Saturday, November 6, 2021

EKSTRAK PENGAGA - APA KANDUNGANNYA?

TANAMAN PEGAGA
(Centela asiatica) merupakan sejenis tanaman herba yang selelunya dimakan segar sebagai ulaman. Penulis blog memang suka makan ulam daun pegaga yang ditanam sendiri secara organik dirumah atau kadang-kadang membelinya juga di pasar tani. Makan pegaga dengan sambal belacan bersama nasi dan lauk pauk lain memang menjadi kegemaran mingguan terutama makan tengahari. Banyak info mengenai kebaikan dan khasiat daun pegaga ini akan tetapi tidak ramai yang membuat kajian saintifik mengenai ulam ini. Bagaimana pun penulis blog merujuk kepada penyelidikan MARDI yang di laporkan dalam e-bulletin MARDI untuk dijadikan rujukkan.  MARDI membuat penelitian terhadap ekstrak pegaga telah dihasilkan daripada bentuk serbuk daun pegaga. Serbuk daun pegaga dihasilkan daripada proses pengeringan dan pengisaran daun pegaga segar. Komponen triterpenoid telah dianalisis daripada ekstrak pegaga yang dihasilkan. Analisis komponen triterpenoid dijalankan dengan  menggunakan kaedah kromatografi cecair prestasi tinggi (HPLC). Kandungan empat komponen utama triterpenoid masing-masing ialah madekassosida (1206.1 ± 15.23 mg/100 g), asiatikosida (1160.8 ± 9.65 mg/100 g), asid madekasik (1168.2 ± 20.53 mg/100 g) dan asid asiatik (991.6 ± 15.3 mg/100 g) daripada berat kering ekstrak pegaga. Analisis antioksidan iaitu DPPH dan FRAP terhadap serbuk ekstrak pegaga telah menunjukkan peratus perencatan radikal bebas (DPPH) melebihi 90% dengan nilai IC50 = 371.7 µg/mL sementara nilai FRAP ialah 126 mmol Fe(II)/g berat kering sampel. Ujian ‘novel object recognition’ (NOR) digunakan untuk menentukan kesan daya ingatan selepas tikus diberikan ekstrak pegaga. Ujian NOR adalah ujian tingkah laku berdasarkan kecenderungan spontan haiwan untuk tujuan menghabiskan lebih banyak masa menjelajahi objek novel. Kajian menunjukkan, bagi tikus muda yang diberikan ekstrak pegaga, secara signifikannya lebih lama masa diambil untuk menjelajahi objek novel berbanding dengan objek dikenali. Bagi tikus tua yang diberikan ekstrak pegaga pula kecenderungan untuk berada dalam objek novel juga lebih lama berbanding dengan objek dikenali manakala masa yang diambil untuk berada dalam objek dikenali sedikit berkurangan. Ujian kognitif menunjukkan ekstrak pegaga berpotensi untuk meningkatkan fungsi kognitif. Kajian MARDI menyimpulkan dimana ekstrak pegaga yang  dihasilkan daripada serbuk pegaga dan kandungan bahan aktif triterpenoid di dalam ekstrak pegaga telah ditentukan. Ujian kognitif menunjukkan ekstrak pegaga berpotensi untuk meningkatkan fungsi kognitif. Artikel dalam blog "Anim Agro Technology" kali ini saya menulis semula laporan mengenai kandungan bahan triteprenoids, antioksidan dan fungsi kognitif ekstrak pegaga untuk dijadikan bahan rujukan semua. 

