Saturday, December 29, 2018

ASAM GELUGOR - DI KAMPONG ULU TEMBELING

ASAM GELUGUR (Garcinia cambogia) atau juga dipanggil Asam keping sinonim adalah dengan masyarakat Melayu di Malaysia kerana ia sering digunakan didalam masakan untuk menambah rasa masam kepada makanan. Sebut sahaja Asam Pedas, Laksa Penang, Rendang Daging, Sambal Bilis dan sebagainya memang menggunakan asam gelugur yang telah dikeringkan untuk masakan. Penulis blog yang pernah menjadi Pengarah Pertanian Pahang beberapa kali membuat tinjauan teknologi kekawasan di pedalaman Daerah Jerantut dan Lipis bersama pegawai kawasan untuk meninjau akan tanaman seperti Asam Gelugur, Belimbing Buluh, Keladi Kemahang, Keladi Lambok dan sebagainya. Pernah juga Jabatan Pertanian Pahang menganjurkan seminar khusus untuk tanaman nadir dan popular Negeri Pahang dalam mempromosikan keaslian produk makanan dari negeri tersebut. Asam Gelugor juga salah satu daripada bahan digunakan menjadi perencah dalam masakan tradisional tempatan seperti gulai asam dan asam pedas. Apa yang saya tinjau dimana pada kebiasaannya memasak tanpa asam keping ia bermakna masakan berkenaan mempunyai kekurangan dan tidak menimbulkan selera ketika menjamah hidangan berkenaan. Daripada bahan rujukkan dinyatakan dimana pokok dan buah asam gelugur dikatakan tanaman berasal dari India dan Thailand tetapi memang natif juga di Malaysia. Dalam pada itu saya ada menulis beberapa artikel mengenai asam gelugur atau asam keping sebelum ini atau dengan pautan seperti berikut (Sila klik disini) dan (Sila klik disini)Itulah juga sebabnya penggunaannya dalam banyak masakan penduduk negara ini sangat meluas. Selain itu buah berkenaan juga boleh diperoleh di seluruh kepulauan Asia Tenggara dan Afrika Tengah. Bagi masyarakat di Hulu Tembeling, Pahang dekat sini saya dapati asam gelugur memang mudah didapati kerana ada pokoknya tumbuh cara meliar di segenap ceruk kampung dan di tebing sungai.  Malah kini buah asam gelugur telah banyak dikomersialkan dan boleh diperoleh di mana-mana premis perniagaan runcit termasuk pasar tani atau pasar sehari. Artikel malam ini sempena cuti rehat hujung tahun 2018 saya menulis lagi dalam blog ''Anim Agro Technology'' mengenai asam gelugor yang merupakan satu perusahaan orang kampong di Hulu Tembeling dan info mengenai industri tersebut untuk rujukkan anda.


Pokok buah asam gelugur atau Garcinia cambogia berasal daripada keluarga Guttiferae yang digunakan dengan meluas dalam masyarakat Melayu negara ini sebagai bahan perasa tambahan untuk menyedapkan lauk-pauk. Dalam pada itu asam gelugur yang juga dikenali sebagai Malabar Tamarind bagi orang dan penduduk India kerana ia bukan sahaja menambah keenakan masakan tetapi juga menjadi produk komersial untuk mengurangkan berat badan di kalangan masyarakat Eropah. Asam gelugur mengandungi sejenis asid utama iaitu Asid hydrocitrate yang dikaji oleh saintis pemakanan terbukti sangat berkesan untuk membantu mengekang nafsu makan dan menggalakkan penguraian lemak dalam tubuh manusia dan haiwan. Minyak asam gelugur mempunyai tiga fungsi asas yang utama iaitu pertama ia mengurangkan lemak atau kegemukan, kedua meningkatkan produktiviti dan ke tiga mengurangkan selera makan. Dari segi perubatan India kuno (Ayurveda) dari India lazimnya asam keping ini dipercayai boleh mengatasi masalah penghadaman, rawatan cacing, parasit, tumor dan cirit-birit berdarah. Bagaimana pun dari tinjauan penulis blog bagi penduduk Hulu Tembeling, buah ini sememangnya mempunyai khasiat dari segi perubatan tradisional dan kepelbagaian kegunaan. Mengikut sessi penerangan oleh Pembantu Pertanian di kawasan Hulu Tembeling ada dinyatakan dimana untuk golongan tua yang tinggal dikampong ini mengamalkan kaedah perubatan tradisional berasaskan buah asam gelugur khususnya bagi rawatan penyakit dalam perut dan bengkak di anggota badan. Bagaimana pun biasanya penduduk tempatan adalah lebih gemar menjadikan asam keping atau gelugur ini sebagai perencah dalam masakan gulai asam dan asam pedas ikan Sungai Tembeling yang dijadikan hidangan sejak turun-temurun di sini. Pegawai kawasan nyatakan kini ujud  permintaan yang begitu baik di pasaran menyebabkan asam gelugur kini boleh dikomersialkan untuk menambah lagi pendapatan penduduk kampong.


