Thursday, June 29, 2017

DAUN TURI - KHASIATNYA

POKOK DAUN TURI merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan sayuran daun daripada pokok Turi (Sesbania grandiflora synonim dengan Aeschynomene grandiflora) sebagai sejenis sayuran kampong tradisional. Penanaman pokok turi di negara kita Malaysia lazimnya dibuat dikawasan keliling rumah sebagai pokok hiasan landskap disamping mendapatkan pucuk dan bunga daun turi untuk dijadikan sayuran. Dalam merujuk kepada laporan statistik Jabatan Pertanian mengenai pokok turi, penulis blog tidak dapat maklumat mengenai keluasan pokok turi yang ditanam dan juga lokasi penanamannya di Negara kita. Ini disebabkan pokok turi tidak menjadi tanaman utama seperti beberapa jenis tanaman lain. Pokok ini ditanam ikut kesukaan dengan satu atau dua pokok sahaja mencukupi untuk kegunaan sendiri disekeliling rumah atau ada yang tumbuh sendiri dan mungkin kurang menarik ramai peminat. Pokok turi yang dibiarkan mampu tumbuh tinggi tetapi lazimnya pemilik pokok akan mencantas rendah untuk memudahkan kerja-kerja memetik bahagian pucuknya bagi dijadikan sayuran. Daun turi juga ada dijual digerai prosuk kampong dikawasan pasar atau dipasar malam dengan anggaran harga RM 1.00 - RM 2.00 satu ikat. Kebanyakan daun turi bersama bunga turi dimasak gulai lemak yang dimakan dengan nasi bersama ikan atau ayam goreng. Artikel subuh Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat daun turi dan menafaatnya didalam masyarakat kita di Malaysia untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda.

Adakah pokok turi boleh dijadikan alternatif untuk dijadikan ubat untuk merawat dan meningkatkan tahap kesihatan jika digunakan dengan betul merupakan satu persoalan. Mungkin memang ramai yang suka makan gulai lemak daun turi, kerabu bunga turi dan sebagainya didalam cara mereka menggunakan daun tumbuhan tersebut. Didalam membuat bacaan dan rujukkan dalam banyak buku dan juga website, penulis blog mendapati pokok turi dan bahagian-bahagian lain tumbuhan tersebut didakwa memang banyak khasiat. Diantaranya adalah ia mengandungi bahan serat dalam bahagian kulit batang dan dahan yang mana jika diproses boleh menghasilkan benang yang boleh dipintal menjadi benang untuk dibuat jala (ini dilakukan oleh mereka di zaman dulu). Sementara itu daun turi memang sesuai untuk dijadikan makanan ternakan seperti kambing dan lembu dimana ia sangat kaya dengan zat protin dan mengandungi serat yang tinggi. Beberapa kampong yang saya lawat di sekitar Jogjakarta, Indonesia semasa membuat lawatan teknikal mendapati penternak kambing menggunakan daun turi, daun nangka selain daripada rumput napier dan sebagainya yang dipotong dan diletakkan ditepi kandang kambing. Daun turi kaya dengan zat permakanan yang sesuai untuk haiwan ternakan. Menanam pokok turi daripada keluarga Fabaceae atau dari keluarga Kekacang ini mudah dilakukan asalkan mempunyai benih berkualiti, tanah subur dan dijaga sentiasa.

