PEMBIAKAN POKOK TIN (Ficus carica) mempunyai pelbagai cara dan kaedah sama ada menggunakan biji benih atau pun keratan. Tanaman buah tin (Fig) ini kini semakin popular di negara kita dengan ujudnya promosi dikalangan peminat tanaman ini diseluruh negara. Terdapat juga lamanweb, persidangan, forum teknikal dan banyak aktiviti lain berkaitan dengan buah tin atau fig ini di Malaysia pada masa ini. Bagaimana pun galakkan tanaman ini masih lagi kurang dilakukan oleh pihak tertentu kerana ia masih dikategorikan sebagai 'tanaman berpotensi' yang belum mendapat sokongan kewangan untuk dikomersilkan terutama daripada pihak bank. Ia banyak ditanam dan juga dimajukan oleh mereka yang benar-benar mahir dalam ilmu penanaman buah tin terutama mereka yang mensasarkan untuk menjual benihnya. Aktiviti menjual benih dikatakan satu ruang baru perniagaan dikalangan aktivis penanaman buah tin kerana benih yang berkualiti dijual dengan harga yang agak tinggi. Peminatnya pula bukan sahaja daripada orang biasa tetapi mereka yang mempunyai latarbelakang kewangan yang kukuh. Kaedah menyediakan benih ini tidaklah sukar sangat asalkan ada pokok induk berkualiti, peralatan asas membuat keratan dan apa yang paling penting adalah ilmu kehahiran teknikal bagaimana untuk menjalankan tugasan ini. Keratan juga merupakan satu kaedah pembiakan pokok tin terutama bagi mereka yang ingin mencuba membuat sendiri anak benih untuk tanaman benih secara keratan. Jika menggunakan teknik yang betuk lazimnya kadar kejayaan teknik keratan akan menghasilkan sehingga 95% anakbenih yang boleh hidup dan segar. Dalam beberapa lamanweb juga ditunjukan kaedah atau cara meyediakan anakbenih secara keratan. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" kaedah asas dalam menyediakan anakbenih pokok tin secara keratan sekadar menambah ilmu pengetahuan.
Penyediaan beih pokok tin secara keratan boleh dilakukan dengan memilih pokok induk yang sihat, cukup umur dan sesuai varieti untuk dibiakkan. Ciri ciri untuk kaedah cara keratan dimana sebaiknya batang untuk kertan mestilah di pilih diantara yang cukup matang tetapi bukan terlalu tua. Sebaiknya jenis batang yang 'dormant' tidak produktif atau terlalu muda tidak dipilih untuk dijadikan bahan keratan. Potong dahan ini dengan scateurs tajam sepanjang 14-18 cm dan periksa ia segar atau mata tunas hidup. Dalam menentukan kejayaan yang tinggi, sebaiknya kita perlu menggunakan sekurang kurang dua mata tunas tetapi tiga adalah terbaik (Sila anda lihat foto disebelah). Setelah batang dahan dipotong ia perlu direndam selama 30 - 120 minit dengan Larutan B1 dan previcur (anti kulat) dahulu dan kemudian ia perlud dikeringkan. Kaedah lain dimana perlu disiapkan 1 liter air dicampurkan 2 ml Atonik dan/atau 2 ml B1 Chitosan. Kalau ada anti-kulat boleh letakkan sebanyak 5 ml. Rendam keratan selama 24 jam bagi batang pokok tin yang telah lama dikerat. Jika batang baru dipotong hanya 2 jam pun memadai. Selepas waktu yang secukupnya maka di keluarkan semua keratan tadi dan letakkan diatas kertas akhbar. Biarkan dalam 2 jam supaya ia betul-betul kering. Sebaiknya disapu dengan cat dihujung atas keratan untuk elakkan kehilangan air atau pun jangkitan kulat.
Kemudian keratan ini akan di simpan dalam plastik kedap udara untuk jangkamasa selama 2-4 hari sehingga akan kelihatan mata akar berwarna putih. Sediakan tray yang diisi dengan lapisan peatmoss dan cocopeat lembab setebal 1 cm. Susun kayu diatas lapisan peatmoss dan cocopeat. Ada yang mencampurkan dengan campuran peat moss 50% sekam padi hitam 30% perlite 10%dan top soil yang telah di jemur 10% dan sedikit baja organik seperti serbuk tahi ayam yang telah diprosess didalam tray tersebut. Sebaiknya semasa di tanam keratan batang tersebut hujung keratan mestilah di tutup dengan farming dressing atau paste yang menutup potongan bongsai (Sila lihat foto disebelah). Ia kemudian perlu disiram air yang dicampur B1 dan previcur sehingga basah sepenuhnya. Pastikan ketika menyiram tidak terlalu basah dan aktiviti menyiram selama seminggu atau sehingga ia kering baru disiram semula. Lazimnya prosess untuk tumbuh dan bercambah tunas baru tidak memerlukan air yang banyak. Sebaiknya dibiarkan ia lembab dan kering dimana ianya akan hidup lebih segar dan cepat untuk proses pertumbuhannya. Jika air berlebihan diberikan menyebabkan pokok akan layu dan akar mereput di sebabkan akarnya sudah lemas.
Teknik terbaik adalah dengan memasukkan tray kedalam kotak polistrin dan tutup. Biarkan ia berada didalam kotak polistrin tersebut selama 2 - 3 minggu jangan diusik. Walau pun seronok sebaiknya jangan intai atau pun membuka kotak tersebut. Kedudukan meletak kotak polistrin yang sesuai adalah ditempat redup. Selepas 2 - 3 minggu maka barulah kotak polistrin boleh dibuka tutupnya. Periksa dimana akan dapat dilihat batang keratan sudah ada akar dan nampak tunas. Batang keratan yang telah berakar dan bertunas akan perlu disemai kedalam polibeg berisi tanah campuran atau bekas plastik seperti pasu kecil (Sila lihat foto disebelah). Pada masa ini keperluan air siraman hanya untuk tujuan melembabkan tanah sahaja. Masa ini kawalan air sangat mustahak. Kalau tanah pada masa ini agak kering atau terlebih air juga tidak boleh berlaku kerana menjejaskan pertumbuhan tunas dan akar pokok. Kalau lihat pada gambar kebanyakkan akar akan cuba menjalar keatas permukaan untuk mendapat udara. Pada masa ini akan didapati bahan seperti Perlite memainkan peranan sebagai memudahkan sistem pengudaraan. Benih yang sudah cukup umur dalam polibeg atau pasu kecil sedia untuk ditanam atau dijual setelah diperiksa kesihatannya. Bagi mereka yang ingin menjadikan tanaman pokok tin sebagai tanaman baru amat digalakkan kerana ia adalah tanam potensi baru dinegara kita dimasa akan datang. Wasallam!.
POKOK BUAH TIN... FIG SAMA...
MUDAH DITANAM...BENIH MANA...
CARA KERATAN... MUDAH SAJA...
BELAJAR SENDIRI... SATU USAHA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Padang Permai,
Kuantan, Pahang,
Malaysia.
(3 RabiulAkhir 1437H)
Artikel sulung dari Pahang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.