Saturday, February 23, 2019

RUMPUT DAN LALANG

TUMBUHAN RUMPUT (grass) atau mudahnya disebut 'rumpai' merupakan sejenis tumbuhan renek atau herba yang boleh hidup di darat, sungai atau laut. Rumpai dikelaskan mengikut cara hidup dan fisiologinya dimana pada keadaan biasa rumpai dikelaskan kepada tiga kategori utama iaitu Rumpai Daun Tirus, Rumpai Daun Lebar dan Rusiga. Rumpai daun tirus biasanya di dalam keluarga Poaceae (dahulu dikenali sebagai Graminaea) contohnya Rumput Sambau (Echinochloa crus-galli) Rumpai jenis ini biasanya mempunyai batang yang bulat dan berdaun tirus. Rumpai daun lebar pula mudah dicam dengan sifat daunnya yang lebar dan besar. Terdapat banyak keluarga lain di dalam kumpulan ini, seperti Asteraceae, Amaranthaceae dan Rubiaceae. Contoh rumpai di dalam kumpulan ini ialah Rumput Tahi Ayam (Ageratum conyzoides) dan bayam duri (Amaranthus spinosus). Manakala jenis rusiga pula mudah dikenali dengan bentuk batangnya yang bentuknya segi tiga. Kebanyakan rumpai kumpulan ini adalah di dalam keluarga Cyperaceae. Contoh mudah spesies yang tergolong di dalam keluarga ini ialah rumput halia hitam (Cyperus rotundus) dan juga Menerong. Di dalam bidang pertanian rumput ini akan dikaitkan sebagai "tumbuhan perosak" dimana ia selalunya di hapuskan atau dimusnahkan dengan beberapa kaedah kawalan rumpai samada kaedah mekanikal, kimia, kultur dan biologi. Rumput atau rumpai ini akan bersaing dengan taanaman yang diusahakan dri segi persainan untuk nutrien makanan. cahaya matahari, ruang pertumbuhn dan yg paling ditakuti petani adlah pembawa atau memjdi perumh kepada perosak tanaman. Dalam bidang penternakan pua berbeza dimana tumbuhan rumpai ini pula boleh dijadikan makanan haiwan ternakan ruminan terutama seperti lembu, kambing dan biri-biri. Ia juga mempunyai banyak kegunaan didalam bidang perubatan moden atau perubatan tradisional. Ada sesetengah rumpai boleh dijadikan makanan atau ulam serta sumber ubatan penting. Pucuk paku dan pucuk pegaga misalnya boleh dijadikan sayur atau ulam. Misai kucing pula terkenal sebagai ubatan dalam mencegah kencing manis dan darah tinggi. Artikel pada malam ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology'' mengenai perbezaan antara rumput dan lalang sekadar untuk dijadikan bahan rujukkan. 


LALANG (Imperata cylindrica) adalah sejenis tumbuhan kategori rumpai (weeds) dari keluarga Poaceae (Dulu Graminae) yang terdapat diseluruh dunia. Semua orang mungkin kenal akan tumbuhan lalang yang tumbuh liar di kawasan padang, keliling rumah, di tepi sungai, kawasan pantai, tepi jalan raya dan dimana-mana juga. Tumbuhan lalang merupakan di kategorikan sebagai antara 10 jenis rumpai merbahaya didunia dan ada setengah negara menjadikan lalang sebagai rumpai yang perlu di kuarantin. Ini adalah disebabkan kemusnahan yang mampu dilakukan olehnya dan kawalan untuk memusnahkannya memerlukan kos yang amat tingi selain daripada kesukaran untuk dikawal. Membasmi lalang agak sukar yang menyebabkan ianya membiak dengan cepat dan menjadikan masaalah kepada orang lain. Lalang mempunyai daun pedang (Blade leaf) yang panjang keluar dari pangkal rumpun dengan ukuran panjang 1- 4 kaki dan 2-3 inci lebar. Daun berwarna hijau akan bertukar kepada hijau merah dan akhirnya mati dan kering berwarna coklat. Lalang sangat toleran dengan suhu dan cuaca kering mahu pun di kawasan yang ada teduhan. Lalang akan tumbuh dengan mudah asalkan ada kawasan tanah, cahaya matahari, air dan mampu 'survive' dalam suhu kepanasan akibat terbakar. Rizom Lalang yang ada dalam tanah tidak akan musnah walau pun di bahagian atas tanah semua bahagian daun dan batang telah di bakar atau hangus. Ini kerana rizom lalang mempunyai simpanan makanan dan akar serabut berada di sekelilingnya. Rizom lalang mampu keluar untuk tumbuh dan membiak diatas tanah selepas terbakar dan lazimnya akan lebih subur dari sebelumnya. Lalang mampu tumbuh dengan cepat (fast growth weed) dan ianya amat sukar untuk dimusnahkan. Haiwan ternakan tidak suka untuk makan lalang kerana struktur daun lalang yang keras, tidak enak dan tajam selain mengandungi bahan toksik yang akan menyebabkan haiwan ruminan sakit perut. Kalau haiwan ternakan suka akan lalang, maka tidak menjadi masaalahlah untuk kita menanam lalang bagi tujuan makanan ternakan. Malangnya kejadian alam tidak begitu.


