Monday, March 21, 2016

TANAM KELADI LAMBUK

MENANAM KELADI LAMBUK atau KELADI KEMUMU (Caladium spp) merupakan satu usaha yang agak mudah dilakukan. Keladi Lambuk mungkin agak kurang dikenali oleh orang luar Pahang kerana tanaman ini hanya popular di sekitar daerah Pahang Utara seperti di Daerah Jerantut, Lipis dan Raub. Ia sejenis tumbuhan daripada keluarga Arecaceae yang tumbuh asalnya dikawasan tanah subur yang agak lembab. Keladi lambuk merupakan tumbuhan yang biasanya tumbuh secara meliar dikawasan berpaya dan ada saliran baik. Ia dilaporkan ada juga ditanam kerana kegunaannya sebagai satu jenis makanan terutama bahagian batangnya untuk dijadikan sayuran. Dari info yang penulis rujuk, keladi lambuk tidak seperti keladi jenis lain kerana batangnya tidak akan menyebakan kesan kegatalan dimana ia boleh dimakan mentah sebagai ulam. Menurut seorang pakar rujuk keladi lambuk di IP Lipis iaitu Encik Hasan, ada petua melarang memanggil dengan panggilan 'keladi' ketika mengambil batangnya. Jika disebut 'keladi' maka ia akan menyebabkan batangnya menjadi 'gatal' ketika dimakan. Selain itu keladi ini juga ada ditanam dan dimakan di Perak dan beberapa daerah di Selangor tetapi jarang saya jumpa di Johor. Keladi Lambuk atau Keladi Kemumu merupakan tanaman dari jenis keladi yang mungkin generasi baru sekarang agak kurang mengenalinya. Artikel malam ini dalam "Anim Agro Technology" saya menulis sedikit info mengenai usaha penanaman keladi lambok atau keladi kemumu kepada semua peminat dan pembaca blog teknologi pertanian ini.

Keladi ini mempunyai sedikit perbezaan dengan Keladi Cina secara umumnya dimana lazimnya warna tumbuhan dimana dari segi warna daunnya ia akan kelihatan hijau kebiruan sedangkan keladi cina atau keladi biasa selalunya mempunyai warna daun benar-benar hijau terang. Bagaimana pun ciri khusus keladi lambuk atau keladi kemumu tidak seperti keladi biasa yang mana keladi biasa mempunyai getah juga bahagian kelopaknya dikatakan ada cecair (orang kampong kata 'racun') yang selalunya akan menyebabkan gatal-gatal jika tersentuh. Jika batang atau daun keladi biasa dimasak pun masih mendatangkan kesan gatal. Bahagian batang keladi lambok selalunya boleh dimasak atau dimakan mentah sebagai ulam dimana ia juga dikenali sebagai lambuk oleh masyarakat sekitar Pahang dan Perak. Keladi ini ditanam dengan menggunakan benih dari batangnya yang diambil daripada sulur dan batang umbisi. Penanaman dikawasan tanah mnireal dikawasan keliling rumah mudah dilakukan dengan menaikan sedikit batas tanaman setinggi 15-20 cm dan meletakkan plastik penutup silvershinr. Buat lubang penanaman dengan jarak 60 - 80 cm dan masukkan benih didalamnya (Sila lihat foto disebelah). Jenis Plastik silvershine akan membolehkan ia memberikan kelelbapan tanah, mengawal pertumbuhan rumpai dan bagi menjalankan pembajaan dan penyiraman. Pemberian baja organik seperti tahi ayam proses, tahi kambing atau baja hasilan kompos membolehkan pokok keladi lambok tumbuh subur dikawasan keliling rumah.

Pokok keladi lambuk yang tumbuh dengan baik boleh dituai bahagian batangnya apabila saiz batang telah mencapai ukuran lebih dari 60 cm panjang dari pangkal ke daunnya. Lazimnya pada ketika ini ia boleh mencapai sehingga lebih dari 1.2 m panjang daripada paras tanah atau telah mencapai umur menghampiri tempoh 10 -12 bulan jika dijaga dengan baik. Cara untuk memilih batang keladi lambuk yang sesuai dengan meninjau kepada pokok induk dahulu dengan membiarkan rumpun anak yang tumbuh membesar. Pada amalan biasa petani akan menggunakan pisau tajam dan potong semua bahagian pokok sedikit atas tanah dan kemudian dibuang daunnya. Cara ini akan menyababkan pokok akan bertunas semula tetapi agak lama untuk menunggu tuaian kedua. Terkini kita boleh potong beberapa batang bersaiz besar sahaja dan meninggalkan batang dibahagian tengak pokok agar ia boleh dituai semua dengan masa lebih cepat (Sila lihat foto bertanda bulatan disebelah). Batang keladi lambuk kemudian diikat dengan tali unuk dibawa pulang. Bagaimana pun jika menuai keladi lambuk yang tumbuh meliar dikawasan paya lazimnya orang kampong akan mencabut terus rumpun pokok dan diproses dirumah. Bagaimana pun bahagian perdu atau rizomnya boleh dipotong dan ditanam semula dilokasi sama atau lokasi lain. Daripada temubual penulis dngan En Hassan didapati sebanyak tiga puluh rumpun keladi lambuk liar yang dicabut didapati boleh menghasilkan antara 50 - 60 batang (10 kg) batang keladi lambuk dalam masa seminggu.

