Sunday, November 14, 2021

JANTUNG PISANG - FAKTA DI MEDIA

JANTUNG PISANG
(Banana Flowers) iaitu sejenis bunga yang keluar pada tandan pisang (Musa accuminata) dimana ia kemudian menjadi buah pisang apabila matang. Jantung Pisang bagi kebanyakan spesis pisang yang boleh dimakan boleh dipetik, dimasak dan dimakan. Antara jenis jantung pisang yang popular di kalangan orang Malaysia adalah Jantung Pisang Nipah atau Pisang Kapok, Jantung Pisang Nangka, Jantung Pisang Embun, Jantung Pisang Raja dan beberapa jenis lagi. Kalau dahulu jantung pisang hanya dimakan oleh masyarakat kampong sahaja tetapi kini saya dapati masyarakat bandar telah makan jantung pisang yang dibeli dari pasar basah, pasar tani atau pasaraya. Beberapa hotel dan restoran telah pun mengkomersilkan jantung pisang sebagai hidangan istimewa kepada pelanggan. Pada saya jantung pisang ada dijual dipasar-pasar untuk dijadikan ulam oleh masyarakat Melayu. Jantung pisang akan dicelur sebelum dihidangkan untuk dimakan bersama sambal belacan. Satu pokok pisang lazimnya akan mengeluarkan satu tandan pisang dan satu biji jantung pisang sahaja. Hanya dalam keadaan tertentu atau spesis tertentu jumlah tandan dan jantung pisang melebihi daripada satu dimana lazimnya jika ada kelainan akan dijadikan peristiwa 'pelik' yang sering dilaporkan didalam akhbar. Jantung Pisang berbentuk HATI (Heart) yang berwarna Coklat-Ungu Gelap dan mempunyai kelopak atau 'kulit luar' dimana didalamnya ada bunga berwarna kuning keputihan dipangkal kelopak. Ukuran jantung pisang sekitar 25-40 cm dengan ukurlilit tengah jantung 12-25 cm. Kulit jantung pisang luar adalah sederhana keras dan akan terbuka apabila sampai waktu bagi tujuan mendedahkan bunga betina. Bunga Betina dan bunga jantan ini menghasilkan manisan atau nektar bagi menarik serangga menghisapnya dan menjalankan proses asas bagi proses pendebungaan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" berkenaan beberapa fakta mengenai jantung pisang ditulis semula dengan penulis blog kongsikan beberapa fakta tambahan di media untuk rujukkan anda pembaca blog semua.

Dalam media sinarplus.sinarharian.com yang bertajuk '
Jantung Pisang Bantu Masalah Diabetes Dan Kurang Sel Darah Merah' amat sesuai dirujuk dalam artikel ini. Dilaporkan dimana tanpa mengetahui khasiat sebenarnya pun memang ramai yang suka makan jantung pisang ni. Boleh dibuat gulai, kerabu, direbus buat ulam dicecah sambal belacan dan lain-lain. Jika diikutkan masakan kampung memang tidak asing dengan makanan berasaskan jantung pisang yang selalu disediakan didalam pelbagai cara. Apa pun bukan ramai yang suka makan jantung pisang ini. Hasil kajian mengenai khasiatnya yang dikongsikan oleh Bekas Timbalan Pengarah & Saintis Utama di Pusat Penyelidikan Makanan dan Teknologi MARDI, Dr Suri Roowi ini di mana ada juga beberapa fakta yang perlu pembaca ketahui. Jantung Pisang merupakan makanan yang tinggi kandungan fiber diukur kuantiti sebanyak 5.74gm bagi setiap100gm yang boleh dimakan dan juga tinggi kandungan antioksidan. Diantara bahan berkhasiat dalam jantung pisang adalah alkaloid, glikosida, steroid, saponin, tanin, flavanoid dan terpenoid. Walau pun belum banyak maklumat dan penyelidikan mengenai khasiat memakan jantung pisang akan tetapi hasil daripada beberapa kajian sudah boleh digunakan. Kajian saintifik menunjukkan jantung pisang antaranya mendapati dimana ia membantu masalah pendarahan berlebihan semasa haid. Jantug pisang juga mampu untuk meningkatkan lagi tahap hormon progesteron dalam badan dan kurangkan masalah pendarahan. Hasil kajian dalam jurnal Phytotherapy Research menunjukkan pemberian ekstrak jantung pisang selama 30 hari boleh menurunkan tahap gula dalam darah dan meningkatkan sel darah merah pada tikus. Kajian juga menunjukkan jantung pisang susu mempunyai aktiviti antioksidan dan antidiabetes yang lebih tinggi berbanding pisang abu, berangan, nipah, mas dan rastali.