Didapati pokok asam gelugur yang mana ia banyak tumbuh meliar di kawasan kampung disini menyebabkan penduduk tidak perlu lagi untuk bersusah payah ke pekan atau bandar untuk mereka dapat memperolehnya. Lawatan kepada seorang pengusaha dikenali dengan nama Siti Abidah Mat Liki dimana dia telah mengusahakan perniagaan asam gelugur secara kecil-kecilan sejak lima tahun lalu. Biasanya buah yang ranum banyak gugur ke tanah memudahkan dia mengambil atau pun dipetik dengan cara mengait terus dari pokok asam gelugur yang tumbuh di kampungnya (Sila lihat foto pokok disebelah)Buah asam gelugur ini kemudian dibasuh dan dihiris nipis-nipis untuk memudahkannya dijemur di bawah panas terik matahari selama beberapa hari. Biasanya isi keping asam gelugur akan bertukar menjadi warna coklat dan kehitaman selepas dijemur sebelum boleh digunakan untuk campuran ke dalam masakan. Dikamppong dia akan menjual asam keping ini dengan harga RM2 dalam ukuran kuantiti tin susu pekat dan memperoleh pendapatan antara RM60 - RM80 setelah habis dijual. Selalunya kerja-kerja untuk memetik , mengumpul buah, membersih, menghiris dan menjemur asam gelugur kebiasaannya dilakukan secara berkumpulan jika buah banyak iaitu di kalangan orang-orang tua manakala orang muda jarang melakukan kerja yang remeh itu. Jabatan Pertanian dalam pada itu ada merekodkan bilangan pokok asam gelugur yang terdapat dalam kampong tersebut untuk dijadikan inventori. Rekod ini sangat berguna untuk menganalisa hasil serta pengeluaran asam keping dari kampong tersebut selain daripada perusahaan pertanian lain dikampong berkenaan. 


