TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman yang ke 4 terpenting di Malaysia selepas Sawit, Getah dan Padi. Negara menghasilkan sekitar 650 juta biji kelapa setahun daripada kawasan seluas 94,500 hektar sementara keperluan sebenar sebanyak 750 juta bijji. Malaysia kini mengimport sebanyak 100 juta biji kelapa daripada negara jiran Indonesia setiap tahun untuk keperluan sektor perkilangan dan juga festival tertentu. Kemasukkan kelapa di kawal dengan sistem permit import (AP) yang diselia oleh Kementerian Pertanian da Industri Asas Tani. Dari segi sejarah, penanaman kelapa telah dilaksanakan smenjak tahun 1960'an melalui satu program iaitu Projek Rancangan Penanaman Semula Kawasan Kelapa (RPSKK) melalui Jabatan Pertanian dimana program ini telah berjaya dengan membangunkan kawasan kelapa dengan varieti Kelapa Malayan Tall dan beberapa kelapa renek lain. Kawasan utama penanaman kelapa seperti di Johor, Selangor dan Perak serta Sarawak dan Sabah bagaimana pun tlah berubah komoditi kepada tanaman Kelapa Sawit (Elaeis guineensis) kerana pendapatan dari kelapa sawit pada masa itu adalah lebih menguuntungkan berbanding dengan kelapa. Keadaan terus berubah dimana pada masa ini apabila harga kelapa sawit menurun dengan teruk maka dikirakan petani telah mula mencari benih kelapa untuk ditanam terutama apabila Kelapa Matag didakwa mampu menghasilkan banyak buah dan lebih menguntungkan. Daripada sumber rujukkan dilaporkan penanaman kelapa mampu memberikan hasil lumayan sehingga kelapa kono ditakrifkan semula sebagai komoditi Sumber Kekayaan Baru (SKB) seiring dengan 4 komoditi lain iaitu Nanas, Jagung Bijirin, Kulinari dan Tenusu. Artikel subuh Sabtu ini dalam ''Anim Agro Tehnology'' saya menulis mengenai beberapa isu-isu semasa yang melibatkan tanaman kelapa yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan sekadar dijadikan perbincangan dan dijadikan info rujukkan untuk semua.
Satu laporan media bertajuk ''Kelapa tempatan bakal melonjak'' oleh akhbar Sinar Harian dari Bagan Datuk menarik untuk dikupas. Foto sebelah menunjukkan seorang petani di Bagan Datuk iaitu Che Rose menunjukkan buah kelapa yang berjaya dikumpulkan dari kebun miliknya di Sungai Nipah Darat. Apabila kerajaan telah mengumumkan dan memperkenalkan skim khas program peningkatan pengeluaran kelapa dalam Bajet 2018 maka ia telah melegakan pekebun dan pengusaha kelapa. Negara pada masa kini terpaksa mengimport kelapa dari Indonesia bagi memenuhi permintaan dalam menghasilkan santan serta minyak masak untuk kegunaan rakyat negara ini. Kini rata-rata pengusaha kelapa ditemui Sinar Harian melahirkan rasa gembira dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri. Dalam pembentangan Bajet 2018 dimaklumkan kerajaan akan memperkenalkan satu skim khas meningkatkan pengeluaran kelapa melalui pendekatan penanaman semula kelapa variasi baharu dari jenis CARECA dan Matag. Bagi merealisasikan program ini kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta sekali gus memanfaatkan 10,000 pekebun kecil. Masa itu PM Najib turut mengumumkan pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga bersama-sama industri nanas dan buah-buahan. Pengerusi Peladang