Wednesday, August 26, 2020

TEKNIK TANAM TIMUN FERTIGASI

TANAMAN TIMUN (Cucumis sativus) merupakan sejenis tanaman sayuran buah yang popular di Malaysia secara komersil. Kini teknologi fertigasi adalah teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik kepada proses tumbesaran dan hasil tanaman. Teknik Fertigasi merupakan gabungan dua perkataan Inggeris iaitu fertilizer dan irrigation. Dalam teknologi fertigasi ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak terus ke zon akar tanaman. Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat dari masa ke masa. Peningkatan hasil dan tumbesaran pada tanaman cili, rockmelon, tomato dan cili sebanyak 2 - 3 kali ganda telah menarik minat petani dan usahawan tani untuk mereka dapat mengaplikasikan teknologi moden ini. Modal permulaan yang tinggi untuk memulakan perusahaan tanaman menggunakan teknologi fertigasi merupakan faktor utama yang menjadi halangan untuk usahawan tani bertukar kepada penanaman secara fertigasi sepenuhnya. Kaedah penanaman fertigasi berasaskan tanah boleh dijadikan alternatif utama untuk mengatasi masalah kos yang tinggi ini. Melalui penanaman secara fertigasi berasaskan tanah, usahawan tani dapat meningkatkan prestasi tumbesaran dan hasil tanaman dengan kos pembajaan yang minimum. Penanaman timun menggunakan kaedah fertigasi berasaskan tanah telah terbukti berkesan dalam meningkatkan tumbesaran dan hasil tanaman. Saya ada banyak menulis artikel mengenai tanaman yimun dan fertigasi didalam blog ini dimana untuk puatnan boleh (Sila klik disini)(Sila klik disini)(Sila klik disini)(Sila klik disini) dan berpuluh artikel lagi. Kaedah penanaman secara fertigasi berasaskan tanah ini sesuai untuk pengusaha yang ingin meningkatkan hasil tanaman, tetapi menghadapi kekangan modal yang terhad. Artikel tengahari Isnin ini saya menuls dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman timun secara fertigasi sebagai bahan rujukkan anda semua.


Pada peringkat awal kerja sediakan tanah projek perlu dibersihkan, dibajak dan digemburkan sebagai sebahagian proses penyediaan tanah bagi tujuan penanaman timun secara konebsional. Saiz batas yang sesuai ialah 0.5 m lebar dan 20 - 30 cm tinggi. Jarak di antara batas yang disyorkan ialah 60 cm manakala jarak di antara tanaman ialah 60 cm dan disusun sebaris bagi memudahkan kerja pengurusan tanaman. Apa pun penulis blog lebih suka untuk menanam timun fertigasi dengan cara fertigasi gantung (Sila lihat foto disebelah). Pengapuran dijalankan dua minggu sebelum kerja untuk pemindahan anak benih dijalankan. Kadar pengapuran adalah mengikut jenis dan nilai pH tanah. Kebiasaannya, proses pengapuran dilakukan jika nilai pH tanah kurang daripada 5 dan aktiviti ini dilakukan 14 hari sebelum menanam. Kadar pengapuran ialah 3 - 7.5 t/ha bagi tanah gambut, 1- 3 t/ha bagi tanah bris dan 3 - 5 t/ha bagi tanah mineral. Manakala tinja ayam proses digunakan sebagai baja asas mengikut jenis dan kandungan nutrien. Kadar tinja ayam proses yang disarankan ialah 1 t/ha bagi tanah gambut, 10 t/ha bagi tanah bris dan 5 t/ha bagi tanah mineral. Manakala pemberian baja asas ini dilakukan seminggu sebelum menanam. Kerja seterusnya adalah pemasangan sistem pengairan. Sistem fertigasi berasaskan tanah melibatkan peralatan lengkap seperti tangki air baja (600 gelen), pam air dengan kuasa 2.5 hp, penapis, injap dan paip poli serta pita penitis yang berfungsi menghantar larutan nutrien kesetiap tanaman. Pita penitis akan diletakkan di atas batas dengan setiap pokok akan mendapat satu lubang saluran air nutrien. Selepas itu, batas akan ditutup menggunakan plastik sungkupan UV bagi mengelakkan rumpai tumbuh pada batas. Pita penitis ini juga turut berfungsi membekalkan air kepada tanaman. Sistem pengairan ini perlu dipasang sebelum anak timun dipindahkan ke batas. Sistem pengairan ini juga boleh diautomasikan dengan pemasangan pemasa (timer).


