Monday, September 19, 2022

PELBAGAI SAMBAL SOTONG

SAMBAL SOTONG merupakan salah satu kuliner berasaskan makanan laut yang sangat popular di banyak negara termasuk di Malaysia. Apa yang penulis blog tahu dimana terdapat berpuloh malahan dan mungkin beratus resepi sambal sotong yang ada di Malaysia yang diberikan banyak nama dan ada gelaran khusus bergantung kepada jenis sotong, cara memasak, kelainan resepi rasa dan mengikut lokaliti. Paling popular adalah Sambal Sotong Kering dimana ia dijadikan kuliner yang paling digemari ramai. Sambal Sotong Segar (sotong fresh) pula selalunya disediakan untuk hidangan keluarga dimakan dengan nasi putih. Pada masa ini telah ada banyak jenis sotong dalam tin (canned cuttlefish) yang dijual dipasaran dengan pelbagai jenama, saiz dan sebagainya yang sering juga di jadikan Sambal Sotong Tin. Penulis blog paling suka makan sambal sotong dipadankan dengan Nasi Putih, Nasi Lemak dan terkini ia ada dipadankan pula dengan Roti Canai (Antara yang agak enak di Restoren Roti Canai Awang di Melaka). Sering juga makan sambal sotong bersama mee goreng, mihun goreng, nasi goreng dan beberapa makanan lain. Dalam pada itu sesekali akan cicah sambal sotong dengan makanan seperti goreng tepong, roti putih dan sebagainya. Pendek kata sambal sotong ini memang menjadi pilihan bagi ramai orang dan boleh dipadankan dengan pelbagai makanan lain untuk menambahkan kelazatan. Memang sudah ada pelbagai citarasa sambal sotong dan tahap keenakkannya bergantung kepada kepakaran tukang masak dan juga ramuan yang digunakan. Hidangan sambal sotong kering kini telah menjadi menu pilihan dalam majlis kenduri dan perkahwinan yang dimakan dengan nasi minyak atau nasi putih. Pada masa dulu hidangan seperti ini tidak dihidangkan dalam majlis keramaian seperti ini tetapi kini sudah menjadi satu trend pula. Penyediaan menu ini juga tidak begitu susah walau pun sebenarnya harga sotong kering yang berkualiti amat mahal. Sotong kering bersaiz besar kini mencecah lebih RM 45.00 sekilogram tetapi lazimnya sotong segar agak murah berbanding sotongkering. Saya memang amat meminati lauk sambal sotong kering yang selalu  akan dimakan dengan nasi lemak dibeberapa gerai pilihan terkenal. Rasanya yang pedas, manis, masin, lemak dan kenyal akan menyebabkan keenakan sambal sotong kering menjadi pilihan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pelbagai jenis sambal sotong untuk ianya dijadikan bahan rujukkan semua.

(1) SAMBAL SOTONG KERING
Sambal sotong kering disediakan dengan pelbagai kaedah dan cara dengan bahan ramuan berbeza. Bagaimana pun saya akan berikan beberapa asas penyediaan sambal sotong kering iaitu berdasarkan pengalaman sendiri dan pemerhatian peribadi yang dibuat. Bahan-bahan asas diperlukan (sukatan untuk hidangan satu keluarga 5-7 orang makan sebagai panduan) adalah 4 keping sotong kering, 8 tangkai cili kering, 3 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 2 sudu air asam jawa minyak, garam dan juga gula pasir. Cara-cara menyediakan sambal sotong ini dimulakan dengan merendam sotong kering sehingga ianya kembang dan lembut (seeloknya rendam selama semalaman). Keluarkan sotong tersebut dan dihiris sotong dengan saiz dan ukuran dikehendakki (ikut suka). Sediakan bahan masak dengan mengisar cili kering, bawang merah dan bawnag putih menggunakan blender. Pasangkan api dan letakkan kuali yang diisikan dengan minyak masak pada kadar sesuai (elakkan terlalu banyak minyak). Tumiskan bahan kisar hingga garing dan kemudian masukkan sotong dan air asam jawa dalam kuali dimana perlu dikacau sebati. Apabila sotong sudah empuk maka kita masukkan sedikit gula dan garam sehingga sesuai dengan citarasa kita yang dikehendakki. Boleh direneh dan biar atas api sederhana seketika dan tutup api dimana ia siap untuk dihidangkan dengan nasi putih, nasi lemak dan pelbagai makanan lain juga. Hidangan sambal sotong kering ini paling mudah didapati direstoren, hotel, pasar malam dan banyak premis dimana sahaja di Malaysia.