Bagan Datuk juga pengusaha minyak kelapa dara, Che Ros Osman, 78, berkata, langkah diambil perdana menteri dalam membangun semula tanaman kelapa tepat pada masanya. Beliau melihat tanaman kelapa di negara kita semakin berkurangan sehingga terpaksa diimport dari Indonesia yang mana kelapa mereka kurang berkualiti berbanding kelapa tempatan. “Contohnya di Bagan Datuk, kelapa yang ditanam di daerah ini makin berkurangan ekoran ramai pekebun memilih beralih kepada tanaman kelapa sawit,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Nipah Darat. Che Ros turut memberi cadangan supaya kawasan tanaman kelapa sedia ada di Bagan Datuk dibaik pulih melalui penanaman semula selain membuka kawasan baharu bagi penanaman kelapa hibrid. “Saya harap kerajaan turut merangka pelbagai program membantu industri hiliran seperti pembuatan minyak kelapa dara kerana ia mendapat permintaan tinggi dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Sementara itu Berita Harian melalui wartawan Hassan Omar dengan tajuk ''Kelapa umpama emas'' juga menarik perhatian penulis blog. Berita dari Alor Gajah ini menyatakan dimana "Ibarat tolak batu dan besi'' maka bagi orang sedang kelaparan, begitu juga dengan seorang peniaga runcit yang sanggup membeli kelapa walau apa pun saiznya. Dakwanya sekarang memang agak sukar untuk dapatkan bekalan kelapa kerana persaingan dengan peniaga santan dan mereka yang terbabit dalam perusahaan membuat kuih serta makanan lain. Itu luahan peniaga runcit, Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 53, mengenai kesukarannya dan peniaga lain mendapatkan bekalan kelapa, terutama menjelang Aidilfitri kira-kira dua minggu lagi. Walaupun perayaan itu masih agak jauh, dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan bekalan, sebaliknya akan membeli kelapa tanpa mengira saiz, sama ada yang dibekalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau individu. Kini ramai yang menganggap tidak sukar untuk mendapatkan bekalan kelapa di kawasan luar bandar, hakikatnya tanggapan itu salah kerana jumlah pokok kelapa semakin berkurangan akibat di tebang untuk membolehkan pembangunan dilaksanakan. Biasanya menjelang Aidilfitri, kelapa menjadi seolah-olah seperti emas kerana permintaan yang melambung tinggi," katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah semalam. Shamsul Bokhari berkata, dia membeli kelapa yang sudah dikupas pada harga antara RM1.40 hingga RM1.60 sebiji, manakala kelapa belum dikupas pada harga RM1 sebiji dan dijual pada harga RM2 sebiji (Sila lihat foto disebelah). Katanya "Jika sudah diparut pula, saya jual pada harga RM2.50 sebiji dan saya amat mengalu-alukan sesiapa saja yang ingin menjual kelapa kepada saya''. Sementara itu, Zakir Awaluddin, 49, berkata dia memetik kelapa menggunakan galah di kawasan rumahnya di Kampung Ayer Hitam Darat, sebelum dijual kepada beberapa peniaga runcit, termasuk daripada Shamsul Bokhari. "Daripada membiarkan kelapa itu gugur dan membusuk, lebih baik saya mengaitnya untuk dijual. "Hari ini saya mengait 52 biji kelapa untuk dikupas dan dijual kepada Shamsul Bokhari, dengan jualan itu dapatlah saya menambah duit poket untuk menyambut Aidilfitri," katanya.