Seterusnya adalah kerja membuat sokongan tanaman  dimana untuk tanaman timun boleh dibuat menggunakan kayu pancang setinggi 6 - 8 kaki, dawai dan jaring nilon. Jaring dipasang secara menegak bagi membolehkan sulur atau pucuk tanaman timun memanjat dan menjalar pada jaring nilon secara menegak. Sistem sokongan tanaman seperti ini adalah didapati lebih menjimatkan kos berbanding dengan pembinaan sistem sokongan para yang menggunakan tali rafia (Sila lihat foto disebelah). Sistem sokongan ini memberi sokongan pada pokok daripada terbalik terutama pada peringkat buah. Kegagalan menyediakan sistem sokongan yang baik akan mengakibatkan pokok tumbang dan pucuk patah, sekali gus mengurangkan hasil buah timun. Penyediaan dan kerja  pemindahan anak benih Antara varieti yang disyorkan ialah 747 atau Symphony, 288 dan Armony. Varieti-varieti yang disyorkan adalah tahan penyakit dan memberikan hasil yang tinggi dengan pengurusan yang baik. Biji benih timun disemai di dalam dulang semaian dengan menggunakan peat moss sebagai medium semaian. Biji benih akan bercambah dalam masa 2 - 3 hari dan dialihkan ke dalam rumah semaian. Anak benih timun akan dipindahkan ke ladang setelah berusia 7-10 hari. Proses memindahkan anak benih hendaklah dijalankan pada sebelah petang (lima petang ke atas) bagi mengelakkan anak benih terkena kejutan cuaca panas serta suasana sejuk pada waktu malam akan mempercepatkan proses pemulihan anak benih akibat daripada kesan pemindahan. Ada pun teknik menanam terus biji benih ke batas tidak disyorkan bagi sistem fertigasi berasaskan tanah kerana dikhuatiri peratusan (survival rate) anak benih hidup menjadi rendah akibat cuaca yang tidak menentu dan serangan haiwan perosak seperti belalang, cengkerik dan siput babi.


Lazimnya pengurusan tanaman timun secara fertigasi mementingkan kaedah pembajaan. Baja fertigasi yang telah dirumuskan oleh Jabatn Pertanian bagi tanaman timun digunakan bagi penanaman secara fertigasi berasaskan tanah ada dijual komersil. Baja fertigasi timun terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan B. Baja yang ditimbang berasingan dilarutkan di dalam air yang bersih satu persatu. Komponen baja kemudiannya dijadikan stok baja (pati baja) bahagian A dan bahagian B di dalam 100 L air secara berasingan. Larutan stok disyorkan supaya sentiasa tersedia dan sedia untuk dicairkan ke dalam tangki larutan baja apabila diperlukan. Tanaman timun memerlukan larutan nutrien dengan kepekatan yang tertentu di beberapa peringkat tumbesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC) atau meter EC. Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah μS. Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbesaran tanaman secara umum ialah EC 1.5-4.0. Bagi tanaman timun, EC yang disyorkan ialah 1.8-2.4. Selepas selesai kerja memindahkan anak pokok ke batas, anak pokok disiram dengan air tanpa baja. Selepas tempoh 24 jam anak pokok timun diberikan larutan baja dengan kepekatan 1.8 Μs sehingga berusia tiga minggu. Selepas tiga minggu, kepekatan baja dinaikkan menjadi 2.0-2.6 μS sehingga tamat musim penanaman. Semburan foliar seperti high kalium dilakukan bagi menggalakkan aruhan bunga untuk meningkatkan hasil buah timun. Tempoh dan kekerapan titisan larutan baja bergantung pada usia dan peringkat tumbesaran pokok. Pada peringkat awal, tanaman timun memerlukan 0.6-1 L air sehari sehingga tempoh tiga minggu pertama. Secara umumnya tanaman timun memerlukan jumlah air sebanyak 1.5-3.0 L sehari pada waktu berbuah.


