Saturday, July 9, 2022

BAHASA KERBAU DAN PERTANIAN - APA KISAHNYA?

KERBAU
(Buffalo) merupakan sejenis haiwan yang sinonim dengan pertanian untuk diternak dan juga digunakan didalam kerja-kerja penyediaan tanah pertan serta pengangkutan.  Haiwan 
KERBAU (Bubalus bubalis) ialah binatang yang termasuk keluarga keluarga Bovidae yang 95% keujudannya adalah di Asia termasuk di Malaysia. Kerbau liar (Water buffalo) masih dapat ditemui di Malaysia ,Pakistan, India, Bangladesh, Nepal, Bhutan,Vietnam, China, Filipina, Taiwan, Indonesia dan Thailand. Kebanyakan pembaca blog mungkin akan membayangkan bahawa kerbau adalah binatang yang sukakan tempat berlumpur dan berair seperti kawasan sawah dan paya untuk mereka berkubang. Kerbau di Malaysia dan Indonesia serta negara jiran lain sejah zaman dahulu dimana ia ada digunakan didalam aktiviti membajak sawah padi atau menenggala tanah. Alat tenggala akan diikat pada badan kerbau yang menariknya dengan gagah. Bagaimana pun teknologi ini telah ditukar dengan penggunaan jentera bajak sawah yang lebih cekap, cepat dan hasil menyedia kawasan sawah dengan lebih baik. Bagaimana nasib kerbau selepas era membajak sawah amat terkesan apabila populasi kerbau di negara kita amat berkurang sekali. Daripada rujukkan saya dengan laporan statistik Kementerian Pertanian mendapati hanya sebanyak 2,468 ekor kerbau yang didaftarkan dengan Jabatan Veterinar Malaysia berbanding dengan di Indonesia yang angkanya jutaan ekor terutama di Kabupaten Toraraja. Sebahagian kerbau liar kini berkurangan dimana masa akan datang tidak akan ada lagi populasi kerbau liar yang dapat ditemui. Seekor kerbau jinak dewasa dapat memiliki berat sekitar 300 kg hingga 600 kg tetapi kerbau liar betina dapat mencapai berat hingga 800 kg dan kerbau liar jantan dapat mencapai berat hingga 1,200 kg. Berat purata kerbau jantan adalah 900 kg dengan tinggi purata di bahagian bahu kerbau ialah 1.7 m. Salah satu ciri yang membezakan kerbau liar dengan kerbau jinak adalah kerbau jinak memiliki perut yang bulat. Kerbau adalah dari jenis Bubalus bubalis dengan tiga subspesies iaitu Kerbau Sungai (B. bubalis bubalis) yang berasal dari Asia Selatan, Kerbau Rawa (B. bubalis carabanesis) yang berasal dari Asia Tenggara dan Kerbau Liar (B. bubalis arnee). Kini saya amat jarang dapat makan daging kerbau tidak seperti ketika bertugas di Melaka sekitar awal 1980'an dimana ketika menghadiri kenduri perkahwinan di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah dimana mereka sering hidangkan daging kerbau. Daging kerbau mempunyai tekstur hampir sama dengan daging lembu cuma berbeza dari segi warna daging, tahap kelembutan dan juga ira daging yang kasar sedikit. Saya ada banyak artikel mengenai kerbau antaranya seperti pautan ini (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ternakan haiwan kerbau dan 'Bahasa kerbau' serta kaitannya dengan sektor pertanian bagi dijadikan bahan bacaan dan rujukan anda semua.

Kini dengan perubahan permodenan sektor pertanian dilihat semakin kurang haiwan kerbau ini digunakan di sawah padi untuk membajak di Malaysia. Apa pun penulis blog masih teringat lagi  bagaimana haiwan kerbau ini pernah digunakan sebagai haiwan mengangkut tandan kelapa sawit yang di tuai sekitar awal tahun 1980'an di Pamol Estate, Kluang, Johor. Penulis blog menjalani program Latihan Industri (LI) di estet tersebut selama 6 bulan dan melihat bagaimana penggunaan kerbau masih menjadi pilihan terbaik ketika itu. Selain itu masih ingat lagi dimana setiap hari mengutip data di plot-plot ladang puluhan ribu ekar ini untuk mengetahui kehebatan kerja-kerja penyelidikan mengenai pengenalan Kumbang Pendebunga iaitu Elaidobius kameronicus yang baru dibawa masuk ke Malaysia. Saintis yang menjalankan kajian ini berjaya membuktikan dimana pendebungaan kelapa sawit sudah tidak memerlukan tenaga manusia seperti sebelumnya. Kerja mendebunga kelapa sawit memang perlukan ramai pekerja ladang (khususnya perempuan) untuk meyembur debunga kepada jambak bunga betina bagi membolehkan tandan buah terbentuk sebelum ini. Saintis terlibat kemudian telah pun dianugerahkan menerima Anugerah Saintis Negara pada tahun 1977 iaitu Datuk Leslie Davidson oleh Perdana Menteri Malaysia. Bagaimana pun terkini kebanyakan estet sudah menggunakan khidmat jentera pengangkut buah dan lori untuk menuai tandan sawit dan peralatan jentera pertanian yang lain sesuai untuk ladang sawit. Suara pekerja ladang yang dahulu pandai mengarahkan kerbau untuk berkerja sudah tidak kedengaran lagi.

