Tuesday, December 14, 2021

PISANG CAVENDISH - TEKNOLOGI TANAM

PISANG CAVENDISH
(Musa accuminata Cavendish) atau kultivar cavendish telah diusahakan secara komersil dimana kebanyakan hasilnya dieksport. Jenama dagangan seperti Dole, Gros Michel, Grand Naine, Derby dan lain-lain terkenal di Filipina atau Australia. Di Malaysia pula ada beberapa jenama seperti Montel, Cornel, Cabana atau Sun King Banana dan Mr Banana juga merupakan kultivar pisang cavendish. Berat setandan pisang cavendish ialah 25 - 40 kg dimana ia mempunyai 15 - 25 sisir bagi setiap tandan. Jejari berukuran di antara 15 - 22 sm panjang dan garis pusat 3.5 - 4.0 sm. Kulit buah adalah tebal dan mudah tanggal dari sisirnya. Ianya berwarna kuning apabila dibuat rawatan pemasakan pada suhu rendah. Isinya berwarna putih pekat, bertekstur halus dan lembut, berbau wangi dan manis rasanya. Tanaman pisang (Musa spp.) tergolong di dalam keluarga Musaceae. Terdapat dua kumpulan utama bagi pisang iaitu Musa accuminata (AA) dan Musa balbisiana (BB). Kultivar kedua-dua kumpulan pisang ini terdiri dari genotype diploid. Walau bagai mana pun kultiva yang ditanam adalah jenis triploid atau tetraploid. Namun secara amnya kebanyakan pisang yang sesuai dimakan terletak dibawah jenis Musa sapientum yang mengandungi lebih gen A (contohnya AAB). Manakala bagi pisang yang sesuai diproses terletak dibawah jenis Musa paradisiaca (plaintain) yang kebanyakannya mengandungi gen B (contoh ABB). Di Malaysia, kultivar seperti Pisang Mas, Berangan, Cavendish dan Rastali ditanam kebanyakannya adalah untuk dimakan segar. Kultivar seperti pisang Nangka, Raja, Lang, Relong, Tanduk, Nipah dan Pisang Awak pula ditanam kerana ia sesuai untuk dimasak atau diproses sebagai makanan ringan. Pada masa sekarang kebanyakkan jenis kultivar pisang Berangan, Cavendish dan Mas ditanam secara komersil untuk dieksport. Manakala bagi jenis Pisang Raja, Pisang Rastali dan Pisang Nangka juga mempunyai nilai komersil untuk permintaan pasaran tempatan. Kebanyakan tanaman pisang didapati ditanam secara komersil di negeri Johor, Perak, Kelantan, Pahang, Kedah dan Selangor. Pada tahun 2020 junlah keluasan tanaman semua varieti pisang di Malaysia adalah seluas 26,274 hektar dengan pengeluaran sebanyak 370,060 metrik tan (Sumber: Booklet Maklumat Keluasan Tanaman Makanan di Malaysia, Jabatan Pertanian Malaysia 2020). Keluasan tanaman pisang cavendish tidak direkodkan secara khusus oleh Jabatan Pertanian. Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai ringkasan teknologi tanaman pisang cavendish untuk dijadikan bahan rujukan pembaca semua.

