Wednesday, May 8, 2024

KOSTING CILI MERAH FERTIGASI 2023

KOSTING TANAMAN CILI (Capsicum annum) sudah banyak berubah pada masa ini akibat banyak faktor berbanding dengan 10 tahun dahulu. Ini adalah artikel yang ke 8,000 bagi blog Anim Anim Agro Technology iaitu pada 8 Mei 2024 (bersamaan 29 Syawal 1445H) selama 16 tahun menulis. Kini penanaman cili merah sudah popular dengan cara Sistem Fertigasi sama ada Fertigasi Tertutup atau pun Fertigsi Terbuka. Analisa kos pengeluaran tanaman sayuran termasuk cili di lihat banyak berubah sejak tahun 2020 apabila kos bahan input pertanian seperti benih, racun kimia, baja dan sebagainya mulai menigkat selepas berlakunya wabak Covid-19, perang Rusia-Ukraine, Perang Israel-Palestin dan juga isu global warming serta bencana alam. Penulis blog merujuk kepada Buku Aliran Kewangan Tanaman Jabatan Pertanian yang mana ia diterbitkan sebagai panduan dan rujukan kepada petani, Syarikat Swasta dan semua pihak yang terlibat atau berkepentingan dalam industri pertanian. Maklumat analisis kewangan merupakan satu daripada komponen yang perlu dipertimbangkan selain daripada maklumat kesesuaian tanah dan kajian pasaran bagi menentukan daya maju sesuatu projek tanaman yang ingin dilaksanakan. Artikel ini penulis blog sesuaikan semula dimana ia mengandungi maklumat berkaitan aliran kewangan bagi tanaman makanan dan tanaman bukan makanan. Ia mengandungi maklumat penting ata rngkasan mengenai aliran wang masuk, aliran wang keluar dan analisis kewangan. Bagi tujuan pengiraan aliran wang masuk, pengeluaran hasil dan harga jualan ladang adalah faktor yang akan menentukan pendapatan kasar. Aliran wang keluar terdiri daripada kos pembangunan kawasan, kos bahan input, kos tenaga kerja dan kos pelbagai yang akan menentukan jumlah kos pengeluaran. Analisis kewangan menentukan pendapatan bersih serta lain-lain analisis berkaitan. Maklumat aliran kewangan ini telah dikemaskini bersesuaian dengan penggunaan sesuatu teknologi, jenis varieti, faktor turun naik harga input dan kos tenaga kerja di Malaysia. Jenama input yang dipaparkan adalah sekadar contoh dan bukan sebagai satu pengesyoran. Penyelarasan harga input dan kos tenaman kerja di dalam buku ini adalah berdasarkan kepada harga semasa pada tahun 2021 dan 2022. Pengiraan kos pengeluaran dan pendapatan setiap kategori tanaman adalah berdasarkan kepada andaian-andaian yang disertakan. Aliran kewangan yang telah disediakan adalah anggaran pengiraan untuk panduan dan rujukan sahaja. Nilai sebenar dilapangan juga mungkin berbeza bergantung kepada jenis tanah, pengurusan tanaman dan harga semasa. Bagi rujukan terperinci penulis blog syor supaya merujuk Buku Pakej Teknologi Tanaman, Manual Kerja Pengembangan serta pelbagai risalah atau panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian. Jabatan Pertanian Malaysia. Artikel dalam blog "Anim Agro Technology" ini saya paparkan kosting tanaman CILI MERAH FERTIGASI semuga ia dapat dijadikan panduan dalam membuat kajian dan perancangan dan pelaksanaan dalam tanaman yang dipilih semua pembaca. 