Penulis blog merujuk kepada satu laporan dalam bharian.com untuk ditulis semula dan dikongsikan bertajuk '
Pertanian moden lenyapkan bahasa kerbau' dimana ia memang berkait dengan artikel ini. Persoalan timbul dimana percayakah semua pembaca blog ini bahawa kerbau adalah binatang yang memahami arahan lisan pengembala atau tuannya. Pada penulis blog yang dapat melihat sendiri jawapan persoalan ini memang tidak menjadi kehairanan.  Hasil dari penelitian dimana sesungguhnya ia adalah satu fakta dalam kegiatan persawahan tradisional tetapi bahasa kerbau kini hampir sudah tidak kedengaran lagi. Walaupun keberadaan haiwan kerbau ini memang ia tidak boleh bertutur tetapi setiap arahan lisan pesawah atau pengembalanya difahami serta dipatuhi. Suatu ketika dahulu kerbau dan sawah begitu sinonim malah ada yang beranggapan tanpa kerbau, sawah akan mati atau tidak dapat dikerjakan. Tugas utama kerbau dalam kegiatan persawahan termasuk menarik pembajak dan beberapa peralatan lain seperti penyisir dan tenggiling. Kerbau juga digunakan bagi menarik batang pisang untuk kerja-kerja membadai atau meratakan tapak semaian padi. Pastinya semua tugas itu tidak mampu dilaksanakan secara mudah dengan hanya bergantung kepada kudrat manusia. Apa pun sebenarnya ujud apa yang dikatakan dengan 'Bahasa kerbau' kerana ia sinonimnya ada kerbau di gunakan disawah dimana para pesawah menjadikan binatang itu sebagai rakan setugas dan mempelajari 'bahasa kerbau' sebagai kaedah terbaik untuk mereka berkomunikasi. Penulis yang sering melihat sendiri di ladang sawit dahulu dan juga membuat tinjauan di beberapa sawah padi mendapati dimana diantara sebutan bahasa kerbau yang sering digunakan ialah "Ha'ihh" bagi menyuruh kerbau berjalan ke hadapan sambil menarik bajak, penyisir, tenggiling dan yang lain. Ada kalanya untuk petani mengarahkan binatang itu membelok ke kanan disebut "paling chah" atau "chah nuu" dan jika disebut "paling sok" kerbau akan membelok ke kiri. Bagaimana pun banyak sebutan lain mengikut loghat, lokaliti dan jenis kerbau yang digunakan yang memang sudah dilatih sebelumnya. Bagi memberhentikan pergerakan kerbau selalunya pesawah akan menyebut "diam" dan dengan segera binatang itu berhenti. Uniknya jika pesawah mahu kerbau itu berjalan secara berundur  aka dia perlu menyebut perkataan "serot atau seghoot" dan haiwan itu akan berundur. Arahan dikeluarkan dengan menggunakan bahasa kerbau itu perlu kuat dan lantang supaya ia didengari dengan jelas oleh binatang peliharaan itu. Bagaimana pun dikalangan petani yang membawa ranting kayu bagi memukul bahagian punggung kerbau jika binatang itu bersikap degil dan enggan menurut arahan. Bahasa kerbau sebenarnya adalah 'ibarat kawalan gear' sama seperti memandu kereta. Bagi pesawah tradisional dikenali sebagai Dahaman Hamid (73 tahun) dari Kedah ada mendakwa bahasa kerbau ibarat kawalan gear bagi jentera pembajak. Walaupun bahasanya agak terbatas namun seperti jentera pembajak, arahan lisan itu lebih bertumpu kepada pergerakan hadapan, undur, membelok dan berhenti. Dia yang menetap di Yan, Kedah berkata dimana dahulu mempelajari bahasa kerbau daripada para pesawah lain dan tidak pun menghadapi sebarang masalah ketika mengendalikan binatang itu. Mungkin ada lagi sebutan lain tetapi tidak digunakan kerana biasanya kerbau hanya digunakan kudratnya untuk membajak dan bahasa arahan itu adalah memadai. Bahasa kerbau juga bukan sahaja digunakan oleh para pesawah di negara ini malah di Thailand.

