Sunday, March 24, 2024

TEKNOLOGI HALIA FERTIGASI TERKINI (Part 2)

TEKNOLOGI PENANAMAN HALIA FERTIGASI
kini semakin popular di kalangan petani di Malaysia. Tanaman Halia (Zingiber officinale Roscoe) merupakan sejenis tumbuhan umbisi dari keluarga Zingiberaceae yang mempunyai nilai perubatan dan komersial yang tinggi. Halia lazimnya akan menghasilkan rizom yang mempunyai daun berbentuk bilah serta batang yang mencecah tiga kaki tinggi. Tumbuhan ini mengeluarkan bunga seperti orkid yang dilihat berwarna kuning kehijauan yang menjadikan halia sesuai sebagai tanaman hiasan dan biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi 1,200 - 1,500 m dari aras laut. Di Malaysia dari apa yang penulis blog tinjau, tanaman halia ditanam secara komersial di Bentong, Pahang, Keningau dan Tambunan, Sabah serta Sarawak. Varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha ialah Halia Bentong, Halia Sabah, Halia Bara, Halia Cina, Halia Tanjung Sepat dan Halia Indonesia. Tanaman halia ini dikatakan dapat membantu didalam menghadam makanan, menguatkan tenaga batin, menambah air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubatan daripada halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada. Permintaan halia di Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa sangat tinggi terutama bagi halia Bentong yang mempunyai kualiti tinggi jika dibandingkan dengan halia daripada Indonesia, Thailand, China (Hong Kong), Taiwan dan Amerika Syarikat. Halia Bentong juga mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran Hong Kong dan Britain. Tahap pengeluaran yang rendah mengehadkan jumlah kapasiti eskport halia disebabkan kekurangan tanah yang sesuai untuk penanaman halia dan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) yang menjangkiti tanaman halia. Sistem fertigasi ialah satu teknik alternatif yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah. Kedua-dua masalah ini merupakan masalah utama pengeluaran halia secara komersial di seluruh dunia. Penanaman sayuran daun dan buah dengan menggunakan teknologi fertigasi telah terbukti berkesan dan efisien. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat 3-5 kali ganda berbanding dengan cara konvensional. Penanaman halia secara fertigasi di tanah rendah turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan sistem konvensional. Dengan menggunakan sistem fertigasi, halia di tanah rendah dapat ditanam secara berulang di tempat yang sama secara berterusan. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya terus menulis teknologi penanaman halia secara fertigasi terkini untuk ianya dijadikan bahan rujukkan pembaca blog semua.


Amalan agronomi bagi penanaman halia termasuk pengurusan air kerana tanaman halia memerlukan air terutamanya di peringkat 2 bulan pertama penanaman diantara 0.25 liter sehari sepokok di peringkat awal penanaman, 0.50 liter sehari sepokok di peringkat vegetatif hingga 0.80 liter sehari sepokok pada peringkat matang. Ketika ini pokok sedang membesar dengan cepat dan kekurangan air akan membantutkan pertumbuhan dan seterusnya mengurangkan hasil. Disyorkan agar memasang Sistem Pengairan Titis untuk tanaman fertigasi halia.  Pengairan titis fertigasi telah lama ia digunakan secara meluas dalam bidang pertanian. Sistem pengairan titis fertigasi adalah kaedah pemberian air kepada tanaman pada tempoh yang lebih kerap mengikut kadar keperluan air bagi tanaman tersebut. Dengan menggunakan sistem ini, air dipam dari sumber air yang dirawat dan bertapis (200 micron) seperti dari sungai, kolam atau telaga tiub dan diagihkan melalui sistem paip serta disalirkan terus ke zon akar tanaman mengunakan penitis. Sistem ini mempunyai kecekapan pengairan yang tinggi sehingga 90% berbanding dengan pengairan permukaan atau renjis, kadar kehilangan air menerusi permukaan (deep percolation) dan larian permukaan (surface run off) adalah minimum. Penitis yang disarankan bagi pemasangan sistem fertigasi ini adalah jenis penitis jenis arrow dripper pada kadar alir antara 2.0 liter per jam dengan julat tekanan operasi 1.0 bar (Sila lihat foto disebelah). Penulis blog juga mengsyorkan untuk petani agar menggunakan penitis berteknologi Pressure Compensated (PC) untuk lebih menjimatkan penggunaan air dan kaedah siraman yang seragam. Untuk reka bentuk sistem pengairan titis ini, setiap polibeg menggunakan satu (1) penitis disambungkan kepada paip lateral Low Density Polyethylene (LDPE) 16mm. Paip lateral boleh membekalkan air pengairan sebanyak 60 polibeg dalam sebaris secara sambungan tertutup. Setiap paip lateral bersambung dengan paip sekunder High Density Polyethylene (HDPE) 25mm dan boleh membekalkan air pengairan untuk setiap satu (1) bay SPH. Untuk setiap paip sekunder, akan bersambung pula dengan paip utama High Density Polyethylene (HDPE) 32mm dan boleh membekalkan air pengairan untuk setiap dua (2) bay SPH. Setiap paip utama akan bersambung dengan manifold High Density Polyethylene (HDPE) 63mm yang juga adalah sistem penghantaran pam air elektrik dengan spesifikasi kadar alir minimum 117 lpm (31.0 gpm) dan pump head 25.0m (82.0 kaki). Setiap unit SPH menggunakan minimum dua (2) unit tangki air dengan kapasiti 500 hingga 600 gelen. Pemasangan sistem pengairan ini akan membolehkan ia mudah diuruskan.