CILI MERAH
paling popular adalah CILI KULAI dimana ia adalah satu varieti cili yang popular ditanam oleh penanam sayur di Malaysia dan di terima dengan baik oleh para pengguna di negara ini. Cili ini adalah sejenis Cili Besar atau Cili Merah atau Cili Hijau yang mempunyai banyak panggilan dan juga jenama yang dijual di kedai pertanian. Cili Besar atau Cili Merah ini merupakan sejenis tanaman popular di Malaysia yang ditanam seluas 3,420 hektar dengan pengeluaran sebanyak 30,365 metrik tan pada tahun 2022 dengan nilai pengeluaran lebih RM 223 juta (Sumber: Booklet Keluasan Tanaman Makanan Malaysia, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Pengeluaran cili di Malaysia adalah untuk tujuan penggunaan segar. Pada penulis blog dapati bagaimana pun dipasaran penggunaan jenis cili merah kering import lebih dominan berbanding dengan penggunaan cili merah segar. Kebanyakan cili kering merah ini diimport dari India, China, Thailand dan beberapa negara lain yang benilai jutaan ringgit setahun memberikesan kepada jumlah import makanan negara mencecah RM75.54 billion direkod pada tahun 2022. Masakan bagi masyarakat Malaysia sememangnya menggunakan pelbagai jenis cili sebagai komponen utama untuk perisa pedas kepada banyak kuliner makanan. Apakah varieti cili merah yang anda tahu sangat popular di tanam di Malaysia?. dimana dianalisa iaitu kebanyakan petani akan nyatakan Cili Kulai. Dalam pada itu pengetahuan penulis blog di peringkat awal dulu Cili Kulai ini diberikan nombor 'MC' didepannya. Bagaimana pun cili kulai sebenarnya terdiri daripada banyak varieti kerana cili ini belum banyak yang didaftarkan dengan Senarai Pendaftaran Varieti (National Listing). Kajian penulis blog semasa bertugas dulu mendapati antara beberapa varieti cili merah yang sesuai ditanam adalah seperti Varieti MC 11, MC 12, MC 4, MC 5 dan akhir sekali Varieti Kulai Hibrid. Selain itu dipasaran ada pula yang mengelarkan cili besar atau cili merah ini mengikut lokaliti seperti Cili Merah Ipoh, Cili Merah Minyak Beku dari Batu Pahat, Varieti Cili Bangi dan beberapa lagi. Pada penulis blog ada sedikit pencirian varieti cili merah agar dapat meningkatkan ilmu pengetahuan pembaca semua seperti ciri yang ada pada CA 905 (F1 Cili Kulai 905), CA 907 (F1 Cili Kulai 907), CA 910 (Cili Kulai Tempatan), CA 914 (F1 Cili Kulai Pedas), CA 915 (F1 Cili Kulai Kering), CA 908 (Cabai Kulai Kerinting), Cili No. 8338 (Cili Kulai King) dan terkini adalah Cili Kulai 461 (Jenis paling popular untuk Cili Fertigasi). Merujuk kepada artikel tulisan saya pada tahun 2013 (Ogos) dan 2011 yang telah menjelaskan beberapa jenis cili merah sesuai dirujuk dengan pautan (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Penulis blog pernah melawat beberapa pusat penyelidikan swasta termasuk CWG Sdn Bhd yang mempunyai koleksi baka benih cili kulai lebih daripada 35 varieti yang sesuai dikomersilkan sebahagiannya.



KOSTING CILI MERAH FERTIGASI (1 HEKTAR)

1. Nama Tanaman     : CILI MERAH (Capsicum annum)

2. Varieti Cili Merah   : Cili Kulai

3. Kepadatan Pokok  : 10,000 pokok/hektar

4. Jangkahayat Tanaman     : 6 bulan

5. Intensiti tanaman setahun : 2 kali

6. Kaedah Sistem Tanaman  : Fertigasi Terbuka

Nota: Fertigasi terbuka - kelebihan dan kekurangan
Fertigasi terbuka adalah tanaman yang masih mengekalkan sistem pengairan secara fertigasi namun tidak mempunyai Struktur Perlindungan Hujan (SPH). Jika ada SPH petani maka boleh menanam sepenuhnya tanpa rehat termasuk di musim hujan dimana ini sekaligus dapat hasil pada musim hujan (harga akan naik tinggi pada musim ini). Tanaman tanpa SPH atau fertigasi terbuka ini berisiko dimana pada musim hujan akan menjadi penghalang kepada petani untuk usahakan tanaman. Ini sekaligus petani tidak mampu bagi mengejar untuk keluarkan hasil terutama pada musim tengkujuh. Namun, kos membina SPH adalah sangat tinggi dimana ramai petani suka memilih Fertigasi Terbuka. 