Kisah bagaimana 'Pencari Jantung Pisang Lari Lintang Pukang' juga menarik kisahnya. Akhbar Harian Metro melaporkan dimana seorang lelaki 
yang sedang mencari jantung pisang lari lintang-pukang apabila menemui rangka dipercayai manusia di bawah pokok pisang di tepi jalan Kampung Saga, Numbak, Manggatal, di Kota Kinabalu, Sabah. Dalam kejadian 11.30 pagi itu, lelaki yang terkejut kemudian berlari dan memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai penemuan rangka berkenaan. Beliau yang dikenali sebagai Ahir, 29 dakwa ketika itu, dia sedang membaiki kereta milik abang iparnya di Kampung Saga, lalu terkejut apabila melihat lelaki berlari. Lelaki itu kemudian memberitahu menemui rangka manusia di kawasan pokok pisang ketika sedang mencari jantung pisang. Dia dan beberapa penduduk kampung kemudian bergegas ke lokasi yang dimaklumkan sebelum menemui rangka dipercayai manusia. Menurutnya tidak lama selepas itu, sepasukan polis tiba untuk menjalankan siasatan. Dia tidak pasti identiti mayat itu disebabkan dia berasal dari Lahad Datu dan datang ke sini untuk membaiki kereta abang ipar. Polis yang memberitahu wartawan menyatakan satu rangka dipercayai manusia ditemui dan disyaki mati dua hingga tiga minggu lalu. Setakat ini kes masih dalam siasatan dan semua rangka dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat. Kemudian pihak polis masih menyiasat penemuan rangka manusia yang ditemui di bawah pokok pisang di Kampung Saga, Jalan Yayasan Kibagu, Manggatal, Kota Kinabalu. Siasatan awal mendapati rangka manusia itu dalam keadaan terlentang di bawah pokok pisang di kawasan semak dengan lengkap berpakaian. Pemeriksaan di kawasan lokasi kejadian tidak menemui sebarang peralatan atau tanda-tanda adanya perlakuan jenayah. Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan keluarga mangsa terbabit. Rangka manusia itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat dimana ia setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. Setakat ini mayat yang lengkap berpakaian warna merah, seluar jeans dan berselipar masih belum dikenalpasti.

Dalam mstar.com.my pula kisah 'Pelik... enam tandan, enam jantung pisang' juga sesuai dikongsikan faktanya. Kisah dari Pontian, Johor tersebut nyatakan dimana seorang pekebun terkejut apabila pokok pisang yang telah ditanam di hadapan rumahnya di Kampung Parit Makuaseng, Benut mengeluarkan enam tandan dan mempunyai enam jantung (Sila lihat foto disebelah). Bagi Hasbullah Abdul Rahman (49 tahun) mendakwa kejadian itu disedari sebulan yang lepas selepas pokok itu berbuah agak pelik apabila mempunyai tandan pisang. Pokok pisang tersebut merupakan pokok pisang hiasan yang diberikan oleh seorang kenalan dari kepulauan Jawa Indonesia, dua tahun lalu. Pokok pisang hiasan ini berbeza dengan pokok pisang yang lain kerana keadaannya lebih rendang dan tidak besar. Enam tandan dan enam jantung pisang yang keluar dari pokok pisang sangat mengejutkan dan ramai penduduk kampung yang bertanya tentang pokok yang saya tanam ini. Kini dia tidak berhasrat untuk menebang pokok tersebut sebaliknya akan terus membiarkannya. memang dia ada banyak tanam pisang di  keliling rumah tetapi pokok pisang hiasan ini paling istimewa. Ada juga penduduk kampong yang mengambil gambar pokok pisang di sini dan diletak di media sosial.

Paling menarik penulis blog membaca fakta di Berita harian dimana resepi 'Kerabu Jantung Pisang Sambal Kelapa' diperkenalkan. Ini kerana pokok 
pisang mempunyai banyak kegunaannya selain dari buahnya adalah jantung pisang. Selalunya daripada buah, daun dan batangnya mempunyai manfaat tersendiri. Kebiasaannya buah pisang menjadi pilihan kerana boleh dimasak menjadi lauk atau pun digoreng. Daun pisang pula digunakan sebagai pelapik nasi lemak atau kuih muih. Sungguhpun begitu, jantung pisang agak sukar untuk diperolehi memandangkan kebanyakan jantung dibiarkan saja bagi menghasilkan buah pisang. Buah pisang kaya dengan anti oksidan, tidak ketinggalan juga jantungnya. Jantung pisang enak dijadikan sebagai ulam-ulaman pembuka selera. Di Jawa, ia disebut sebagai tuntut gedang atau ontong gedang. Khasiatnya bagus kepada mereka yang sedang berdiet kerana rendah lemak, rasa kenyang lebih lama berbanding makan nasi dan melancarkan pencernaan. Selain itu, mereka yang kencing manis juga digalakkan makan, bahkan bagus bagi individu yang mengalami masalah jantung, hati dan buah pinggang jika mengamalkannya. Ikutis terus membaca artikel ini bagaimana menyediakan makanan yang dimaksudkan. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kerabu jantung pisang sambal kelapa adalah jantung pisang direbus 100 gram, Kelapa parut 50 gram, Cili merah 50 gram, Ikan bilis 10 gram, Bawang merah 5 ulas, Garam dan juga gula. Cara penyediaan dengan mula-mula ditumbuk bawang merah, cili merah dan ikan bilis hingga lumat. Kemudian masukkan kelapa parut dan tumbuk hingga halus. Seterusnya dimasukkan gula dan garam secukup rasa. Kemudian gaul bersama jantung pisang dan ia sedia untuk dihidangkan dan dimakan dengan nasi putih bersama dengan laukpauk lain. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology. Wasallam!!!.
JANTUNG PISANG... PELBAGAI WARNA...
SETANDAN SEBIKI... SELALU JUMPANYA...
DIJADIKAN MAKANAN... ENAK RASANYA...
DALAM MEDIA... ADA BANYAK FAKTANYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Bandaraya Melaka Bersejarah,
Persimpangan Bukit Beruang,
Melaka,
Malaysia.
(7 Rabiulakhir 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.