Tuesday, August 11, 2020

APA BAIKNYA FERTIGASI GANTUNG

TEKNOLOGI TANAMAN FERTIGASI GANTUNG kini adalah merupakan antara teknologi pertanian vertical yang semakin diminati oleh ramai petani komersil dan petani hobi. Pada penulis blog sering menerima pertanyaan dari ramai orang sebenarnya apakah yang dimaksudkan dengan fertigasi gantung?. Sebenarnya teknik fertigasi gantung adalah salah satu cara penanaman menggunakan beg semaian yang akan diikat dengan tali dan digantung pada sistem para atau trellis yang berasaskan kayu dan dawai serta tali kukuh sebagai penyokong (Sila lihat foto saya diatas). Pengamatan penulis blog mendapati banyak rekabentuk (design) sistem para fertigsi gantung mengikut kesesuaian topografi tanah, jenis tanaman dan juga modal serta pengurusan dilaksanakan. Lazimnya sistem para perlu dipasang dengan kukuh untuk menampung beg semaian yang diisi dengan media coco peat atau peat moss (sabut kelapa) serta paip khusus untuk siatem pengairan dan pembajaan. Biasanya jenis tanaman yang sesuai untuk teknik ini adalah jenis sayur-sayuran berbuah termasuk timun, terung, cili, peria, kacang panjang dan petola. Sistem tanaman beberapa jenis buah termasuk melon ada yang menggunakan fertigasi gantung. Biasanya projek yang diusahakan melalui teknik ini didapati lebih menguntungkan dan berdaya maju dengan cara pengurusan yang betul dan mengikuti pakej amalan teknologi yang disyorkan. Ia juga lebih baik berbanding dengan kaedah penanaman secara konvensional diatas batas tanah dan kawasan terbuka atas tanah. Berbanding kaedah fertigasi biasa yang ditanam di atas tanah atau di dalam beg semaian didakwa teknik  ini mampu memberikan kos efektif yang signifikan dan mudah dari segi penjagaan rumpai dan kawalan penyakit. Semakin ramai yang minat menanam sayuran dengan fertigasi gantung terutama di kawasan yang mudah dilanda masaalah banjir dan sering diserang penyakit bawaan tanah (soil borne disease). Artikel subuh ini dalam suasana Hari Raya Aidilfitri 1441H dan dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat wabak Covid19 saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai teknologi penanaman Fertigasi Gantung untuk dijadikan bahan rujukan anda semua.

Apa yang perlu dijelaskan adalah apakah sebenarnya kelebihan Fertigasi Gantung berbanding dengan teknologi yang lain. Didapati antara kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah ianya akan dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut hasil. Aktiviti penting seperti kerja merumpai menjadi lebih mudah kerana rumpai kurang tumbuh, boleh menggunakan mesin dengan mudah, tanaman lebih subur dan kurang penyakit. Seterusnya penggunaan racun dapat dikurangkan kerana proses penyemburan racun serangga dan kulat dapat dilakukan dengan cekap serta efisyen menggunakan jentera penyembur yang sesuai. Bagaimana pun penting dimana pengusaha semestinya telah tahu dan faham akan cara membuat percampuran air baja Set A dan Set B serta masa dan kuantiti pembekalan air baja mengikuti SOP yang betul. Kegagalan membaca EC Meter, penghantar mengikut jadual dan percampuran baja akan memudharatkan tanaman. Apa pun lazimnya hasil tanaman akan dapat dipungut dengan mudah dan cepat kerana kedudukan beg semaian atau pokok berkeadaan yang lebih tinggi serta jangka hayat tanaman lebih lama (Sila lihat foto disebelah). Apa pun sebenarnya secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat dikurangkan sehingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa. Ini kerana tiada kawalan merumpai, membaja dengan alat 'kawalan automatik' dan juga kerja-kerja kawalan serangga perosak dan penyakit dapat dikurangkan atau minima. 

Tinjauan penulis blog kepada aktiviti penanaman timun (Cucumis sativus) secara komersil dengan teknologi fertigasi gantung mendapati lazimnya hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan 7 - 10 hari berbanding penanaman timun secara konvensional. Apa pun penulis blog dapati sistem ini dapat memberi akan pulangan maksimum kepada petani di mana jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus. Peenulis dapati tknologi ini sangat sesuai untuk diaplikasikan di kawasan tanah yang bermasalah seperti keadaan geografi tanah yang rendah dan mudah dinaiki air serta tanah yang kurang subur termasuk tanah bris. Petani yang mengusahakan tanaman di kawasan kebun yang kerap berlaku banjir sangat digalakkan untuk mencuba teknik ini memandangkan ia tidak menjejaskan keadaan fizikal mahu pun kualiti hasil malah dapat menjamin pengeluaran hasil yang berterusan. Sebenarnya jika menerusi penggunaan mekanisasi ladang yang sesuai maka akhirnya jumlah kos pengeluaran dapat dikurangkan dengan berkesan dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani. Kepada petani yang ingin berubah daripada kaedah penanaman secara konvensional dan ingin menukar kepada sistem fertigasi termasuk sistem fertigasi gantung boleh mendapatkan info lanjut darpada pihak Jabatan Pertanian atau institusi lain berwibawa atau membuat tinjauan teknologi(buat lawatan) kekebun sistem fertigasi gantung yang sudah sedia.