Dalam akhbar Berita Harian juga penulis blog merujuk laporan oleh wartawan Mohd Farid Noh telah menulis artikel bertajuk ''Harga kelapa turun 25 sen'' di petik daripada Batu Pahat. Foto disebelah adalah bagaimana pekerja sedang memunggah buah kelapa import daripada bot untuk ianya dimuatkan ke dalam lori dan diagihkan ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan perayaan Aidilfitri yang akan menjelang di Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat. Harga kelapa dilaporkan masa ini mencatat penurunan 25 sen sebiji sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri kali ini, berikutan kemasukan banyak kelapa dari Indonesia. Pengurus Pusat Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Batu Pahat, Musa Abdul Kahar, berkata penurunan harga kelapa disebabkan kemasukan kira-kira tiga juta biji kelapa import bersamaan 3.3 juta tan dari Indonesia ke dalam negara sempena musim perayaan kali ini, di samping musim kelapa tempatan yang sedang mengeluarkan hasil. Penurunan harga kelapa di pasaran sepanjang Ramadan dan Aidilfitri jarang berlaku sebelum ini, terutama menjelang musim perayaan berikutan permintaan tinggi. Penurunan harga kelapa di pasaran sepatutnya bermula awal Ramadan berikutan kemasukan kelapa import secara besar-besaran bagi menstabilkan, harga selain memenuhi permintaan menjelang musim perayaan. Ini bermakna harga sebiji kelapa sepatutnya antara RM1.80 sehingga RM2.20 di pasaran berbanding antara RM2.80 sehingga RM3 sebiji sepanjang Ogos 2017 hingga Januari lalu. Ketika itu musim kelapa melawas (tidak berbuah) di samping kekurangan Permit Import (AP) kelapa dikeluarkan. Kini harga 1,000 kilogram atau satu tan kelapa sekarang kira-kira RM700 atau bersamaan 70 sen sekilogram berbanding antara Ogos 2017 hingga Januari lalu yang mencecah antara RM1,100 hingga RM1,200 atau bersamaan RM1.10 sehingga RM1.20 sekilogram. Sehingga kini dilapor sebanyak 1.6 juta tan kelapa dari Indonesia untuk kegunaan Semenanjung dibawa masuk menerusi pelabuhan di Batu Pahat serta Pahang bermula awal Ramadan dan dijangka selesai pada minggu akhir Ramadan," katanya kepada NSTP ketika membuat pemeriksaan kemasukan kelapa di Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat. Mengenai harga sebiji kelapa yang dilaporkan mahal sehingga mencecah RM3 sebiji di Kuantan, Pahang minggu lalu, Musa berkata, tiada sebab ia berlaku kerana bekalan dari Indonesia turut dibawa ke sana. Hanya sebahagian Perak dan Selangor yang banyak menggunakan kelapa tempatan dari Bagan Datuk dan Hulu Selangor serta tidak terlalu bergantung kelapa import. Musa berkata, stok kelapa yang dibawa masuk dari Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat dihantar dan diagihkan ke Pusat Agihan FAMA di Alor Setar, Kedah; Pusat Agihan FAMA di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Gopeng, Ipoh; Senawang, Negeri Sembilan; Melaka dan Batu Pahat, Johor. Beliau berkata, pengagihan yang dijangka selesai pada minggu akhir Ramadan itu bagi membolehkan stok kelapa disimpan untuk kegunaan pada dua minggu musim Aidilfitri ini berikutan kemasukan dari Indonesia disambung semula selepas 10 hari cuti Aidilfitri. Katanya, semua kelapa import dibawa masuk menerusi lebih 40 kapal dan tongkang kecil dari Kepulauan Riau, Indonesia seperti Bengkalis, Guntong, Penjuru, Tanjung Samak serta Palembang sebelum tiba di Batu Pahat.
Dalam akhbar lain bertajuk ''Bekalan kelapa cukup walaupun musim tengkujuh'' oleh wartawan Sarinah Mat Kasim dari Seremban juga menarik dikupas. Akhbar tersebut menyatakan dimana bekalan kelapa di negeri ini mencukupi sehingga penghujung akhir tahun ini meskipun pada musim hujan. Pengarah Fama negeri, Muslim Manja berkata, bekalan kelapa yang dipasarkan kepada pemborong adalah seperti biasa tanpa sebarang pengurangan yang mendadak. “Pasaran kelapa negeri ini berada pada tahap biasa dan terkawal. Bekalan kelapa di negeri ini sehingga tempoh penghujung tahun adalah mencukupi, biar pun kini musim hujan tetapi bekalan tidak terganggu. “Malah untuk kegunaan perayaan Deepavali juga kita yakin bekalan kelapa cukup dan orang ramai boleh dapatkan kelapa di mana-mana kedai,” katanya. Menurutnya, selain daripada kelapa tempatan, pihaknya juga masih lagi mengimport 1.5 juta tan metrik kelapa dari Indonesia setiap minggu untuk diagihkan ke kawasan yang memerlukan seluruh negeri ini. Orang ramai tidak perlu bimbang memandangkan kita sentiasa memantau bekalan kelapa di negeri ini supaya tiada berlaku masalah terutama pada musim cuti persekolahan yang dijangka akan berlaku penggunaan mendadak berikutan majlis kenduri,” katanya.
