Wednesday, March 23, 2016

PELAM TELOR - ADA POTENSI

PELAM TELUR (Mangifera indica L) atau Mempelam Telur atau Pelam Pauh atau di Utara Semenanjung ia dipanggil 'Pelam Teloq' merupakan satu daripada varieti mangga tempatan yang popular dikalangan petani kerana ia mudah tumbuh dan tahan penyakit. Pelam Telor mendapat nama daripada bentuk dan saiz kecil seakan seperti bentuk telur ayam yang agak membulat bujur. Dikalangan ahli pertanian dan petani, mangga ini merupakan jenis mangga yang tahan lasak dan tidak pernah mengecewakan kerana ia cepat berbuah dan sering menghasilkan hasil buah yang banyak apabila tiba musimnya. Pelam Telur dikatakan sejenis varieti tempatan yang mudah tumbuh dikawasan tanah rendah dengan mendapat cahaya matahari yang banyak dan dijaga dengan baik. Pemerhatian yang penulis lakukan mendapati tidak ada dinyatakan keluasan spesifik tanaman pelam telur yang direkodkan di Malaysia kerana data statistik Jabatan Pertanian hanya menyatakan keluasan pokok mangga seluas 9,400 hektar dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 24,500 metrik tan setahun (Sumber: Laporan statistik, Jabatan Pertanian Malaysia 2014). Varieti mangga yang paling popular ditanam di Malaysia pada masa kini adalah Varieti Chokanan (MA224) dan juga Mangga Harumanis (MA128) serta beberapa varieti lain seperti Varieti Mangga Sala, King dan sebagainya. Pelam Telur hampir tidak dinyatakan keluasannya dalam laporan tersebut tetapi berdasarkan pengalaman penulis yang terlibat dengan pertanian lebih 34 tahun menganggarkan sekitar 100- 150 hektar CHE. Pelam telur jarang ditanam secara monokrop oleh petani kerana ia dikatakan kurang komsersil berbanding dengan varieti cokanan dan harumanis dari segi harga jualan. Ini kerana buah pelam telur selalunya bersaiz kecil, rasa buah yang masam (walau pun agak manis apabila masak ranum), berbiji besar, berserabut dan juga harga pasaran yang rendah. Bagiamana pun tanggapan tersebut kini meleset kerana buah pelam telur kini semakin banyak permintaan untuk aktiviti pemprosesan buah jeruk dan jugs sebagai pokok penanti untuk pembiakan mangga secara cantuman. Artikel subuh ini selepas bersahur, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pelam telor yang sering dibunakan untuk buat jeruk dan bijinya disemai untuk dijadikan pokok penanti bagi tujuan cantuman varieti mangga komersil lain.

Pokok Pelam Telur mempunyai bentuk pokok yang hampir sama dengan jenis mangga yang lain dari segi pokok dan marfologinya (Sila lihat foto sebelah). Pokok ini mampu tumbuh tinggi iaitu melebihi 20 meter tetapi lazimnya pokok pelam telur yang ditanam di batas sawah padi atau disekeliling rumah dikawasan kampong akan dibuat cantasan agar ketinggiannya sekitar 8 - 10 kaki sahaja. Ini bertujuan untuk memudahkan aktiviti pengurusan tanaman dan kerja mengutip hasil. Pelam Telur mudah tumbuh dimana-mana jenis tanah asalkan ia dari jenis tanah subur yang mempunyai sumber air dan ada sistem saliran baik. Pokok pelam telur selain daripada mudah ditanam dengan biji benih (daripada biji buah pelam telur yang matang terpilih) juga boleh ditanam daripada anakbenih cantuman. Semasa memilih buah untuk dijadikan biji benih, pastikan dilihat kapasiti berbuah yang sangat tinggi, tahan penyakit dan cepat berbuah. Gunakan biji yang diambil dari buah pelam telur yang telah masak (atau gugur) dan perlu dikeluarkan bijinya untuk disemai didalam polibeg. Apabila anakbenih cukup besar ukurannya dan saiz, maka ia boleh ditanam di kebun dengan jarak tanaman 4m x 5 m (atau mengikut kesesuaian kawasan). Pelam telur jika tidak dibuat cantasan pembentukkan dan cantasan selengaraan boleh tumbuh tinggi sehingga 30 meter. Lazimnya untuk tujuan penanaman pelam telur komersil ia dilakukan dengan buat cantasan. 

Pokok pelam telur perlu dibuat amalan pembajaan daripada pertingkat awal penanaman sehingga peringkat untuk berbunga dan berbuah. Pada peringkat vegetatif perlu diberikan baja NPK 15:15:15 dengan kadar sepokok yang disyorkan mengikut umur dan saiz pokok. Berikan juga baja kapor dan baja organik untuk mendapatkan sumber makanan pokok pelam telur dengan kadar mencukupi. Seterusnya pada umur pokok pelam telur berumur 3-4 tahun boleh diberikan baja NPK 12:12:17:2:TE bagi penghasilan bunga dan buah. Cantasan pokok pelam telur sama sahaja dengan pokok mangga varieti lain iaitu dimulakan dengan aktiviti sebagai cantasan pembentukkan dan seterusnya diikuti dengan cantasan penyelenggaraan. Sebaiknya cantasan dilakukan dengan mengikut pakej amalan tanaman mangga yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian dan amalan MyGAP. Cantasan yang baik membolehkan pokok pelam telur mempunyai ketinggian sederhana dan bentuk pokok yang seimbang. Pastikan membuang dahan yang dicantas dan dikumpulan disatu lokasi agar tidak menjadi perumah kepada musuh dan penyakit.


