Monday, December 13, 2021

IKAN HARUAN DAN FAKTA MENARIK

FAKTA TENTANG IKAN HARUAN
(Channa striatus) kini semakin diketahui umum sebagai ikan baik untuk proses penyembuhan luka selepas pembedahan. Ikan ini merupakan sejenis ikan air tawar atau spesis ikan yang suka menyendiri dimana ia sering memilih kawasan habitat berpaya, parit atau sawah padi sebagai perumah. Ikan ini juga amat mudah dikesan terutama di kawasan semak yang berair cetek dimana kita boleh menangkapnya dengan memancing, menjala, menjaring atau cara lain. Ikan haruan adalah jenis pemangsa (carnivor) yang memakan haiwan lain seperti anak-anak ikan, katak, serangga dan sebagainya. Ia selalunya mampu bersembunyi dikawasan lubuknya tanpa di ketahui oleh mangsanya dan bergerak pantas menangkap mangsa untuk makan. Walau pun ramai berkata yang ikan ini hanya popular bagi kaum Cina dahulu, tetapi kini ia telah dikenalpasti amat sesuai digunakan khususnya dalam bidang perubatan. Popularitinya meningkat naik berikutan hasil penyelidikan saintis yang mendapati dagingnya mengandungi sejenis Asid dikenali sebagai Asid arachidonis yang dikatakan mampu menyembuhkan luka dalaman dengan cepat. Khasiatnya juga berkait dimana ia amat kaya dengan kandungan protein serta asid amino yang diperlukan untuk pertumbuhan badan. Artikel malam ini saya menulis satu lagi cetusan minda didalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa fakta menarik dilaporkan media tempatan dan dalam social media (sosmed) yang dirujuk sebagai bahan rujukkan pembaca semua. 

Memang ada banyak petua tradisi yang menyarankan dimana bagi ibu selepas bersalin mengamalkan makan ikan haruan. Berbanding ikan lain yang kerap menjadi pilihan untuk sajian sepanjang tempoh berpantang dimana ikan haruan dipercayai mempunyai reputasi besar dalam membantu menyembuhkan luka dalaman serta luaran. Ikan haruan ini dihidangkan dalam pelbagai cara tetapi yang paling popular ada dijadikan sup haruan, haruan kukus atau digoreng sahaja (Sila lihat foto disebelah). Penulis blog telah mendengar dimana sejak turun-temurun masyarakat tempatan amalkan bagi keluarga yang menjalani pembedahan atau kecederaan serius digalakkan menikmati sup haruan. Walaupun banyak produk pati haruan di pasaran, namun sup segar ikan haruan tetap diyakini lebih baik untuk memulihkan selera makan pesakit dan ini sekali gus mengembalikan kesihatan tubuh. Akhbar Harian Metro melaporkan dimana menurut pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Jeffrey Cheah, Universiti Monash, Dr Ahmad Faroukh Musa, dalam kajiannya membuktikan spesies ikan paling menyerlah khasiatnya adalah Channa striatus atau lebih dikenali sebagai haruan di Asia. Beliau berkata, hasil pemantauan prestasi dan kadar penyembuhan pesakit yang diberi pil pati haruan berbanding plasebo, cukup menakjubkan. Kajian mendapati dimana jika diperhatikan, memang banyak kisah, nasihat, teladan dan petua orang dulu-dulu yang boleh dicontohi masyarakat hari ini berikutan membawa manfaat besar kepada kesihatan. Contohnya terdapat petua yang menyuruh masyarakat agar makan sebiji epal sehari untuk kekal sihat. Umum tahu bahawa buah segar memang kaya dengan vitamin C yang melawan selsema dan meningkatkan imuniti tubuh terhadap penyakit. Jadi, memakan sebiji epal sehari adalah nasihat yang masuk akal. Ada juga nasihat yang menyuruh supaya kanak-kanak makan ikan bertujuan untuk (meningkatkan kecerdasan) otak. Biarpun nasihat ini sering kedengaran seperti satu dakwaan besar, namun diet yang cenderung kepada ikan memang menunjukkan perbezaan hasil ketara. Ia bukan saja baik untuk kanak-kanak, malah bagus bagi pesakit yang baru menjalani pembedahan jantung.  