Akhbar HM dengan artikel bertajuk "Teknologi Fertigasi Gantung" sesuai dijadikan bahan rujukkan. Industri pertanian di negara kita kini kian selari dengan arus teknologi dari semasa ke semasa. Wujudnya inovasi di dalam industri pertanian mampu memacu ke arah kehidupan yang lestari. Teknologi fertigasi gantung adalah satu revolusi dalam perusahaan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memastikan kitaran tanaman sentiasa berkualiti serta konsisten. Kini didapati  dengan teknologi yang dikembangkan Jabatan Pertanian (DOA) mampu mengoptimumkan penggunaan tanah untuk industri berkenaan. Kalau dulu sistem tanaman di atas tanah berbatas hanya terhad kepada kawasan dan topografi yang sesuai. Antara kelebihan teknologi fertigasi gantung ini juga dapat meningkatkan pendapatan yang baik disebabkan peningkatan hasil melalui penggunaan baja secara efisien, konsisten dan jangka hayat ekonomik tanaman lebih lama.  Risiko serangan penyakit daripada ‘soil borne’ dapat dikurangkan kerana antara kelebihan utama sistem ini ialah kedudukan tanaman tidak berada di atas tanah dan sistem pengudaraan yang lancar. Konsep asas yang membezakan teknologi ini dengan kaedah lain ialah pokok ditanam dalam beg semaian bermedia secara tergantung berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong. Antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang panjang, petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran tanaman. HM menyatakan dimana diantara bberapa kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut hasil. 

Secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat dikurangkan hingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa. Penulis blog setuju degan wartawan HM dimana apabila dipantau hasil pengeluaran timun milik petani meningkat dan hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10 hari berbanding penanaman secara konvensional. Apa pun hasil dapat dipungut dengan mudah, cepat kerana kedudukan beg semaian lebih tinggi dan jangka hayat tanaman lebih lama. Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani apabila jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus. Petani menerangkan kaedah penggunaan teknologi ini dimana sistem para dipasang dengan kukuh untuk tujuan menggantung beg semaian dan sistem pengairan dengan cara menggunakan PE tubing. PPekebun yang dikenali dengan nama Fazril Shahiri berumru 40 tahun dan seorang pekerjanya memeriksa timun yang baru dituai di Kampung Pintu Padang, Raub, Pahang (Sila lihat foto disbelah). Bagi setiap beg semaian yang diisi media tanaman akan terus digantung menggunakan kawat duri dan semaian anak benih tanaman di dalam dulang semaian dengan media peat moss. Lazimnya anak benih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang disediakan. Seterusnya baja larutan fertigasi (baja fertigasi set A+B) dipam masuk melalui PE tubing yang dipasang bersambungan antara beg semaian dan ianya mempunyai ‘nipper’ pada setiap pokok. Kekerapan didalam pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang disyorkan dan bergantung kepada cuaca semasa. Kebiasaannya pembajaan dibuat tiga hingga enam kali sehari dan diulangi dengan air selepas dua hingga tiga jam pembajaan dibuat. Cara penggunaan baja organik seperti asid amino dan plant booster mampu meningkatkan kualiti tanaman dan pulangan hasil dimana selalunya timun yang sudah digredkan sedia untuk dipasarkan. Apabila ada tunas yang baru keluar perlu dididik untuk menjalar di atas para dawai yang disediakan. Penuaian mudah dijalankan kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutip. Potensi bagi satu beg semaian untuk tanaman timun boleh mencecah tujuh hingga 10 kilogram (kg) semusim. Semuga tulisan dalam blog anim agro technology kali ini memberi info berguna kepada semua pembaca. Wasallam!!...
FERTIGASI GANTUNG... PRAKTIKAL DIA...
KOS AWALAN... AGAK TINGGI BIAYANYA...
HASIL TINGGI... SANGAT MUDAH DIJAGA...
PENDAPATANNYA... BAIK PADA PEMUDA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Precint 11, Putrajaya, 
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(2 Syawal 1441H).
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI!!!...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.