Bunga Turi banyak gunanya.
Bunga Turi yang terhasil dipokok keluar sepanjang tahun dimana ia mempunyai banyak kuntum dengan warna putih krim dan keluar sepanjang tahun. Bunga turi ini amat enak dimakan sebagai kerabu bunga turi yang segar disediakan kerana ia juga didakwa mengandungi zat vitamin B. Bunga turi dalam bentuk 'KUDUP' yang masih belum terbuka menjadi pilihan peminat bunga turi. Tinjauan penulis dibeberapa pasar basah, pasar tani dan juga pasar tamu kadang kala ada menjumpai peniaga menjual bunga turi kepada orang ramai. Sementara itu apabila bunga turi menjadi matang ia selalu menghasilkan buah turi apabila proses pendebungaan dan pematangan buah berlaku. Buah Turi lazimnya mempunyai saiz buah yang agak kecil. Daripada beberapa laporan didapati buah turi yang mengandungi biji lazimnya boleh digunakan sebagai bahan pengganti kepada kacang soya didalam aktiviti membuat tempe di Indonesia pada zaman dahulu walau pun pada masa ini ianya sudah agak jarang dilakukan. Penanaman yang luas sahaja memboleh ia menghasilkan buah dan biji yang banyak. Bagaimana pun daripada pemerhatian didapati jika pokok turi sering dipotong daun pucuk muda maka bunga dan buahnya amat jarang dihasilkan kerana pokok selalu akan berada dalam keadaan vegetatif.

Penulis blog didalam membuat penelitian juga mendapati bahawa daun turi memang bersifat tonik dan boleh digunakan sebagai ubat kuat dan antipiretik, penyembuh perut kembung, masaalah perut kejang, diarea dan juga masalah Cholera. Walau pun kajian klinikal masih belum kukuh tetapi kenyataan testimonial sering digunakan untuk tujuan ini.  Caranya dengan kita melumatkan daun dan campurkan dengan air suam dan minum airnya. Petua lama juga ada menyatakan yang cecair daripada batang pokok turi boleh kita digunakan sebagai ubat untuk kira berkumur bagi membersihkan bahagian mulut dan juga rawatan dibahagian kerongkong. Pokok turi juga mengandungi sedikit getah yang mengandung beberapa zat pewarna seperti agatin, basorin dan zantoagatin. Dinegara India malahan pokok turi digunakan sebagai ubat untuk menyembuhkan penyakit buta senja karena mengandung banyak vitamin A. Daun turi juga dilaporkan boleh digunakan sebagai bahan pewarna asli yang tradisional. Dalam mengatasi masaalah kesihatan dibahagian hidung berlendir atau sakit kepala daun turi dipilih dengan mengambil segenggam daun dan bunga turi digiling hingga halus. Kemudian ia akan ditambahkan setengah cawan air masak dan bancuh sehingga sebati da ditapis sebelum diminum. Bagaimana pun jika masaalah berlanjutan maka penulis blog sarankan agar berjumpa doktor kerajaan atau swasta bagi rawatan segera dijalankan.

Bahagian akar pokok turi boleh digunakan untuk mengatasi masaalah sengal dan sakit dibahagian sendi (Kaki atau tangan). Ia mudah sahaja dikawal iaitu dengan  mengambil hingga akar dan bunga turi merah secukupnya dan ia perlu digiling halus, Selepas itu perlu ditambahkan sedikit air sampai menjadi adunan seperti bubur. Gosokkan kebahagian badan yang sakit secara berterusan beberapa hari. Bunga turi merah (Lihat foto sebelah) boleh didapati daripada pokok varieti berbunga merah. Ada yang gunakan kayu pokok turi sebagai menjadi bahan baku kertas, kayu bakar dan arang. Daun dan ranting muda juga merupakan makanan untuk ternakan yang kaya dengan unsur zat protein. Daun turi juga didapati mengandungi bahan seperti saponin dimana ia dapat digunakan sebagai pengganti sabun setelah diramas-ramas dalam air untuk mencuci pakaian. Itulah beberapa coretan mengenai khasiat pokok turi untuk dijadikan bacaan dan rujukkan anda semua. Wasallam!...
POKOK TURI...KEKACANG JENISNYA...
DIMASAK LEMAK...MEMANG ENAKYA...
RANTING , DAUN ...BAHAN PEWARNA...
SENANG DITANAM...DIMANA SAHAJA...

By,
M Anem
Senior Agronomist, 
Jalan Istana, Persimpangan Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(Tulisan awal - 23 Rejab 1434H)
Kemaskini 4 Syawal 1438H

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.