Tuesday, March 22, 2016

TEKNOLOGI : KERBAU KE TREKTER


TEKNOLOGI KERBAU kini diganti dengan TEKNOLOGI TREKTER merupakan satu perubahan dalam sistem pembajakan sawah sektor pertanian. Ramai dikalangan kita yang telah lupa akan kehebatan haiwan kerbau sebagai satu jenis alat bantuan dalam aktiviti membajak sawah dan kebun pertanian semenjak beratus-ratus tahun dahulu sebelum berlakunya revolusi moden penggunaan trekter dan pelbagai jenis peralatan moden lain dalam industri penanaman padi. Penulis dalam menyediakan tajuk artikel ini masih terfikir bagaimana perubahan dalam sektor pertanian moden telah melenyapkan 'bahasa kerbau' yang digunakan oleh pesawah dan difahami oleh haiwan ini. Mereka menggunakan pelbagai bunyi seperti 'bah-bah', 'Kekiri', 'kekanan' dan 'berhenti' dalam memberi arahan kepada kerbau semasa melakukan akiviti membajak sawah. Kerbau ini juga faham akan arahan tuannya sama ada tuannya itu orang Melayu, Orang Siam, Orang Myanmar, Orang Indonesia, Orang Vietnam, Orang India dan sebagainya dengan menggunakan bunyi khusus yang diberikan tuannya. Uniknya kerbau ini kerana ia akan memahami bahasa arahan yang diberikan dan membajak sawah semenjak berkurun lamanya (Sila anda lihat foto paling atas).  Kini penggunaan kerbau sebagai medium untuk membajak sawah semakin kurang di gunakan di Malaysia tetapi masih lagi praktikal dibeberapa negara seperti di India, Myanmar, Bangladesh dan beberapa negara lain. Ia adalah jauh lebih murah dari segi kos operasi berbanding dengan cara menggunakan trekter. Malam ini sambil merenung jauh dari aras 13 Kondominium Flora, saya menulis artikel dalam "Anim Agro technology" mengenai perubahan teknologi kerbau kepada teknologi trekter sebagai satu asas dalam perbincangan malam hening ini yang melenyap bahasa kerbau yang dahulu diamalkan. 


KERBAU (Bubalus bubalis) adalah sejenis haiwan peliharaan memahami arahan lisan yang diberikan oleh pesawah atau pengembala. Kerbau adalah binatang jinak yang mampu membiak dengan baik dan menjadi haiwan ternakan bagi dibanyak negara di dunia terutama di Asia. Haiwan ini asalnya adalah haiwan liar yang dijinakkan dengan banyak spesis berasal dikawasan negara seperti di Pakistan, India, Bangladesh, Nepal, Bhutan, Vietnam, Cina, Filipina, Taiwan, Indonesia, Malaysia dan Thailand. Melalui program biakbaka kerbau kini telah banyak spesis kerbau yang dihasilkan untuk dikomersilkan. Penulis juga telah melihat baagaimana Kerbau Raavi yang menghasilkan susu di ternak secara komersil di Islamabad, Pakistan dan ditulis dalam artikel sebelum ini (Sila klik disini). Selain daripada digunakan sebagai haiwan untuk membajak sawah, kerbau juga sering digunakan sebagai haiwan untuk pengangkutan, daging, tahinya untuk dijadikan baja dan sumber pendapatan petani apabila dijual. Peranan kerbau dalam sektor pertanian iaitu dibeberpa negara tertentu masih lagi signifikan seperti apa yang penulis lihat sendiri di Pakistan, India, Cambodia dan beberapa negara lain yang penulis pernah sampai dan dapat melihatnya. Negara ini menggunakan khidmat kerbau atas pelbagai sebab termasuk kos yang murah, kekurangan trekter, lokasi terpencil, keadaan tanah berlereng (Di Pulau Jawa dan Bali) dan sebagainya.

