Saturday, December 18, 2021

GULAI BIJI GETAH - UNIKNYA!

BIJI GETAH
(Rubber seeds) merupakan biji yang dihasilkan dari pokok getah (Hevea brazilliensis) yang matang. Biji getah ini berbentuk bulat dan lonjong. Warnanya bergantung kepada baka pokok getah itu ada yang berwarna coklat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan putih (Sila lihat foto diatas). Pada penulis blog mengenali biji getah ini semenjak kanak-kanak lagi kerana disekeliling rumah di kampong memang ditanam dengan pokok getah dan memang bertabur biji getah jatuh dari pokok tua di musim tertentu. Mendengar letupan cengkerang buah getah dari atas pokok dan kemudian bijinya akan jatuh ketanah biasa didengar. Saiz biji getah ini juga mengikut baka pokok tersebut ada yang kecil dan ada yang besar dan kebiasaanya dalam saiz atau ukuran sekitar 2.0 cm hingga 3.5 cm sahaja. Kulit di bahagian permukaannya adalah keras, licin dan nipis dan mempunyai tertulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya bewarna putih dan ia lembut serta kenyal. Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi jika sudah cukup matang dan biji getah yang gugur ke tanah dimana ia boleh mengeluarkan tunas dan boleh menjadi baka anak pokok getah yang baru. Pada pemullis blog dan rakan-rakan sekampong memang sering kumpulkan biji getah ini untuk dijadikan pelbagai jenis permainan. Antara jenis permainan kanak-kanak semasa dahulu yang popular untuk bermain laga buah getah dan permainan congkak. Dalam pada itu antara kgunaan lain adalah dijadikan prodduk makanan yang berasaskan biji getah. Dizaman pendudukan Jepun di Malaysia dilaporkan biji getah dijadikan makanan utama bersama ubi-ubian dan dijadikan tempe. Selain itu biji getah juga digunakan sebagai makanan dengan diperam atau dikenali sebagai 'Asam Rong' yang popular di Pahang seperti di Jerantut, Raub, Kuala Lipis sehingga sekarang. Apa pun dilaporkan biji getah juga mempunyai harga dipasaran terutama untuk industri dipusat-pusat semaian untuk dibiak dan dicantumkan dengan mata tunas daripada baka klon-klon yang bermutu tinggi sebelum dijual kepada para pekebun. Penyelidikan biakbaka klon getah selalunya menggunakan biji getah sehingga memberikan klon hetag terbaik. Biji getah juga kini berpotensi digunakan bagi menghasilkan minyak diesel untuk kenderaan. Artikel malam Jumaat ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengeni keunikan biji getah yang dibuat gulai biji getah dan pelbagai kegunaan lain untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Merujuk kepada portal berita hmetro.com bertajuk 'Gulai Biji Getah' memang agak menarik untuk ditulis semula dan untuk di kongsikan. 
Ramai tidak tahu bahawa pokok getah atau nama saintifiknya Hevea brasiliensis sama juga dengan pokok kelapa kerana pelbagai kegunaan boleh dimanfaatkan. Selain susu getah yang menjadi sumber ekonomi penoreh getah dilaporkan batang getah juga turut digunakan dalam industri perabot dan sering dijadikan kayu api. Daunnya pula digunakan untuk membalut tapai selain menjadi kraf tangan unik. Namun ramai yang tidak tahu bahaw, biji getah juga boleh menjadi menu masakan istimewa jika tahu caranya. Namun ia boleh memabukkan jika dimakan begitu sahaja tanpa melalui proses tertentu. Bagi penduduk di Pahang khusus di daerah Jerantut dimana resepi masakan tempatan berasaskan biji getah begitu popular dan memang sungguh menyelerakan apatah lagi dicampur dengan ikan sungai. Dikenali dengan Gulai Asam Rong mungkin satu nama asing bagi pembaca yang berada dari luar Pahang akan tetapi bagi penduduk di Pahang Barat pula ia antara satu menu wajib dinikmati jika berkunjung ke Jerantut. Penulis blog yang bertugas sebagai Pengarah Pertanian pahang berkesempatan ujirasa makanan ini semasa membuat tinjauan di Jerantut pada tahun 2016. Pada penulis blog antara keunikan gulai asam rong kerana bahan masakannya berasaskan biji getah yang sudah ditumbuk halus lalu diperam hingga bertukar warna dari putih kepada coklat kehitaman. Adalah lebih enak ia dimasak bersama ikan kenerak iaitu spesies ikan sungai yang berkulit tebal dan badan bertompok selain turut dikenali sebagai ikan komando. Pada masa dahulu asam rong adalah diperbuat dari buah perah berbentuk sama dengan biji getah tetapi lebih lonjong yang banyak terdapat dalam hutan. Tetapi, disebabkan kesukaran untuk mendapatkan buah perah, biji getah menjadi pilihan. Asam rong sama ada dari buah perah atau biji getah boleh disimpan berbulan-bulan hingga bertahun lamanya dalam bekas kedap udara. Ramai yang tertanya, dari mana asal nama asam rong kerana biji getah tidaklah masam seperti belimbing atau gelugor. Menurut cerita, asam 'rong' ini berasal daripada perkataan isirong iaitu merujuk kepada bahagian isi dalam buah dan perkataan asam itu digunakan kerana kaedah penyimpanan serta pembuatan asam rong yang sama dengan asam lain. Asam rong ini dikatakan berasal dari penduduk dari sekitar perkampungan mukim Ulu Tembeling hingga ke Kuala Tembeling. Salah seorang yang terkenal dengan masakan gulai asam rong di Jerantut ialah, Zaharah Sohar (61 tahun) atau lebih dikenali sebagai Mak Anjang bagi penduduk tempatan (Sila lihat foto disebelah).