Setakat ini belum ada laporan mengenai penggunaan lalang selain daripada ianya sebagai rumpai merbahaya yang menjadi masaalah kepada petani. Hanya beberapa negara seperti di Papua New Guinea, Afrika dan beberapa kawasan Pendalaman di Asia Tenggara yang menggunakan daun lalang untuk dijadikan atap dan dinding rumah. Kawasan penempatan orang asli kita juga yang masih menggunakan daun lalang sebagai atap dan dinding rumah mereka. Memang sejuk, berangin dan selesa jika kita ada pondok atau rumah yang mempunyai daun lalang waktu tengahari. Bagaimana pun ianya agak merbahaya kerana mudah terbakar. Kawasan tebing sungai dan kawasan lereng bukit yang ditumbuhi lalang mampu membantu mengawal hakisan tanah walau pun lalang tidak menpunyai akar panjang seperti 'vertiver grass'. Rizom Lalang ini mempunyai pucuk yang tajam yang memanjang dalam tanah dan ada yang terus naik di permukaan tanah. Saya masih ingat ketika berjalan di kawasan kebun getah yang ada lalang dengan kaki ayam atau pakai selipar jepun, aduh sakitnya terkena cucuk rizom lalang yang tajam. Rizom ini akan memanjang dalam tanah dan amat sukar untuk dimusnahkan. Hanya racun lalang jenis sistemik (Seperti Round-up) yang mampu membunuh rizom lalang jika aplikasi dibuat dengan betul mengikut kadar. Tanah yang ada lalang jika dibajak dan diterbalikkan permukaan tanah dengan cepat rizom yang ada akar ini akan tumbuh. Saya pernah ambil rizom ini (yang berwarna putih krim) kemudian digigit mempunyai rasa agak manis. Kepada mereka yang belum pernah rasa jus rizom lalang boleh mencubanya.


Apakah dia perbezaan antara rumput dengan lalang?. Mungkin ada dikalangan pembaca blog yang terpesona dengan tumbuhan tumbuhan disekeliling anda. Ada tempat memang sekali tiada rumput iaitu di padang pasir atau di gurun Sahara. Jika tiada rumput maka tempat itu memang panas sepanjang masa. Jika menanam rumput komersial dan rumput khas untuk satu-satu padang seumpama padang golf atau padang bola sepak ianya akan menelan kos-kos yang mana kekadang terlalu mahal sampai mencecah puluhan ratus ribu ribu ringgit mahupun dollar. Ini adalah kerana pihak tertentu mahukan standard rumput yang sama dan warna kehijauan yang sama. Sendayan pula merupakan sejenis rumpai yang menjadi masaalah kepada petani (Sila lihat foto disebelah)Rumput dan Lalang adalah berbeza. Sebelum ini kedua dua panggilan ini adalah sama bagi sesetengah orang tetapi sebenarnya apabila di teliti memng agak jauh perbezaan tumbuhan ini. Rumput dikenali sebagai tumbuhan monokotiledon (mempunyai satu sahaja kotiledon) yang bertumbuh tegak, berumpun atau bercabang, merayap, menjalar dan tumbuh melata. Rumput yang paling menarik bagi saya adalah rumput Jepun atau rumput Peking. Rumput ini dikomersialkan untuk padang golf. kerana ia adalah jenis rumput yang tumbuhnya tidak menegak tetapi menjalar dan menebal seumpama karpet diatas tanah. Jika bermain golf pun senang bola bergolek dan tatkala memberi pandangan kawasan hijau yang sangat cantik meluas mata memandang. Apabila memijak pada rumput ini tanpa pakai berkasut pula tidak berasa geli malahan memberi sensasi yang cukup mengagumkan.


