Sunday, January 29, 2023

TEKNOLOGI MODEN NANAS TANAH GAMBUT (Part 1)

TANAMAN NANAS
(Ananas comosus) di Malaysia semakin hebat dengan jumlah keluasan tanaman terus meningkat saban tahun. Pengenalan beberapa varieti nanas premium seperti MD2 (AC9) dan terbaru varieti Jambul Mas A18 (AC15) menambah lagi kerancakkan industri nanas negara. Kawasan tanaman nanas paling luas berada ditanah gambut seperti di Johor, Selangor, Sarawak dan di Pahang. Pada tahun 2022 seluas 16,205 hektar nanas di tanam dengan menghasilkan sebanyak 377,300 metrik tan buah nanas untuk pasaran domestik dan eksport (Sumber: Booklet Statistik keluasan Tanaman Makanan, Jabatan Pertanian Malaysia 2022). Penulis blog mendapati dimana pengeluaran nanas di tanah mineral dapat dijalankan secara mekanisasi dengan mudah kerana keupayaan galas tanah mineral yang tinggi untuk menampung berat jentera seperti di ladang Rompine di Mersing, Ladang KPF di Ulu Tiram dan Nitar, Mersing, Johor yang penulis blog buat tinjauan. Dilaporkan dimana pihak MARDI telah berjaya membangunkan pakej teknologi untuk mekanisasi ladang lengkap bagi pengeluaran nanas di tanah mineral pada Rancangan Malaysia ke-9 dahulu lagi. Pihak LPNM dan Jabatan Pertanian ada menjadikan teknologi ini didalam pegawai pengembangan memberikan khidmat nasihat teknikal kepada penanam nanas. Pakej teknologi tersebut terdiri daripada mekanisasi bagi aktiviti penyediaan tanah, penanaman, penjagaan tanaman, pengairan, penuaian dan pengurusan sisa selepas penuaian. Namun begitu dilaorkan dimana teknologi tersebut tidak dapat digunakan bagi aktiviti pengeluaran nanas di tanah gambut kerana keupayaan galas tanah yang rendah iaitu dinilai ia kurang daripada 0.3 MPa di kebanyakan kawasan. Penggunaan mekanisasi di tanah gambut boleh direalisasikan dengan menggunakan penggerak utama khusus yang mempunyai tekanan sentuhan permukaan yang rendah seperti traktor yang mempunyai permukaan roda yang lebar dan juga penggunaan peralatan dan jentera yang ringan Seperti jentera diatas (Sila lihat foto diatas). Artikel pagi ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan kes mengenai teknologi mekanisasi pengeluaran nanas di tanah gambut yang merangkumi penggerak utama, mekanisasi bagi kerja penyediaan tanah, penanaman, penjagaan tanaman, penuaian dan pengurusan sisa tanaman di ladang untuk dijadikan rujukkan berasaskan laporan kajian pihak MARDI. 

Mekanisasi di ladang luas lazimnya menggunakan trektor yang amat berat bagi mempercepatkan aktiviti amalan agronomi diladang. Bagaimana pun jentera ini pada penulis blog memang tidak bermasaalah jika digunakan dtanah mineral tetapi tidak untuk ladang nanas atau ladang sawit di tanah gambut. Sebuah traktor berjenama Kubota model L3800 dengan spesifikasi yang dinyatakan dimana ia telah diubah suai keempat-empat rodanya kepada trek getah yang berkelebaran 350 mm dan gandar yang lebih tinggi berjaya menjadikan permukaan sentuh tanah berkeluasan 2.36 m2 dan menghasilkan tekanan sentuh permukaan serendah 0.0075 MPa bagi berat kering traktor 1,805 kg (berat tanpa muatan). Bagi traktor yang sama iaitu menggunakan roda standard, tekanan sentuh permukaannya ialah 0.08 MPa dengan luas permukaan sentuh tanah dan berat keringnya masing-masing ialah 0.142 m2 dan 1,125 kg. Gandar traktor diubah suai untuk mendapatkan kelegaan yang tinggi iaitu lebih kurang 80 cm. Ketinggian kelegaan ini membolehkan traktor digunakan di kawasan penanaman nanas. Gandar belakang traktor diubah suai dengan menggunakan sistem rantai dan gegancu manakala gandar hadapan pula selalu mengguna pakai kaedah aci dan kotak gear bersudut untuk membolehkan sistem stereng berfungsi. Bagaimana pun aspek dalam menentukan reka bentuk ladang untuk penggunaan mekanisasi perlu disesuaikan dengan alatan jentera. Ini kerana penggunaan mekanisasi bagi pengeluaran nanas perlu disertakan dengan sistem ladang khusus bagi membolehkan mekanisasi jentera dan implemen dapat digunakan secara lancar dan cekap. Sebagai contoh apa yang penulis blog pernah lihat di Ladang Nanas Rompine berada di Pahang, Ladang Nanas Peninsular di Simpang Rengam, Johor serta Ladang Nanas KOSAS, di Selangor dimana rekabentuk ladang sudah disedia untuk menggunakan cara mekanisasi. Antaranya jentera traktor Kubota L3800 dengan ukuran panjang 3 meter memerlukan sekurang-kurangnya 5 meter ruang untuk memudahkan pusingan balik dalam kebun dibuat. Bagi aktiviti pengangkutan dan pemindahan input pertanian pula diladang tersebut dibina banyak jalan ladang yang khusus seperti jalan tambakan tanah mineral dan batu boleh disediakan dengan kelebaran sekurang-kurangnya 2.5 meter. Berlainan dengan cara menanam nanas cara konvensional dimana sebaiknya perlu dijarakkan tanaman nanas diatas tanah gambut dengan penggunaan traktor yang telah diubah suai.


