Saturday, February 18, 2017

USAHAWAN LABU DI TKPM - BERJAYA

LABU MANIS (Cucurbita moschata) merupakan sejenis tanaman dari keluarga Cucurbitaceae yang popular ditanam dikalangan petani di Malaysia sebagai tanaman kontan komersil. Tanaman labu manis sama dengan tanaman tembikai dan timun menjadi tanaman pilihan petani komersil dibeberapa projek Taman kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai tanaman yang memberikan pulangan baik. Nama tempatan tanaman ini adalah seperti Labu Manis, Labu Lemak, Labu Taiwan dan ada yang kata Labu Madu (Terengganu). Tanaman ini dipercayai memang berasal dari Amerika Tengah. Selain dibuat sayur penulis blog dapati labu manis juga boleh digunakan untuk membuat kuih seperti jemput-jemput, bengkang, serawa dan pai. Labu manis adalah makanan yang kaya dengan pelbagai zat mineral sama seperti keledek dan baik untuk kesihatan. Daripada tinjauan penulis dibeberapa negeri mendapati pengeluar utama tanaman labu manis seperti di Johor, Terengganu, Pahang dan Perak dengan keluasan tanaman labu manis sekitar 1,468 hektar pada tahun 2015 (Sumber: Laporan statistik tanaman Jabatan Pertanian Malaysia 2015). Didapati terdapat banyak varieti atau kultivar labu manis yang ditanam di Malaysia tetapi kini hanya beberapa varieti sahaja yang menjadi pilihan petani berdasarkan kepada permintaan pasaran. Pemerhatian oleh penulis blog ini mendapati diantara varieti yang popular di tanam adalah dari jenis Varieti China dan Varieti Taiwan. Varieti labu manis yang paling popular di Malaysia dan disyorkan untuk penanaman secara komersil ialah Early Price daripada jenis Taiwan dengan kod nombor daftar 767. Ini kerana buah labu manis berkualiti, saiz sederhana dan pokok yang tahan penyakit. Rencana subuh ini saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman labu manis yang dilaporkan dalam akhbar tempatan sebagai satu testimoni sebagai satu bahan bacaan dan sumber maklumat untuk anda.

Usahawan labu En Muhamad Hazani merupakan salah seorang penanam labu mas di TKPM, Titi Gantong, Bota, Perak. Beliau memilih tanaman labu manis kerana tanaman ini mudah ditanam, kos pengeluaran yang rendah dan juga mempunyai pasaran yang terjamin.  Jenis Labu Manis yang ditanam merupakan sejenis tanaman menjalar daripada keluarga Cucurbitaceae yang sering ditanam secara selingan dengan jagung atau tembikai. Tanaman ini adalah di antara tanaman yang paling mudah ditanam tanpa memerlukan penjagaan rapi, sekali gus ianya sesuai sebagai ‘peringkat percubaan’ bagi mereka yang baru menceburi dalam bidang pertanian. Menyedari faktor itu, Muhamad Hazani Aziz, 34, menjadikan tanaman labu sebagai salah satu komponen utama ladangnya yang keseluruhan berkeluasan 9.1 hektar. Kini tanah seluas 1.2 hektar telah pun diperuntukkan untuk tanaman labu. Selain itu beliau ada menanam jagung, cabai, pisang dan nanas. Penulis blog ada melawat TKPM Titi Gantong ini beberapa kali untuk meninjau sendiri teknologi penanaman jagung manis secara komersil. Menurut anak jati daripada Kampung Sungai Jejawi, Seberang Perak dimana pemilihan tanaman labu didakwa mampu mengeluarkan hasil setiap dua musim dalam setahun dan semusim dan ia juga mampu mengeluarkan hasil 6 - 7 tan bagi tanah berkeluasan 0.4 hektar. Pengeluaran hasil buah labu banyak bergantung kepada amlan agronomi tanaman.


Tanaman labu hanya ambil masa singkat sekitar 3 bulan untuk ianya dituai dan dipasarkan jika dijaga dengan baik. Walau pun kini harga labu tidak menentu kerana ia mengikut keadaan dan bekalan dan musim. Harga biasa selalunya RM1.00 sekilogram ke atas walau pun ia pernah mencecah sehingga RM3.50 sekilogram manakala pasaran pula sesuai untuk merata negeri. Buah labu manis yang matang tahan lama disimpan. Lazimnya tanaman labu manis alan mengambil masa 75 hari dengan tempoh mula berbunga pada hari ke-45 dan ia lebih mudah jika ditanam di kawasan berhampiran ternakan kelulut (Trigona spp) kerana tidak memerlukan bantuan pendebungaan. Ternakan kelulut bagaimana pun sesuai diletakkan ditempat redup agar ia tahan lama. Elakkan penggunaan sebarang racun untuk kita melindungi kelulut atau lebah dan semut yang membantu dalam proses pendebungaan labu manis. Penelitian penulis blog dapati proses penjagaan tanaman sangat mudah dan tidak memerlukan air yang banyak. Semusim hanya tiga atau empat kali disiram air manakala baja digunakan adalah baja asas najis ayam, daun dan buah ditabur secara berperingkat. Penjagaan juga tidak lama apabila mencapai usia 30 hari dimana bila pokok mula menjalar maka ia sudah tidak memerlukan penjagaan rapi.