Dilaporkan dimana jenis ikan haruan  walaupun tanpa bukti kajian namun ia memang sudah lama diketahui untuk membantu pesakit mencapai tahap kesembuhan luka yang lebih baik dan cepat. Pihak saintis mula menjalankan kajian saintifik mengenai penyembuhan luka selepas pembedahan pintasan graft arteri koronari. Kajian rawak yang terkawal itu membabitkan pemantauan prestasi dan kadar penyembuhan pesakit yang diberi pil ekstrak haruan berbanding plasebo. Saintis mendapati dimana hasilnya menakjubkan dan ternyata petua turun-temurun ada benarnya. Ekstrak haruan ketara mempercepat proses penyembuhan luka. Ia mempunyai kesan antinosiceptif yang membantu mengurangkan rasa sakit. Dari sudut lain, pesakit yang lebih selesa dan kurang tertekan akan pulih lebih cepat,” katanya. Menurut Dr Ahmad dimana ekstrak daripada haruan sememangnya mempunyai kandungan khasiat tertentu yang membantu penyembuhan luka. Channa striatus mengandungi glisin, asid amino penting yang diperlukan untuk kesihatan tubuh. Ia juga mempunyai asid arakidonit dan asid lemak tak tepu pada tahap tinggi yang menghasilkan kesan antiradang serta menggalakkan sintesis prostaglandin, penting dalam membantu badan menangani kerosakan atau jangkitan tisu. Apa yang paling menarik, ia juga menggalakkan pembentukan semula kolagen melalui sintesis sambung-silang inter dan intramolekul protein. Ini menghasilkan peningkatan ketara dalam kekuatan tegangan yang menyegerakan penyembuhan luka. Ekstrak haruan mungkin mempunyai aplikasi lain di luar penggunaannya untuk pembedahan. Secara teori, ia dapat membantu penyembuhan pelbagai jenis luka kulit. Kaedah terbaik untuk mendapatkan khasiat pemakanan terbaik daripada haruan adalah dengan menyediakan sup panas atau bubur. Adakalanya haruan digoreng, namun lebih kerap disediakan sebagai sup. Selain kadar pemulihan yang lebih cepat selepas pembedahan, ekstrak haruan juga menawarkan kelebihan lain dari segi sumber dan manfaat kepada ekonomi secara keseluruhan. Pengurangan jangkitan luka bermakna anda juga dapat mengurangkan perbelanjaan perubatan.

Memang seronok apabila berjaya untuk menangkap haruan dalam '
Pesta menggagau haruan' seperti dilaporkan Berita Harian (BH) dari Merchong, Pekan, Pahang. Aktiviti musim cuti sekolah ini telah digunakan dengan baik oleh kanak-kanak diman dalam kawasan bendang luas mereka mencari banyak lopak air yang menjadi tempat ikan bersembunyi. BH melaporkan dimana gelagat beberapa kanak-kanak berkubang dalam lopak berair cetek penuh dengan kubang di parit tepi sawah di Kampung Tepung, Merchong, Pekan, Pahang menarik perhatian wartawan untuk melihat lebih dekat. Penulis blog yang juga pernah kelokasi berkenaan semasa bertugas di Pahang memang suka dengan kampung yang damai ini. Dilaporkan BH dimana wajah keriangan mereka sangat jelas. Sambil tersenyum lebar, mereka menunjukkan beberapa ekor ikan yang berjaya ditangkap (Sila lihat foto disebelah). Apa pun yang penting kanak-kanak ini kena berani untuk mereka berkubang dalam lumpur untuk menangkap ikan. Mereka memedap dan menggagau pergerakan ikan yang mana telah terperangkap di bawahnya, kata Muhammad Hassan Ali kepada penulis sebaik mendekatinya. Mereka dilaporkan memang cukup berani menggagau sambil memedap ikan yang banyak terperangkap dan bersembunyi dimana ikan banyak bersembunyi di bawah rumput. Mereka beritahu agar jangan risau kerana lubuk disini dilaporkan tidak ada ular atau lintah. Hanya ikan sahaja yang ada di bawah rumput. Kalau bernasib baik boleh dapat dua hingga tiga kilogram ikan dalam dalam tempoh antara dua atau empat jam menggagau. Paling banyak diperoleh adalah ikan haruan, puyu, sepat dan keli.
Dilaporkan ikan ini akan suka bersembunyi dalam lopak. Kanak-kanak Mohamad Hasan dan adeknya Muhammad Hamzah berumur 8 tahun juga ikut ke kawasan lubuk dibendang luas mempunyai banyak lopak air yang menjadi tempat ikan bersembunyi. Ramai terlepas pandang dan ada yang tidak pernah sampai ke kawasan berkenaan. Setiap hujung minggu dan cuti sekolah mereka dan kawan-kawannya akan berkubang sambil menangkap ikan. Haruan liar jadi buruan. Permintaan untuk ikan ini juga agak tinggi. Harganya pula lumayan iaitu RM20 sekilogram. Biasnaya ikan haruan liar ini memang sedap. Warna dagingnya yang putih bersih, cukup sedap kalau digoreng kunyit atau berlada. Selain itu, ia juga boleh dimasak lemak kuning cili padi bersama daun kesum untuk membangkitkan aromanya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
IKAN HARUAN... MAHAL HARGANYA...
SUKAR DICARI... DISAWAH SELALU ADA...
DI BUAT SUP... BOLEH SEMBUKAN LUKA...
PRODUK DIPASARAN... PUN BOLEH GUNA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(6 Safar 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.