Penanaman nanas memerlukan kerja penyediaan tanah selepas pokok berbuah setiap tahun. Bagi tanah gambut secara konvesional mereka akan meracun pokok tua dan kemudian membakarnya sahaja. Tetapi kini racun paraquat sudah lama ia diharamkan diladang nanas dan aktiviti pembakaran dihalang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Bagaimana pun mekanisasi penyediaan tanah gammbut untuk pengeluaran nanas adalah minimum iaitu hanya membersihkan permukaan tanah atau melakukan pembajakan dengan bajak putar sehingga tidak melebihi kedalaman 5 cm. Ini penting bagi memastikan lapisan keras tanah tidak pecah. Ada lapisan keras berada pada kedalaman 5 - 20 cm dari permukaan tanah gambut dan diperlukan untuk membolehkan traktor bergerak tanpa jerlus dengan penggunaan trek. Di kawasan penanaman semula lazimnya sisa pokok nanas dimusnahkan terlebih dahulu menggunakan implemen penghancur pokok nanas. Didakwa cara penggunaan implemen penghancur dapat mengurangkan pencemaran alam dengan pengurangan penggunaan racun dan pembakaran terbuka. Implemen ini direka khas dengan ada dua aci putar untuk mencepatkan proses menghancur pokok serta mempunyai kelegaan lebih kurang 2 cm di antara bilah ke permukaan tanah untuk mengurangkan kerosakan tanah gambut. Implemen ini sesuai digunakan bersama traktor Kubota L3800 bertrek dengan kadar kerja 0.25 ha/jam. Penulis blog masih belum melihat pengusaha nanas menggunakan jentera ini lagi dilapangan. Dalam pada itu sudah dibuat kajian dalam alat mekanisasi bantuan penanaman oleh MARDI. Selalunya apa yang penulis blog tinjau dimana biasanya aktiviti penanaman nanas di tanah gambut masih perlu dijalankan secara manual semasa penanaman. Petani akan membuat lubang dengan jarak sesuai dan sulur benih akan dimasukkan setiap lubang dengan mengambil masa lama untuk menanam sebanyak 12 - 15 ribu pokok sehektar. Bagaimana pun kini aktiviti ini dimudahkan dengan bantuan treler pengangkut sulur anak benih nanas. Penggunaan treler dilapokan mampu untuk membawa muatan lebih 2,000 batang sulur dalam satu masa berbanding dengan penggunaan kereta sorong yang hanya boleh memuatkan 200 batang sulur sahaja. Penggunaan treler ini dapat mencepatkan aktiviti penanaman di ladang ditanam gambut dan tanah mineral.


Selalunya selepas penuaian buah nanas dan benih nanas maka sisa pokok nanas memang banyak untuk diuruskan. Amalan biasa dimana selepas penuaian maka pokok nanas akan dicantas iaiyu pada ketinggian tertentu untuk menggalakkan pertumbuhan sulur yang akan dijadikan anakbenih. Sulur yang tumbuh apa yang penulis selalu lihat terbahagi kepada dua jenis iaitu Sulur Tanah (ground sucker) dan Sulur Angin (Aerial sucker). Sulur tanah tumbuh di atas tanah manakala sulur angin tumbuh di celah daun pokok induk. Dalam aktiviti mencantas pokok nanas sebuah implemen telah dibangunkan untuk mempercepatkan operasi mencantas yang dikenali sebagai implemen pencantas pokok nanas. Implemen ini dilaporkan perlu menggunakan dua bilah gergaji bulat bergaris pusat 400 mm. Kelajuan traktor yang sesuai ialah 0.1 - 0.3 km/jam dengan perlahan. Aktiviti penuaian sulur nanas boleh dilakukan dengan menggunakan implemen bantuan penuaian yang sama seperti dalam aktiviti penuaian buah. Dari laporan kajian dilaporkan dimana dengan cara ini maka kerja-kerja penuaian dapat dipercepatkan dan aktiviti menuai menjadi lebih mudah. Setelah penuaian sulur dijalankan maka sebaiknya pokok nanas asal akan dimusnahkan untuk penyediaan tanah dan penanaman musim seterusnya. Apa pun dengan adanya m
ekanisasi ladang pengeluaran nanas bagi kawasan di tanah gambut seperti penggerak utama, implemen bantuan penanaman, implemen merumput di antara baris merangkap mesin membaja, implemen semburan, treler bantuan penuaian dan implemen pengurusan sisa selepas penuaian. Pakej ini dapat membantu pengusaha di peringkat ladang dan juga petani kecil (skim mekanisasi kontrak). Pakej mekanisasi ini bukan sahaja dapat membantu meringankan beban kerja petani malah menjadikan kerja-kerja ladang lebih menarik dan senang dilaksanakan. Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang telah dibuat, pakej mekanisasi ini sangat membantu meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas.  Artikel ini ditulis dalam dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang sesuai dibaca bersama. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
TANAM NANAS... BANYAK POKOKNYA...
DITANAH GAMBUT... PERLU JENTERA...
BEBERAPA JENIS... SUDAH DICERITA...
NAMUN PETANI.. RAMAI BELUM ADA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(5 Rejab 1444H). 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.