Bagi tujuan kawalan penyakit dan juga serangga perosak dilakukan mengikut keperluan. Penanaman timun sering menghadapi risiko kerosakan yang tinggi akibat serangan penyakit dan serangga perosak. Sebaiknya kawalan penyakit dan serangga perosak yang dilakukan secara bersepadu menggunakan racun dan kaedah yang betul dapat meningkatkan kadar kejayaan. Antara serangga perosak utama tanaman timun ialah ulat ratus (Spodoptera sp.) dan ulat pengorek buah (Helicoverpa armigera). Selain itu, tanaman timun juga sering diserang penyakit kulat kulapuk downi (Pseudoperonospora cubensis) pada bahagian daun. Serangan kulat ini menjejaskan hasil tanaman timun sehingga 50%. Pengusaha tanaman timun perlu menjaga tanaman daripada dijangkiti kulat ini bagi memanjangkan tempoh tuai sekali gus meningkatkan hasil tanaman timun. Pengusaha tanaman fertigasi haruslah berupaya mengenal pasti jenis penyakit dan serangga perosak timun supaya tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilakukan dengan segera.

Penuaian hasil bagi timun memang boleh dijangkakan dengan cara pengurusan tanaman yang baik. Hasil tuaian pertama bagi timun adalah sekitar tiga minggu selepas mengubah anak ke batas tanaman. Kutipan hasil boleh dilakukan sehingga 4 - 6 minggu daripada tempoh kutipan hasil pertama. Kutipan hasil ini akan dilakukan dengan selangan tiga hari di peringkat awal dan setiap hari pada peringkat puncak. Prestasi kutipan hasil yang perlu dicapai oleh pengusaha ialah 4 - 6 kg/pokok (Sila lihat foto disebelah). Sebagai perbandingan purata hasil penanaman timun secara konvensional ialah 1.2 kg dimana ia bergganda dengan cara fertigasi. Prestasi minimum ini haruslah dicapai bagi memastikan pengusaha mendapat modal pelaburan dalam masa yang singkat. Walau begitu selalunya hasil timun yang melebihi prestasi minimum ini boleh diperoleh dengan pengurusan tanaman yang betul dan cekap. Kebiasaannya kerja-kerja mengutip hasil dilakukan menggunakan buruh kontrak tempatan dengan kadar upah RM0.20/kg. Buah yang dipetik kemudiannya digred sebelum dipasarkan. Selepas tamat tempoh tuaian biasanya pokok timun dibiarkan kering dijaring sokongan dengan memotong bahagian pangkal pokok. Kemudian batang serta daun timun dicabut dan dibuang. Ladang atau plot tanaman dibersihkan daripada sebarang sisa tanaman dan tanah dibiarkan kosong tanpa sebarang tanaman selama dua minggu bagi tujuan mengelakkan berlakunya timbunan penyakit dan serangga perosak. Selepas tamat tempoh rehat barulah aktiviti penyemaian biji benih dilakukan. 


Penanaman timun menggunakan sistem fertigasi berasaskan tanah memberi hasil yang tinggi dan pertumbuhan pokok yang baik dengan penambahan kos yang minimum. Sistem fertigasi berasaskan tanah juga dapat dalam meningkatkan keberkesanan penggunaan baja sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tani.Teknologi fertigasi adalah teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik kepada tanaman. Peningkatan hasil dan pertumbuhan pada tanaman rockmelon, tomato dan cili sebanyak 2 - 3 kali ganda telah menarik minat petani dan usahawan tani golongan muda  dalam mengaplikasikan teknologi moden ini. Walau kos permulaan yang tinggi menjadi faktor utama masih ramai usahawan tani tidak bertukar kepada penanaman secara fertigasi sepenuhnya. Melalui penanaman secara fertigasi berasaskan tanah, usahawan tani dapat meningkatkan prestasi pertumbuhan dan hasil tanaman dengan kos pembajaan yang minimum. Prestasi kutipan hasil mampu mencapai 4 - 6 kg/pokok bagi tanaman timun. Penanaman timun menggunakan sistem fertigasi berasaskan tanah memberi hasil yang tinggi dan pertumbuhan pokok yang baik dengan penambahan kos yang minimum. Sistem fertigasi berasaskan tanah juga dapat meningkatkan keberkesanan penggunaan baja sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tani. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
MENANAM TIMUN... IA MUDAH SAJA...
CARA FERTIGASI... HASIL BERGANDA...
BAJA DIBANCUH... IKUT SUKATANNYA...
SUDAH DIPRAKTIK... PETANI MUDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(4 Muharram 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.