Friday, February 19, 2016

CILI - ATASI KERINTING DAUN

CILI BESAR (Capsicum annum) dan CILI PADI (Capsicum frustecens) merupakan tanaman dari keluarga Solanaceae yang penting dan amat popular di Malaysia. Tanaman cili juga merupakan sayuran dengan keluasan diantara 2,800 - 3,200 hektar setahun dengan nilai pengeluaran mencecah sehingga RM158 juta setahun (Sumber: Laporan statistik Jabatan Pertanian Malaysia 2014). Masalah utama yang paling ditakuti ramai petani dan penanam cili hobi disekeliling rumah adalah Penyakit Kerinting Daun atau Kerekot Daun Cili. Usaha untuk mengatasi masalah keriting daun sekaligus patogen penyebabnya iaitu Virus CMV (Cucumber mozaic virus) memang memerlukan ketekunan dan langkah yang amat betul dan tepat. Pemerhatian dikebun menunjukkan biasanya petani telah mengeluarkan kos yang banyak untuk mengawal masalah tersebut namun hasilnya belum pasti lagi. Kenapa masaalah kerinting daun cili ini boleh terjadi?. Saya dapati, berdasarkan kepada pengalaman dan juga pemerhatian, mungkin berlaku berbagai kekeliruan dalam teknik pengawalan atau teknik penanaman cili dari awal lagi. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian dibeberapa lokasi kebun komersil cili di Johor, Melaka, Pahang dan Selangor serta hasil temubual dengan petani yang telah lama menanam cili, terdapat beberapa kaedah atau petua untuk mengurangkan risiko serangan kerinting daun pada pokok cili. Artikel malam Ahad ini sambil menonton perlawanan bola sepak diantara Johor dengan Terengganu di TV Astro 801 (Johor menang 3-2), saya rajin untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa kaedah untuk mengatasi masaalah kerinting tanaman cili agar boleh dijadikan panduan semua pembaca blog tulisan saya.

Berdasarkan pengalaman dan dari pemerhatian dibeberapa kebun tanaman cili, terdapat beberapa perkara yang telah menjadi halangan untuk pokok cili yang telah diserang untuk pulih kembali (susah hendak baik semula). Ada beberapa pendapat mengenai punca boleh berlakunya serangan daun kerinting pada cili. Kaedah menyemai anakbenih cili didalam kelambu merupakan diatara praktik yang kini sering dikatakan boleh mengurangkan kadar serangan dari peringkat awal lagi. Petani penanam cili yang kurang pasti dan mereka yang baru mencuba menanam cili akan menjadi keliru dengan pendapat-pendapat ini. Berikut saya senaraikan antara pendapat yang saya sering dengar dan kutip dari petani yang saya temuduga:

1. Pemberian Baja Kimia pada tanaman cili terutama jenis baja yang mengandungi bahan Nitrogen (N) yang terlalu tinggi perlu dikurangkan. Cara untuk pemberian baja sama ada secara di tabur mahu pun secara poket dikatakan boleh menjadi punca serangan kerinting daun apabila diberikan dengan dos berlebihan.

2. Petani selalunya menyembur racun serangga atau racun lain (Racun kulat, Racun nematod) pada tanaman cili ikut jadual. Mereka menyembur tanpa memperhatikan beberapa faktor keperluan atau penggantian permakanan daun (leaf nutrition) yang telah diiserap oleh serangga hama (thrips, tungau atau kutu daun). Ini menyebabkan kemungkinan serangan kerekot daun akan cepat berlaku.

Tanda daun kerekot cili.
3. Cara memberi baja untuk tanaman cili tidak dibuat 'analisis daun' dimana mereka akan membaja ikut jadual dan sukatan yang ditulis pada label sahaja. Mereka tidak memberikan makanan yang ‘siap saji’ ikut keperluan pokok yang mudah untuk diserap oleh tanaman mengikut keperluan sebenar berupa baja semburan atau baja foliar bagi pokok yang telah matang. Mengikut rakan saya Mr Freedie, pokok cili perlu dibaja dengan sedikit demi sedikit mengikut umur pokok dan elakkan daun menjadi warna 'hijau gelap'. Apabila daun menjadi hijau gelap, maka amat mudah pokok cili akan diserang virus yang menyebabkan kerinting daun cili.

4. Amalan petani tidak membuang atau mencabut pokok perumah (Host plants) tertentu yang sebenarnya menjadi perumah virus juga menjadi punca serangan jadi daun cili kerekot. Beberapa jenis tanaman perumah adalah didapati merupakan sumber bagi serangga perosak tersebut. Bagaimana pun tanaman alternatif seperti Bunga Marigold yang ditanam dikeliling kawasan tanaman cili boleh dijadikan rumah serangga hama sebagai kaedah kawalah biologi (Lihat foto dibawah).