Amalan lazim bagi mendapatkan hasil labu yang baik adalah dimana pokok perlu ditanam pada jarak dua meter dan sepokok boleh mengeluarkan enam hingga tujuh biji labu. Beliau kini telah menanam sebanyak 700 pokok untuk kawasan tanah hanya 0.4 hektar tanah. Bayangkan jika anda menanam seluas 5 hektar dengan labu manis dan hasil yang akan dikeluarkan secara berperingkat-peringkat ianya memang lumayan. Proses penting jika tiada atau kurang agen pendebungaan adalah dengan proses pendebungaan tiruan atau dengan kaedah Pendebungaan Berbantu. Setiap bunga labu manis perlu dikunjungi dan dengan alatan khas disentuh bunga tersebut meletakkan debunga kepada stigma agar berlaku proses pembentukkan buah labu (Sila lihat foto diatas). Kerja ini perlu dilakukan terutama pada musim hujan dimana kadar pendebunggan pada masa ini agak rendah berbanding dengan musim panas. Dalam pada itu ada penanam labu yang sering petik pucuk daun labu manis untuk dijual kerana permintaan daun labu manis untuk dimasak sayur juga amat tinggi. Pucuk labu manis selalunya dimasak lemak yang enak sesuai dimakan bersama nasi putih dan ikan kering. Ia juga merupakan kegemaran penulis dan sering mendapatkannya dipasar tani. Menu sayur [ucuk labu masak lemak ini sering dihidangkan direstoren makanan Melayu Tradisional.

Dalam pada itu En Muhamad Hazani berkata tanaman labu mempunyai pelbagai jenis atau varieti seperti ada yang berbentuk panjang atau bulat dimana dia menanam jenis Labu Mas yang mempunyai kelebihan tersendiri. Diantara beberapa keistimewaan labu mas ini isinya lebih manis, serat lebih halus berbanding jenis lain. Buah yang selalu dihasilkan mempunyai berat sekata dan bentuk bulat yang cantik. Malahan jenis ini juga mampu mengeluarkan lebih banyak hasil dan pokoknya memang tahan lasak. Labu jenis ini juga sesuai dijadikan pelbagai jenis masakan terutama kuih lepat labu kerana isinya yang manis dan serat halus. Labu ini juga didapati tidak memerlukan modal besar seperti sesetengah tanaman lain malahan risiko serta musuh tanaman juga agak kurang namun mampu memberikan pulangan yang lumayan mencecah ribuan ringgit jika dijaga dengan baik dan cuaca yang mengizinkan. Bagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam bidang ini atau yang bermodal kecil, labu manis adalah tanaman sesuai. Bagaimana pun pada saya apa yang penting adalah semangat, usaha dan minat harus ada untuk bergelut dalam bidang ini. Bapa kepada tiga anak itu katanya sebelum ini pernah berkerja sebagai mekanik dan pekerja kontrak di Shah Alam, Selangor. Namun ianya hanya bertahan sebulan sahaja dan kemudian nekad kembali ke kampung untuk terus membantu menguruskan sawah padi bapanya sebelum beralih kepada tanaman sayur yang lebih luas pasarannya. Syukur kepada Allah, berbekalkan usaha dan sokongan keluarga selain bantuan Jabatan Pertanian saya mampu membuktikan petani bukan lagi kerjaya ‘orang kampung’ dan mampu memberikan masa depan yang cerah. Labu adalah bahan makanan berkhasiat dan baik untuk kesihatan. semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda. Wasallam!!..

MENANAM LABU... ADALAH SATU USAHA...
LABU MANIS...LABU MAS SAMA SAJA...
MUDAH DITANAM...SENANG DIJAGA...
HARGA LUMAYAN... BUAH TAHAN LAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 217, Hotel Jerantut Hill Inn,
Jerantut, Pahang,
Malaysia.
(16 Jamadilawal 1438H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.