Sunday, February 19, 2017

BELALANG DAUN SERANG NANGKA

BELALANG DAUN  atau dikenali dengan nama 'LongHorn Grasshooper' didapati telah menyerang beberapa lokasi tanaman nangka di Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Negeri Pahang. Daripada temubual penulis dengan En Yong yang mempunyai kawasan tanaman buah seluas 40 hektar dengan tanaman nangka J33 (Tekam Yellow), serangan belalang ini dikesan bermula semanjak awal Febuari 2016 dan meningkat pada pertengahan Febuari 2016 sehingga ia dijadikan sasaran untuk kempen kawalan serangan secara menyeluruh. Tanaman nangka Tekam Yellow di kawasan TKPM adalah singkatan kepada Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang yang terletak di Daerah Temerloh, Pahang. TKPM ini merupakan satu projek TKPM paling luas di Malaysia dengan keluasan fizikal 3,600 hektar (10,000 ekar) yang mula dibangunkan 9 tahun lalu iaitu semenjak tahun 2008. Daripada keluasan tersebut seluas 3,026 hektar telah pun dibangunkan dan kawasan seluas 2,292 hektar telah ditanam dimana sebahagian daripadanya telah mengeluarkan hasil. Kawasan yang dahulu hutan telah mula dibangunkan dengan membersihkan kawasan dan membuat infrastruktur ladang seperti jalan masuk utama, sistem pengairan, pembentung, kolam, jalan ladang, parit sempadan dan sebagainya. Projek ini dibiayai dibawah EPP7 iaitu oleh kerajaan persekutuan dibawah kelolaan Jabatan Pertanian dengan bertujuan untuk menyediakan kawasan tanaman makanan khususnya buah-buahan dan sayuran kepada negara untuk pasaran domestik, pasaran eksport dan untuk aktiviti hiliran atau tujuan pemprosesan. Beberapa tanaman yang sesuai dikenalpasti dikawasan ini seperti tanaman Buah Nangka (Artcarpus heterophyllus), Betik (Carica papaya), Kelapa Pandan (Cocos nucifera), Nenas (Ananas commosus), Belimbing Besi (Averrhoa carambola), Herba, Sayuran dan beberapa jenis tanaman selingan lain. Kini tanaman utama di TKPM Lanchang telah pun ditentukan sebagai Tanaman Nangka. Hampir 80% nangka yang siap ditanam adalah varieti Tekam Yellow (J33). Nagka jenis lain yang ada ditanam di TKPM Lanchang ini adalah seperti Varieti Mastura (J37) dan Nangka Subang Chap Boy (J38). TKPM Lanchang merupakan salah satu daripada 18 lokasi TKPM diseluruh Negeri Pahang dan sebahagian dari 76 buah TKPM diseluruh Malaysia yang telah dibangunkan semenjak RMK ke 9 dan RMK Ke 10. Kini TKPM merupakan satu kawasan pengeluaran makanan yang utama di negara ini dengan pelbagai jenis produk makanan terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan. Projek TKPM ini melibatkan ramai petani dengan sistem pertanian yang lebih terancang dan berjaya. Artikel subuh Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kes serangan belalang daun atau Longhorn Grasshooper yang berlaku di TKPM ini yang perlukan kawalan daripada merosakkan tanaman nangka. Sesungut yang berwarna coklat keputihan ini mempunyai nodes seakan bentuk tanduk yang halus.


Serangan belalang daun ini berlaku dikawasan tanaman nangka yang telah matang berumur 5-9 tahun dibeberapa lot dibahagian timur. Ia berlaku selepas musim buah hampir habis dan musim panas bermula. Belalang Hijau yang menyerupai warna daun ini amat sukar dilihat jika tidak digoyang pokok nangka yang mana ketinggian kini mencapai 15 - 20 kaki (Sila lihat foto disebelah). Belalang ini adalah Longhorn grasshooper dari Order Orthopera, keluarga Tettigoinidae, Genus Onomarchus dan merupakan spesis Leuconotus dari jenis Katydid. Penelitian penulis pada belalang daun dewasa ini mendapati ia mempunyai saiz yang besar sekitar 12- 13 cm panjang. Saiz belalang yang besar ini disebabkan ia ada dan mempunyai makanan daun nangka yang banyak disekitar TKPM ini. Apa yang penulis tertarik dimana ia mempunyai sepasang kepak yang sama seperti sehelai daun dan amat sukar dilihat ia melekat pada daun (Sila lihat foto paling atas). Ciri unik belalang ini dimana ia mempunyai sepasang sesungut (anttanae) yang panjang berbeza dengan belalang biasa dimana sering dilihat sesungut ini lebih panjang daripada ukuran badannya. Kitaran hidup belalang ini adalah sekitar 12 bulan (setahun) melibatkan beberpa peringkat (instar). Belalang Jantan mampu menghasilkan bunyi nyaring (stridulation) semasa panas matahari hasil gesekan organ menghasilkan bunyi yang berada dibahagian belakang sepasang kepaknya. Ada spesis yang mana belalang daun betina inijuga mampu menhgasilkan bunyi nyaring. Bunyi ini adalah untuk menarik pasangan bagi proses mengawan. Ia mempunyai sepasang kaki belakang yang besar untuk melompay dan sepasang kepak untuk terbang. Belalang kecil lebih laju berbanding dengan belalang besar.