Tanaman Pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica merupakan herba yang sangat terkenal bukan sahaja di Malaysia akan tetapi di seluruh dunia. Ia banyak terdapat di negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, India, Sri Lanka, Madagascar dan Afrika Selatan. Di Malaysia dimana daun pegaga dimakan segar sebagai ulam selain dijadikan herba ubatan untuk tujuan kesihatan dan menyembuhkan luka, meningkatkan daya ingatan, mengurangkan keletihan mental, mengurangkan tekanan atau kebimbangan dan merawat ekzema. Penulis blog Anim Agro Technology bagaimana pun apabila melihat iklan serbuk pegaga online dijual pada harga RM13.00/50 gram diiklankan (Sila lihat foto disebelah) tidak terkejut dengan harganya. Di India dilaporkan tumbuhan ini digunakan dalam perubatan ayurveda sementara di China ia digunakan untuk mengatasi masalah leukorrhea. Kesedaran tentang potensi pegaga sebagai antioksidan semula jadi iaitu daripada sumber tumbuhan telah meningkat permintaanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya sebagai antioksidan dalam sistem pertahanan di dalam sel otak. Komponen-komponen aktif di dalam pegaga berupaya meneutralkan radikal bebas seperti oksigen reaktif. Radikal bebas meningkatkan proses penuaan dan merosakkan banyak komponen sel. Dianggarkan bahawa 20% daripada populasi dunia yang berumur 55 tahun dan ke atas mengalami masalah kesihatan mental. Masalah yang paling biasa adalah kebimbangan, kemerosotan daya ingatan yang teruk atau dementia terutamanya disebabkan oleh penyakit Alzheimer dan juga gangguan pemikiran seperti tekanan perasaan dan juga kemurungan. Dianggarkan terdapat lima juta golongan geriatrik berumur 65 tahun dan ke atas mengalami masalah penyakit Alzheimer. Di Malaysia hasil kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) mendapati masalah kesihatan mental telah meningkat daripada 10.7% pada 1996 kepada 11.2% pada 2006. Semakin umur meningkat risiko penurunan fungsi kognitif semakin bertambah. Masalah kesihatan mental berlaku disebabkan beberapa faktor seperti genetik, ketidak seimbangan bahan kimia di dalam otak psiko-sosial dan tekanan persekitaran. Kajian klinikal menunjukkan ekstrak pegaga mampu mengurangkan masalah gangguan yang berkaitan dengan perasaan cemas dan mengurangkan gangguan tekanan. Ekstrak pegaga juga menunjukkan kesan antioksidan serta peningkatan daya ingatan. Komposisi kimia pegaga amat penting bagi aplikasi perubatan dan nutraseutikal yang menyumbang kepada sifat bioaktif. Kumpulan triterpenoid merupakan komponen aktif terbesar di dalam pegaga. Komponen penting kumpulan triterpene ini termasuklah asid asiatik, asid madekasik, asiatikosida, madekassosida, brahmosida, tankinisida, isotankunisida, centelosida, asid madasiatik, asid sentik dan senelikasida. Walau bagaimana pun, empat komponen utama yang menyumbang kepada sifat bioaktif ialah asid asiatik, asid madekasik, asiatikosida dan madekassosida. Komponen tersebut telah dijadikan sebagai penanda-kimia bagi penilaian kualiti pegaga. Selain kumpulan triterpenoid, terdapat juga kumpulan flavonoid di dalam pegaga seperti kuersetin, kaempferol, catechin, rutin, apigenin dan naringin. Dalam kajian ini, proses pengekstrakan dilakukan bagi menghasilkan ekstrak pegaga yang kaya dengan komponen aktif triterpenoid. Kajian aktiviti antioksidan dan fungsi kognitif juga dilaksanakan bagi menilai keberkesanan ekstrak pegaga untuk dijadikan sebagai ramuan makanan yang berpotensi untuk diaplikasikan dalam pelbagai produk makanan.

