Thursday, August 27, 2020

TrichoSHIELD: KAWAL ANTRAKNOS CILI

Dijenamakan sebagai “TrichoSHIELD” dimana produk ini  merupakan produk inokulan mikrob yang mesra alam dan selamat untuk penggunaan jangka masa panjang serta boleh dijadikan sebagai alternatif kepada racun kimia. Ia telah didaftarkan bawah kategori rahsia dagangan bagi penjanaan harta intelek MARDI pada tahun 2019 (nombor rujukan: TS 2019/32/078).  Penulis blog hanya pernah mendengar produk ini semasa melawat satu projek tanaman cili yang dikelolakan oleh pihak MARDI. Produk biopestisida yang berasaskan mikroorganisma Trichoderma yang berpotensi untuk mengawal serangan penyakit antraknos ini telah dibangunkan untuk digunakan petani bagi meningkatkan lagi kualiti hasil cili. Di laporkan sehingga artikel asas ditulis dimana di pasaran Malaysia, masih belum ada produk berasaskan Trichoderma khas untuk mengawal penyakit antraknos cili. Kebanyakan produk Trichoderma adalah untuk mengawal patogen yang berasal dari tanah seperti Fusarium sp., Rhizoctonia solani dan Sclerotium rolfsii. Trichoderma secara umumnya bersifat mikoparasit serta menghasilkan antibiotik dan toksin antikulat untuk merencatkan keadaan pertumbuhan sesuatu patogen. Kajian di makmal berjaya membuktikan dimana Trichoderma asperellum berjaya merencatkan pertumbuhan Colletotrichum sehingga 100%. Kemampuan dalam merencatkan pertumbuhan patogen ini telah menjurus kepada pembangunan T. asperellum sebagai agen kawalan penyakit antraknos. Melalui kaedah fermentasi cecair ini dilaporkan dimana T. asperellum telah diformulasi dalam bentuk talkum (bedak) supaya ianya boleh digunakan di ladang atau kebun dengan lebih praktikal. Memang penulis blog menyedari dimana masalah perosak dan penyakit juga adalah cabaran yang sering dihadapi oleh petani kerana ia sering mengakibatkan kehilangan kepada hasil tanaman. Penyakit reput buah antraknos merupakan salah satu dari jenis penyakit utama tanaman cili (Capsicum annum) yang disebabkan oleh kulat Colletotrichum spp. Serangan penyakit ini kebiasaannya sering terjadi pada musim hujan. Sehingga kini, penggunaan racun kimia merupakan kaedah utama untuk mengawal penyakit ini. Namun memang ramai petani mengetahui bahawa penggunaan racun kimia komersil yang berterusan boleh menjejaskan alam sekitar. Pengambilan makanan yang terdapat sisa baki racun yang tinggi melebihi MRL (Minimum residual level) boleh menyebabkan pelbagai penyakit kepada manusia. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai produk jemama TRichoSHLELD didalam mengawal penyakit antraknos yang boleh dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda.


Tanaman Cili dan pengeluaran cili di Malaysia terus meningkat saban tahun walau pun berlaku ketidakcukupan dan perlu mengimport dari luar negara. Bagi cili besar atau cili merah banyak cili ini dibawa ,asuk daripada Thailand dan Vietnam sehinigga terkini kerajaan mengambil langkah menghalang kemasukkan cili Vietnam yang tinggi kandungan MRL. Saya ada menulis melebihi 60 artikel mengenai tanaman cili dalam blog iini untuk dibaca (Sila klik disini)(Sila klik disini)(Sila klik disini) dan banyak lagi. Penanaman cili amat memerlukan aktiviti Kawalan penyakit dan perosak kerana cili merupakan antara tanaman sayuran yang utama dan penting di Malaysia. Pada tahun 2018 dilaporkan seluas 2,556 hektar tanah pertanian telah ditanam dengan cili dimana 2,390 hektar telah berjaya mengeluarkan hasil dan ia menyumbang pengeluaran cili iaitu sebanyak 24,428 t/tahun (Sumber: Booklet  Keluasan  Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysai 20018). Serangan penyakit dan perosak telah mengakibatkan pengurangan pengeluaran hasil dimana diantara penyakit yang sering menyerang cili ialah antraknos buah, bintik daun, hawar pucuk, reput pangkal, lecuh anak benih, layu dan virus mozek daun. Antraknos dan penyakit mozek virus adalah penyakit utama yang sering menyerang tanaman cili. 


Lazimnya Penyakit Antraknos cili atau nama lain sebagai Penyakit Bintik Berpusar sering menyerang tanaman ketika musim hujan (Sila lihat foto disebelah). Agen yang menyebabkan antraknos dikenali sebagai Colletotrichum spp. yang mana patogen ini sebenarnya adalah merupakan sejenis kulat (fungi). Antara spesies Colletotrichum yang sering menyerang cili ialah C. capsici dan C. gloeosporioides. Antara simptom antraknos adalah bintik berpusar berwarna hitam pada buah cili dan terdapat simptom bintik-bintik nekrotik pada daun. Pendekatan yang paling sesuai dalam pengurusan perosak dan penyakit adalah kawalan bersepadu iaitu secara manual, amalan kultur, mekanikal, kawalan kimia dan biologi. Antara bahan aktif racun kimia yang sering digunakan untuk mengawal serangan antraknos ialah azoxystrobin dan propineb. Walau bagaimanapun, dengan kesedaran umum mengenai kesihatan kini semakin ramai pengguna menunjukkan minat terhadap produk organik. Di Malaysia terdapat sebanyak 4,366 buah ladang bawah Malaysian Good Agricultural Practice (myGap) dan 202 buah ladang yang dipersijilkan Skim Pensijilan Orgnik Malaysia (myOrganic) yang memerlukan produk mesra alam untuk pengawalan penyakit pada tanaman. TrichoSHIELD ialah salah satu produk yang boleh menyumbang sebagai kawalan penyakit cili secara mesra alam dan seterusnya menggalakkan petani untuk menanam cili secara organik.


