Monday, December 3, 2018

PELANCARAN NANAS VARIETI MADU KACA

NANAS MADU KACA (AC11) telah berjaya dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani YB Sim Tze Tzin sempena Festival MAHA 2018 di Laman Nanas, Serdang, Selangor pada 30 November 2018. Nanas varieti Madu Kaca asalnya diberikan nama sebagai Nanas Sarawak di Kelantan sebelum Ketua Pengarah LPNM Dato' Hj Mohd Anim membuat lawatan kebeberapa petani yang menanam dan memounyai kebun nanas di Rantau Panjang, Kelantan dan mendapati nanas ini boleh didaftarkan sebagai varieti baru pada bulan Mac 2018. Kemudian kerja-kerja membuat permohonan untuk proses pendaftaran nanas ini dilakukan beberapa bulan kemudian sebelum ianya berjaya didaftarkan sebagai Nanas MADU KACA dengan nombor pendaftaran sebagai AC 11Nanas (Ananas comosus) merupakan sejenis buah yang penting di Malaysia kerana ia mampu dalam memberikan pendapatan agak lumayan berbanding dengan beberapa jenis komoditi tanaman lain. Tanaman nanas yang dipercayai berasal daripada bahagian Timur Amerika Selatan ini dibawa masuk oleh penjajah Portugis ke Malaysia pada abad ke 16 dan merupakan tanaman buah tropika yang sesuai dimajukan di Malaysia. Dalam sejarah, Malaysia merupakan sebuah negara utama didalam industri nanas dunia dimana pernah menjadi pengeksport nanas kaleng (nanas dalam tin) yang tersohot dahulu. Beberapa negara lain yang juga terlibat dalam industri nanas dunia seperti Filipina, Indonesia, Thailand, Hawaii, Ivory Coast, Costa Rica, Kenya, Brazil, Taiwan, Australia, India dan Afrika Selatan. Selaras dengan perkembangan tanaman getah, pada tahun 1921 nanas mula ditanam di Singapura, Johor dan Selangor sebagai tanaman kontan. Di Johor tanaman nanas banyak ditumpukan diatas tanah gambut dimana kini negeri Johor merupakan penyumbang utaman sektor tanaman nanas sebnyak 68% daripada keluasan seluruh negara. Artikel malam ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai pelancaran varieti nanas baru iaitu nanas MADU KACA sebagai satu lagi pilihan kepada penanam nanas di Malaysia.


Di Malaysia sebanyak 11 varieti nanas telah pun didaftarkan dengan Jabatan Pertanian iaitu Daftar Varieti Tanaman. Anda boleh mendapatkan info mengenai 9 varieti nanas dalam penulisan saya sebelum ini (Sila klik disini). Antara nanas yang paling luas ditanam masa kini di Malaysia adalah Nanas Josapine, Nanas MD2, Nanas N36 dan juga Nanas Moris. Nanas MD2 yang merupakan Nanas Premium telah dikenalpasti sebagai varieti nanas yang sangat popular masa kini dengan mendapat galakan penanaman oleh LPNM untuk pasaran domestik dan eksport. Nanas MD2 juga telah ditanam oleh pekebun kecil, usahawan swasta serta beberapa buah estet yang disasarkan untuk pasaran eksport terutama ke China, Timur Tengah, Korea, Singapura dan beberapa negara lain. Di Malaysia nanas dapat di pecahkan kepada 4 kumpulan utama iaitu nanas QUEEN, SPANISH, CAYENE dan nanas HIBRID. Antara nanas jenis hibrid yang kini popular di tanam adalah Nanas MD2 dan juga Nanas Josapine. Nanas Madu Kaca (AC11) merupakan varieti nanas yang baru didaftarkan di Malaysia untuk kegunaan segar dan juga dijadikan produk proses lain. Bagaimana pun nanas ini kini hanya popular dan luas ditanam di Kelantan seperti di Jajahan Rantau Panjang, Tanah Merah dan beberapa jajahan lain dengan kaedah penanaman sebagai tanaman intergrasi dengan getah atau kelapa sawit. Nanas ini juga ada di tanam di Terengganu oleh penanam nanas yang mendapatkan benihnya daripada Kelantan. Penulis blog mendapati nanas varieti Madu KAca ini telah melalui satu proses pembiakbaka yang panjang dimana ada kemungkinan benih ini ada ditanam di negara jiran Thailand. Apa pun penanam nanas Madu Kaca di Kelantan memang suka menanam nanas ini kerana ia mampu memberikan pendapatan baik kepada pengusahanya.