Kawasan penanaman halia semestinya mempunyai siatem Saliran dan Perparitan yang sempurna. Sistem saliran dan perparitan diperlukan bagi kawasan yang mungkin akan menghadapi masalah saliran seperti kawasan gambut. Parit ladang dibina untuk menyalirkan air berlebihan ke parit utama bagi mengelakan tanaman halia bertakung air yang akan menyebabkan tanaman halia rosak. P
enanaman Halia Fertigasi dimana anak benih halia daripada bekas semaian yang telah berakar dan berumur 21 hari selepas semai dipindahkan ke dalam polibeg berukuran 24” lebar x 16” tinggi. Selepas proses memindahkan anak pokok halia ke dalam polibeg, pengairan tanpa baja diberikan 2 kali sehari selama 4 minit setiap kali selama 2 hari. Larutan baja akan mulai disalurkan kepada pokok di dalam polibeg selepas hari ketiga selepas tanam. Polibeg disusun rapat kiri dan kanan paip pembahagi (2 polibeg sebaris) membentuk barisan seperti Gambar 27. Diantara barisan dijarakkan 40cm bagi laluan operasi. Setiap baris boleh memuatkan sebanyak 60 polibeg yang menjadikan jumlah polibeg untuk setiap bay adalah 360 beg. Penting bagi mengetahui bagaimana cara pengurusan  Pembajaan Fertigasi tanaman halia. Pertama adalah imlu bagaimana untuk membuat Larutan Stok Baja. Tanaman lazimnya ia memerlukan 16 unsur nutrien di mana terdiri daripada unsur makro dan mikro yang penting untuk pertumbuhan tanaman yang baik. Unsur makro adalah unsur yang diperlukan dalam kuantiti yang lebih banyak berbanding dengan unsur mikro yang hanya diperlukan dalam kuantiti yang sedikit tetapi sangat penting bagi pertumbuhan dan kesuburan tanaman. Unsur asas bukan mineral seperti oksigen (O), hidrogen (H) dan karbon (C) diperolehi dari udara dan air dan membentuk 94-96% daripada berat kering tanaman. Unsur makro terdiri daripada nitrogen (N), fosforus (P), kalium (K), kalsium (Ca), sulfur (S) dan magnesium (Mg). Bagi unsur mikro pula adalah seperti ferum (Fe), molibdenum (Mo), mangan (Mn), boron (B), zink (Zn), kuprum (Cu) dan klorin (Cl). Kepekatan unsur makro dan mikro ini adalah berbeza berdasarkan jenis dan varieti tanaman. Formulasi kepekatan unsur diadunkan daripada sumber baja tunggal yang 100% larut air berdasarkan pengesyoran formulasi pembajaan melibatkan 2 bahagian iaitu baja set A dan set B. Sebaiknya Baja fertigasi set A dan set B hendaklah disediakan berasingan bagi mengelakkan berlakunya tindakbalas kimia di antara unsur kalsium dengan fosfat dan unsur kalsium dengan sulfat yang menyebabkan pembentukan mendakan kristal kalsium sulfat (CaSO4 ) dan kalsium fosfat (Ca3 (PO4 ) 2 ) . Untuk menyediakan larutan stok baja, set A dan B dilarutkan masing-masing di dalam sejumlah air yang sama kuantiti pada tong yang berasingan (stok A dan stok B). Kaedah melarutkan set baja A adalah dengan cara mengisi 2/3 daripada 100 liter air ke dalam tong stok A dan seterusnya baja set A dimasukkan dan dilarutkan dengan cara mengacau larutan tersebut. Apabila semua baja telah larut, masukkan air ke dalam tong stok A sehingga mencapai paras 100 liter. Seterusnya bagi kaedah melarutkan baja set B, ulangi langkah di atas dengan menggunakan baja set B dan dilarutkan di dalam tong stok B. Bagi menyediakan larutan baja di dalam tangki pada kepekatan EC (Electrical Conductivity) tertentu, kedua-dua larutan stok A dan stok B tidak boleh dicampurkan serentak ke dalam tangki air. Larutan stok perlu dituang dan dikacau secara berasingan bagi mengelakkan tindakbalas kimia yang mewujudkan sebatian lain yang tidak larut dan menyebabkan berlakunya proses pemendakan. Larutan stok perlu disimpan di tempat yang terlindung daripada sinaran cahaya matahari. Terdapat juga set baja A dan B dijual di pasaran dengan pelbagai formulasi campuran untuk pelbagai tanaman. Walaubagaimanapun Didakwa terdapat beberapa kemungkinan yang boleh berlaku apabila menggunakan baja di pasaran dari segi kesesuaiannya sama ada ia sesuai untuk digunakan ataupun memerlukan sedikit penambahbaikan formulasi bagi memenuhi keperluan nutrien untuk pertumbuhan tanaman halia yang baik.


