Friday, June 30, 2017

BONSAI - SATU SENI

BONSAI (Bonsai tree) atau dikenali sebagai pokok bantut di Malaysia dianggap tanaman unik berikutan memiliki karakter tersendiri, seni yang menarik dan juga kreatif. Berdasarkan 'fengshui' masyarakat Cina, tanaman Bonsai dikatakan simbol semangat positif yang memancarkan aura kehidupan baik bagi penanamnya. Saya merasa tidak hairan jika kini banyak kaum termasuk orang Melayu semakin menunjukkan minat untuk menanam pokok yang berasal daripada Dinasti Han di China semenjak beribu tahun dahulu. Sejaran menunjukkan Seni membuat bonsai wujud lebih kurang 2,000 tahun dulu dan kini amat popular sebagai seni menanam pokok dalam bekas atau 'Pen Zai' dalam bahasa Mandarin. Ketika zaman dulu, hanya golongan elit seperti golongan bangsawan, orang kaya, dalam istana sahaja yang menanam 'Pen Zai' untuk dijadikan antara hadiah mewah. Seni ini juga telah berkembang ke Jepun pada zaman Tokugawa sehingga ia diberi nama sebagai "Bon Zai" yang dimaksudkan dengan ertikata "Pokok Dalam Bekas" iaitu satu cabang kesenian amat unik. Artikel malam Sabtu ini sambil menonton perlawanan bolasepak antara Selangor dengan Perak di TV Astro, saya berpeluang menulis dalam "Anim Agro Technology" untuk dijadikan sumber rujukkan dan bacaan.

Pada asasnya, seni bonsai adalah himpunan teknik untuk tumbesaran, membentuk, memangkas dan menjaga pokok mengikut bentuk dikehendaki dalam saiz kecil serta mengekalkan keaslian dan tampak berusia atau lama. Sejarah mencatitkan yang seni bonsai semakin mendapat perhatian oleh masyarakat di seluruh dunia sekali gus mula mendapat tempat di Malaysia. Di Malaysia, aktiviti seperti Pameran Keunikan Bonsai diadakan setiap tahun dan ia dijayakan bersama Persatuan Seniman Bonsai Malaysia (PSBM) dan Sanfong Bonsai and Art Garden. Aktiviti ini menjadi antara platform memperkenalkan pokok bonsai kepada masyarakat umum. Antara keunikan bonsai berusia 80 tahun yang dikenali dengan nama saintifiknya ‘Buxus Harlandii', menjadi antara tarikan pengunjung dalam banyak kali pameran itu diadakan. 

Bonsai dibentuk dengan bantuan dawai aluminium pada ranting dan tunas iaitu dawai aluminium harus sudah dibentuk sebelum menggores kulit ranting pokok berkenaan. Bagi memenuhi kriteria ukuran tertentu, penanam perlu lakukan proses pengerdilan yang antara lain memotong hujung batang atau pucuk; ditanam pada medium terbatas (pot atau pasu kecil); pemangkasan akar secara berkala; terus menerus membuang tunas yang baru tumbuh (bud nipping) dan diletakkan pada tempat yang mendapat cahaya matahari penuh. Seni memotong, member air, baja dan penddedahan kepada cahaya matahari amat unik dan penting sehingga tahap kesenian ini amat sukar untuk dinilaikan. Ramai peminat pokok bonsai semacam 'orang gila' apabila sering bercakap dengan pokok bonsai dan diperlihara dengan tahap kecintaan atau kesayangan amat tinggi. Apa yang saya tahu, tanaman renek untuk dijadikan pokok bonsai boleh dibahagikan kepada enam jenis iaitu Mini, Kecil, Sederhana, Besar, Sangat Besar dan Gergasi. Pemilihan saiz dan jenis pokok adalah berbagai kerana kesenian dalam membuat bonsai ini amat relatif dari segi kecantikkan dan nilai estetiknya.