Dua jenis kultivar atau varieti pisang lain yang sangat popular di Malaysia adalah Pisang Rastali dan Pisang Nipah. Kultivar Pisang Rastali sangat digemari sebagai pisang sajian segar. Berat setandan ialah di antara 10 - 18 kg dengan 5 - 9 sisir setiap tandan. Setiap sisir mempunyai 12 - 16 jejari. Panjang jejari 10 - 15 sm dan 3 - 4 sm garis pusat. Kulit buah sangat nipis tetapi mudah dikupas, berwarna kuning terang setelah masak. Isi buah lembut dan berwarna putih, rasanya manis dengan sedikit rasa masam dan kelat jika belum masak sepenuhnya. Pisang Nipah hanya sesuai untuk digoreng. Berat setandan ialah antara 15 - 28 kg dengan 12 - 18 sisir dan setiap sisir terdapat 12 - 20 jejari. Panjang jejari di antara 10 - 15 sm dan bergaris pusat 3 - 5 sm. Jejari bersegi, pendek dan padat. Kulit buah tebal dan berwarna kuning setelah masak. Isi berwarna krim putih, bertekstur halus dan manis rasanya setelah digoreng. Pisang nipah juga disebut pisang kapok di Malaysia. Pisang cavendish kebanyakannya adalah untuk makan segar. Bagaimana pun lazimnya buah pisang masak boleh dimakan segar atau diproses menjadi berbagai-bagai produk seperti kerepek, hirisan dalam sirap atau buah koktel, pisang kering atau salai, makanan bayi, kerepek, keropok, jem, jeli, serbuk, minuman dan juga cuka. Pemprosesan buah pisang di peringkat matang terhad kepada pengeluaran produk kerepek dan tepung pisang. Isi pisang mengandungi komposisi air, karbohidrat dan sedikit sekali kandungan protein dan Iemak. Sebanyak 70 % adalah air dan selebihnya bahan pepejal. Pisang merupakan sumber vitamin A, B1, B2 dan C. Nilai kalori yang terdapat dalam isi pisang adalah sebanyak 1 kalori bagi setiap gram isi pisang.

Penanaman cavendish di ladang sesuai dilakukan pada musim hujan supaya peratus kematian dapat dikurangkan. Bagaimana pun jika dipasang dengan sistem pengairan maka ia boleh ditanam mengikut kesesuaian iklim dan jadual pemasaran. Lubang-Iubang berukuran 30 sm x 30 sm x 30 sm digali dan diisi dengan campuran 100 gm baja fosfat (CIRP), 100 gm kapur (Ground Magnesium Lime, GML), 100 gm baja NPK 8:8:8, 25 gm carbofuran dan 5 kg baja organik seperti reputan tahi ayam, sebelum benih pisang ditanam. Terdapat beberapa cara sistem pisang iaitu Sistem Penanaman Tunggal dan Sistem Tanaman Berselingan. Penanaman pisang cavendish yang biasa diusahakan ialah tanaman secara tunggal (satu generasi -1G) dan tanaman selingan (dua generasi - 2G) ) dengan tanaman kekal digunakan sebagai pokok Iindungan. Sistem Tanaman Tunggal dimana ia diusahakan untuk pengeluaran pisang secara komersil dan untuk mendapatkan bekalan yang berpanjangan. Jarak tanaman ialah 2.5 m x 2.5 m dengan kepadatan mencapai 1,600 pokok sehektar. Jarak tanaman adalah bergantung kepada jenis dan juga sistem tanaman. Kultivar pisang cavendish, berangan dan pisang mas biasanya ditanam sebagai tanaman tunggal secara besar-besaran untuk pasaran eksport. Kultivar pisang lang, nipah dan awak ditanam secara tunggal untuk diproses memenuhi pasaran tempatan. Pada amnya pelbagai jarak tanaman ditentukan mengikut status kesuburan tanah atau kemudahan operasi di ladang. Kepadatan tanaman boleh ditingkatkan di tanah yang subur. Dalam sistem tanaman pisang secara tunggal, adalah disyorkan pisang ditanam dengan kaedah sistem tanaman berbatang tunggal atau single stem kerana sistem ini sesuai bagi pengusaha pisang yang mementingkan berat tandan dan kualiti buah khususnya untuk eksport.