Walau pun populasi kerbau liar di Asia semakin menurun bilangannya tetapi beberapa pusat pemeliharaan (sanctuary) telah diujudkan dibeberapa negara untuk menyimpan baka dan populasinya. Kerbau dewasa dapat mempunyai berat sekitar 300 kg hingga 600 kg seekor. Kajian mendapati dimana kerbau liar betina dapat memiliki berat yang lebih mencapai berat sehingga 800 kg dan kerbau liar jantan dapat mencapai berat hingga 1,200 kg. Bagaimana pun purata berat kerbau jantan adalah sekitar 900 kg dengan ketinggian sekitar 1.7 meter. Dalam kes lain penulis dapati salah satu ciri yang boleh membedzkan kerbau liar dari kerbau peliharaan adalah bahwa kerbau dipelihara adalah dimana ia memiliki perut yang bulat. Dengan adanya progrsm kacukan campur baka keturunan antara kerbau maka ia hasilkan baka baru yang lebih produktif. Dalam artikel kali ini saya mengutarakan sama ada anda percaya bahawa kerbau adalah binatang yang memahami arahan lisan penggembala atau tuannya?. Sesungguhnya ia adalah satu fakta dalam kegiatan bersawah tradisional tetapi bahasa kerbau kini hampir tidak kedengaran lagi. Walaupun kerbau tidak boleh bertutur tetapi penulis dapati setiap arahan lisan pesawah atau arahan oleh penggembalanya difahami dan dipatuhi. Suatu ketika dahulu memang kerbau dan sawah begitu sinonim dimana ada yang beranggapan tanpa kerbau maka sawah akan mati atau tidak dapat dikerjakan.

Tugas utama kerbau dalam kegiatan persawahan termasuk menarik pembajak dan beberapa peralatan lain seperti penyisir dan tenggiling. Kerbau juga digunakan bagi menarik batang pisang untuk kerja-kerja membadai atau pun untuk meratakan tapak semaian padi. Apa yang pasti adalah kesemua tugas itu tidak mampu dilaksanakan secara mudah dengan hanya bergantung kepada kudrat manusia. Sinonim dengan kerbau dan sawah maka para pesawah menjadikan binatang itu sebagai rakan setugas dan mempelajari bahasa kerbau sebagai kaedah berkomunikasi. Apa yang penulis ingat semasa zaman remaja dulu di Sawah Ring, Muar adalah bunyi sebutan bahasa kerbau yang sering digunakan seperti ‘ha’ihh’ bagi menyuruh kerbau berjalan ke hadapan sambil menarik bajak, penyisir dan tenggiling. Bagi mengarahkan binatang itu membelok ke kanan disebut ‘paling chah’ atau ‘chah nuu’ dan jika disebut ‘paling sok’ kerbau akan membelok ke kiri. Bagi memberhentikan cara pergerakan kerbau maka pesawah akan menyebut ‘diam’ dan dengan segera binatang itu berhenti. Jika pesawah mahu kerbau itu berjalan secara berundur maka dia perlu menyebut perkataan ‘serot atau seghoot’ dan binatang itu akan berundur. Arahan dengan menggunakan bahasa kerbau itu perlu kuat dan lantang supaya ia didengari dengan jelas oleh binatang peliharaan tersebut. Ada dalam kalangan petani yang membawa ranting kayu bagi memukul bahagian punggung kerbau jika binatang itu bersikap degil dan enggan menurut arahan. Walaupun bahasanya agak terbatas, seperti jentera pembajak, arahan lisan itu lebih bertumpu kepada pergerakan hadapan, undur, membelok dan berhenti.

Dalam membiasakan bahasa kerbau mereka perlu proses 'Belajar' dan praktikal dahulu sehingga ada ikatan antara kerbau dengan pemiliknya. Cara mempelajari bahasa kerbau daripada para pesawah lain lazimnya tidak akan menghadapi sebarang masalah semasa mengendalikan binatang yang kuat ini.  Mungkin ada lagi sebutan lain tetapi tidak digunakan kerana biasanya kudrat kerbau hanya digunakan untuk membajak dan bahasa arahan itu adalah memadai. Bahasa kerbau juga bukan sahaja digunakan oleh para pesawah di negara ini tetapi dibanyak negara lain. Semasa penulis membuat lawatan teknikal di Thailand, aktiviti membaja sawah masih aktif dilakukan oleh ramai petani disana terutama dikawasan yang kurang mendapat perkhidmatan trekter. Walaupun peranan kerbau begitu penting dalam kerja-kerja di sawah, kini binatang perkasa itu hampir tidak kelihatan lagi ketika industri padi memasuki fasa pemodenan sejak beberapa dekad yang lalu. Kini tugas penting kerbau dalam kegiatan pembajakan sejak sekian lama kini diambil alih oleh jentera pembajak, sekali gus menjadikan tugas pesawah semakin mudah. Kerbau telah direhatkan sepenuhnya di pinggir sawah dan binatang itu hanya menyaksikan jentera pembajak yang lebih pantas bergerak sambil meratah tanah.