Melihat kepada pokok nangka yang telah diserang selama 2 minggu didapati bahagian atas daun yang diserang menjadi seakan 'hangus' dan mereput (Sila lihat foto disebelah). Pada pokok nangka yang matang agak jelas dilihat hampir keseluruhan daun dibahagian atas akan kelihatan coklat dan reput. Belalang ini akan duduk dibahagian atas dan bawah daun mengikut keadaan. Pada waktu tengahari dan panas biasanya ia berada dibahagian bawah daun tetapi pada waktu mendung dan malam ia akan berada dibahagian atas daun. Foto yang penulis ambil menunjukkan dengan jelas akan simptom kerosakkan pada daun yang mereput dimana ia akan menyebabkan proses fotosintesis berkurangan dan pokok menjadi tidak produktif. Pada kawasan pokok nangka varieti Subang Chap Boy (38) di lot Gemilang Sdn Bhd kadar serangan mencecah 80% kawasan tanaman seluas 10 ekar ini. Bagaimana pun kadar serangan agak kurang serius bagi kawasan tanaman nangka varieti Tekam Yellow (J33). Pada pemerhatian penulis mendapati pokok varieti Tekam Yellow ianya dilihat agak selektif serangannya iaitu mengikut barisan atau pokok individu sebaliknya pada varieti J38 dilihat lebih menyeluruh. Berkemungikinan daun daipada pokok varieti J38 lebih disukai daripada varieti J33.


Antara kawalan yang dilakukan oleh petani bagi mengawal serangan ini adalah dengan membuat semburan racun serangga yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian. Racun jenis Cypermethrin digunakan dengan dos yang ditulis pada label. Racun ini dibancuh dalam air bersih dan disembur menggunakan High Power Sprayer terus kepada bahagian daun dan rumpai disekeliling tanaman pokok nangka (Sila lihat foto disebelah). Semburan ini setinggi 15-20 kaki dihalakan dibahagian bawah dan atas daun sehingga cukup basah. Semburan ini dilakukan pada waktu petang dimana belalang kurang aktif dengan kekerapan 2 minggu sekali bagi kawasan tanaman nangka yang diserang. Mengikut En Yong pemilik ladang Rofken Sdn Bhd ini semburan racun serangga memeng tidak dilakukan pada bulan Disember dan Januari kerana masa itu penghasilan buah nangka bulan itu adalah memuncak. Beliau memetik sekitar 20 metik tan dalam sebulan dan dijual dengan harga diantar RM1.80 - RM2.00 sekilogram harga ladang. Buahnya dijual kepada FAMA dan pemborong swasta sehingga ke Negeri Kedah. Beliau berharap buah nangka dari TKPM Lanchang boleh dieksport ke China kerana penghasilan dari TKPM Lanchang sahaja dijangka mencecah 6 juta metrik tan setahun pada masa akan datang. Pada waktu ini didapati buah nangka diladang beliau adalah diperingkat hujung tetapi berlaku serangan belalang daun yang agak serius.


Setelah semburan dilakukan, penulis blog dapat melihat bagaimana belalang daun dewasa, belalang daun muda dan pupa mula terkesan raxun dengan bergerak dari bahagian bawah daun. Daripada yang berzaiz besar dan kecil kemudian akan jatuh ketanah dan kemungkinan akan mati selepas itu (Sila lihat foto disebelah). Selain itu akan dilihat belalang daun dewasa berterbangan dari daun tinggi tetapi keadaannya sudah tidak stabil terkena racun. Pemerhatian penulis mendapati ada juga belalang daun ini yang memang berada didalam semak samun disekitar keliling pokok nangka. Semak ini berkemungkinan adalah perumah alternatif kepada belalang ini dalam keadaan biasa. Bagi penggunaan racun serangga sistemik seperti metamidophos dan sebagainya masih belum disyorkan penggunaannya di kawasan serangan ini kerana masih terdapat buah nangka yang belum dipetik lagi. Racun kuat ini boleh digunakan pada pokok muda yang masih belum berbuah atau kawasan pokok dewasa yang sudah tiada buah untuk dituai lagi dengan teknik 'trunk injection'. Cara ini bagaimana pun tidak dibenarkan lagi untuk kawalan belalang daun ini yang mula dirasai akan kehadirannya merosakkan daun nangka. Kesungguhan pegawai pakar daripada Jabatan Pertanian bekerjasama dengan Persatuan Peserta TKPM Lanchang akan meneruskan usaha dalam membenteras serangan belalang daun ini sehingga ia dijangka akan berakhir dalam bulan April-Mei 2017 akan datang. Semuga rencana ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!...
Penulis dengan Pengurus TKPM Lanchang dan pakar tanaman.

Penerangan strategi kawalan bersama pakar dan pemilik ladang.
BELALANG DAUN.... SUDAH MENYERANG...
CUACA SESUAI.... PEMBIAKAN BERULANG....
MAKAN DAUN NANGKA...WAKTUNYA SIANG...
PERLU DIKAWAL... ELAKKAN KERUGIAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Lot Gemilang dan Rofken,
TKPM Lanchang, Temerloh,
Pahang, Malaysia.
(17 Febuary 2017)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.