Wednesday, June 28, 2017

BOTOK-BOTOK - MAKANAN JOHOR

BOTOK-BOTOK merupakan sejenis makanan berasaskan ikan dan daun herba yang popular di Negeri Johor serta di Singapura dan Kepulauan Riau dan  khususnya dikalangan masyarakat Bugis. Penulis yang kini bertugas di Johor Bahru mendapati makanan botok-botok ini banyak dijual di Bazaar Ramadan sekitar Johor Bahru bersama dengan makanan lain yang populari di Johor seperti Nasi Beriyani Gam, Nasi Ambang, Kacang Pol, Murtabak Singapore, Mi Rebus Hj Wahid, Rojak Singapore dan beberapa lagi. Johor BAhru memang ibunegeri yang pesat membangun dan dihuni oleh pelbagai kaum daripada Kaum Melayu, Cina, Indian, Jawa, Bugis, Iban, Sabahan, Sarawakian, Kelantanese, Siam, Singaporean, Bangladesh, Myanmar, Indonesian, Nepalese dan sebagainya. Terdapat pelbagai jenis hidangan yang boleh didapati disekitar Johor Bahru tetapi yang sekarang menjadi tumpuan ramai adalah restoren masakan Alai Thai dimana mereka menghidangkan makanan seperti TomYam, Telur Goreng, Kailan Ikan Masin, Pulut Mangga, Sup Sayur dan sebagainya. Masyarakat Malaysia kini lebih gemar makan diluar rumah pada waktu malam bersama seiisi keluarga. Makanan botok-botok ini dipromosikan oleh kerajaan Negeri Johor sebagai makanan ikon negeri tersebut bersama Nasi Beriyani Gam, Mee Bandung Muar, Mi Rebus Hj Wahid dan banyak lagi. Makanan botok-botok pula yang banyak menggunakan pelbagai jenis herba dikategorikan sebagai makanan kesihatan yang wajar dijadikan hidangan istimewa. Penulis yang memang suka akan makanan botok-botok sering membelinya dan makan direstoren yang menyediakan sajian ini. Keenakan makanan botok-botok yang ada rasa lemak manis, pahir sedikit dan pedan amat sesuai dimakan dengan nasi putih terutama pada waktu makan tengahari. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" dua resepi menyediakan makanan botok-botok yang popular di Johor Selatan sebagai bahan bacaan semua. 

Menyediakan botok-botok mempunyai banyak resepi bergantung kepada citarasa pembuatnya dan jenis dedaub serta jenis ikan yang digunakan. Lebih banyak jenis daun herba digunakan maka nilai botok-botok tersebut lebih berkualiti. Bagaimana pun apabila berkait dengan harga ia bergantung kepada jenis ikan yang digunakan. Antara boto-botok yang paling digemari adalah botok-botok ikan tengiri yang didakwa memang enak dan mendapat permintaan yang baik. Selain itu ada yang membuat botok-botok menggunakan ikan kembong, Ikan Selar Papan, Ikan Merah dan jenis ikan pelagik yang lain. Bagi membuatnya pada penulis memang mudah memadai dengan sekali hadir demonstrasi membuat botok-botok maka balik rumah sudah boleh membuatnya sendiri. Kos yang murah dan cara membuatnya juga mudah dilakukan terutama mereka yang dikategorikan sebagai 'kaki masak'. Penyeesuaian resepi membuat botok-botok ini boleh dibuat mengikut selera dan citarasa pembuatnya asalkan ia menjadi makanan botok-botok. Penulis dapati makanan seperti ini banyak dibuat dibeberapa negeri lain selain daripada Johor dan juga diluar negara seperti di Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagaimana yang penulis pernah lawati. 

Bagi resepi pertama yang penulis belajar di Kg Serkat, Pontian, Johor mereka menggunakan bahan untuk rempah terdiri daripada 3 biji bawang besar, 5 biji bawang merah, 4 ulas bawang putih, 1 inci halia, 1 inci lengkuas, 6 batang serai, hiris halus( perlu di kisar halus), 2 camca besar kerisik, 1/3 cawan santan, 3.5 camca besar rempah kari ikan (guna jenama sesuai), 2 1/2 camca besar cili kisar, 1/2 cawan jus asam jawa serta bahan garam dan gula secukup rasa. Sementara itu bahan-bahan untuk ulam atau herba membalut botok-botok selain dari daun pisang adalah terdiri daripada Daun pucuk ubi secukupnya (kurang lebih 1 cekak), Pucuk daun bebuas secukupnya (kurang lebih i cekak), 2 tangkai pucuk betik, 3 tangkai pucuk mengkudu yang dihiris, 30 helai pucuk kaduk, 5 helai daun kunyit yang hiris halus, 5 helai daun cekur juga di hiris halus, 2 genggam daun selasih dan juga 2 genggam pucuk kesom. Botok-botok mengguna ikan sebagai asas iaitu 5 ekor ikan kembong besar yang telah di siang, cuci bersih dan toskan serta sebanyak 10 batang lidi pengcungkil gigi dan juga 10 helai daun pisang berukuran 8 inci x 10 inci. Pastikan bahan yang digunakan adalah masih segar. 

