dikacau supaya periuk tidak hangit. Biarkan sehingga belimbing mengecut dimana  jusnya betul2 kering dengan api yang kecil sehingga warna belimbing bertukar menjadi gelap. Perlu tahu dimana jika hendak guna untuk buat sekali  sahaja memadai hanya rebus anggaran 10 biji belimbing sehingga belimbing bertukar warna coklat saja. Tujuan bagi merebus belimbing sehingga betul2 kering dan gelap adalah untuk tujuan simpanan. Seterusnya ditumbuk cili padi dalam lesung sehingga halus. Tumbuk 3 ulas bawang merah sehingga lumat (3 ulas lagi dihiris nipis) serta ditumbuk juga ikan bilis tetapi jangan terlalu lumat. Tumbuk belimbing buluh juga separa lumat. Seterusnya dipanaskan minyak masak dalam kuali dan terus menumis bawang yang dihiris tadi sehingga wangi. Masukkan ramuan bahan tumbuk sekaligus dan tumislah sehingga bahan2 tersebut sehingga nampak agak kering dan garing (proses ini mengambil masa agak lama juga). Tambahkan kicap manis, garam serta gula secukup rasa. Biarkan sambal kering sedikit (seperti serunding gitu) dan apabila ia sudah garing tutupkan api lalu tolakkan sambal ke tepi kuali beberapa minit supaya minyak tos sebelum dihidang. Anda boleh juga angkat dan sejatkan sambal menggunakan penapis santan sebelum dihidangkan dengan nasi putih atau ketupat pulut. Lazimnya penulis blog apati sambal ini boleh disimpan lama dan ia boleh dibuat dengan kuantiti yang banyak untuk simpan stok atau dibotolkan dijual kepada peminatnya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
BELIIMBING BULUH...MUDAH TANAMNYA...
BUAHNYA MASAM... HIJAU WARNANYA...
SAMBAL HITAM PAHANG... ENAKNYA DIA...
MULANAM SENDIRI...CARI BENIHNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(5 Syaaban 1441H). 
STAY AT HOME ... ELAKKAN WABAK COVID19!...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.