Sunday, November 7, 2021

SPESIS IKAN DILARANG IMPORT KE MALAYSIA

JABATAN PERIKANAN MALAYSIA
mewartakan Peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi Ikan) 1990 bagi mengawal kemasukan spesies ikan eksotik dari luar. Kalau pada peringkat awalnya peraturan ini menyenaraikan sebanyak tujuh genus yang dilarang import kemudian meminda pada 2011 dengan memasukkan sembilan lagi genus dan spesies dalam senarai sedia ada untuk menjadikan jumlah kesemuanya 14 genus dan dua spesies ikan dan terkini ada 34 jenis. Larangan yang dimaksudkan dalam peraturan berkenaan adalah larangan bagi mengimport, menjual, memelihara atau menyimpan genus ikan hidup seperti diperuntukkan dalam senarai di bawah kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. Larangan import ini dibuat selepas menimbang beberapa faktor seperti tahap ancaman kepada ekosistem, habitat dan spesies tempatan selain risiko penyakit yang dibawa oleh spesies ikan yang mudah dijangkiti dan spesies ikan vektor penyakit. Senarai genus dan spesies ikan dilarang untuk diimport adalah Serrasalmus/ Serrasalmo/ Pygocentrus /Catoprian, Pygopristis, Colosomma/ Piaractus, Mylossoma,  Mylopus/ Myleus, Pristobrycon dan jenis Myletes. Dilaporkan dimana ikan antara salah satu sumber makanan yang cukup popular bukan sahaja di Malaysia akan tetapi di banyak negara lain juga. Biasanya hanya spesis ikan tertentu juga sering dijadikan haiwan peliharaan bagi pencinta haiwan. Apa pun penulis blog dapati dimana rasanya ramai yang tidak tahu ada beberapa jenis ikan tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia. Disebabkan perdagangan ikan hidup di dunia kini semakin meningkat maka Malaysia kini telah mengemas kini senarai spesies dan jenis ikan yang dilarang diimport masuk ke dalam Malaysia. Bagaimana pun dilihat ada beberapa implikasi umum jika ikan ini dibawa masuk. Antara implikasi adalah kerana ikan import ini mungkin menjadi penyumbang kepada bawaan penyakit baru dan punca sebaran serta rebakan penyakit dalam perairan negara. Ia juga boleg menganggu keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesis ikan asli dalam negara. Ikan import ini boleh menjadi dominan dan membiak di perairan umum dan menjadi ikan pemangsa kepaada ikan-ikan asli di sungai serta lautan. Dalam segi serius dimana ia boleh menyebabkan kerugian besar dari segi ekonomi penternak dan pihak industri sekirannya kejadian rebakan dan kematian ikan berlaku secara besar-besaran dan tidak dapat dikawal. Artikel malam Sabtu ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kongsikan fakta mengenai larangan mengimport ikan ke Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca blog semua.

Salah satu akhbar teempatan MStar paparkan berita '34 ikan hiasan kanibal dan import perlu permit' menarik untuk ditulis semula. Dinyatakan pengusaha, pemilik kedai dan pembeli ikan hiasan perlu memohon atau memperbaharui permit memelihara ikan kanibal dan import dalam tempoh dua bulan ini bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Nor Aisyah Abu Bakar berkata sebanyak 34 jenis ikan kanibal dan import yang memerlukan permit antaranya keli Afrika, piranha, flower horn, bawal merah, ikan naga, ikan buaya dan baung ekor merahSebelum ini memang perlu permit untuk bela ikan hiasan itu cuma kali ini kami akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan ekosistem terpelihara daripada virus serta penyakit baharu yang berisiko dibawa 34 spesies ikan import dari pelbagai negara. Mana-mana pengusaha,pemilik kedai dan pembeli ikan hiasan yang gagal memohon permit boleh dikenakan tindakan menurut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import dan sebagainya bagi Ikan) 1990 Pindaan 2011 yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.  Kempen itu susulan taklimat larangan 34 jenis ikan kanibal dan import di perairan kepada 33 pengusaha ikan hiasan di Pulau Pinang. Hasil pemantauan pihaknya bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung dan Pusat Kuarantin Pertanian dan Perikanan (Maqis) di enam premis menjual ikan hiasan semalam dan hari ini mendapati mereka memiliki pelbagai ikan kanibal dan import dengan permit tamat tempoh. Jika pengusaha enggan memperbaharui atau memohon permit, mereka boleh menyerahkan semua spesies ikan itu kepada FRI atau Maqis untuk penjagaan dan kajian lanjut termasuk pelupusan mengikut prosedur operasi standard (SOP). Permit itu adalah percuma dan kami minta pengusaha memohonnya supaya kami dapat rekodkan jumlah sebenar ikan hiasan itu, kami bimbang sekiranya ikan-ikan berkenaan dibeli pembeli yang tidak mempunyai permit, mereka akan melepaskannya ke perairan dan ia memberi pelbagai risiko kepada hidupan laut. Jabatan Perikanan juga memberi amaran keras kepada semua pihak supaya tidak melepaskan spesies ikan yang dilarang itu di perairan negeri ini agar tidak mengganggu keseimbangan kepelbagaian bio, habitat dan spesis ikan asli di perairan negeri ini sehingga menjadi dominan di sesuatu kawasan. Dalam pemeriksaan di sebuah kedai ikan perhiasan di Air Itam, jabatan telah menemui dua ekor ikan naga seberat lebih 100 kilogram dan berusia 11 tahun dibela dalam kolam di situ tanpa permit dan saya telah menasihatkan pemiliknya untuk memohon permit. Berdasarkan pemantauan juga mendapati harga ikan hiasan yang disenarai itu boleh mencecah ribuan ringgit berdasarkan permintaan pembeli dan pasaran.

