Saturday, March 23, 2024

TEKNOLOGI HALIA FERTIGASI TERKINI (Part 1)

TEKNOLOGI PENANAMAN HALIA FERTIGASI
kini semakin popular di kalangan petani di Malaysia. Tanaman Halia (Zingiber officinale Roscoe) merupakan sejenis tumbuhan umbisi dari keluarga Zingiberaceae yang mempunyai nilai perubatan dan komersial yang tinggi. Halia lazimnya akan menghasilkan rizom yang mempunyai daun berbentuk bilah serta batang yang mencecah tiga kaki tinggi. Tumbuhan ini mengeluarkan bunga seperti orkid yang dilihat berwarna kuning kehijauan yang menjadikan halia sesuai sebagai tanaman hiasan dan biasanya ditanam di kawasan tanah tinggi 1,200 - 1,500 m dari aras laut. Di Malaysia dari apa yang penulis blog tinjau, tanaman halia ditanam secara komersial di Bentong, Pahang, Keningau dan Tambunan, Sabah serta Sarawak. Varieti utama yang menjadi pilihan pengusaha ialah Halia Bentong, Halia Sabah, Halia Bara, Halia Cina, Halia Tanjung Sepat dan Halia Indonesia. Tanaman halia ini dikatakan dapat membantu didalam menghadam makanan, menguatkan tenaga batin, menambah air mani dan membuang angin yang terdapat di dalam usus kecil dan usus besar. Ubatan daripada halia juga dikatakan boleh mengawal beberapa penyakit seperti demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang, senggugut dan sesak dada. Permintaan halia di Malaysia bagi pasaran domestik dan antarabangsa sangat tinggi terutama bagi halia Bentong yang mempunyai kualiti tinggi jika dibandingkan dengan halia daripada Indonesia, Thailand, China (Hong Kong), Taiwan dan Amerika Syarikat. Halia Bentong juga mendapat permintaan yang tinggi dari pasaran Hong Kong dan Britain. Tahap pengeluaran yang rendah mengehadkan jumlah kapasiti eskport halia disebabkan kekurangan tanah yang sesuai untuk penanaman halia dan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) yang menjangkiti tanaman halia. Sistem fertigasi ialah satu teknik alternatif yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah. Kedua-dua masalah ini merupakan masalah utama pengeluaran halia secara komersial di seluruh dunia. Penanaman sayuran daun dan buah dengan menggunakan teknologi fertigasi telah terbukti berkesan dan efisien. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat 3-5 kali ganda berbanding dengan cara konvensional. Penanaman halia secara fertigasi di tanah rendah turut meningkatkan hasil rizom halia berbanding dengan sistem konvensional. Dengan menggunakan sistem fertigasi, halia di tanah rendah dapat ditanam secara berulang di tempat yang sama secara berterusan. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya terus menulis teknologi penanaman halia secara fertigasi terkini untuk ianya dijadikan bahan rujukkan pembaca blog semua.


Penanaman halis fertigasi memerlukan media tanaman sesuai dimana ada terdapat pelbagai jenis campuran media yang boleh digunakan untuk tanaman halia secara fertigasi. Bagi kebanyakan sistem penanaman secara fertigasi selalunya jenis media tanaman yang biasa digunakan adalah cocopeat kerana ia lebih mudah diperolehi, murah dan lebih mesra alam. Cocopeat adalah media tanaman yang bersifat penyerap air (water absorbent) yang mampu menyimpan air didalamnya termasuk air yang mengandungi baja tanaman dalam sistem fertigasi. Saiz partikel cocopeat mempengaruhi daya pegangan air. Cocopeat yang bersaiz halus biasanya akan menyebabkan media menjadi sangat lembap dan ini akan mempengaruhi tumbesaran pokok. Cocopeat juga mempunyai pH 5.6 - pH 6.5 sangat sesuai untuk pertumbuhan akar tanaman. Selain daripada media cocopeat, media sekam padi bakar juga boleh digunakan kerana ia mudah didapati. Kedua-dua media tanaman ini boleh dicampurkan dengan nisbah campuran cocopeat dan sekam padi bakar pada kadar 70 : 30 atau 60 : 40 bergantung pada kesesuaian media (saiz partikel cocopeat). Media cocopeat perlu dibilas dengan air bersih terlebih dahulu bagi menyingkirkan kandungan garam terlarut yang terdapat di dalam media sebelum aktiviti penanaman dijalankan. Salah satu aspek penting dalam penanaman halia fertigasi adalah memilih saiz polibeg fertigasi halia yang tepat. Ini kerana saiz polibeg yang disyorkan berukuran 24” lebar x 16” tinggi. Media diisi sebanyak 2/3 isipadu dari aras ketinggian polibeg. 3-4 lubang kecil untuk laluan lebihan larutan baja dibuat 5 cm dari dasar polibeg. Polibeg disusun rapat kiri dan kanan bagi membentuk barisan tanaman dengan jarak antara barisan tanaman 40 cm bergantung kepada kesesuaian kawasan penanaman. 