Kajian tersebut melibatkan proses penyediaan serbuk pegaga untuk dianalisa. Serbuk pegaga dihasilkan daripada pegaga segar yang telah dikeringkan. Pegaga Nyonya segar tersebut diperolehi daripada pembekal sayuran di Pasar Borong Selangor dimana daun pegaga dipotong kecil dengan anggaran saiz 2 cm dan dicuci dengan menggunakan mesin pencuci selama 10 minit. Daun pegaga kemudiannya dikeringkan di dalam pengering kabinet pada suhu 65 °C selama tujuh jam dan dikisar halus menjadi serbuk pegaga. Ekstrak pegaga dihasilkan daripada serbuk pegaga yang diekstrak menggunakan pelarut etanol dan air pada nisbah tertentu. Larutan kemudiannya dituras dengan cara menggunakan alat penuras dan dipekatkan seterusnya menggunakan rotary evaporator sebelum dikeringkan dengan alat pengering freeze drier untuk menjadi serbuk ekstrak pegaga. Apabila dianalisa dimana komponen triterpenoid di dalam ekstrak pegaga dijalankan dengan menggunakan kaedah kromatografi cecair prestasi tinggi (HPLC). Peralatan HPLC yang digunakan ialah Waters Model 2695. Pengesan yang digunakan ialah spektrometer photo diode array (PDA) dengan jarak gelombang 200 - 400 nm. Komponen triterpenoid dianalisis pada jarak gelombang 200.5 nm. Proses pemisahan komponen triterpenoid adalah dengan menggunakan kolum Symmetry® C18- 5 µm, dengan panjang 150 mm dan diameter 3.9 mm. Campuran larutan piawai madekassosida, asiatikosida, asid madekassik dan asik asiatik pada kepekatan 250 mg/L disediakan sebagai larutan stok dalam pelarut metanol. Larutan stok dicairkan kepada kepekatan 25, 50, 75 dan 100 mg/L dan disuntik ke dalam kolum HPLC untuk menghasilkan lengkuk piawai bagi pengiraan kandungan triterpenoid di dalam sampel. Komponen triterpenoid dipisahkan secara gradien di mana dua jenis fasa bergerak digunakan iaitu 100% asetonitril dan 0.1% asid trifluoroasetik (TFA) selama 35 minit pada aliran 1 mL/minit dan suhu kolum ditetapkan pada 25 °C. Kemudian penggunaan teknik gradien linear digunakan kerana terdapat dua kumpulan utama komponen aktif pegaga yang berbeza dari segi kepolaran. Bagi pemisahan asid triterpene (asid madekassik dan asid asiatik) kepolaran larutan fasa bergerak perlu ditingkatkan. Bagi pemisahan kumpulan glikosida (madekassosida dan asiatikosida) kepolaran larutan fasa bergerak perlu dikurangkan. Alanisa dengan kromatogram bagi analisis komponen madekassosida, asiatikosida, asid madekasik dan asid asiatik dalam ekstrak pegaga. Masa analisis keseluruhan adalah selama 35 minit. Masa untuk penahanan bagi komponen triterpenoid adalah kurang daripada 25 minit. Kandungan empat komponen triterpenoid masing-masing ialah madekassosida (1206.1 ± 15.23 mg/100 g), asiatikosida (1160.8 ± 9.65 mg/100 g), asid madekasik (1168.2 ± 20.53 mg/100 g) dan asid asiatik (991.6 ± 15.3 mg/100 g) daripada berat kering ekstrak pegaga.