Akhirnya dalam akhbar Sinar Harian bertajuk ''Lambakan kelapa import jadi punca harga kelapa jatuh'' oleh wartawan Rosilawati Rosedi pada 30 Mei 2018 dirujuk. Foto disebelah juga menunjukkan pengusaha Encik Husain (kanan) dan Nawang antara pembekal kelapa tua tempatan yang mendakwa terjejas pada tahun ini. Berita dari Jerantut ini menyatakan berlaku lambakan kelapa tua yang dibawa masuk dari Indonesia dan Thailand untuk bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini menyebabkan pembekal kelapa tua tempatan terjejas. Situasi tersebut menyebabkan kelapa tua tempatan tidak mampu dijual kerana bekalan yang diimport masuk lebih murah berbanding pembekal tempatan. Bagi pembekal kelapa tua dari Kampung Paya Rajin di sini, Husain Samat, 73, mengakui pembekalan buah terbabit merosot pada tahun ini sejak mengusahakan pembekalan kelapa tua bermula lima tahun lalu. “Setiap tahun pada bulan Ramadan saya mampu jual 500 biji kelapa sehari dengan harga RM2 sebiji”. “Tapi tahun ini, ianya sangat berkurangan.. saya hanya mampu jual hanya 500 biji sepanjang 10 hari Ramadan ini”, katanya. Husain berkata biasanya dia hanya bergantung pada hasil pembekalan kelapa tua dimana akan membeli buah kelapa dari penduduk sekitar Jerantut, Raub dan Jengka dengan harga RM1 sebiji. “Beli buah dah seringgit sebiji, upah kupas, upah panjat dan minyak lori kena tanggung, kalau kelapa tak laku saya akan rugi”, dakwanya lagi. Difahamkan terdapat seramai 10 orang pengusaha dan pembekal kelapa tua di kampung tersebut turut terjejas kerana buah kelapa tua mereka tidak mampu dijual. Sementara itu, seorang lagi pengusaha Nawang Hassan, 50, berkata dia berharap pihak kerajaan baharu dapat membantu mereka membantu pembekal kelapa tempatan ini dengan mengutamakan hasil dari dalam negara sendiri. “Saya harap pihak kerajaan terutama pada jabatan pertanian atau Fama dapat bantu kami untuk memasarkan buah kelapa tua kami supaya kami tidak alami kerugian,” katanya lagi.
Begitulah apa yang dilaporkan oleh media tempatan mengenai beberapa isu-isu berkaitan kelapa. Ada laporan yang betul dan ada juga laporan yang kurang tepat seperti dakwaan petani dan pengusaha. Bagaimana pun kita juga berharap negara akan mampu menghasilkan buah kelapa sehingga kepada taraf mencukupi (SSL) malahan mampu pula untuk mengeksport dengan lebih banyak produk-produk berasaskan kelapa dimasa akan datang. Berkemungkinan juga negara Indonesia akan menghentikan pengeksportan kelapa ke Malaysia dimasa akan datang kerana penanaman dan pengeluaran buah kelapa di negara tersebut juga kini semakin berkurangan sama seperti negara kita. Foto diatas dan dibawah juga menunjukkan dimana penulis blog sempat melawat bersama YB Menteri Pertanian di pelabuhan Batu Pahat, Johor dimana kelapa dibawa masuk kenegara kita beru-baru ini. Usaha berterusan membangunkan tanaman kelapa perlu dirancang dengan lebih rapi dengan tujuan untuk pastikan industri SKB ini berkembang. Semuga artikel subuh ini dapat beri info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
PENTING DI BINCANG... TANAMAN KELAPA...
SEMAKIN BERKURANG... KELUASANNYA...
PERLU MENGIMPORT... DARI INDONESIA...
PROGRAM SKB... MAMPU SELESAIKANNYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Padi Ria 11, Bandar Baru UDA,
Johor BAhru, Johor,
Malaysia.
(10 RabiulAwal 1440H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.