Dalam penelitian penulis blog semasa majlis pelancaran varieti nanas Madu Kaca, ramai dikalangan penggiat tanaman nanas telah membuat  banyak pertanyaan terutama akan keistimewaan nanas baru didaftarkan ini. Kerja membuat pencirian mengenai nanas madu kaca ini dijalankan di Kh Sok Sek, Rantau Panjang, Kelantan diantara LPNM dengan pakar daripada Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Jabatan Pertanian Putrajaya. Kelulusan pendaftaran adalah pada 1 Oktober 2018 dengan mendapat nombor pendaftaran AC11. Nanas Madu Kaca ini termasuk didalam kumpulan Cayene dimana ia mempunyai berat buah diantara 2-4 kg. Buahnya yang berbentuk epiliptik (berbentuk kon ke selinder serta cembung dibahagian tengah) masak dengan kulitnya masih berwarnah hijau ke ungu. Pursta bilangan mata nanas ini sebanyak 140 mata dengan mempunyai warna isi iaitu sederhana kuning (Sila lihat foto disebelah). Daripada kajian pakar didapati purata kemanisan atau kandungan gula adalah sebanyak 15 -16 Brixs. Tahap kemanisan ini yang membuatkan nanas ini menjadi kegemaran pengguna untuk dimakan segar dan berjus. Kandungan asid sitrik adalah diantara 0.3 - 1.2% dan ia adalah tahap sesuai untuk dimakan segar. Warna permukaan atasnya pula atau atas braktea adalah hijau dan mata buah adalah tidak timbul (rata). Kepada mereka yang melihatnya sekali imbas mungkin menyangka ia sama dengan nanas Sarawak (AC2). Bagaimana pun pakar mendapati terdapat perbezaan dibawah sistem pencirian UPOV Convention nyata iaitu didapati susunan daun pada jambul nanas Madu KAca adalah lebih tersusun (rosette) berbanding dengan nanas Sarawak. Selain itu warna isinya sederhana kuning jika dibandingkan dengan nanas Sarawak yang kuning keemasan dan bentuk buahnya adalah epiliptik sedangan nanas Sarawak buahnya berbentuk kon. Dari segi daun pula, nanas Madu KAca mempunyai daun yang kurang lebar berbanding dengan daun nana Sarawak. Terdapat alur dibahagian bawah daun (dapat dirasakan dengan tangan) dan juga nisbah saiz timbul jambul dan buahnya adalah hampir sama. Nanas Madu Kaca lebih berjus daripada nanas Sarawak dan bila dibelah dilihat bersinar seperti kaca.


Tempoh matang nanas Madu Kaca pula diantara 12 - 16 bulan bergantung kepada amalan agronomi. Penulis blog dapati nanas varieti ini kurang sensitif dengan aruhan hormon biasa sebaliknya akan mula untuk menghasilkan buah dengan sendiri. Bila ditanam dengan cara intergrasi mempunyai kadar kepadatan 10,000 sulur seekar. Benih nanas madu kaca ini mudah ditanam kerana pokok matang mampu mengeluarkan sulur diantara 8 - 10 sulur sepokok. Harga benih nanas madu kaca sekitar RM0.50 satu sulur dan jika dengan kos penghantaran mampu mencecah RM1.00 satu sulur. Pokok nanas ini daunnya berduri dan didapati lasak daripada serangan perosak dan penyakit. Dari rekod LPNM dilaporkan seluas 202 hektar nanas Madu Kaca telah ditanam diseluruh Kelantan, 80 ekar di Terengganu dan 1.0 ekar di Johor (Pusat Benih Nanas Alor Bukit, Pontian). Cara penanaman mudah dijalankan dengan jarak penanaman seperti nanas lain dengan cara intergrasi ataupun monokrop. Kehebatan nanas ini dimana ia menghasilkan buah yang bersaiz agak besar dimana walau pun kepadatan tanaman tidak tinggi seperti nanas lain, ia masih mampu untuk menghasilkan buah nanas dengan produktiviti mencapai sehingga 62,000 kg sehektar (62 mt/ha). Nanas ini sesuai dimakan segar dimana harga ladang adalah diantara RM1.80 - RM2.50 sekilogram dan harga runcit adalah diantara RM2.50 - RM3.00 sekilogram. Nanas Madu Kaca ini masih segar selepas 10 - 14 hari dipetik untuk dimakan segar.


Dalam majlis pelancaran di Laman Nanas sempena MAHA 2018, turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pengarah LPNM Dato Mohd Anim Hosnan, Dato' Adam (TEKUN), Dr Fauziah (MARDI), Dato Yap (Jutawan Nanas dari Sabah), Hj Zahari (MOF), Pengarah Kanan LPNM serta Pakar Nanas dari Jabatan Pertanian. YB Timbalan Menteri Pertanian dalam majlis tersebut juga telah mengedarkan benih nanas Madu Kaca kepada Pengarah LPNM Kelantan, Johor, Kedah, Pahang, Terengganu dan Sarawak sebagai simbolik ianya akan dikembangkan kenagari-negeri lain dimasa akan datang (Sila lihat foto disebelah). LPNM akan mempromosikan nanas MAdu Kaca ini sebagai satu varieti nanas yang berkualiti untuk ditanam di seluruh negara bagi menambahkan pengeluaran nanas dalam negara untuk pasaran segar dan juga diproses. Majlis pelancaran nanas Madu Kaca sempena MAHA 2018 di Laman Nanas memeriahkan lagi festival dwitahunan ini selain daripada LPNM melancarkan produk Pinacolama, Pelancaran Bromeliads, Pelancaran PineQAF Icecream, Nanas Grill, Pelancaran Persatuan Penanam Nanas Malaysia (MPPA), Pelancaran Pengeksportan satu Kontena  Nanas Josapine ke Dubai dan beberapa lagi. Penulis blog percaya dengan adanya varieti baru didaftarkan nanas Madu Kaca di negara kita akan terus berkembang insdustri nanas di Malaysia dimasa akan datang. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro semua. Wasallam!!!..
NANAS DILANCARKAN... MADU KACA...
DIKELANTAN... DIDAFTARKAN DIANYA...
KUMPULAN CAYENE...  MANIS ISINYA....
DIKOMERSILKAN... LUMAYAN HASILNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 960, Hotel Mariott,
Putrajaya, Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(26 RabiulAwal 1440H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.