Lalang pula adalah tumbuhan liar senang tumbuh di cuaca Malaysia tanpa ada penjagaan yang rapi. Rujukkan dari Wikipedia menyatakan lalang juga dikategorikan sebagai pokok dan menamakannya Pokok Lalang. Lalang juga dianggap sebagai rumpai air. Nama lain untuk Pokok Lalang juga dipanggil Pokok Keladan atau nama botaninya Imperata cylindrica. Jangan beranggapan lalang sebagai tumbuhan yang tiada peranan di dalam kitaran kehidupan tumbuhan. Peranan lalang amat besar terutamanya menghalang tanah terus dari ia terhakis terutama sekali pada waktu hujan yang lama. Lalang juga mampu menghalang tanah dari dihanyut terus ke sungai. Salah satu kaedah untuk mengelakkan tanah runtuh terjadi dengan berleluasa dan kesuburan tanah juga terjamin. Apa yang kita kata masaalah kepada petani sebenarnya ada nilai ekonomi tidak langsung kepada persekitaran. Pendek kata tumbuhan tumbuhan yang asal pada mata kasar manusia tiada guna pada awalnya kini menjadi satu bantuan dari segi ekonomi dan pengurusan tanah terhakis. Kesimpulannya rumput mahupun lalang harus dipelihara sebaik mungkin dan diguna sebijak bijaknya agar ekosistem berada pada tahap seimbang dan sejagat.


Dalam akhbar tepatan bertajuk "Lalang cetus risiko kemalangan, kebakaran" menarik perhatian penulis blog. Berita dipetik dari Teluk Panglima Garang ini menyatakan dimana rumput dan lalang terbiar sehingga mencecah ketinggian orang dewasa di sepanjang jalan mengundang kejadian tidak diingini (Sila lihat foto disebelah). Masalah tersebut perlu diatasi segera memandangkan fenomena El-Nino yang melibatkan cuaca panas melampau bermula dari awal Januari lalu hingga Mac depan berisiko menyebabkan kebakaran. Penduduk tempatan sentiasa memantau masalah lalang setinggi hampir dua meter di sini  yang masih belum dibersihkan. Mereka bimbang kebakaran boleh berlaku kerana daerah yang berada dalam mukim Tanjung Dua Belas ini terkenal dengan kawasan muka bumi tanah gambut. Pihak berkuasa seperti Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memainkan peranan memantau kawasan-kawasan yang tidak diselenggara dengan baik terutama di rizab jalan milik mereka. Bagi kawasan Jalan Kebun Bharu contohnya adalah laluan pelbagai jenis kenderaan setiap hari yang memerlukan masalah rumput ini diselesaikan supaya kenderaan keluar masuk simpang dapat dilihat jelas. Kenderaan yang selalu menggunakan jalan ini bukan setakat kereta dan motosikal malahan kenderaan berat seperti treler dan lori pengangkut tanah. Pernah terjadi kemalangan di kawasan ini akibat masalah penglihatan yang terhalang.


Akhbar My Metro dengan tajuknya "Lebih 2 jam padam lalang terbakar"  telah meaporkan dimana kebakaran  lalang di Kampung Dalam, Tumpat, Kelantan menganggu penduduk. Pihak Bomba telah mengambil masa lebih dua jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran lalang di Jalan Kampung Kelong. Kebakaran pada 1.20 tengah hari itu membabitkan keluasan 0.4 hektar dimana rumput dan lalang yang tebal menyebabkan ia cepat marak dibantu oleh cuaca kering dan tiupan angin kencang.  Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.24 tengah hari. Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan di lokasi kejadian (Sila lihat foto disebelah). Kini sebaik tiba di lokasi maka pasukan bomba memulakan operasi mengawal dan memadamkan kebakaran daripada terus merebak. Cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran lalang cepat merebak, namun berjaya dikawal. Apa pun api berjaya dipadamkan sepenuhnya 4.10 petang dan membakar satu kawasan yang agak luas. Musim panas sering menyebabkan kebakaran dikawasan rumut kering dan lalang dan ia peru sentiasa dipantau. Semuga artikel ini membei info berguna kepada semua pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
RUMPUT TEBAL.... DIPINGGIR JALAN DIA...
LALANG MENEBAL... PUTIH BUNGANYA...
TUMBUH MELIAR... MEMANG BERBEZA...
MEMBACA ARTIKEL... JADI GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
  • (14 JamadilAwal 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.