Dalam pada itu buah asam gelugur yang merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh di Malaysia daripada keluarga Clusiaceae atau Glutiferae. Buah asam gelugor merupakan buah yang ramai tidak tahu ianya diproses untuk dijadikan kepingan asam gelugor atau asam keping. Tumbuhan saka ini lazimnya tumbuh dalam hutan belantara di Malaysia, Thailand dan Indonesia dan kini telah ditanam sebagai sumber buah untuk dijadikan pelbagai produk lain. Foto diatas merupakan beberpa koleksi asam gelugur yang terdapat dinegara kita dimana ramai yang tidak mengenalinya. Pokok asam gelugor mempunyai batang yang tumbuh menegak dengan dahan yang melempai kebawah. Pada pemerhatian saya, bentuk kanopi adalah berbentuk Kon atau piramid terutama pada peringkat awal pertumbuhan. Ketinggian pokok mencecah 150 kaki tinggi dengan jarang-jarang dibuat cantasan dewasa (atau dibuat 'topping'). Pokok asam gelugor yang ditanam lazimnya mampu mengeluarkan hasil pertama selepas 7 - 8 tahun ditanam dan ia mampu berbuah sepanjang tahun. Buah asam gelugor yang matang mengandungi asid citrik, asid malic, asid tatarik dan juga asid askorbik yang tinggi dan berperanan sebagai anti oksidan. Tanaman asam gelugor merupakan tumbuhan yang amat kurang diserang musuh dan serangga perosak atau penyakit. Ia hidup ditanah subur yang gembur dengan terbuka atau dengan sedikit naungan matahari. Penanaman pokok asam gelugor lazimnya menggunakan anakbenih yang disemai daripada biji dari buah yang telah matang. Hasil pemerhatian yang saya buat bersama-sama beberapa pakar teknikal daripada Bahagian Hortikultur Pusat Pertanian Titi Gantung di Perak mendapati, jika diambil biji dari buah yang masak dan disemai, didapati hampir 70% daripadanya akan menjadi pokok jantan. Kita hanya dapat tahu ia pokok asam keoing jantan selepas 8 tahun ditanam apabila mengeluarkan mula mengeluarkan hasil. Buah asam gelugotr jantan memberikan buah yang bersaiz kecil dan tidak boleh dipasarkan seperti buah asam gelugor biasa yang dipotong menjadi asam keping. Teknik penyediaan anak benih bagi pokok asam keping sangat signifikan didalam penanaman pokok. 


Beberapa teknik untuk menghasilkan benih asam gelugor yang baik telah dikenalpasti. Diantara teknik yang saya dapati disyorkan adalah dengan kita menjalankan cantuman baji, cantuman dewasa dan juga teknik penghasilan benih daripada keratan akar.  Cara ini akan mempastikan pokok 'true to type' dan mempastikan kita akan mendapat pokok asam gelugor yang dikehendakki selepas 8 tahun penanaman. Cantuman baji dan cantuman dewasa dikatakan kaedah paling praktikal untuk dilakukan (Sila lihat foto sebelah). Pokok penanti dipilih dari pokok yang subur dan mata tunas (sion) dipilih dari pokok induk asam gelugur matang yang telah dikenalpasti kualiti buahnya. Apabila stok pokok penanti sudah cukup saiz, maka lakukan aktiviti mencantum bzji (Cleft budding) dan dijaga sehingga berjayaa. Lazimnya anakbenih sudah cukup umur dan saiz sesuai boleh ditanam dikawasan kosong keliling rumah atau dalam kebun secara monokrop. Ia ditanam dengan jarak 9m x 9 m bergantung kepada cara pengurusan. Semasa penanaman sediakan lubang penanaman dan masukkan baja asas yang sesuai. Kini didalam kaedah pengurusan penanaman asam gelugor secara komersil telah diubahsuai. Pokok ini akan dicantas setelah mencecah ktinggian 2-3 meter agar ia mudah untuk diuruskan seperti membaja, mengutip buah atau mengawal musuh dan perosak. Pokok yang rendah ini juga semacam tanaman landskap jika ditanam dikawasn rumah (Sila lihat foto sebelah). Pokok ini walau menghasilkan buah yang sedikit berbanding dengan pokok yang dibiarkan tumbuh liar tanpa cantasan tetapi mampu memberikan hasil yang berkualiti.  Buah yang matang akan berwarna hijau cerah kekuningan dan dipotong sebelum dijemur untuk dijadikan asam keping. Teknologi pengeringan asam keping menggunakan ALAT PENGERING memberikan kualiti asam keping berkialiti berbanding daripada dijemur dibawah cahaya matahari. Semuga artikel dalam anim agro technology ini memberi info berguna kepada pembaca semua.  Wasallam!!.
ASAM GELUGOR... BESAR POKOKNYA...
HULU TEMBELING.. TUMBUH BIASA SAJA...
BUAH DIKUTIP... DAN DIKERINGKANNYA...
BANYAK KHASIAT... PELBAGAI GUNANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana, Taman Cendana,
Persimpangan Bukit Beruang, 
Bandar Melaka Bersejarah,
Melaka, Malaysia.
(22 RabiulAkhir 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.