Saturday, February 20, 2016

BUNGA KEKWA - APA DIA?

Menanam BUNGA KEKWA (Chrysanthemum indicum) kini semakin popular terutama dikawasan sesuai iaitu bersuhu sejuk seperti di kawasan tanah tinggi. Bunga daripada keluarga Asteraceae ini natif daripada Asia dan Eropah Timur dengan mempunyai banyak spesis. Pada masa ini industri bunga keratan di Cameron Highlands ini menjangkau ratusan juta ringgit setahun dengan lokasi pengeluaran dikawasan Bertam Valley, Ringlet, Kuala Terla, Blue Valley dan Kampung Raja. Ia merupakan salah satu nadi bagi pengeluaran bunga keratan tanah tinggi di Malaysia. Data Jabatan Pertanian menunjukkan keluasan fizikal penanaman bunga di Cameroon Highland adalah 39 hektar (bermakna sekitar 120 hektar CHE setahun) dengan beberapa jenis tanaman bunga (Sumber: Pejabat Pertanian Daerah Cameroon Highland 2016). Penanaman bunga kekwa biasanya mengambil tempoh sekitar 3 - 4 bulan dari mula dipindahkan ke plot utama sehingga sedia untuk dituai. Lazimnya pekebun tempatan akan mengamalkan konsep 2 peringkat nurseri atau istilahnya 'Double Stage Nursery'. Kaedah ini adalah dimana tanaman dua peringkat di nurseri semaian dibuat dulu sebelum dipindahkan ke plot tanaman utama. Satu lagi teknik tanaman adalah 'Single Stage Nursery' atau Peringkat Tanaman Tunggal yang mana pekebun akan terus menanam biji benih didalam tapak tanaman utama. Dalam membuat rujukan, penulis dapati bahawa bunga Kekwa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai 'Chrysanthemum Flower' ini agak mudah ditanam dan dijaga kalau dilakukan dengan baik. Bunga ini adalah satu genus yang terdiri daripada kira-kira 30 spesies iaitu jenis tumbuhan berbunga dan ia adalah saka. Pokok ini dipercayai berasal dari Asia dan Eropah Timur Laut tetapi kini telah ditanam dan disebarkan keseluruh dunia. Pokok Chrysanthemum adalah tumbuhan saka herba yang bertumbuh setinggi 50-150 cm. Daunnya berbentuk cuping dan bunganya besar serta berwarna putih, kuning atau merah jambu dalam spesies liar (Sila lihat foto diatas). Spesis bunga ini juga digunakan oleh larva serangga rama-rama dan kupu-kupu (Lepidoptera) sebagai makanannya. Laporan menunjukkan banyak jenis serangga Lepidoptera yang amat suka dengan bunga ini. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai penanaman dan beberapa tips mengenai bunga kekwa.

Antara beberapa jenis bunga kekwa yang disukai ramai adalah seperti jenis Chrysanthemum indicum dijadikan jenis yang ditanam dan dikomersilkan (Sila lihat foto disebelah). Beberapa jenis atau spesis kekwa yang lain agak popular adalah seperti genus Glebionis. Genus lain terdiri daripada genus seperti Argyranthemum, Leucanthemopsis, Leucanthemum, Rhodanthemum dan Tanacetum. Laporan dari buku yang saya baca menyatakan pokok bunga kekwa ditanam di China sebagai pokok herba sejak abad ke-15 sebelum masihi dimana ada dikatakan ada sebuah bandar kuno yang digelar dengan nama yang juga berikan bermaksud  "kota bunga kekwa". Bunga ini telah diperkenalkan ke Jepun pada abad ke-8 dimana Maharaja Jepun mengiktirafkan bunga ini sebagai kebanggaan dan dijadikan lambang mohor. Bunga kekwa dibawa ke Dunia Barat pada abad ke-17 dimana ia kemudian ditukar nama koleh saintis terkenal iaitu Carolus Linnaeus yang dijadikan rujukkan sehingga kini. Bunga ini diberi nama dalam bahasa Greek dan memberi makna sebagai 'chrys' atau yang juga bermaksud "keemasan" (warna bunga-bunga yang asal) dan '-anthemon' yang bermaksud "bunga". Kebanyakan tujuan penanaman bunga ini adalah untuk landskap. Kini dengan teknologi biakbaka (Plant breeding) maka keindahan bunga kekwa dengan pelbagai kombinasi warna terang, gelap dan unik semakin menarik perhatian ramai dan cantik. Kini ada terdapat beribu-ribu kultivar bunga kekwa ditanam diseluruh dunia ditanam secara komersil dan hiasan.

Bagi mengenali marfologi bunga kekwa, sebaiknya seseorang itu pernah menanam sendiri bunga ini. Daun-daun pokok bunga kekwa juga kelihatan seakan-akan 'rumpai mugwort' yang hampir sama jenisnya (Sila lihat foto disebelah). Beberapa buah negara di Eropah dan Jepun dilaporkan menggunakan bunga kekwa secara budaya untuk melambangkan kematian dan hanya digunakan untuk upacara pengebumian atau istiadat penguburan jenazah. Di Amerika Syarikat pula dilaporkan yang bunga kekwa dipakai dengan gaa untuk diperlihatkan dengan positif dan riang. Selain itu bunga kekwa amat amat sesuai untuk diproses sebagai bahan makanan. Paling popular adalah dimana bunga ini dimasak dengan air untuk menghasilkan apa yang digelarkan sebagai "teh bunga kekwa". Penulis pun pernah minum teh ini ketika melawat negra tersebut beberapa tahun dulu. Rasanya adalah sebagai enak jika sesiapa suka akannya dan dirujuk sebagai memberikan khasiat kesihatan. Ia juga diminum oleh  sebilangan besar penduduk di kawasan Asia. Teh bunga kekwa mempunyai banyak khasiat dari segi perubatan dimana paling sering diperkatakan adalah dimana ia mampu memulihkan daripada demam selesema. Ada beberapa spesis bunga ini seperti jenis Chrysanthemum coronarium (ditanam meluas untuk dimakan sebagai sayur-sayuran daun. Satu lagi kegunaan bunga kekwa adalah dimana daun-daun kekwa dimasak secara mudah dengan bawang putih dan cili kering di China untuk dimakan. Sayuran bunga kekwa yang telah dimasak mempunyai warna yang tua, tekstur yang padat dan bermusilej, serta bau yang harum dan kompleks. Menanam bunga kekwa boleh dijadikan satu industri yang mampu memberikan pulangan baik kepada usahawan. Wasallam!.
BUNGA IMPORT...NAMANYA KEKWA...
SUHU SEJUK...SUASANA DIPERLUNYA...
AMAT CANTIK... HIASAN TERPESONA...
DIJADIKAN TEH... NAMA TEH BUNGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room D10, Hotel Rosa Pasadena,
Brinchang, Cameroon Highland,
Pahang,
Malaysia.
(24 Muharam 1437H) 
Edited on 20 Febuari 2016

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.