Monday, January 30, 2023

TEKNOLOGI MODEN NANAS TANAH GAMBUT (Part 2)

TANAMAN NANAS
(Ananas comosus) di Malaysia semakin hebat dengan jumlah keluasan tanaman terus meningkat saban tahun. Pengenalan beberapa varieti nanas premium seperti Nanas varieti MD2 (AC9) dan terbaru varieti Nanas Jambul Mas A18 (AC15) menambah lagi kerancakkan industri nanas negara. Kawasan tanaman nanas paling luas berada ditanah gambut seperti di Johor, Selangor, Sarawak dan di Pahang. Pada tahun 2022 seluas 16,205 hektar nanas di tanam dengan menghasilkan sebanyak 377,300 metrik tan buah nanas untuk pasaran domestik dan eksport (Sumber: Booklet Statistik keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Penulis blog mendapati dimana pengeluaran nanas di tanah mineral dapat dijalankan secara mekanisasi dengan mudah kerana keupayaan galas tanah mineral yang tinggi untuk menampung berat jentera seperti di ladang Rompine di Mersing, Ladang KPF di Ulu Tiram dan Nitar, Mersing, Johor yang penulis blog buat tinjauan. Dilaporkan dimana pihak MARDI telah berjaya dalam usaha membangunkan pakej teknologi untuk mekanisasi ladang lengkap bagi pengeluaran nanas di tanah mineral pada Rancangan Malaysia ke-9 dahulu lagi. Pihak LPNM dan Jabatan Pertanian ada menjadikan teknologi ini didalam pegawai pengembangan memberikan khidmat nasihat teknikal kepada penanam nanas. Pakej teknologi tersebut terdiri daripada mekanisasi bagi aktiviti penyediaan tanah, penanaman, penjagaan tanaman, pengairan, penuaian dan pengurusan sisa selepas penuaian. Namun begitu dilaorkan dimana teknologi tersebut tidak dapat digunakan bagi aktiviti pengeluaran nanas di tanah gambut kerana keupayaan galas tanah yang rendah iaitu dinilai ia kurang daripada 0.3 MPa di kebanyakan kawasan. Penggunaan mekanisasi di tanah gambut boleh direalisasikan dengan menggunakan penggerak utama khusus yang mempunyai tekanan sentuhan permukaan yang rendah seperti traktor yang mempunyai permukaan roda yang lebar dan juga penggunaan peralatan dan jentera yang ringan. Artikel pagi ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan kisah mengenai pakej teknologi mekanisasi pengeluaran nanas di tanah gambut yang merangkumi penggerak utama, mekanisasi bagi kerja penyediaan tanah, penanaman, penjagaan tanaman, penuaian dan pengurusan sisa tanaman di ladang untuk dijadikan rujukkan berasaskan laporan kajian pihak MARDI.

Amalan agronomi tanaman nanas perlu dilakukan sejak mula menanam sehingga penuaian hasil. Bagi penanam nanas MD2 dimana cabaran paling besar adalah untuk menanam ribuan malahan jutaan sulur anakbenih nanas. Cara penanaman nanas dilakukan secara manual dengan cara meletakkan sulur nanas kedalam setiap lubang satu persatu (Sila anda lihat foto disebelah). Dibeberapa negara lain penanaman sulur nanas terutama di kawasan tanah mineral ada yang menggunakan jentera khas. Dalam pada itu aktiviti penjagaan tanaman nanas sangat penting bagi menjamin mutu dan peningkatan produktiviti pengeluaran nanas di sesuatu kawasan. Amalan agronomi bagi tanaman nanas apa yang penulis blog dapati perlu dijalankan adalah seperti pembajaan cecair dan baja butir, pengawalan rumpai dan semburan bahan aruhan pembungaan atau menghormon nanas. Bagi mekanisasi membaja ada implemen yang sesuai digunakan untuk tujuan menabur baja butir di atas batas tanaman. Pembajaan cecair kini sudah boleh dijalankan secara teknik semburan dengan cara menggunakan implemen penyembur berlengan panjang (boom). Dalam pada itu mekanisasi untuk pembajaan baja butir dijalankan dengan menggunakan implemen penabur baja yang disesuaikan implemennya. Spesifikasi implemen alat penyembur boom mempunyai panjang depangan dua sisi berukuran 10 meter dan tangki berkapasiti 400 liter Implemen penyembur ini dilengkapi dengan 20 muncung semburan dengan jarak 50 cm di antara satu sama lain. Muncung yang digunakan adalah daripada jenis semburan kipas dengan sudut kembangan 110 darjah. Saiz tangki tersebut cukup bagi semburan racun di kawasan seluas 1 hektar untuk kawalan rumpai, perosak serta penyakit. Bagi baja foliar dan hormon pula, semburan perlu mengikut kuantiti air yang disyorkan iaitu lebih kurang 50 mL per pokok. Kebiasaannya, 1 hektar kawasan akan menempatkan 43,500 - 44,000 pokok nanas. Kelajuan traktor yang sesuai bagi kerja semburan ialah 2.7 ke 3.2 km/jam dengan kadar kerja lebih kurang 2.5 hektar/jam. Kecekapan operasi semburan ialah 75 - 80% bergantung kepada reka bentuk ladang. Penggunaan implemen ini sesuai dengan traktor bertrek yang digunakan. Semburan boleh dijalankan terus dari kawasan tanaman atau di jalan yang khusus. Implemen penabur dan merumput yang digunakan dalam operasi menabur baja butir merupakan adaptasi daripada implemen import yang telah ditambah baik dan bersesuaian dengan keadaan setempat. Implemen tersebut menggunakan konsep bajak pepahat di antara batas tanaman. Saya berkunjung ke Miri, Sarawak dimana pengusaha nanas mengimport jentera ini daripada luarnegara (Made in Japan) yang mana digunakan untuk smeburan baja foliar dan juga kerja-kerja menghormon diladang seluas 250 ekar ini (Sila lihat foto paling atas). Ladang nanas ini menerima khidmat nasehat daripada LPNM dan Jabatan Pertanian Sarawak dimana 65% tanahnya adalah tanah gambut dan bakinya tanah mineral. Dilihat mesin ini sangat praktikal digunakan diladang ini. 