Proses penyediaan benih halia bermula dengan memilih benih halia yang sesuai dan baik adalah penting untuk memastikan hasil yang tinggi. Sebaiknya dapatkan benih halia daripada pembekal atau petani yang memang sudah lama menanam halia atau pemborong halia di kawasan penanaman halia komersial. Petani juga sebaiknya memilih varieti sesuai yang mana pemilihan benih juga disarankan mengikut permintaan di pasaran semasa. Pada masa ini dilaporkan jenis Halia Bentong paling 'laku keras' dipasaran bersama jenis Hala Sabah dan beberapa carieti lagi. Apa pun penulis blog percaya dimana varieti halia yang digunakan oleh rakyat Malaysia biasanya mempunyai rasa yang ada ciri kepedasan yang tinggi tetapi mempunyai serat yang rendah. Diantara beberapa ciri dalam usaha pemilihan benih halia yang baik adalah seperti pilih jenis rizom yang sihat dan cukup matang (10-12 bulan) dimana ia akan mempengaruhi pertumbuhan. Pastikan memilih jenis rizom yang bersaiz besar dan berisi. Periksa dengan teliti dimana hanya benih atau rizom tidak rosak dan bebas penyakit sahaja di ambil. Pastikan dimana cabang rizom bermata atau sebaiknya bertunas (2-3 mata tunas) dimana ciri ini penting (Sila lihat foto disebelah).Pilih juga rizom berwarna pucat dan kekuningan dimana apabila di belah isi rizom berwarna kuning cair. Kemudian semua rizom benih halia yang dipilih hendaklah diletakan di dalam suhu bilik selama 2 minggu untuk menggalakkan percambahan mata tunas. Rizom yang telah bertunas dan sihat dipotong dalam anggaran 7 - 10 cm dengan anggaran berat 50-80 gm supaya benih cepat bercambah. Sebaiknya semua rizom dirawat dengan cara direndam ke dalam racun kulat (contoh: Previcur N) dengan kadar 10 ml racun kulat dan 100 liter air selama 3 - 5 minit untuk menghalang jangkitan kulat pada rizom dan ditoskan sehingga kering sebelum disemai. Rizom boleh ditanam dengan 2 cara iaitu disemai dalam bekas semaian atau di semai terus dalam polibeg. Bekas semaian diisi dengan cocopeat atau sekam padi bakar atau campuran keduaduanya dan disemai selama 21 hari. Anak benih halia ini hendaklah mencapai ketinggian sekurang-kuranganya 7-10 cm sebelum dipindahkan ke dalam polibeg yang bersaiz 24'' x 16'' agar memberikan hasil lebih 2 kg serumpun.


Teknologi penanaman halia secara fertigasi sesuai di tanam dibawah 
Struktur Pelindung Hujan (SPH). Apa pun sebelum melaksanakan proses penanaman halia secara fertigasi infrastruktur utama yang perlu disediakan terlebih dahulu adalah Struktur Pelindung Hujan (SPH) dan Sistem Pengairan Fertigasi. Tanah yang rata hendaklah disediakan lebih awal supaya kerja pembinaan Struktur Pelindung Hujan (SPH) dan penananam boleh dilakukan. Struktur Pelindung Hujan (SPH) dibina agar faktor persekitaran luar dapat dikawal.Terdapat pelbagai pilihan Struktur Pelindung Hujan (SPH) yang terdapat di pasaran sama ada yang berskala besar yang lebih komersial seperti jenis dome, gable, jack roof atau jenis struktur yang berkos rendah yang lebih ekonomik seperti fertigasi SPH rakyat. Rekabentuk SPH bergantung kepada keluasan saiz tapak, jenis tanaman dan iklim serta mengambil kira kos pembinaan. Apa yang penulis blog faham dimana antara ciri kelebihan penggunaan Struktur Pelindung Hujan (SPH) adalah seperti ia dapat mengawal faktor persekitaran luar seperti hujan lebat yang boleh mengakibatkan kerosakan fizikal terhadap tanaman yang ditanam secara terbuka. SPH berbumbung lutsinar (70-80% cahaya) mengurangkan pancaran sinar matahari yang terik dan berterusan kepada tanaman yang boleh mempengaruhi pertumbuhan tanaman. Periksa akan ketahanan bahan binaan daripada bahan berkualiti, tahan lama dan kukuh agar sesuai untuk lebih lama ketahannya. Pastikan ada sistem pengudaraan baik bergantung dimana ia bergantung kepada ketinggian dan keluasan SPH. Kapasiti tanaman dibawah SPH dapat ditingkatkan bergantung kepada jarak tanaman dan saiz SPH. Apa pun kos ekonomik dan mesra pengguna. Bumbung SPH yang ditutupi dengan plastik lutsinar UV ditambah dengan kegunaan jaring hitam 50-70% keteduhan cahaya sesuai diaplikasikan untuk tanaman halia kerana kesan lindungan kepada tanaman serta selalunya ia akan mengurangkan cahaya yang sampai terus kepada tanaman. SPH akan dapat mengawal daripada sinaran matahari yang terlalu terik yang mana ia mampu mengancam pertumbuhan pokok halia. Keberkesanan struktur pelindung hujan (SPH) selalunya dipertingkatkan dengan memasang jaring kalis serangga sebagai dinding bagi kawalan perosak serangga. Apa pun bagi tanaman halia kebiasaannya jenis SPH yang digunakan adalah SPH tanpa jaring kalis serangga. Dengan penggunaan SPH penghasilan tanaman akan lebih terjamin dan kualitinya lebih baik dan lebih seragam. Artikel mengenai lengkap teknologi halia fertigasi ini dbahagikan kepada dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang sesuai di baca kesemuanya. Semuga artikel ini memberi maklumat yang berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM HALIA... FERTIGASI CARANYA...
MEDIA COCOPEAT...POLIBEG BESARNYA...
BAJA SET A DAN B... IKUT ATURANNYA...
CUKUP MASA... MENUAI AKAN HASILNYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 53211, Hotel Ramada, 
Persiaran Medini Utara 3, Bandar Medini Iskandar, 
79250 Iskandar Puteri, 
Johor
Malaysia.
(12 Ramadan 1445H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.