Wednesday, September 30, 2015

BUAH NADIR - JAMBU BOL

Berapa ramai dikalangan generasi muda kenal akan buah nadir ini?. BUAH JAMBU BOL (Syngium malaccense) merupakan sejenis pokok buah-buahan nadir yang juga di panggil sebagai "Malay Apple" atau ada yang panggil Jambu Jamaika atau Jambu Melaka. Nama biasa jambu ini di kampong saya disekitar Muar, Johor ialah Jambu Bol yang memang ada dimakan segar dan atau pun diproses menjadi halwa atau lain-lain produk. Apa yang penulis suka mengenai pokok jambu bol adalah apabila ia mempunyai bunga yang bermarna merah atau pink serta cantik dan akan berguguran diatas tanah semasa musim ia berbunga. Pokok Jambu Bol dikategorikan sebagai Jenis Buah Nadir kerana pokok ini kini agak jarang ditemui. Dalam membuat beberapa rujukkan dengan Jabatan Pertanian, penulis tidak dapat maklumat mengenai keluasan tanaman jambu bol di Malaysia kerana mungkin ia terlalu sedikit (scarce) atau sebab lain. Terdapat seluas 1,374 hektar tanaman jambu batu di Malaysia pada tahun 2015 (Sumber : Laporan Statistik Tanaman Jabatan Pertanian 2015) dan kemungkinan ia tidak termasuk akan keluasan tanaman jambu bol. Ini kerana tanaman jambu batu kebanyakannya adalah ditanam secara monokrop dan komersil terutama di Johor, Melaka, Selangor, Perak dan Pahang. Penulis pernah makan dan kutip buah jambu bol masa kecil dulu di kampong dari pokok yang berdekatan sekolah rendah ketika itu. Memang seronok dapat makan buah jambu bol yang masam dan manis bersama-sama rakan sekolah. Buah jambu bol yang matang dipetik menggunakan galah atau dibaling dengan kayu sahaja dan jatuh ketanah sebelum dikutip, dibasuh dan dimakan segar. Itu berlaku sekitar tahun 1970'an dan kini tinggal kenangan. Artikel ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman jambu bol berdasarkan ilmu pengetahuan dan pembacaan dari buku-buku teknikal serta pengalaman sendiri.


Pokok jambu bol mempunyai batang kayu yang kuat dan mampu tumbuh membesar sehingga 20-25 meter tinggi. Ia mempunyai banyak dahan yang kukuh kayunya (jenis kayu keras) yang boleh dipijak ketika memanjat tanpa patah. Batang pokok yang besar dan kuat membolehkan ia sesuai dijadikan kayu keras untuk dibuat pelbagai kraftangan. Daunnya berwarna hijau gelap dan tebal dengan berukuran 30 cm panjang serta 15 cm lebar. Apa yang saya teliti adalah dimana ia selalunya ada bintil-bintil yang jelas terkeluar dari lai daun terutama dibahagian bawah (Lihat foto daun di sebelah). Bintil-bintil daun ini banyak didapati pada pokok tua yang kurang sihat. Bunga jambu bol mempunyai jambak berwarna merah ungu, pink dan cantik jika diteliti. Buah jambu bol muda berwarna hijau dan akan menjadi merah ungu bercampur hijau apabila masak. Rasa buah jambu bol sangat masam semasa muda dan bertukar daripada rasa masam manis apabila masak. Isinya yang berwarna putih krim dan 'spongy' serta berair (juicy). Biji jambu bol lazimnya berbentuk bulat sebesar buah pingpong (jenis besar) dan strukturnya keras. Biji ini berwarna coklat gelap yang sesuai digunakan sebagai biji benih dengan menyemainya dahulu. Belum ada kajian mengenai khasiat dan kegunaan  biji jambu bol selain daripada untuk dijadihan bahan tanaman. Berat buah lingkungan 200-400 gram sebiji yang berangkai antara 6-10 biji satu tangkai. Jika tidak dituai buah jambu bol akan gugur ketanah bersama biji dan akan tumbuh jadi anak pokok. Belum banyak buah jambu bol yang diproses untuk dijadikan produk selain daripada halwa dan jus minuman sehingga kini. Daun muda atau pucuk jambu bol pernah digunakan sebagai ulam makan dengan nasi seperti rasa daun pokok gajus dengan dicicah pada sambal belacan atau sambal lain.

Benih pokok jambu bol biasa ditanam menggunakan biji matang yang telah bercambah atau ambil anak benih dari bawah pokok sedia ada. Pokok ini belum ada laporan ditanam secara komersil secara tunggal (monocrop) di Malaysia. Pokok ini ditanam keliling rumah oleh orang dulu-dulu sebagai hiasan dan untuk pengeluaran hasil kegunaan sendiri. Pembacaan penulis dari majalah Trubus menyatakan sebaiknya pembajaan menggunakan baja organik sebanyak 6 kg sepokok setiap 3 bulan dan baja NPK 15:15:15 sebanyak 1 kg sepokok pada pokok berumur 6 tahun. Ketika pokok berbunga tambah baja NPK sebanyak 330 gram sepokok dan baja tambahan Kalium 330 gram sepokok pada minggu ke 4 dan ke 7. Kajian teknikal menyatakan Kalium akan memaniskan buah dan mengurangkan buah jambu bol gugur. Tambah unsur kalsium (Ca) untuk mengurangkan keguguran buah. Perbanyakan baja organik seperti tahi kambing dan lain-lain baja organik. Amalan membakar sampah atau membakar daun2 dibawah atau hampir pokok menyebabkab 'Nafthaline' dalam asap mempengaruhi pokok uuntuk kerap berbunga.

