Friday, October 22, 2021

APAKAH DIA GEMBALA?

GEMBALA
 atau PENGGEMBALA (Shepherd) ditakrifkan sebagai individu atau sekumpulan manusia yang melakukan pekerjaan yang menjaga pelbagai jenis haiwan belaan yang jinak untuk diurus secara berkawanan di tempat-tempat yang terdapat tanah pastura yang lapang untuk meragut rumput. Walau pun dibeberapa negara pertanian yang menjadikan aktiviti ternakan ini berterusan akan tetapi peranan asas oleh penggembala kini semakin berkurang digantikan dengan amalan yang lebih moden. Biasanya penggembala ini akan berlainan cara berkerjanya bergantung kepada jenis ternakan, kawasan ragutan, sistem gembalaan (ada yang berbulan tidak pernah balik - nomadic) dan juga budaya setempat. Oleh sebab kerjanya rata-rata di lapangan ragutan yang luas maka gembala ini berpindah-randah sepanjang tugas mengikut musim. Ada kemungkinan bahawa tanah-tanah ragutan ternakan bagi gembala tidak dituntut sebagai harta sesiapa pun (banyak kawasan ragutan adalah tanah milik kerajaan atau tanah dirizebkan untuk penternakan) milik komuniti atau pun tanah awam. Antara jenis-jenis haiwan yang sesuai dikerjakan oleh gembala adalah lembu, kambing, biri-biri, rusa, unta dan sebagainya. Ada yang gembala berkumpulan ramai melibatkan keseluruhan ahli keluarga dimana lazimnya kanak-kanak yang bekerja sebagai gembala digelar budak gembala. Negara-negara Asia Tengah (Central Asia) diantara lokasi dimana masih ramai yang berstatuskan gembala kerana mereka memang bergantung kepada penternakan tersebut sebagai budaya kehidupan semenjak beratus-ratus tahun. Pekerjaan menjadi pengembala ini juga dilaporkan satu jenis pekerjaan yang paling tua dan lama didunia didalam menternak untuk dijadikan makanan dan perdagangan. Beberapa agama didunia ini juga menghormati pekerjaan sebagai gembala. Gembala akan menjaga semua ternakannya, memberi makanan (meragut) dan kemudian ternakan tersebut akan diambil susunya, bulunya, tanduknya dan yang terakhir pastinya dagingnya sejak lebih 5,000 tahun dahulu. Ada ternakan kambing digabungkan dengan ternakan ayam, babi dan sebagainya untuk kecukupan makanan. Ternakan ini akan dibawa berpindah daru satu kawasan ragutan (pasture) kekawasan lain apabila makaanan ragutan berkurangan. Artikel malam Jumaat ini dari Melaka dalam blog "Anim Agro Technology" saya paparkan pekerjaan gembala sebagai bahan rujukkan pembaca blog semua.

Peranan gembala (terutama kambing bebiri) lazimnya akan mempastikan haiwan ternakannya sentiasa berada didalam kumpulannya dengan selamat. Memang terdapat ancaman untuk pemangsa membunuh haiwan tersebut oleh haiwan seperti serigala, harimau dan sebagainya. Bagi negara yang mana komunitinya bergantung kepada sektor ternakan peranan gembala adalah amat penting didalam menyumbang kepada ekonomi negara (KDNK). Ada yang melakukan pekerjaan ini sebagai pekerjaan turun temurun dan ada yang diberi bayaran oleh majikannya untuk menjaga ternakannya dengan sistem pembayaran tertentu. apa pun lazimnya kebanyakannya gembala adalah lelaki dimana bagi masyarakat tertentu mereka sudah melatih kanak-kanak yang bakal menjadi gembala. Mereka akan membawa khemah sederhana dan makanan mencukupi sepanjang masa nomadik menjaga ternakan. Lazimnya mereka juga akan membawa senjata api untuk perlindungan diri dan dari pemangsa ternakan. Bagaimana boleh dikatakan gembala dikebanyakan negara akan menggunakan perkhidmatan anjing (dogs) sebagai pembantu mengawal ternakan untuk pergerakan. Ada pemgembala yang berjalan kaki sahaja, ada yang menunggang kuda, ada yang naik motorsikal (scrambler) dan terkini ada yang menggunakan keenderaan 4x4 dan ATV mengikut kesesuaian tanah dan topografi. Bagaimana pun dizaman lebih canggih lagi terkini sudah ada dibeberapa negara maju dimana ada gembala yang menggnakan bantuan 'drone'. Bukan semua kawasan akan dijadikan kawasan ragutan bagi sistem penternakan bebas ini kerana lazimnya kawasan ragutan tersebut hanya ada rumput sahaja yang boleh tumbuh (tanah yang kurang subur) atau disebabkan faktur cuaca. 