Penggunaan trekter dalam membajak sawah telah dimulakan dalam 35-40 tahun kebelakangan ini dinegara kita. Penggunaan trekter atau mengendalikan jentera pembajak ketika itu mula-mula diperkenalkan apabila skim pengairan sawah dilengkapkan terutama dikawasan jelapang padi utama. Ini kerana kekerapan penanaman padi sekali setahun sebelum ini telah digandakan 2.5 kali setahun atau lebih lagi dimasa akan datang. Khidmat trekter membajak sawah adalah faktur paling kritikal dalam menepati jadual penanaman padi. Penanaman padi serentak membolehkan kurang potensi serangan penyakit dan perosak dan memudahkan sistem pengurusan air dalam skim. Terdapat jentera bajak besar, sederhana dan kecil seperti rotovator 2 roda (Sila lihat foto disebelah). Jentera pembajak beroda dua ada yang masih menggunakannya mengikut lokaiti sawah. Di Perlis mesin seperti ini sering dipanggil sebagai 'kerbau buta'. Jentera itu dinamakan demikian mungkin disebabkan oleh kegiatan membajak begitu sinonim dengan kerbau. Mungkin juga kebanyakan jentera pembajak yang digunakan ketika itu berjenama Kubota lalu disebut sebagai kerbau buta. Bagaimanapun, kehadiran jentera itu menyebabkan bahasa kerbau semakin hilang sebagaimana lenyapnya kerbau akibat bermulanya era persawahan moden. Ketika kerbau tidak lagi diperlukan untuk kerja persawahan, kebanyakan binatang itu dijual dan ada yang disembelih. Walaupun begitu penulis dapati peranan kerbau telah dipinggirkan, khidmat bakti binatang itu tetap tercatat dalam sejarah persawahan tradisional.

Sebenarnya selain kegiatan pembajakan, kerbau juga berperanan dalam tugas-tugas lain termasuk menjadi penarik treler (Anok) iaitu sejenis alat yang digunakan bagi mengangkut padi dan barangan lain. Biasanya anok tidak mempunyai roda tetapi yang mempunyai roda lebih dikenali sebagai kereta kerbau. Kereta kerbau bukan sahaja membawa penumpang tetapi barangan. Kudrat kerbau juga digunakan bagi kegiatan memerah tebu menggunakan mesin yang diperbuat daripada kayu. Kerbau akan menarik pemegang alat pemerah tebu dengan berjalan mengelilingi alat berkenaan sehingga himpunan tebu itu dapat diperah. Suatu ketika dahulu, kegiatan menunggang kerbau merupakan perkara biasa di kawasan kampung kerana binatang itu lasak dan tidak memerlukan laluan yang sempurna untuk bergerak. Kegunaan kerbau dalam bidang hiburan adalah dimana bila ada penunggang kerbau kaum bajau di Sabah yang perlu berlatih mengimbangi badan supaya dia tidak tergelincir dan jatuh ketika kerbau bergerak terutama ketika melalui kawasan parit. Pada zaman silam juga, kerbau pernah digunakan bagi tujuan hiburan termasuk kegiatan laga kerbau selepas musim menuai. Acara laga kerbau berlangsung di gelanggang khas yang diwujudkan di kawasan kampung dan ia bagaikan pesta apabila orang ramai berkumpul bagi menyaksikan kerbau yang bakal menjadi juara. Daging Kerbau adalah berkualiti dan menjadi pilihan penduduk kamoung di Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah semasa mengadakan kenduri kendarat. Keenakan daging kerbau menjadikan ia mendapat perhatian khusus dalam masyarakat. Agak sukar untuk mendapatkan daging kerbau dijual dipasar biasa (Sila lihat foto disebelah). Akhir kata apabila kerbau tidak membajak dan digantikan dengan trekter maka suara kerbau semakin kurang didengar. Semua tulisan ini memberi info berguna kepada anda. Wasallam!.
NAMA KERBAU... KUAT TENAGA...
BAJAK SAWAH... TARIK KERETA...
DAGING ENAK... GULAI DIRASA...
TULIS ARTIKEL...SATU DERMA...

By,
M Anem,
senior Agronomist,
Aras 13, Kondomonium Flora,
Seri Kembangan, Selangor,
Malaysia.
(16 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.