(2) SAMBAL SOTONG SEGAR
Makanan Sambal Sotong Segar ini ada beberapa jenis. Ada yang dijadikan sebagai Sambal Sotong Cumi-cumi (sotong kecil), Sambal Sotong Di potong dan Sambal Sotong Seekor (sotong tidak dipotong). Bagaimana pun citarasa bagi sambal sotong ada yang pedas biasa dan ramai yang suka rasa pedas manis. B
au sambal tumis otong ini semerbak sehingga akan menyebabkan seseorang bersin jika terlalu kuat api dan pedas. Sebenarnya tiak ada rahsia untuk membuat sambal tumis sotong yang sedap asalkan ia ditumis dengan api perlahan sehingga cili betul betul masak dan garing. Pengalaman penulis blog yang selalunya menggunakan bawang merah yang banyak memberikan rasa keenakan yang tersendiri. Petua untuk menjadikan warna sambal yang cantik ialah dengan memasukkan gula terlebih dahulu dimana sebaik bahan tumis garing. lmu memasak sambal sotong pastikan dimana bahan sambal kena kering dulu sebelum dimasukkan sotong yang telah ditoskan awal bagi mengelakkan sambal berkuah dengan air sotong. Memang sambal sotong ini adalah sangat sedap lebih lebih lagi sotong yang digunakan adalah sotong yang masih segar. Resepi membuat sambal sotong segar yang enak boleh gunakan bahan iaitu 10 ekor sotong segar, 20 biji cili kering, 10 ulas bawang merah, 6 ulas bawang putih, 1/2 keping asam keping, 1 biji bawang besar yang dihiris bulat, perasa garam dan juga gula. Cara menyediakan dengan megisar cili dan bawang bawang. Tumis bahan kisar dengan api perlahan sehingga cili benar benar garing. Kmeudian boleh dimasukkan gula dan kacau lagi sehingga garing dan keluar minyak. Kemudian masukkan sotong yang telah ditos hingga kering dan akhir sekali boleh masukkan garam, asam keping dan digoreng sehingga air sotong akan menjadi kering. Masukkan bawang besar dan tutup api apabila bawang layu dan sambal kembali kering serta pecah minyak. Matikan api dan sedia untuk dihidangkan.

(3) SAMBAL SOTONG DALAM TIN
Sambal Sotong Tin merujuk kepada sambal sotong yang mana bahan asasnya adalah sotong didalam tin yang ada kuahnya. Terdapat beberapa produk sotong dalam tin dengan antara jenama yang penulis sering ujirasa adalah 'REX' dengan pelbagai jenis. Paling sering dimasak adalah saiz sotong yang besar dimana memang puashati menikmatinya. Bagaimana pun jika ingin membuat sambal sotong dari tin amat mudah menyediakan. Bahan diperlukan termasuk 1 tin sotong dalam tin (saiz besar, jenama REX), 1 biji bawang besar, hiris kasar, 2 senduk nasi penuh cili kisar, 1/2 camca besar pes asam jawa, garam dan guna secukup rasa. Bagi bahan kisar halus diperlukan 1 biji bawang besar, 3 biji bawang merah, 2 ulas bawang putih, 3 biji buah keras, hiris dan juga 1/2 inci belacan. Mulakan dengan memotong diasingkan isi sotong dari dalam tin dari kuah kicapnya. Kemudian sotong yang besar-besar ini mesti dipotong kiub atau saiz yang sesuai dengannya dan diketepikan. Panaskan minyak dalam kual untuk tujuan menumis bahan kisar halus hingga harum. Seterusnya dimasukkan bahan cili kisar dan ditumis sehingga cili garing dengan menggunakan api kecil sahaja dan sebaiknya sentiasa dikacau. Kemudian dimasukkan pes asam jawa, garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau rata dan tambah hirisan bawang besar. Masak sekejap barulah boleh dimasukkan sotong, gaul rata dan biar pekat. Angkat dan boleh dihidangkan untuk dinikmati. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasllam!!!...
SAMBAL SOTONG... PELBAGAI JENISNYA...
DIGEMARI RAMAI... IA SENANG DI SEDIA...
PENYEDAP MAKANAN...DENGAN APA SAJA...
WALAU AGAK MAHAL... TETAP ORANG SUKA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(20 Safar 1444H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.