Cara membuat botok-botok boleh juga dibahagikan kepada membuat rempah, membungkus dan memasaknya. Bagi membuat rempah botok-botok sebaiknya panaskan minyak dalam kuali untuk menumis cili hingga garing, masukkan bahan kisar halus, bersama rempah kari, kacau rata dan masak hingga terbit minyak. Sebaiknya gunakan api kecil untuk membuat rempah ini. Tambahkan jus asam jawa, kerisik dan santan untuk menambah perisa. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Teruskan untuk memasak hingga rempah garing dan terbit minyak. Adalah dinasihatkan untuk mengambil rasa dan jika sesuai maka dimatikan api. Biar rempah sejuk untuk proses selanjutnya. Bagi menyediakan bungkusan botok-botok sebaiknya ambil 2 helai daun pisang (atau anda boleh layur atas api sekejap bagi dia lembut dan mudah dilipat). Susun dedaun dengan memulakan dengan pucuk ubi, pucuk betik (boleh koyakkan kalau besar), daun kadok, pucuk bebuas dan hirisan pucuk mengkudu. Sudukan rempah atas daun2 tadi (kurang lebih 2 camca besar). Kemudian diletak ikan diatasnya (boleh di kerat 2 untuk setiap ekor ikan kembong), letak lagi 1.5 camca besar rempah dan tabur dengan hirisan daun kunyit, hirisan daun cekur, daun kesom dan daun selasih. Berhati2 bungkus botok2 tadi dan semat kiri dan kanan nya dengan lidi. Kemaskan sehingga ketat dan kuat dan sesesaikan membuatnya untuk baki bahan. Akhir sekali ia perlu dikusun dalam kukus dan kukus atas air mendidih selama 30 minit. Biar sejuk sekejap dan boleh hidangkan bersama nasi panas.

Resepi kedua membuat botok-botok penulis melihat demonstrasi oleh Jabatan Pertanian Johor sempena Hari Terbuka mereka. Mereka menggunakan bahan terdiri daripada Pucuk Daun Semangkuk, Pucuk Daun Bebuas, Pucuk Daun Betik, Pucuk Daun Mengkudu, Pucuk Daun Mengkudu Belanda, Pucuk Daun Ubi (Ubi Pulut), Pucuk Daun Teh/ Puding (beberapa jenis), Pucuk Daun Kaduk,Daun Kunyit, Daun Kesum, Daun Selasih dan daun pisang untuk bungkusan. bagi bahan A mereka menggunakan 5 biji bawang merah, 3 biji bawang putih, 2 batang serai, 3 cm lengkuas, 3 cm halia, 3 cm kunyit hidup, 10 tangkai lada kering, 1 cawan santan, 2 sudu makan kerisik, Gula dan garam secukup rasa dan 1 paket rempah kari. bagi menyediakan bahan B mereka gunakan Ikan, Puyuh dan juga daging Ayam. Bagi menyediakan bahan C mereka gunakan daun ulam dan rempah. Bahan yang perlu dimayang halus terdiri daripada Daun Kaduk , daun kesum , daun kunyit dan daun selasih. Bagi menyediakan bahan D diambil daun-daun ulam dan daun pisang dicelur. Cara membuatnya dengan semua bahan A dikisar halus dan kemudian masukkan sedikit garam dan gula. Seterusnya satukan bahan yang dikisar dengan yang dimayang halus tadi. Gaulkan sebati dan dimasukkan ikan atau puyuh atau daging ayam dan gaulkan rata. Susun daun ulam di atas daun pisang mengikut susunan. Kemudian diletakkan ikan berempah tadi di atas daun ulam yang telah disusun dan bungkuskan. Akhir sekali semua bahan ini dikukus selama 20 minit. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!..
MEMBUAT BOTOK-BOTOK...BAGAIMANA...
MAKANAN ENAK...MENGGUNAKAN HERBA...
IKAN KEMBONG... IKAN TENGGIRI JUGA....
PERGI KEJOHOR... PELULAH MERASA...

By,
M Anem,
Senior AGronomist,
Jalan Padi Ria, Bandar Baru UDA,
Johor Bahru,
Johor,
Malaysia.
(4 Syawal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.