Seterusnya dijalankan aktiviti antioksidan kepada serbuk ekstrak pegaga . Dalam analisis antioksidan iaitu 1,1-diphenyl-2-picrylhydrazyl (DPPH) dan ‘Ferric Reducing Antioxidant Power Assay’ (FRAP Assay) dimana ekstrak pegaga yang terhasil menunjukkan keupayaan serbuk ekstrak pegaga dalam memerangkap dan merencat aktiviti radikal bebas DPPH pada kepekatan yang berbeza. Keupayaan ekstrak pegaga merencat radikal bebas meningkat dengan meningkatnya kepekatan ekstrak pegaga dan mencapai tahap yang optimum pada kepekatan 0.6 mg/mL. Penambahan kepekatan ekstrak pegaga selepas itu tidak menunjukkan perubahan yang signifikan terhadap perencatan radikal bebas. Secara in vitro, ekstrak pegaga menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi (perencatan radikal bebas DPPH sebanyak 90% dengan nilai IC50 = 371.7 µg/mL). Kajian k
eupayaan kognitif tikus muda dan tua yang diberikan ekstrak pegaga dinilai melalui ujian Novel Object Recognition (NOR). Keupayaan kognitif ini dibandingkan dengan tikus muda dan tua yang dijadikan kawalan (tikus yang tidak diberikan ekstrak pegaga). Tikus diberikan minuman dan makanan secara ad libitum (pemberian makanan dan minuman yang tidak dihadkan). Semua tikus diletakkan di dalam sangkar dan dikekalkan di makmal kawalan. Dalam eksperimen ini, tikus tua berusia 10 bulan dan tikus muda (berumur lapan minggu) digunakan. Ekstrak pegaga  dilarutkan dengan air suling pada kepekatan 2.5 mg/mL untuk diberikan kepada setiap tikus. Kesemua sampel diberikan kepada tikus secara suapan paksa. Ujian novel object recognition (NOR) adalah ujian tingkah laku berdasarkan kecenderungan spontan haiwan untuk menghabiskan lebih banyak masa menjelajahi objek novel. Masa yang dihabiskan untuk meneroka setiap objek direkodkan. Pilihan untuk meneroka objek merupakan proses pembelajaran baru dan pengecaman melalui daya ingatan. Aktiviti tersebut direkodkan dengan menggunakan Microsoft DV Camera dan VCR. Semua data dianalisis dengan menggunakan Perisian AnyMaze. Dalam eksperimen ini, tikus telah melalui proses NOR selama lima minit setiap sesi dalam kotak 40 cm2 selepas diberikan ekstrak pegaga selama dua bulan. Untuk eksperimen NOR, tikus diletakkan di dalam kotak terbuka kosong selama lima minit untuk proses habitasi pada hari pertama. Pada hari kedua, tikus diperkenalkan kepada dua objek yang sama (objek biasa) selama lima minit. Pada hari ketiga, salah satu objek digantikan dengan objek baru. Jarak perjalanan, kelajuan dan masa oleh tikus pada zon objek novel dan biasa telah direkodkan. Ujian novel object recognition (NOR) dijalankan untuk menentukan kesan daya ingatan selepas tikus diberikan ekstrak pegaga. Semasa familiariasi, haiwan meneroka dua objek yang sama. Dalam fasa ujian, satu objek ditukar kepada satu objek novel dan tikus diuji untuk keupayaan mereka untuk mendiskriminasi antara objek dikenali dan objek novel. Kajian menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan bagi masa yang diambil oleh tikus muda yang tidak diberikan ekstrak pegaga untuk berada dalam objek dikenali dan objek novel. Akan tetapi bagi tikus muda yang diberikan ekstrak pegaga, secara signifikannya lebih lama masa diambil oleh tikus muda untuk berada dalam objek novel. Bagi tikus tua, untuk kedua-dua kumpulan sama ada yang tidak diberi ekstrak pegaga atau kumpulan yang diberikan ekstrak pegaga, tempoh masa untuk tikus dalam objek novel lebih lama berbanding dengan objek dikenali. Akan tetapi jika dibandingkan masa yang diambil oleh tikus tua untuk berada dalam objek novel, tikus yang diberikan ekstrak pegaga memperuntukkan masa yang lebih lama untuk berada dalam objek novel berbanding objek dikenali sementara masa yang diambil untuk berada dalam objek dikenali sedikit berkurangan. Ini menunjukkan fungsi kognitif tikus yang diberikan ekstrak pegaga dapat ditingkatkan. Walau pun artikel ini mungkin agak sukar untuk difahami pembaca biasa tetapi penulis blog harap ia memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
DAUN PEGAGA... HIJAU WARNANYA...
DI MAKAN ULAM.. ENAK RASANYA...
KAJIAN MARDI... SERBUK PEGAGA...
TEMUAN KAJIAN... SILA MEMBACA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP putrajaya,
Malaysia.
(24 Safar 1443H).
posted from:
Room 444, Regal Lodge Hotel,
Jln Raja Ekram, 
Ipoh, Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.