Aktiviti Pembajaan tanaman halia fertigasi memerlukan cara dimana ia disyorkan agar menggunakan Bacaan EC (Electrical Conductivity) dimana kadar sukatan air baja yang disyorkan adalah 1.0 mS/cm pada minggu pertama dan dinaikkan sedikit demi sedikit sehingga mencapai 2.6 mS/cm di akhir musim penanaman.  Pengairan baja pada minggu pertama dilakukan sebanyak 300 ml/hari dipecahkan mengikut kekerapan 1 - 2 kali sehari (contoh: kekerapan 2 kali iaitu 150 ml/pengairan). Bermula pada minggu kedua dan seterusnya, pengairan baja dilakukan mengikut umur pokok dan ditingkatkan mengikut kekerapan 4 - 8 kali sehari (bergantung kepada cuaca) sehingga mencapai 1.050 liter/hari. Apa pun cara pengairan baja bagi halia (muda) dihentikan selepas minggu ke-20 penanaman, pemberian air kosong dilakukan sehingga 2 minggu sebelum penuaian. Pengairan baja bagi halia (tua) dihentikan selepas minggu ke 32 - 36 penanaman, pemberian air kosong dilakukan sehingga 2 minggu sebelum penuaian. Cuaca panas di kawasan tanah rendah akan menyebabkan berlakunya kenaikan EC media yang tidak terkawal seandainya kawalan air tidak diuruskan dengan baik dan kejadian ini menyebabkan pertumbuhan tanaman akan terjejas. Oleh itu, bacaan EC di dalam media tanaman hendaklah dipantau dari semasa ke semasa untuk ianya dapat memastikan bacaan EC daripada tangki larutan baja dan EC media tanaman tiada perbezaan yang ketara. Nilai perbezaan bacaan EC hendaklah tidak melebihi 1.0 – 1.2 unit (mS/cm). Sekiranya EC media lebih tinggi iaitu melebihi 1.0 – 1.2 unit (mS/cm) berbanding EC di dalam tangki larutan, pengairan baja digantikan dengan pemberian air kosong bagi menurunkan bacaan EC media tersebut. Bagi usahawan yang mempunyai bajet mencukupi semua sistem automatik dengan kawalan komputer boleh dipasang di rumah pam dimana semuanya boleh diprogramkan. Kaedah menggunakan cara pengairan dan pembajaan autimatik ini membolehkan air dan baja dapat dibekalkan kepada tanaman halia fertigasi dengan tepat, cepat dan cekap. Dengan pengurusan Perosak dan Penyakit dan pengawasan yang baik maka penanaman halia secara fertigasi mampu memberikan pulangan yang baik dari pelaburan tersebut. Artikel mengenai lengkap teknologi halia fertigasi ini dbahagikan kepada dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang sesuai di baca kesemuanya. Semuga artikel ini memberi maklumat yang berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...

TANAM HALIA... FERTIGASI CARANYA...
MEDIA COCOPEAT...POLIBEG BESARNYA...
BAJA SET A DAN B... IKUT ATURANNYA...
CUKUP MASA... MENUAI JUA HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 53211, Hotel Ramada, 
Persiaran Medini Utara 3, Bandar Medini Iskandar, 
79250 Iskandar Puteri, 
Johor
Malaysia.
(12 Ramadan 1445H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.