Batang keladi lambuk adalah lembut dan berongga dimana ia semestinya perlu disiat kulitnya dan direndam seketika dalam air garam dalam proses untuk dijadikan makanan. Ramai berkata ia memang sedap dimakan dengan mencicah dengan budu, sambal belacan, sambal kelapa dan lain-lain pencicah buatan sendiri sebagai ULAM mengikut selera masing-masing. Batang keladi lambuk sebenarnya amat enak dan lebih popular dijadikan sebagai bahan utama masakan seperti Masak Lemak. Pada penulis ia amat enak dan lazat jika batang keladi kemumu atau keladi lambuk di masak lemak cili api atau asam rebus bersama udang, ayam atau paling sedap dengan daging. Isinya yang lembut dan 'spongy' memang cukup enak dimakan dengan nasi putih panas ketika makan tengahari. Laun lain seperti ikan bakar, ayam goreng dan ikan kering akan menyebabkan ketika makan memang cukup meyelerakan. Selain itu penulis juga terjumpa dengan menu masakkan keladi lambuk yang digoreng bersama ikan sardin atau juga ada yang goreng dengan belacan sahaja. Ada juga dilaporkan batang keladi yang dimasak akan gatal tetapi petua yang boleh dilakukan adalah dimana cara untuk hilangkan miang keladi ialah masukkan buah pinang atau sesudu minyak masak ke dalam masakan keladi. Ini selalu dilakukan untuk masakan gulai tempoyak keladi. Selain daripada ia sedap di buat ulam dimakan mentah dicicah sambal tempoyak ia juga didapati sesuai digoreng dengan campuran cili hidup berperencah daging. Kajian harga menunjukkan harga pasaran sekitar Pasar Tani Mega Putrajaya adalah sekitar RM4-5 sekilo bergantung kepada kuantiti dan kualiti.

Menyediakan menu masakan keladi lambuk masak lemak mudah disediakan dengan ada ilmu dan kemahiran. Bahan-nahan diperlukan adalah seperti 3 batang keladi lambuk yang dipotong dengan anggaran panjang 12 inci, 2 peket cendawan, 100 grm udang kertas kecil, 1 helai daun kunyit, 1.5 cawan santan atau jumlah secukupnya, 1 keping asam keping serta sedikit minyak untuk menumis. Sebagai bahan ramuan bahan yang perli ditumbuk sehingga lumat adalah 10 biji cili api, 2 biji bawang merah, 1 ulas bawang putih, 1 cm kunyit hidup, 1 cm halia, 1 batang serai yang perlu diracik dan garam kasar secukup rasa. Cara memasak resepi ini dengan membasuh dan membersihkan batang keladi lambuk kemudian disiat kulit luar dan di potong nipis dengan cara menyerong sepanjang 1-2 inci. Kemudian dibersihkan cendawan dan disiat-siat kecil dimana kemudian bersihkan udang dan ditoskan serta diketepikan dulu. Kemudian adalah membersih dan mengupas semua kulit bawang kemudian tumbuk lumat bawang bersama cili api, serai, kunyit hidup dan garam kasar. Selapas itu adalah proses memanaskan periuk atau kuali dengan 2-3 sudu besar minyak masak. Masukkan ramuan tumis dan bahan tumbuk digoreng sampai wangi dan kemudian perlu dimasukkan santan dan kacau biar sampai hampir mendidih. Seterusnya adalah memasukkan semua potongan keladi lambuk tadi dan cendawan. Proses mengacau dibuat sehingga ia sekata sehingga sampai batang keladi masak dan cendawan masak sepenuhnya. Masukkan semua udang dan daun kunyit yang diracik serta asam keping tadi dan kacau semua bahan. Boleh dimasukkan garam secukup rasa dan kacau semua bahan sehingga sekata dan biar sampai udang dan semua cendawan masak. Kacau lagi dan apabila cendawan cukup masak maka ia ditutup api dapur serta sedia untuk dihidangkan masak lemak keladi lambuk ini. Amat enak dimakan dengan nasi putih. Semuga anda dapat info berguna daripada tulisan kali ini. Semua peminat tanaman keladi lambuk boleh menanam sendiri dikawasan keliling rumah keladi lambuk. Selain daripada mendapat bekaran batang keladi lambuk segar, jika menanam sendiri akan terjamin keselamatan makanan dan mudah untuk mendapatkan bekalan. Wasallam!.
KELADI LAMBUK...MUDAH TANAMNYA...
CARI BENIH...BATAS SESUAI DISEDIA...
DIBUBUH PENUTUP PLASTIK...DIBAJA...
CUKUP DEWASA... AMBIL KERAT SAJA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Institut Pertanian Lipis (IPL),
Lipis, Pahang,
Malaysia.
(15 JamadilAkhir 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.