Menurut 
Zaharah gulai asam rong ini jika dimasak dengan ikan lain tidak berapa sedap kerana ia mudah hancur berbanding ikan kenerak yang isinya lebih pejal. Dia yang berpengalaman berpuloh tahun menyediakan kuliner gulai biji getah menyatakan dimana penyediaan gulai asam rong pula sedikit rumit dan memakan masa kerana jika ia tidak dimasak dengan betul ia boleh menyebabkan sakit perut. Selain itu diantara keunikan gulai asam rong ini ialah bahan tambahannya terdiri daripada campuran cili padi dan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti pucuk paku, terung manggur, terung telunjuk, keladi, bunga kantan, daun kesum, kacang botor, jering, petai, dan keledek. Paling istimewa ialah kepedasannya kerana ia memang bukan pedas yang biasa biasa tetapi pedas sangat menyengat. Kalangan peminat lazimnya jika tidak pedas maka ia memang tidak 'ngam'. Apabila memakannya ada mereka dan sesetengah orang hingga keluar air mata, berpeluh satu badan, basah kuyup kepalanya kerana menahan pedas, tetapi mereka terus teruja menikmati masakan tradisional itu. Bagi menambah selera apabila menikmati gulai asam rong iaitu bersama nasi putih panas ia perlu dimakan bersama ulam-ulaman yang dicicah bersama sambal tempoyak. Rakannya iaitu Pn Naimah Mat Addin (55 tahun) pula yang berasal dari Kuala Tembeling cara memasak asam rong mengambil masa yang agak lama berbanding gulai masam tempoyak. Asam rong yang ditumbuk bersama kunyit dan cili padi perlu dimasak dahulu hingga mendidih dengan api sederhana sebelum dimasukkan ikan dan dikacau hingga rata. Apabila ikan masak kemudian dimasukkan sayur seperti pucuk paku, keledek, terung pipit, terung telunjuk, keladi dan kacang botol dan jering semai serta garam secukupnya. Resepi untuk menyediakan kuliner ini memang tiada rahsia khusus memasak gulai asam rong ini. Baginya apa yang paling penting asam rong mestilah sudah lama diperam dan cili padi mesti banyak. Seorang peminat resepi ini dari generasi baru bernama Norfatihah Mohd Sabirin (21 tahun) mengakui cukup berminat mempelajari masakan gulai asam rong dari orang orang lama kerana ia begitu unik dan tidak terdapat di tempat lain. Dakwanya jika masakan gulai asam tempoyak boleh dipelajari dengan mudah dan senang didapati di mana mana tetapi memasak gulai asam rong memerlukan kepakaran serta pengalaman kerana jika tidak betul dan rasanya tidak begitu menyelerakan.

Akhbar Berita Harian pula dengan tajuk '
Biji getah jadi rebutan penduduk kampung' juga berkait dengan artikel ini. Bagi penduduk Kampung Bantal, Ulu Tembeling bernama Hadi Mat Shah yang menjemur biji getah yang telah dibuang kulit sebelum dijadikan asam rong satu masakan tradisional Gulai Biji Getah menarik dikongsikan (Sila anda lihat foto disebelah). Berita dai Jerantut ini nyatakan kalau di sesetengah negeri dimana biji getah yang gugur mungkin tidak dipedulikan atau dianggap tidak boleh digunakan, namun berbeza bagi penduduk di Kampung Bantal, dekat Ulu Tembeling, Pahang ini. Kebanyakan penduduk menjadikan biji getah antara sumber pendapatan sampingan yang lumayan kerana boleh digunakan dalam masakan tradisional terkenal Pahang iaitu Gulai Asam Rong. Dia selalunya akan mengutip biji getah adalah antara aktiviti sampingan selepas menoreh. Biji getah itu diproses untuk dijadikan asam rong yang juga bahan penting untuk memasak gulai asam rong yang terkenal di daerah Jerantut. Biji getah yang dikutip itu dibasuh sebelum kita pecahkan kulitnya. Kemudian kita ambil isinya yang berwarna putih dan dijemur antara lima hingga enam hari. Isi getah itu kemudian ditumbuk hingga hancur, dan selepas itu diramas bagi mengeluarkan minyak biji getah. Kalau minyak tidak dikeluarkan asam rong akan kurang sedap dan berbau tengik bila simpan lama, tetapi jika betul-betul kering ia boleh tahan lama, mungkin boleh sampai bertahun kalau disimpan dalam bekas kedap udara. Asam rong yang siap diproses boleh dijual pada harga antara RM30 - RM35 sekilogram. Asam rong sangat sedap dimasak bersama ikan sungai, khususnya ikan kenerak, toman, patinatau siput sedut. Untuk menjadikan masakan gulai asam rong lebih sedap, kita boleh campur pucuk paku, pucuk labu, terung pipit, keladi, dan ubi keledek. Selain gulai, asam rong boleh dibuat sambal rong bakar dengan cara ditampal pada tudung periuk dan dibakar menggunakan api yang kecil sehingga garing. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
BIJI GETAH... JARANG DI GUNAKAN...
DIBUAT GULAI ... BAGAIMANA RASA...
DI PAHANG BARAT... POPULAR DIA...
SIAPA SUKA... BOLEH MENCUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(13 Jamadilawal 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.