Saturday, January 5, 2019

KEHEBATAN KUNYIT (Part 1)

KUNYIT (Cucuma domestica) merupakan satu jenis Umbisi tumbuhan yang dikategorikan sebagai jenis herba berkhasiat daripada keluarga Zingiberaceae. Kehebatan kunyit dalam dunia kesihatan memang tidak disangkal lagi kerana ia memang sering digunakan dalam perawatan. Tumbuhan ini dari segi sejarah dipercayai telah lama di tanam di negara India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa sanskrit. Apa yang saya baca, di India dan Indo-Malesia kunyit dianggap dari Cochin-China dengan terdapat rekod dari expedisi oleh Marco Polo yang telah direkodkan. Pada tahun 1280 ia menyebut bahawa Koncha (kawasan yang berjiran dengan Fokien, China) terdapat sejenis sayuran bercirikan betul-betul saffron (bahan pewarna dari stigma kuning Crocus sativus) tetapi bukan saffron yang sebenar. Laporan tersebut juga saya dapati bermaksud mungkin serbuk kunyit seperti saffron. Pada masa ini kunyit umumnya dijumpai diserata rantau tropika dan beberapa kawasan subtropika. Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di Asia. Dalam bahasa Sankrit ia dipanggil Harida, Arab (Kukum), Tamil (Manja), Inggeris (Tumeric), Cina (Kiang-hoang) dan Jawa (Kunyir). Penanaman kunyit di Malaysia tidak begiru luas dimana laporan daripada Jabatan Pertanian hanya melaporkan sekitar 120 - 150 hektar CHE sahaja pada tahun 2017. Kebanyakan tanaman kunyit dilakukan dipinggir kawasan kebun sayur atau ditanam dikawasan keliling rumah. Kunyit ditanam dengan bermulanya musim hujan diatas batas berukuran 1-1.5 meter lebar dan tinggi 20 cm serta panjang yang bersesuaian. Ianya ditanam sedalam lebih kurang 6-8cm. Jarak tanaman yang disyorkan 45-60cm antara baris dan 25cm antara pokok. Setelah ditanam cebisan pra-cambah, ianya diberikan lindungan sementara, sehingga tanaman berumur kira-kira 3 bulan. Pembajaan kunyit dengan menggunakan baja organik (tahi ayam) pada kadar 4-5 tan/ha/musim digaulkan ke dalam tanah 3-5 hari sebelum menanam. Baja sebatian dengan kadar 60kg N, 30kg P, 90kg K per hektar di bubuh 3 kali sepanjang masa penanaman. Hasil kunyit sebanyak 15 - 25 t/ha. Selepas lebih kurang 9 - 10 bulan ditanam, rizom boleh dituai apabila pokok menjadi kuning, dengan menggalinya menggunakan cangkul. Pembungkusan secara pukal tidak melebihi 40kg dengan menggunakan bekas yang kukuh. Beg dari jenis polietilena, beg kertas dan beg dari jenis filem polivinil klorida boleh digunakan untuk tujuan pembungkusan runcit. Produk kunyit segar lazimnya dijual secara timbangan berat berbanding dengan kunyit yang digunakan untuk pemprosesan bagi dijadikan serbuk dalam buntil guni.  Saya menulis lebih dari 15 artikel mengenai kunyit yang boleh diakses dengan pautan (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi. Artikel subuh Sabtu ini saya terus menulis artikel ke 5,032 didalam "Anim Agro Technology" mengenai laporan media akan kehebatan kunyit dalam dunia perubatan dan kesihatan untuk rujukkan anda.

Dalam akhbar utusan bertajuk ''Kunyit penyembuh semula jadi'' oleh wartawan Rabiatul Adawiah amat menarik penulis blog buat rujukan. Ini kerana Kunyit atau dikenali sebagai curcumin merupakan sejenis rempah yang digunakan dalam masakan (Sila lihat foto disebelah). Penulis blog juga mendapati apa yang menariknya bahan masakan ini juga dikenali sebagai salah satu penyembuh semula jadi paling mujarabKegunaan kunyit telah bermula selama 2,500 tahun dahulu. Rempah tersebut dengan cara perlahan telah memperlihatkan sifat perubatan sejak berabad lamanya. Sejak kebelakangan ini kunyit mulai mendapat tumpuan ramai kerana keupayaannya dalam pencegahan banyak penyakit. Penyelidikan menunjukkan curcuminoid (komponen aktif dalam kunyit ) boleh digunakan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit seperti masaalah kanser kolorektum, Alzheimer, arthritis dan gangguan kulit. Ada kajian menunjukkan curcuminoid mempunyai sifat iaitu anti oksida, anti radang dan menurunkan takat kolestrol. Ia merupakan sejenis perencat COX-2 semula jadi bagi melegakan kesakitan dan juga adalah agen anti kanser. Para saintis juga mencatatkan curcuminoid menyokong metabolisme gula darah yang sihat dan memberikan harapan untuk melawan diabetis. Dalam 688 kajian didakwa lebih daripada 400 yang telah dikemukakan mengesahkan sifat anti karsinogenik, anti-radang dan anti oksida yang memang menakjubkan pada kunyit. Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat mempunyai empat ujian klinikal untuk menguji tindakan curcuminoid terhadap kanser kolorektum, pankreas, mieloma berganda dan Alzheimer. Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit merupakan salah satu daripada bahan penyembuh penyakit terbaik di dunia dan telah lama digunakan secara meluas terutamanya di Asia.

