Wednesday, November 17, 2021

SEKTOR PERTANIAN MALAYSIA - APA DIA? (Part 1)

SEKTOR PERTANIAN 
di Malaysia membentuk sekitar dua belas peratus (12%) daripada KDNK negara dimana sekitar enam belas peratus (16%) daripada penduduk Malaysia pula dilaporkan memang bekerja dalam sektor pertanian dalam pelbagai bidangusaha. Malaysia yang dahulu sebelum dan selepas merdeka menjadikan sektor pertanian sebagai sektor utama telah berubah pada masa kini dengan senario begitu ketara sebagai negara perindustrian. Kewujudan ladang-ladang atau estet yang luas telah ditubuhkan oleh zaman penjajahan British dimana syarikat ini membuka ladang iaitu tanaman baru seperti ladang getah (1876), ladang kelapa sawit (1917) dan ladang koko (1950). Kebanyakan ladang-ladang ini adalah dikawasan tanah subur yang luas untuk pengeluaran produk eksport dan hanya sedikit untu kegunaan domestik pada masa itu. Apa pun beberapa jenis tanaman makanan telah ditanam oleh pekebun kecil dan penduduk tempatan untuk tujuan domestik seperti padi, sayuran, pisang, kelapa, durian, nanas, beras, rambutan. Iklim Malaysia tropika yang mempunyai curahan hujan banyak dan sinaran matahari sepanjang tahun membolehkan penanaman dapat dijalankan dengan baik. Malaysia yang terletak di Semenanjung di Asia Tenggara merupakan kawasan yang  jarang sekali terjejas oleh ribut taufan atau kemarau. Malaysia mengekalkan tahap kelembapan di sekitar 90% kerana lokasinya yang berdekatan dengan khatulistiwa. Cuaca yang panas dan lembap berlaku sepanjang tahun. Bagaimana pun makanan ruji rakyat Malaysia dari tanaman padi hanya mampu menghasilkan sekitar 70% kadar kecukupan (SSL).  Sektor Pertanian di Malaysia dibawah beberapa kementerian yang erlibat seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Perusahaan Komoditi dan Perladangan dan beberapa lagi. Sumbangan sektor pertanian di Malaysia masih penting demi kelestarian da kecukupan jaminan bekalan makanan negara dan penghasilan produk pertanian untuk pasaran eksort terus berkembang. Industri Kelapa Sawit merupakan diantara industri yang sangat penting di Malaysia dengan nilai eksport berbillion ringgit setahun. Artikel kali ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan mengenai sektor pertanian di Malaysia untuk dijadikan bahan rujukkan pembaca semua.

Kepentingan sektor pertanian di Malaysia akan terus menjadi penting kerana sektor ini terlibat dalam p
engeluaran bahan makanan terutama seperti tanaman padi, sayur-sayuran dan buah-buahan. Hasil ari aktiviti tanaman, ternakan dan juga perikanan akan terus dapat memenuhi keperluan bekalan makanan penduduk dengan mencukupi dan selamat dimakan. Pertanian juga akan mengurangkan kos import bahan makanan yang pada tahun 2020 berjumlah sebanyak RM55.4 billion dimana sektor ini akan dipastikan dapat memenuhi keperluan keselamatan makanan negara. Sektor pertanian menjadi penting apabila ia mampu dalam melakukan pengeluaran bahan mentah untuk keperluan industri seperti getah untuk menghasilkan tayar serta produk berasaskan getah lain serta kelapa sawit untuk pelbagai produk sawit termasuk minyak masak. Tanaman padi yang dilakukan dikawasan jelapang padi dikhususkan ditanam 2 kali setahun dengan rekod produktiviti hasil padi sekitar 4.5 - 5.0 metrik tan sehektar. Penanaman padi menjadi satu daripada tanggungjawab kerajaan didalam usaha memodenkan lagi sektor ini untuk penghasilan padi dengan lebih tinggi dan kekerapan jadual penanaman yang lebih baik. Kini teknologi dan penggunaan varieti padi baru serta jentera pertanian dilapor dapat membantu mencapai strategi pengingkatan hasil padi (Sila lihat foto disebelah). Dalam pada itu sejak lama dulu sektor pertanian bagi tanaman indsustri seperti getah, kelapa sawit dan koko dilaporkan terus menjana pendapatan melalui pasaran eksport. Malaysia pernah direkodkan sebagai negara pengeluar getah asli dan minyak kelapa sawit terbesar didunia dahulu. Komoditi ini masih menjadi sumber aliran masuk wang asing di Malaysia dan mampu meningkatkan KDNK Negara. Sektor pertanian terus memberikan banyak peluang pekerjaan dimana ia memang melibatkan bilangan tenaga kerja yang besar sehinggakan terpaksa menggunakan buruh asing untuk berkerja dalam sektor ini. Tiga kumpulan utama pekerjaan dalam bidang pertanian ialah kumpulan pengeluaran, perkhidmatan dan pembuatan. Kekurangan tenaga pekerja sektor ini amat ketara sepanjang pandemik covid19 berlaku di Malaysia dan seluruh dunia apabila banyak sekatan perjalanan telah pun dilaksanakan.