Dalam sistem berbatang tunggal ini, hanya pokok induk dibiar tumbuh dari mula hingga peringkat berbuah (satu generasi sahaja-1G). Anak-anak sulur yang tumbuh dibuang semuanya bermula pada 3 - 4 bulan selepas menanam dan diulangi membuangnya setiap 6 - 8 minggu sekali sehingga permulaan musim menuai. Apabila 60 % keluasan kawasan telah dituai, pemangkasan menyeluruh dilakukan untuk memilih satu anak sulur sahaja pada setiap rumpun untuk dijadikan ratun dan yang selebihnya dibuang. Pemilihan pokok ratun ini adalah berdasarkan kepada ketinggian sulur iaitu hendaklah bersaiz 70 - 100 cm dan tumbuh pada umbisi utama. Tanaman Selingan boleh dibuat melalui kaedah dimana benih pisang ditanam bersama tanaman kekal, seperti getah, kelapa sawit, koko dan durian sebagai tanaman selingan sebelum pengeluaran hasil daripada tanaman utama. Jika jarak barisan tanaman utama lebih daripada 7.5 m maka pengesyoran bagi 2 baris tanaman selingan (pisang) dengan jarak 2.5 m x 2.5 m boleh dilakukan. Walau bagaimanapun sekiranya jarak tanaman utama adalah 6 meter maka hanya satu baris tanaman selingan sesuai dilakukan. Sekiranya cara penanaman menggunakan 2 baris tanaman selingan maka sebanyak 1,066 pokok/ha dapat ditanam dan sekiranya menggunakan 1 baris tanaman, sebanyak 533 pokok/ha dapat ditanam. Sementara itu sistem yang sesuai bagi tanaman selingan adalah dengan menggunakan kaedah sistem berbatang dua (dua generasi sahaja - 2G). Sistem ini bermaksud pada setiap masa serumpun pisang mempunyai dua batang pokok iaitu pokok yang akan berbuah dan anak sulur. Dalam sistem ini sulur yang dipilih adalah ketika pokok induk mula mengeluarkan bunga iaitu 8 bulan selepas tanam bagi pisang berangan dan 6 - 7 bulan bagi pisang mas.

Penghasilan Buah Pisang Cavendish sama dengan pisang lain dimana ia selalunya hasil pisang bergantung kepada pemilihan kawasan, kultivar, pengurusan di ladang sehinggalah pembungkusan siap dibuat. Faktor cuaca yang sesuai dan tanah yang subur juga menyumbang kepada pengeluaran yang menguntungkan. Anggaran hasil bagi pisang cavendish yang ditanam dengan jarak tanaman, 2.5 x 2.5 akan memberikan kepadatan tanaman sebanyak 1,600 pokok sehektar, Potensi hasil yang dipetik bagi pisang cavendish dari pokok induk sekitar 40 kg sepokok, dan hasil bagi tanaman Ratun 1 sebanyak 32 kg sepokok dan bagi hasil Ratun 2 sekitar 25 kg sepokok menjadikan potensi jumlah hasil adalah sebanyak 122 kg sepokok atau jika dikira dengan keluasan sebanyak 195 metrik tan sehektar.  Penuaian bagi pisang cavensish perlu dilakukan dengan teliti supaya kerosakan fizikal tidak berlaku bagi mengekalkan mutu buah dan juga mengelakkan kerugian. Penuaian dilakukan pada waktu pagi atau petang bagi mengelak daripada suhu panas matahari kerana suhu yang tinggi akan mengganggu kemasakan buah nanti. Penebangan batang pisang perlu dilakukan dengan cekap supaya tandan pisang tidak terjatuh ke tanah setelah dilentur ke bawah dengan separuh cantasan batang. Tandan pisang, setelah dipotong dari batang, perlu dijaga supaya tidak boleh jatuh terhempap ke tanah bagi mengelakkan berlaku kecederaan buah. Tandan-tandan pisang yang telah dituai hendaklah diletakkan di tempat yang beralas dengan bahan lembut seperti daun-daun pisang atau span bagi menghalang pergeseran atau pergerakan buah supaya tiada kecederaan pada kulit buah. Proses seterusnya adalah pengendalian lepas tuai pisang cavendish di pusat pengumpulan dan dipasarkan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
PISANG CAVENDISH.. POPULAR DIA...
ADA DITANAM SEDIKIT.. DI MALAYSIA...
BUAHNYA ENAK... MAHAL HARGANYA...
MEMBACA ARTIKEL... MINAT BERMULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
FGV Guest House, Kilang Gula Perlis,
Chuping, Perlis,
Malaysia.
(19 Rabiulakhir 1433H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.