Walaupun peranan kerbau begitu penting dalam kerja-kerja di sawah namun kini binatang perkasa itu hampir tidak kelihatan lagi ketika industri padi memasuki fasa pemodenan sejak berdekad lalu. Tugas penting kerbau dalam kegiatan pembajakan sejak sekian lama kini diambil alih oleh jentera pembajak menjadikan tugas pesawah semakin mudah (Sila lihat foto disebelah). Ada pelbagai jenis jentera kini digunakan di sawah padi daripada yang bersaiz kecil sehingga kepada trekter besar yang lebih cekap dan cepat membajak dan meratakan sawah. Peranan kerbau telah ketara direhatkan sepenuhnya di pinggir sawah dan binatang itu hanya menyaksikan jentera pembajak yang lebih pantas bergerak itu sambil meratah tanah. Penggunaan jentera pembajak memang satu proses permodenan sektor pertanian khususnya dikawasan sawah padi. Tinjauan yang dilakukan kepada pesawah Mohd Jan Mat Rani (59 tahun) yang besawah di Perlis mendapati dia pernah mengendalikan jentera pembajak ketika ia mula diperkenalkan lebih 40 tahun lalu. Ketika itu dia beritahu jentera pembajak beroda dua yang digunakan oleh pesawah di Perlis sering dikenali sebagai "kerbau buta". Jentera itu dinamakan demikian mungkin disebabkan kegiatan membajak begitu sinonim dengan ikon seakan kerbau. Mungkin juga kebanyakan jentera pembajak yang digunakan ketika itu berjenama "Kubota" lalu disebut sebagai 'Kerbau buta' walau pun ia sebenarnya satu jentera Jepun yang sangat popular sehingga sekarang.  Bagaimana pun kehadiran jentera besi itu menyebabkan bahasa kerbau semakin hilang sebagaimana lenyapnya kerbau akibat bermulanya era persawahan moden. Ketika kerbau tidak lagi diperlukan untuk kerja persawahan dimana kemudian  kebanyakan binatang itu dijual dan ada yang disembelih. Apa pun peranan kerbau telah dipinggirkan namun khidmat bakti binatang itu tetap terlakar dalam sejarah persawahan secara tradisional.

Dilaporkan juga dimana peranan kerbau ada digunakan sebagai tujuan 'Penarik anok'. Selain kegiatan pembajakan dimana kerbau juga berperanan dalam tugas-tugas lain termasuk menjadi penarik anok iaitu sejenis alat yang digunakan bagi mengangkut padi dan barangan lain. Biasanya anok tidak mempunyai roda tetapi yang mempunyai roda lebih dikenali sebagai kereta kerbau kerana ia juga ditarik oleh binatang itu.  Kereta kerbau bukan sahaja membawa penumpang tetapi juga membawa barangan. Kudrat kerbau juga digunakan bagi kegiatan memerah tebu menggunakan mesin yang diperbuat daripada kayu. Kerbau akan menarik pemegang alat pemerah tebu dengan berjalan mengelilingi alat berkenaan sehingga himpunan tebu itu dapat diperah. Suatu ketika dahulu memang ada kegiatan menunggang kerbau juga adalah perkara biasa di kawasan kampung kerana binatang itu lasak dan tidak memerlukan laluan yang sempurna untuk bergerak.  Bagaimanapun penunggang kerbau perlu terlatih mengimbangi badannya supaya tidak tergelincir dan jatuh ketika kerbau bergerak terutama ketika melalui kawasan parit. Pesta popular 'Laga kerbau' juga pernah menjadi pesta yang amat hebat. Ini kerana pada zaman silam kerbau pernah digunakan bagi tujuan hiburan termasuk kegiatan laga kerbau selepas musim menuai. Acara laga kerbau berlangsung di gelanggang khas yang diwujudkan di kawasan kampung dan ia bagaikan pesta apabila orang ramai berkumpul bagi menyaksikan kerbau yang bakal menjadi juara (Sila lihat foto disebelah). Kisah dari Negeri Perlis dimana acara laga kerbau turut diiringi dengan persembahan Gendang Perlis yang dimainkan di atas tempat khas di atas pokok di pinggir gelanggang. Persembahan Gendang Perlis biasanya membabitkan dua gendang tanpa serunai dan dimainkan secara berterusan hingga acara laga kerbau berakhir.  Sesungguhnya kerbau berperanan luas dalam masyarakat suatu ketika dahulu namun kehebatan silamnya kian dilupakan. Yang pasti peranan kerbau tetap terukir dalam lakaran sejarah pertanian tradisional walaupun kelibatnya jarang kelihatan. Semuga tulisn dalam artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
HAIWAN KERBAU.... BESAR PERANAN...
MEMBAJAK SAWAH..BAHASA DIGUNAKAN...
BAHASA KERBAU... TIDAK KEDENGARAN...
ARTIKEL DITULIS... MAKLUMAT DIBERIKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandaraya Melaka Bersejarah,
Melaka, Malaysia.
(9 Zulhijjah 1443H).
Selamat Berpuasa Sunat Arafah!!!.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.