Laporan tersebut juga mendakwa dimana kunyit mempunyai pelbagai khasiat kepada tubuh badan manusia kerana antaranya termasuklah asma, kekejangan, darah tinggi, sesak nafas, hidung berair, batuk, resdung, gangguan hati, tiada selera makan, sakit sendi, kencing manis dan luka. Selain itu, kunyit juga berfungsi sebagai bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit," katanya yang juga penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest. Hasil kajian yang dilakukan oleh sebuah universiti terkemuka di Barat menunjukkan penduduk India mempunyai sistem pertahanan badan yang lebih baik berbanding penduduk di Amerika Syarikat. Ini disebabkan pengambilan kunyit dalam masakan seharian masyarakat India. Dalam kajian ke atas pesakit artritis di Eropah, pakar perubatan mendapati khasiat curcumin boleh dibandingkan dengan ubat tahan sakit moden seperti phenylbutazone. Terkini didapati penghidap artritis merasakan kurang sakit pada waktu pagi, mampu berjalan dengan lebih lama dan bengkak berkurangan. Dalam pada itu tambah Prof. Gerard, kunyit membantu dalam peneutralan radikal bebas ini dengan mencegah kesan pemusnahan pada tahap lebih awal yang menjadi punca penyakit Alzheimer. Alzheimer merupakan sejenis gangguan otak yang teruk mempengaruhi keupayaan seorang untuk melakukan aktiviti seharian melibatkan bahagian otak yang mengawal pemikiran, ingatan dan bahasa. Hasil ujian klinikal menunjukkan bahawa kunyit mempunyai kandungan bisdemethoxycurcumin, demethoxycurcumin dan curcumin. Hasilnya cantuman ketiga-tiga komponen ini membentuk curcuminoids atau curcuminoid yang mampu menjadi agen semula jadi untuk memperlahankan perkembangan Alzheimer. Masyarakat hari ini terlupa bahawa kunyit banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu. Ini termasuk menghilangkan gatal-gatal, kesihatan dalaman wanita, herba untuk wanita selepas bersalin. Kunyit bukan hanya dilihat berfungsi sebagai herba tradisional atau bahan masakan, sebaliknya mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai penawar pelbagai penyakit.

Dalam pada itu penulis blog merujuk sebuah majalah wanita dengan tajuk ''Kunyit herba berkhasiat'' dimana kunyit adalah tumbuhan dimana kajian ada  menunjukkan kunyit dapat mencegah kita daripada pelbagai penyakit. Dalam artikel tersebut memang maklum dimana memang sering mengambil mudah apabila memang menyebut tentang khasiat kunyit kerana mungkin bahan ini sering kita temui di dapur. Di Malaysia antara produk kunyit komersil yang penulis blog selalu beli adalah daripada produk ADABI (Sila lihat foto disebelah). Bagi varieti kunyit terdapat beberapa spesies kunyit liar yang kebanyakannya digunakan sebagai bahan ubatan tradisional. Antaranya ialah Temu pauh (Curcuma mangga), Temu emas (Curcuma zeodoria), Temu putih (Curcuma auriantica), Temu hitam (Curcuma aerugtinosa) dan Temu lawas atau Temu lawak (Curcuma xanthorthiza). Dalam pada itu lazimnya kunyit banyak digunakan sebagai bahan ramuan dalam penyediaan ubat tradisional. Masyarakat kampung selalu menggunakan perahan air kunyit bersama madu lebah dan minyak lenga untuk menyembuhkan bengkak hati. Tidak ketinggalan, kunyit berserta ramuan-ramuan lain juga digunakan untuk mengubati bengkak gusi, sakit dada dan perut, gangguan haid, dan melancarkan aliran darah. Sebatian kimia daripada kunyit juga telah dibuktikan dapat digunakan sebagai ramuan penghalau serangga seperti kumbang beras, anai-anai dan lipas. Di sebalik keistimewaan kunyit sebagai bahan masakan dilaporkan pakar-pakar dan hospital ternama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah memberi perhatian tentang kehebatan herba ini. Tahukan anda keistimewaan kunyit terletak pada ekstrak pigmennya yang memberikan warna kuning kepada kunyit?. Pengerusi Inisiatif Global untuk Sistem Tradisional Kesihatan (GIFTS), Oxford, United Kingdom, Prof. Gerard Bodeker berkata, kunyit diperakui oleh pakar dan hospital ternama di Amerika Syarikat dan Eropah untuk mengubat pelbagai jenis penyakit. Katanya, pigmen yang begitu besar khasiatnya dan berupaya mengubati pelbagai jenis penyakit dikenali sebagai curcumin. Curcumin ialah bahan aktif utama yang mampu menguatkan sistem imunisasi atau pertahanan badan daripada serangan penyakit. Ia juga dikenali sebagai bahan penyembuh terbaik dalam dunia perubatan tradisional dan moden. Dalam sebiji pil daripada ekstrak curcumin seolah-olah mengambil 20 sudu teh serbuk kunyit. Pakar perubatan dari Pusat Kanser Texas turut mendapati, curcumin ada anti oksida yang mampu meneutralkan radikal bebas dan menjadi punca kepada penyakit barah. Terdapat radikal bebas ialah bahan kimia yang meresap ke dalam darah dan merosakkan sel dalam badan. Justeru, curcumin yang mengandungi komponen bioaktif polyphenol dapat membantu mencegah tanda awal barah. Artikel dalam 3 siri ini perlu dibaca bersama dalam Part 1, Part 2 dan Part 3 yang diharap memebri info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
NAMANYA KUNYIT... KUNING WARNA...
ZINGIBERACEAE ... NAMA KELUARGA...
BANYAK KHASIAT... AMAT BERGUNA...
MEMBACA ARTIKEL... AMAT GEMBIRA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana, Taman Cendana,
Persimpangan Bukit Beruang,
Bandaraya Melaka Bersejarah,
Melaka, Malaysia.
(24 RabiulAkhir 1440H).
Postred from,
Room 321, Hotel Solaris Mala g,
Malang, Indonesoa.









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.