Bagaimana pun peranan penggembala telah jauh berubah dibeberapa negara maju seperti di Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Asia Tengah mengikut peredaran zaman. Dizaman ini peranan gembala berubah secara drastik dimana pemusnahan banyak kawasan penternakan pada kurun ke 18 dan kurun ke 19 menyebabkan ramai cara penternakan ini berubah lebih moden dan dibuat secara lebih komersil seperti menternak didalam 'paddock' atau didalam kandang ternakan berpusat. Baka ternakan bebiri yang konvensional kini telah ditukar kepada baka-baka bebiri yang cepat membesar, cepat membiak dan mudah diternak didalam kawasan yang kecil tetapi praktikal. Kaedah menternak lama yang mana bebiri atau lembu dilepaskan dikawasan ragutan yang luas sudah kurang praktikal lagi jika dibandingkan dengan sistem penternakan moden dengan cara menggunakan teknologi yang lebih cekap. Kini dalam satu sistem penternakan lembu susu contohnya hanya memerlukan kawasan bangunan dan ruang pergerakan kecil dimana baka lembu susu yang baik lebih mampu memghasilkan susu dengan kuantiti banyak. Apa yang penting adalah penternak akan mendapatkan baka terbaik, makanan yang terbaik dan sistem pemerahan susu secara moden menggunakan mesin yang automatik dan selamat dimakan. Lembu akan hanya dilepaskan didalam paddock ragutan yang disusun rapi atau diberikan makanan pellet atau makanan berkhasiat lain. Peranan gembala dengan menunggang jentera ATV lebih mudh dilakukan (Sila lihat foto disebelah). Pendapatan penternak dibeberapa negara maju dilaporkan sangat baik berbanding dengan beberapa pekerjaan lain. Negara Australia dan New Zealand dilaporkan diantara negara yang maju didalam penternakan tersebut sebagai industri yang sangat hebat memberikan pendapatan kepada KDNK negara tersebut.

Penulis blog tertarik dengan laporan akhbar Sinar Harian bertajuk 'Aku penggembala kambing' yang diterbitkan pada 20 Jun 2020 untuk dijadikan bahan rujukkan di Malaysia. Berita daripada Kota Bharu, Kelantan ini menyatakan u
sia muda bukan penghalang buat anak jati kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini untuk memilih menjadi penggembala kambing bagi menyara kehidupan keluarganya. Bagi Nik Afendy Nik Mat (35 tahun) nyatakan kerjayanya itu bermula lapan tahun lalu dengan memelihara 14 kambing jenis boer sebagai permulaan. Menurutnya, kambing jenis boer yang kemudiannya dikacuk dengan jenis jamnapari itu kini dengan jumlahnya sudah meningkat sehingga 70 ekor yang dijaga di sebuah kandang yang dibina di belakang rumahnya di Kampung Tegayong, Melor dan idea memelihara kambing sebenarnya bermula apabila dia sukar untuk mendapatkan kambing akikah untuk kelahiran anak pertama dan mula-mula hanya pelihara 14 ekor sehingga kini sudah 70 ekor. Dia yang bermula dengan modal RM6,000 dan membina kandang kambing di atas tanah yang disewa dengan keluasan hampir satu ekar di belakang rumah ini. Bapa kepada empat anak berusia tiga bulan hingga 13 tahun itu berkata, rutin hariannya bermula seawal jam 8 pagi dan berlarutan sehingga lewat petang iaitu memberi makan dedak dan bijirin soya serta membersihkan kandang sambil dibantu oleh seorang pekerja.  Dia melakukan rutin hariannya dengan memberi ternakannya makan (Sila lihat foto disebelah). Pemeriksaan dibuat bagi menilai keadaan kambing dengan memastikan kambing sentiasa aktif dan agresif sebagai tanda sihat.  Kambing tidak sihat akan bermuka pucat, tidak bermaya, kerap ‘termenung’, ‘menyendiri’ dan boleh melihat simptom mata berair cirit serta najis berlendir. Lazimnya setiap tiga atau enam bulan sekali dia akan memberi kambing makan ubat 'cacing' untuk memastikan ternakan itu tidak sakit dan mengelak kembung perut, bulu gugur serta bengkak mata. Dia merancang untuk membeli dan menambah bilangan ternakan bagi memenuhi permintaan tinggi terutamanya bagi tujuan menyempurnakan akikah bayi. Dia selalu mengadakan perbincangan dengan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk mendapatkan bantuan untuk membesarkan kandang kerana ternakan yang semakin banyak. Kini sebanyak RM3,500 sebulan diperuntukkan untuk membeli makanan jenis dedak dan kambing cepat membiak selain boleh melahirkan anak kembar tiga hingga empat ekor dalam tempoh empat bulan sekali atau dua kali setahun. Kambingnya dijual bermula dengan harga RM500 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada saiz dan berat. Semuga artikel ini memberi info berguna tentang gembala kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
MENJAGA TERNAKAN... ITU GEMBALA...
DI NEGARA LAIN... PEKERJAAN MULIA...
ADA YANG NOMADIK... SATU BUDAYA...
DIMALAYSIA... SUDAH BERLAINAN PULA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka Bersejarah,
Melaka,
Malaysia.
(16 Rabiulawal 1443H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.