Sektor pertanian di Malaysia melibatkan aktiviti tanaman, ternakan, perikanan atau ternakair, industri asas tani dan perkhidmatan pertanian. Tanaman utama adalah Kelapa Sawit diikuti dengan getah, padi, kelapa dan sebagainya. Bagi tanaman utama kelapa sawit (Elaeis guineensis) dilaporkan dimana kawasan 
utama adalah di Negeri Johor (Rancangan Johor Tenggara, Rancangan Johor Selatan, Segamat), Pahang (Jengka, Pahang Tenggara),  Perak (Teluk Intan,Sungai Siput, Trolak),  Selangor (Klang, Kampar, Batang berjuntai) dan juga di Sabah (Sandakan, Lahad Datu, Tawau). Sementara itu bagi tanaman getah (Hevea brazilliensis) pula berada di Negeri Johor, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Sarawak dan di Sabah. Tanaman Koko (Theobroma cacao) pula masih luas di tanam di Sabah, Perak (Teluk Intan), Raub Pahang dan sedikit di Selangor (Sabak Bernam) dan di Johor (Batu Pahat, Muar). Bagi tanaman kelapa (Cocos nucifera) ianya semakin berkurangan jumlah keluasannya saban tahun dimana kini masih terdapat tanaman di sekitar Selangor (Daerah Sabak Bernam), Perak (Teluk Intan,Bagan Datoh),  Johor (Batu Pahat), Sabah (Lahat Datu, Tawau, Kudat) dan juga masih ada di Sarawak (Mukah, Kucing). Kekurangan kelapa di Malaysia terpaksa mengimport dari Indonesia dengan jumlah jutaan biji kelapa tua setahun teutama untuk keperluan kilang pemproses kelapa. Bagi tanaman Padi (Oryza sativa) ia ditanam dikawasan Jelapang Padi dan IADA seperti di MUDA (Kedah-Perlis), KADA Kelantan, IADA Seberang Perak, IADA Krian-Sungai Manik, IADA Barat Laut Selangor, IADA KETARA Terengganu, IADA Rompin dan IADA Pekan di Pahang, IADA Pulau Pinang, IADA Batang Lupar, IADA Kota Belud di Sabah dan beberapa lokasi lagi. Tanaman sayuran terdapat dibanyak lokasi di seluruh negara akan tetapi bagi sayuran tanah tinggi meluas di tanam di Cameroon Highland, Lembah Kinta, Lojing dan Kundasang.  Bagi tanaman buah-buahan pula diusahakan secara dusun tradisional, usahawan komersial atau secara perladangan. Tanaman buah-buahan secara estet ini seperti ladang Nanas di Johor, Ladang Nanas di Rompin, Ladang Durian di Raub, Ladang Kelapa di Rompin dan beberapa lagi. Tanaman minuman kopi dan teh amat terhad keluasannya. Bagi sektor bunga-bungaan (Florikultur) ianya hanya aktif di Cameroon Highland, Johor, Perak dan Selangor untuk kebanyakannya pasaran eksport.

Bagi ternakan pula antaranya adalah penternakan l
embu dan kerbau yang banyak dilaksanakan oleh penternak kecil-kecilan di Kedah, Kelantan, Sabah dan di Pahang (Kerbau). Bagi lembu pedaging yang banyak diternak adalah baka Kedah-Kelantan (KK) dan beberapa baka import. Malaysia masih bergantung kepada pengimportan daging sejukbeku daripada beberapa negara seperti dari India, Australia dan negara-negara lain. Kerajaan melalui MAFI mengawal AP bagi pengimportan daging ke Malaysia yang masih tidak mencukupi bekalan tempatan. Penternakan intergrasi lembu dengan kelapa sawit antara satu pendekatan yang dilaksanakan di Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Penternakan lembu susu kini semakin baik dimana beberapa syarikat menternak lembu susu seperti di Muadzam, Pahang (Holstein) dan di Keningau, Sabah (Eco Yap) yang mampu membekalkan susu segar kepada ramai rakyat Malaysia. Penternakan kambing dan bebiri masih dijadikan satu bidangusaha yang kompetetif di Malaysia. Populasi kambing di Malaysia dilaporkan banyak di Negeri Kelantan, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. Jenis kambing Boer dan Kambing Saanen (untuk susu) kini dilaporkan semakin popular dikalangan penternak selain baka kambing tempatan. Aktiviti penternakan ayam sama ada ayam pedaging atau ayam penelur merupakan sektor yang paling berjaya di Malaysia. Ini kerana bekalan ayam daging dan telur ayam kini melebihi daripada keperluan domestik (SSL yang tinggi). Ladang ternakan ayam ini dilaporkan banyak berada di Pulau Pinang, Perak, Johor dan juga di Selangor. Ternakan khinzir juga masih banyak di Malaysia terutama di Negeri Sembilan, Perak, Selangor, Johor, Melaka dan di Sarawak. Malaysia masih mengimport banyak bahan mentah untuk kilang makanan haiwan ternakan seperti jagung bijirin, kacang soya dan sebagainya dan ianya merupakan komponen bill import tertinggi. Sektor perikanan dan akuakultur memainkan peranan penting untuk manjadi sumber protin. Nelayan laut dan nelayan sungai dilesenkan untuk menangkap ikan dimana penghasilan ikan dilaporkan semakin berkurangan. Dalam pada itu bagaimana pun sektor ternakan akuakultur seperti menternak udang, ikan dan sebagainya semakin progressif. Artikel ini dibahagikan kepada lima (5) segmen iaitu Part 1, Part 2, Part 3, Part 4 dan Part 5 untuk dibaca bersama. Semuga artikel bersiri ini akan memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam.....!
SEKTOR PERTANIAN.. DI MALAYSIA...
SUMBANG KDNK....ADA 12% SAHAJA...
KELAPA SAWIT GETAH...YANG UTAMA...
TANAMAN MAKANAN... PENTING JUGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(5 Rabiulakhir 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.