 Aktiviti Aruhan Pembungaan atau pun menghormon nanas merupakan proses bagi mempercepatkan pengeluaran bunga nanas. Aktiviti ini juga dilakukan bagi menjadualkan pengeluaran buah nanas mengikut matrik pasaran yang dirancang berperingkat. Lazimnya menghormon akan menjadikan pengeluaran bunga dapat diselaraskan dimana secara tidak langsung pengeluaran buah dapat diseragamkan juga. Pada penulis blog yang melihat dimana operasi dilakuan bagi aruhan pembungaan dengan konvensional adalah gunakan pam penyembur. Nagaimana pun kini sudah ada alatann khas yang menggunakan implemen penyembur berlengan seperti yang digunakan dalam operasi semburan baja cecair tadi. Mengikut amalan agronomi masa terbaik menajankan semburan perlu dilakukan sama ada sebelum jam 9.00 pagi atau selepas jam 4.00 petang kerana pokok nanas akan aktif pada malam hari. Alatan implemen penyembur berlengan juga boleh juga ianya digunakan dalam operasi mengawal rumpai di plot tanaman atau meracun rumpai semasa peringkat awal penanaman. Kawalan rumpai hanya dilakukan pada peringkat pracambah (selepas penanaman) dan juga selepas cambah bagi kawasan rumpai yang luas dan kawasan rumpai bertompok lebih sesuai menggunakan mesin semburan galas. Tanaman nanas yang sudah mencapai 6-7 bulan tidak perlu mengawal rumpai kerana kanopi daun nanas sudah bercantum dan mengurangkan pertumbuhan rumpai. Penulis blog lihat dikalangan pekebun kecil nanas di tanah gambut mereka akan mengawal rumpai secara manual sahaja.

Aktiviti paling utama diladang nanas tentunya semasa menuai buah nanas. Pada penulis blog dimana penuaian buah nanas akan dilakukan pada tahap kematangan buah dengan berpandukan indeks warna yang tertentu dari satu hingga enam (ranum). Bagi pasaran eksport dipetik indeks 3 dan pasaran tempatan pada indeks 4 bergantung kepada jenis nanas. Tempoh kematangan buah nanas bergantung kepada varieti nanas. Bagi nanas Moris dipetik pada (125 - 139 hari), Nanas Sarawak (160 - 170 hari), Nanas Josapine (115 - 117 hari), Nanas Gandul (145 - 150 hari) dan Nanas MD2 (140 - 145 hari) selepas proses aruhan pembungaan. Tempoh ini dikira dari hari pertama aruhan pembungaan sehingga buah nanas masak pada indeks 1 atau 2 dimana jika berlaku kegagalan menuai pada peringkat kematangan atau indeks yang sesuai akan menurunkan gred buah nanas yang ingin dipasarkan. Dikawasan tanah gambut petani kecil di Johor sering menggunakan 'Cikiteng' yang dibuat oleh mekanik tempatan. Penulis blog ada melawat pembuat cikiteng ini di Air Hitam, Muar, Johor yang mana ia digunakan untuk mengangkut buah nanas dan paling sesuai tandan kelapa sawit juga di kawasan tanah gambut (Sila lihat foto paling bawah). MARDI dilaporkan ada menyelidik alat seperti ini dengan gunakan traktor trek dan treler gantung digunakan untuk bantuan aktiviti penuaian nanas di tanah gambut seperti yang digunakan untuk mengangkut sulur dalam aktiviti penanaman. Penggunaan kaedah ini dapat meringankan beban pekerja untuk mengangkut buah nanas yang telah dituai. Selain itu dilaporkan juga akan penggunaan pengangkut bertrek penjalan kaki juga sesuai untuk bantuan penuaian nanas di tanah gambut. Mesin ini dilaporkan boleh dikendali oleh seorang pekerja walau pun penulis blog belum pernah melihatnya dilapangan. Jentera ciptaan seperti cikiteng ini ada ditulis dalam blog ini dengan pautan berikut untuk dibaca (Sila klik disini).  Artikel ini ditulis dalam dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang sesuai dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM NANAS... BANYAK POKOKNYA...
DITANAH GAMBUT... PERLU JENTERA...
BEBERAPA JENIS... SUDAH DICERITA...
NAMUN PETANI.. RAMAI BELUM ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(5 Rejab 1444H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.