Pokok pelam telur perlu diperiksa selalu atau buat tinjauan tahap serangan oleh penyakit dan perosak. Antara jenis serangga perosak seperti Ulat Makan daun, Ulat Pengorek Batang, Kumbang Koboi (Cockchafer) dan Lalat Buah. Buah pelam telur lazimnya memang amat masam ketika muda dan ada sedikit manis apabila matang. Kandungan asidik dalam buah mangga ini menyebabkan serangan oleh serangga perosak hanya akan berlaku apabila mangga telur hampir masak dan buah mangga ranum yang berguguran. Penyakit pelam telur sama dengan jenis mangga tempatan yang lain dan boleh dilakukan semburan racun kimia apabila perlu. mangga telur akan menghasilkan buah dalam jambak dengan banyak setiap tangkai sehingga berbelas biji jika pokok subur dan cuaca mengizinkan. Buahnya yang mempunyai kulit berwarna hijau berbentuk bulat telur ini adalah masam kalau hendak dimakan mentah. Oleh itu kebanyakan buah pelam telur akan dipetik untuk dijadikan jeruk mangga muda. Buah setengah matang (empulur bijinya masih lembut) akan dipetik dan dikumpulkan. Semantara itu biji buah pelam telur yang dicambahkan merupakan bahan asas pokok penanti (rootstock) bagi aktiviti menghasilkan cantuman pokok mangga varieti lain. Kajian saintis pertanian mendapati pokok penanti dari pelam telur adalah amat sesuai (compatible) dengan hampir semua jenis varieti mangga tempatan untuk dibuat cantuman.

Bagaimana pun penulis lebih berminat menyatakan kepentingan buah pelam telur untuk dijadikan jeruk mangga yang amat popular di Pulau Pinang. Pembuat jeruk mangga tradisi di Pulau Pinang dan Kedah lazimnya akan membuat 'kontrak farming' atau pajakan pokok pelam telur pada petani yang ada banyak pokok. Mangga ini akan dikumpulkan dan dihantar kekilang membuat jeruk dengan kuantiti yang banyak. Buah ini akan dibasuh dan direndam dalam air khas sebelum diproses menjadi buah jeruk mangga yang enak rasanya. Buah ini sama ada dipotong dua, potong kepada saiz kecil-kecil akan di proses dan dipekkan dan dijual dipasar Chowsrasta atau dipasar malam atau dipasaraya sebagai produk kebangaan Pulau Pinang. Sebut sahaja 'Jeruk Pak Ali' tentunya semua yang minat jeruk mangga telur akan membelinya jika berkunjung di negeri tersebut. Saya juga mendapat info bagaimana untuk menyediakan Acar Mangga. Pelam Telur merupakan bahan utama membuat acar mangga. Sebelum mulakan aktiviti membuat acar mangga sebaiknya mengambil 20 biji pelam telur dan kemudian ia dibelah dua. Proses seterusnya adalah merendam dengan air garam dan kapur sebentar. Setelah diangkat dan ditoskan dan menjadi sejat maka buah tersebut perlu digaul dengan gula. Seterusnya adalah aktiviti untuk menumis bawang merah, bawang putih dan halia yang telah dimayang didalam lesung. Sementara itu semasa memasak acar mangga perlu ditambahkan 2 sudu besar jintan manis, 2 sudu besar jintan putih dan 3 sudu besar cili yang telah pun dimesin. Kacau ramuan dalam kuali sehingga agak garing dan boleh ditambahkan sedikit air atau dengan kadar lebih kurang 1/2 cawan. Kemudian ditambahkan bahan bawang merah yang telah dibelah 4, bawang putih yang dibelah dua, kurma dan buah pelam telor atau pelam lain sesuai. Apabila buah pelam telah empuk maka perlu dimasukkan lobak masin dan kismis yang sebaiknya digoreng dulu. Akhir sekali adalah hiasan iaitu menabur bijan sebelum dijual atau dihidangkan.
Semuga anda mendapat info berguna pada kali ini . Wasallam!.
Jeruk mangga telor yang enak di Pulau Pinang.
PELAM TELOR... ADUH MASAMNYA...
DIBUAT JERUK... RAMAI SUKANYA...
BIJI CAMBAH... ROOTSTOCK JADINYA...
WALAU MASAM... MENJADI DUITNYA...



By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Pulau Gadong,
Jalan Pokok Mangga (Bersebelahan),
Melaka, Malaysia.
(17 Ramadan 1435) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.