Portal berita Harian Metro melaporkan 'Bahaya lepaskan ikan larangan' dimana Jabatan Perikanan mewartakan Peraturan Perikanan yang melarang mana-mana individu mengimport, menjual, memelihara atau menyimpan genus ikan hidup kerana terlalu berbahaya kepada ekosistem sungai dan tasik apabila dikesan mampu memusnahkan keseluruhan hidupan asal jika terlepas masuk di kawasan berkenaan. Jabatan Perikanan Malaysia menyatakan pihaknya mengingatkan pengusaha atau individu ikan hiasan yang membuang ikan peliharaan mereka ke dalam sungai atau longkang besar boleh mengundang gangguan keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesies ikan asli di perairan umum. Ikan berkenaan boleh menjadi dominan dan membiak dalam perairan umum serta menjadi pemangsa kepada ikan asli yang sedia ada di perairan negara. Ia juga boleh menyumbang kepada bawaan penyakit baru dan punca sebaran serta rebakan penyakit dalam perairan umum. Dilaporkan pengusaha atau individu terbabit dikatakan tidak mampu memelihara habitat berkenaan disebabkan beberapa faktor antaranya kos makanan yang tinggi selain tidak mahu membelanya lagi. Jabatan Perikanan sudah mewartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan beberapa jenis ikan hiasan yang dilarang import. Ini kerana terdapat kajian yang membuktikan sifat agresif ikan larangan import ini di perairan negara hingga menjejaskan kawasan berkenaan. Pernah ada  permintaan dikalangan nelayan sungai disebabkan oleh permohonan yang menggalakkan selain harga tinggi telah mendorong ramai penternak di Pekan, Pahang ingin untuk menternak ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya Hemibagrus wyckioides secara komersial dalam sangkar di Sungai Pahang. Spesies ikan import ini dikategorikan sebagai ikan pemangsa dikatakan berasal dari Sungai Mekong, Vietnam dimana ia kini mula menjadi pilihan penggemar ikan air tawar itu di Pahang. Jabatan Perikanan dakwa tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk ikan baung ekor merah kerana ia termasuk dalam kategori ikan asing spesies alien. Sekiranya ikan ini hendak dibawa masuk ke dalam negara ini, ia perlu menjalankan kajian risiko impak (IRA) dan kemudian dibentangkan dalam mesyuarat peringkat Jabatan Perikanan (JPJP).

Dilaporkan dimana masih ada segelintir masyarakat seperti kalangan pekedai akuarium dan pengguna masih tidak peka dan tidak mengambil berat mengenainya, walaupun jabatan sudah membuat hebahan meluas melalui pelbagai medium termasuk program dialog, pameran dan siaran akhbar. Perkara ini mungkin berlaku kerana sikap tidak peka dan tidak prihatin kepada kepentingan, keselamatan serta ancaman kepada sumber perikanan semasa. Ikan import yang disimpan dalam keadaan terkawal seperti di rumah mungkin tidak begitu membimbangkan namun apa yang dikhuatiri apabila ikan ini tidak lagi mampu dijaga atas faktor usia atau memerlukan belanja tinggi dan dilepaskan kesungai. Jalan yang mudah diambil adalah dengan melepaskan ke perairan umum. Ikan asing ada yang bersifat agresif seperti Ikan Peacock Bass (Cichla ocellaris). Ia cepat membiak dan pemangsa kepada ikan tempatan dan dikenal pasti sebagai penyebab ketidak seimbangan ekologi di habitat baru didiaminya. Dalam pada itu Ikan Flower Horn memang bersifat lasak termasuk mudah untuk ‘mengadaptasi’ di kawasan dilanda banjir. Ia boleh membiak dengan mudah dan mempunyai tabiat makan yang aktif. Dilaporkan spesies ini boleh mengganggu ekosistem sedia ada di Malaysia. Ikan yang bersifat memberi tuah akan dijaga dengan baik sementara yang tidak digemari penternak berkemungkinan dibuang ke perairan. Jenis Ikan Arapaima (Aparaima gigas) boleh membesar hingga tiga meter dan berkemungkinan dilepaskan ke perairan umum apabila penternak tidak mampu menampung kos makanan,” katanya. Peraturan ini melarang mengimport, menjual, memelihara dan menyimpan genus ikan kecuali dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan. Selain itu kini Jabatan Perikan boleh mengawal kemasukan spesies ikan dari luar negara ialah Akta Pemeriksaan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta MAQIS). Seksyen 11 Akta MAQIS ini menetapkan import dan eksport ikan tidak boleh dibuat tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan di bawah akta berkenaan.  Kawalan utama bagi spesies ikan yang dibawa masuk adalah di peringkat pintu masuk. Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) adalah agensi yang bertanggungjawab dalam menjalankan penguat kuasa di pintu masuk. Orang ramai yang tidak mahu memelihara ikan ini boleh menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan daerah atau negeri untuk tindakan sewajarnya. Ia mungkin berguna untuk kajian tertentu, pendidikan atau dibuat pelupusan sewajarnya. Pelanggaran kepada larangan dalam peraturan perikanan mengikut Akta Perikanan 1985 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya. Sementara pelanggaran kepada Akta MAQIS 2009 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya. Semuga artikel ini mampu memberi info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
IKAN IMPORT... DILARANG KE MALAYSIA...
ADA 34 SPESIS... KERANA MMERBAHAYA...
MEROSAKKAN... EKOSISTEM SEDIA ADA...
BACA ARTIKEL... BAGUS INFONYA JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(16 Safar 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.