Bunga Marigold sebagai 'Trap crop' di TKPM
Sekijang,Segamat, Johor..
5. Semburan racun kulat (fungicide) yang kurang tepat waktu dan kadar dosnya boleh menyebabkan berlaku kelambatan untuk proses pemulihan keadaan tanaman cili yang telah terkena keriting daun. Sebagai contoh, ketika pada musim kemarau dibuat semburan racun kulat dengan bahan aktif tertentu agak sesuai sebaliknya racun yang sama tidak sesuai untuk disembur pada musim hujan.

6. Semburan racun serangga dari jenis racun 'keras' atau 'kuat' tertentu pada daun yang telah diserang kerinting boleh menyebabkan tindakbalas pada daun cili. Akibatnya didalam kes-kes tertentu, daun cili yang disembur akan menjadi semakin layu dan kadang-kadang terus kering dan lebih cepat mati. Pemilihan jenis racun serangga yang betul dan tepat serta betul cara menyemburnya amat penting diketahui oleh petani. Kurangkan penggunaan racun kimia.

7. Terdapat amalan oleh penanam cili yang mencampurkan antara bahan kimia (racun serangga atau racun kulat) dengan dengan baja foliar atau baja daun. Amalan ini boleh juga  menyebabkan terjadinya tindakbalas keasidan pada larutan yang disembur pada daun. Kadang-kadang larutan menjadi tidak berkesan akibat berlaku proses 'neutralisasi'. Memang dalam mengawal masaalah keriting daun cili dan virus kita juga perlu langkah mengawal populasi vektor pembawa seperti aphid dan hama. 

Dari pemerhatian juga saya ada menerima beberapa cadangan untuk mengatasi masaalah kerinting daun cili. Berikut diantara beberapa kaedah yang mungkin boleh dijadikan panduan:-

Produk PROTEK-tan dan PESNATOR.

1. Jika kita hendak membaja dengan menggunakan baja kimia, pastikan kita tidak memberi terlalu banyak sehingga berlebihan. Akibatnya daun akan menjadi hijau gelap dan mengundang hama pembawa virus untuk datang. Sebaiknya kita memberikan baja jenis organik yang telah matang dan sesuai untuk tanaman cili.

2. Penggunaan atau aplikasi beberapa produk khas seperti   PROTEK-tan dan PESNATOR (Foto diatas) yang bersifat menolak hama perosak dan bersifat 'antifeeden' juga sekaligus membekalkan unsur baja mikro tersedia pada pokok cili. Cara ini merupakan satu lagi langkah yang tepat untuk kita dapat mengurangkan terjadinya masaalah kontradiksi (contradiction) antara pemberian racun kimia dengan baja daun pada tanaman cili diladang.

3. Buat semburan dengan racun serangga organik untuk membunuh hama pada pokok perangkap (trap crop) dengan kadar sesuai merupakan satu langkah kawalan. Bagaimana pun ada pendapat mengatakan tanaman perangkap juga perlu dijaga baik agar hama dan aphid dapat tinggal pada pokok tersebut dengan senang lenang dan tidak datang untuk mengganggu tanaman cili kita.

4. Jika serangan kerinting daun pada tahap serius, adalah disyorkan menggunakan racun jenis organik dengan jenis atau kadar sesuai. Semburan yang kerap dengan Bahan Mikrob Berfaedah (Benefecial microrganism) dan produk organik lain mungkin sesuai dijalankan. Elakkan atau kurangkan kita dari kerap menyembur racun jenis kimia kerana ianya mungkin akan meningkatkan lagi kadar serangan. Ini disebabkan atau dari akibat racun yang digunakan adalah jenis racun yang 'keras' atau 'sangat kuat'.

Artikel ini hanya memberikan beberapa pendapat atau cara berdasarkan kepada hasil temubual dengan petani dan juga pemerhatian penulis sendiri. Sebarang kajian saintifik boleh dijalankan dengan betul agar dapat dibuktikan dengan data kukuh yang boleh dijadikan rujukkan. Penyakit Kerekot Daun Cili ini sebenarnya bergantung kepada banyak sebab seperti faktur alami yang unik dan sukar dijangka. Apa pun kita kena berusaha dan berdoa agar dimurahkan rezeki agar tanaman cili yang dijalankan memberikan hasil yang lumayan.
 Wallahualam!.
Pokok Cili Kulai yang subur.
KEREKOT DAUN...KERINTING JUGA...
KENA VIRUS... PENYAKIT BAHAYA...
SERANGGA APHID... IA PEMBAWA...
AMALAN AGRONOMI...IKUTI PETUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Solok, Tangkak,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(17 JamadilAwal 1434H)
Lawatan Teknikal keprojek tanaman cili.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.