Hobi membuat pokok bonsai mampu menjana pendapatan tinggi jika ianya dikomersilkan. Setiap kali Pameran MAHA International dan pameran bonsai peringkat kebangsaan, nilai bonsai yang dijual amat memberangsangkan. Kini pokok bonsai mendapat tempat baik untuk dikomersilkan di negara kita. Saya dapati secara umumnya seni kreativiti dan minat terhadap tumbuhan dikaitkan dengan wanita. Ini adalah  berikutan penjagaan pokok memerlukan penelitian serta kesabaran tinggi. Bagaimana pun saya dapati  ia berbeza dalam konteks seni bonsai di Malaysia kerana ia dimonopoli peminat atau penanam lelaki.  Apa yang kita boleh lihat, kini minat sudah untuk berjinak-jinak dengan pokok bonsai sebagai seni hobi. Ini kerana ia tidak membabitkan kos besar dan teknik memangkas mudah dipelajari berdasarkan pemerhatian pada sesi pertandingan saja. Secara asasnya kita hanya ber sekadar 'cukup sekadar' pada pokok dan air untuk berkecimpung menanam bonsai. Saya dapati bahawa yang penjagaan asas tanaman dan mudah. Tambahkan elemen air (dengan menyiram dua kali sehari) dan dedahkan kepada cahaya matahari dimana ia penting untuk proses fotosintesis dan respirasi sekali gus memastikan bonsai kekal tumbuh ‘sihat’ dalam tempoh ditetapkan.

Dalam seni ini, bonsai dikategorikan sebagai tanaman lasak dan tahan lama, justeru perlu dibaja dengan tanah berdasarkan Ph 1:1 dimana ia memerlukan ketelitian penanam menjaga kesihatan akarnya. Seorang individu yang baru sahaja menceburi bidang tanaman bonsai hanya perlukan alat gunting dan dawai aluminium untuk proses membentuk dan seterusnya memangkas dahan berbanding 500 peralatan bagi penanam profesional. Apa yang unik, penanam bonsai boleh menyediakan pokok yang sesuai dijadikan bonsai kemudian ia di tanam dalam polibag dan sentiasa dijaga supaya 'sihat' di mana daun tidak jadi kuning, dijaga tumbesaran daripada semasa ke semasa kemudian diperiksa agar bahagian akar tidak serabut sebelum dipindahkan ke dalam pasu. Ada segelintir penanam baru cenderung menggunakan pasu hanya selepas lima tahun berkecimpung dalam bidang penanaman bonsai. Kini minat dan ikutan seni bonsai berubah daripada pelbagai bentuk unik dan kreatif dari bentuk haiwan sehingga kepada bentuk manusia dan juga kepada fenomena alam seperti dahan patah dan pokok di lereng bukit.

Seni bonsai adalah satu seni dalam kategori 'human cultivation' atau kita kata sebagai rekaan manusia dimana ia memerlukan bukan sekadar imaginasi tetapi kemahiran. Apa yang sangat diperlukan ialah kreativiti penanam untuk meniru fenomena alam. Lazimnya, peminat bonsai gemar gaya santai dan formal untuk menghasilkan seni ‘pokok bisu’ ini. Saya banyak kali mendengar yang penanam perlu ‘bercakap’ dengan tanaman mereka seperti memberi perhatian, sentuhan dan meneliti pokok untuk melihat tumbesarannya. Tindakan itu berupaya mengasuh sifat sabar dan berpandangan jauh kerana penanam akan berfikir gaya rangka bonsai idaman dalam tempoh ditetapkan iaitu lima tahun sekali. Tumbesaran tunas bonsai amat perlahan kerana ia mengambil masa lima tahun untuk membesar mengikut saiz ibu jari. Penanam akan mereka bentuk bonsai yang diingini daripada penghasilan tunas melalui teknik lilitan dawai. Minat masyarakat melalui penjanaan idea dan membentang prospek meluas dalam industri bonsai sebagai langkah menghidupkan sektor itu sebagai antara penyumbang ekonomi. Semuga anda mendapat info berguna dari blog anim agro technology kali ini dari saya. Wasallam!...
POKOK BONSAI...ADA DIDALAM PASU...
AMAT UNIK...POKOK DICARI DIBURU..
BERBAGAI BENTUK.. LAMA DAN BARU...
BERNILAI TINGGI... APA DI TUNGGU...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11, Putrajaya,
Malaysia.
(30 JamadilAkhir 1434H)
Kemaskini pada 28 Ramadan 1438H

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.