Beberapa penyelidikan dilakukan bagi mendapatkan perbandingan insiden dan keterukan penyakit antraknos antara bahan TrichoSHIELD dan racun kimia jenis Azoxystrobin. Penggunaan TrichoSHIELD di ladang adalah secara semburan foliar dengan kadar 5 g/L air (Sila lihat foto disebelah). TrichoSHIELD juga boleh di aplikasi pada batas atau medium tanaman sebelum anak pokok dipindahkan bagi pencegahan awal penyakit. Keberkesanan TrichoSHIELD untuk mengawal penyakit antraknos telah diuji secara skala besar dibeberapa lokasi termasuk di ladang petani di NZN Agrofarm, Klang Selangor yang menjalankan penanaman Cili Kulai 461 secara fertigasi. Kajian yang dijalankan adalah untuk mengkaji perbandingan kesan penggunaan TrichoSHIELD dan juga racun kimia A yang mengandungi bahan aktif azoxystrobin terhadap pengurangan insiden penyakit antraknos pada cili di ladang. Azoxystrobin adalah antara racun kimia yang sering digunakan oleh petani cili konvensional untuk kawalan antraknos. TrichoSHIELD dan azoxystrobin disembur secara foliar kepada pokok cili pada plot yang berasingan mengikut kadar penggunaan yang dicadangkan. Insiden dan keterukan penyakit direkodkan setiap minggu sehingga tamat musim penanaman. Keputusan mendapati tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap insiden dan keterukan antraknos pada pokok cili yang dirawat menggunakan TrichoSHIELD dan azoxystrobin. 


Hasil kajian mendapati dan mencadangkan bahawa TrichoSHIELD boleh dijadikan sebagai alternatif kepada azoxystrobin untuk kawalan antraknos pada cili. Selain itu, didapati pengurangan insiden penyakit antraknos pada cili oleh TrichoSHIELD adalah sehingga 70% berbanding dengan pokok yang tidak dirawat menggunakan TrichoSHIELD. Hasil cili pada pokok yang dirawat dengan menggunakan azoxystrobin adalah sedikit tinggi iaitu 1,573 g/pokok berbanding dengan pokok yang dirawat dengan menggunakan TrichoSHIELD (1,386 g/pokok). Selain penyakit antraknos, azoxystrobin juga boleh mengawal penyakit lain seperti kulapuk berdebu yang disebabkan oleh kulat patogen Leveillula taurica pada cili. Penyakit powdery mildew menyebabkan kehilangan hasil sehingga 30% disebabkan oleh defoliasi dan pengurangan dalam fotosintesis pada daun dan seterusnya mengurangkan saiz dan bilangan buah cili. Ini mencadangkan kemampuan untuk mengawal lebih daripada satu jenis penyakit oleh bahan aktif azoxystrobin menyumbang kepada hasil cili yang lebih banyak. Kajian pembandingan antara penggunaan bahan biofungisid TrichoSHIELD dan racun kimia azoxystrobin menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan pada insiden penyakit dan keterukan penyakit antraknos pada cili berserta hasil yang kompetitif. Ini menunjukkan dimana TrichoSHIELD berpotensi sebagai produk alternatif yang mesra alam dan dapat mengurangkan penggunaan racun kimia. Produk ini dapat menambah nilai biopestisida sedia ada dan boleh digunakan oleh petani khususnya bagi petani yang menjalankan pertanian secara organik untuk mengawal penyakit antraknos pada cili.


Penulis blog ingin berkongsi maklumat bagaimana pengeluaran tanaman seperti sayur-sayuran termasuk cili adalah berisiko terhadap serangan perosak dan penyakit. Tanaman cili khususnya sering terdedah kepada ancaman penyakit antraknos yang sering berlaku pada musim hujan. Bagi mengatasi masalah ini, petani bergantung kepada penggunaan racun kimia yang banyak dijual di pasaran. Umum mengetahui, penggunaan racun kimia untuk tempoh yang panjang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Oleh itu, produk biopestisida yang terdiri daripada mikrob yang berfaedah seperti Trichoderma dilihat mampu bersaing dan menjadi alternatif kepada racun kimia. TrichoSHIELD yang didapati mengandungi bahan aktif Trichoderma asperellum dikenal pasti dapat mengurangkan jangkitan penyakit antraknos pada tanaman cili. Bahan asas artikel ini daripada terbitan  Buletin Teknologi MARDI Bil. 18 (2020): 105 - 110 yang dalam lamanweb. Semuga anda pembaca blog anim agro technology mendapat infoo terbaik daripada artikel kali ini. Wasallam!...
MENANAM CILI... ADA PENYAKITNYA...
GUNAKAN TRICHOSHELD... APA CARA...
KAWAL ANTRAKNOS.. BERKESANNYA...
CILI BERKUALITI... MAHAL HARGANYA..

By,
M ANem,
Senior Agronomist,

Preciint 11,
Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(4 Muharrram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.