ALIRAN WANG MASUK (Semusim/Setahun):

                                            SEMUSIM            SETAHUN

7. Hasil Cili (Kg/ha)                25,000                50,000 

8. Harga Ladang (RM/kg)      5.00                    5.00

9. Pendapatan Kasar (RM)  125,000,00          250,000

10. Pendapatan Bersih (RM)   13,467.11         61,452.11


ALIRAN WANG KELUAR CILI MERAH (Semusim/Setahun):

                                               SEMUSIM            SETAHUN

11. Kos Pembangunan (RM)      48,100                 48,100

12. Kos Bahan Input (RM)      77,921.80            32,721.80

13. Kos Tenaga Kerja (RM)         26,900                 26,900

14. Kos Pelbagai (RM)          106,221.80            60,531.80

15. Kos Luar Jangka (10%)     5,311.09                3,026.09

16. Jumlah Kos Pengeluaran 111,532.89            63,547.89


ANALISA KEWANGAN (UNTUK 3 TAHUN):

17. IRR (Internal rate of Return) : 69%

18. NPV (Net Present Value)      : RM 143,686.68

19. BC Ratio (Benefit Cost)        : 1.43 

    (Bermakna setiap RM1 berikan RM1.43)

20.  Titik Pulang Modal              : RM 3.49 

21. Tempoh Pulang Modal         : 2 musim 

 
Tanaman Cili Besar diantara jenis sayuran dari keluarga Solanaceae yang paling berikan pulangan terbaik jika semua mengikut amalan agronomi yang baik dan tiada masaalah serangan perosak dan penyakit serta ancaman cuaca. Merujuk portal bharian.com bertajuk 'Cili Kulai 461 tahan lama dan hasil tinggi' wajar di kongsikan. Kini k
aedah pertanian menerusi sistem fertigasi, terutama cili jenis 'Kulai 461' sudah semakin mendapat tempat di negara ini kerana tidak memerlukan kawasan luas, selain hasil kebun mendapat harga yang tinggi di pasaran. Cili berkenaan juga berkualiti, tahan lama dan mampu mengeluarkan hasil berkali ganda berbanding yang cili lain yang ditanam menggunakan kaedah konvensional. Konsep fertigasi tidak terhad kepada cili, malah tomato, timun Jepun, terung, strawberi dan pokok hiasan juga boleh ditanam secara komersial menggunakan kaedah sama. Dilaporkan cili 'Kulai 461' boleh dituai hasilnya seawal dua atau tiga bulan dan berterusan sehingga pokok berusia enam bulan bagi mendapatkan hasil maksimum (Sila lihat foto diatas). Saiz cili jenis ini tirus dan tebal, panjangnya antara 15 hingga 18 sentimeter serta mempunyai rasa sangat pedas. Tinggi pokoknya sekitar 60 - 180 cm dan mudah dijaga. Pokok boleh mengeluarkan hasil sekitar dua hingga tiga kilogram sehari, mampu menghasilkan bunga secara serentak dengan buah dan ini sekali gus memudahkan pengusaha membuat penuaian berterusan. Cili terbabit mendapat permintaan tinggi daripada pengguna dan pemborong dengan tawaran harga purata RM4.20 hingga RM5 sekilogram, harga runcit pula RM5 hingga RM20 sekilogram mengikut pasaran semasa. Didakwa walaupun modal agak tinggi, ia berbaloi kerana pulangannya lebih lumayan dan jangka hayat tanaman lebih panjang. Apa pun Sistem Fertigasi berasal dari dua perkataan Inggeris, 'fertilization' dan 'irrigation'. Ia salah satu cabang hidroponik yang sangat sesuai bagi tanaman jenis sayuran berbuah dan berdaun. Kaedah berkenaan menggunakan pengairan dengan baja akan disalurkan dalam bentuk larutan terus ke bahagian akar pokok. Pokok lazimnya ditanam dalam beg plastik atau 'polybag' dan diletakkan di atas pelantar setinggi hampir satu meter bagi memudahkan kerja memetik hasil. Pengairan titis membolehkan larutan baja menitis secara perlahan dan berkala bagi mengoptimumkan pertumbuhan pokok dalam tempoh yang ditetapkan. Kaedah fertigasi tidak menggunakan tanah, sebaliknya digantikan dengan sabut kelapa atau sekam yang dapat mengelakkan serangan penyakit akar berpunca daripada tanah. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
INGIN BERTANI...ILMU DI PERLUKAN...
MODAL DISEDIA...KENA CUKUPKAN....
BERAPA JUMLAH... IKUT ANGGARAN...
UNTUNG RUGI... SEBAGAI PANDUAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(29 Syawal 1445H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.