Bagi mendapatkan buah berkualiti boleh di buat pembungkusan buah (Jika pokok tidak terlalu tinggi) dan buat penjarangan buah. Serangan Lalat buah (Bactocera spp) akan merosakkan kualiti buah jambu bol dan di kawal sebaiknya dengan kaedah membalut atau gunakan umpan protin. Musuh lain adalah seperti tupai, monyet, kelawar dan burung yang makan buah hampir masak. Penuaian dijalankan dengan menggunakan galah yang berkarung agar buah tidak jatuh ketanah. Pastikan buah telah cukup masak apabila hampir keseluruhan akan berwarna merah dan gredkan mengikut saiz. Jarang-jarang kita lihat jambu bol di jual dimana-mana tempat di Malaysia. Kalau ada pun mungkin di kedai buah di pekan-pekan kecil. Buah jambu bol yang masak sedap untuk dimakan segar. Harga sekilogram dipasaran pun pun tidak menentu tetapi anggaran penulis lingkungan RM 3.00 - RM 5.00 sekilogram.

Penanaman jambu bol boleh di kaji semula kepentingannya untuk kegunaan genarasi akan datang. Kajian ekonomi dan maklumat pakej teknologi tanaman ini perlu disediakan kerana lazimnya buah ini dikategorikan sebagai buah nadi yang rendah dari segi nilai ekonomiknya. Penanaman jambu bol mungkin boleh dijadikan sebagai tanaman keliling rumah di kampong atau boleh di komersilkan jika ada yang berminat. Pihak tertentu boleh mengedarkan dengan percuma atau secara belian kepada penduduk dikampong tradisional dan diklusterkan agar ia mempunyai 'volume' yang banyak tujuan pemasaran dan pengurusan agronomi. Beberapa kawasan taman bunga atau tempat rekreasi Majlis Daerah dan Perbandaran wajar di tanam dengan jambu bol untuk rujukkan pengunjung disamping memperkenalkannya kepada generasi muda. Pokok jambu bol perlu didaftarkan varietinya untuk menambah koleksi tanaman ini yang semakin dilupakan. Diharap artikel ini memberikan sedikit maklumat mengenai tanaman jambu bol yang semakin pupus di negara kita. Wasaalam...!
BUAH JAMBU BOL....NADIR JENISNYA...
POKOK BESAR...TINGGI PUCUKNYA...
JARANG DITANAM...DIMNANA JUGA....
BUAHNYA BESAR....MANIS ISINYA...


By
M Anem,

Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.

(11 Zulhijjah 1436H)

Tuesday, September 29, 2015

KELAPA MUDA VS KELAPA TUA


TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tanaman yang ke 4 terpenting di Malaysia selepas Kelapa Sawit (Elaeis guineensis), Getah (Hevea brazilliensis) dan padi (Oryza sativa). Terdapat seluas 87,500 hektar tanaman kelapa di Malaysia pada tahun 2015 yang menghasilkan sebanyak 650 juta biji kelapa untuk kegunaan domestik sebagai kelapa tua dan kelapa muda (Sumber: Laporan Ceramah oleh TPTI Bahagian PTIF, Jabatan Pertanian Malaysia). Malaysia juga masih mengimport kelapa tua biji untuk kegunaan segar dan juga kilang memproses kelapa. Selain itu dilaporkan pengimportan kelapa muda daripada Thailand terutama jenis kelapa pandan wangi (aromatic coconut) yang dibawa masuk untuk menampung keperluan permintaan kelapa muda bagi tujuan minuman air kelapa. Kajian penulis pada masa ini mendapati permintaan dan jualan kelapa muda untuk minuman air kelapa adalah tinggi semenjak kempen minum air kelapa beberapa puloh tahun dahulu oleh bekas menteri pertanian YB Sanusi Junid. Kesedaran pengguna tentang khasiat kelapa muda meningkat saban tahun dengan pelbagai produk akhir air kelapa seperti Coconut Shake dan sebagainya. Kini dengan bertambahnya beberapa jenis kelapa yang sesuai untuk dijadikan air minuman kelapa muda seperti kelapa pandan dan kelapa MAtag telah menjadikan industri minuman air kelapa muda semakin menarik. Kini terdapat beberapa senario baru dalam penanaman kelapa oleh petani yang mempunyai orientasi komersil dan menjadikan penanaman kelapa dengan mengamalkan 'pertanian suatu perniagaan' dimana mereka telah mengubahsuai strategi pemasaran untuk memberikan pendapatan yang lumayan dan hebat. Penulis telah dapat membuat beberapa kajian kes mengenai senario memetik kelapa muda yang lebih menguntungkan daripada menuai hasil kelapa tua bagi tanaman jenis kelapa pandan dan jenis kelapa matag. Kajian dijalankan terhadap beberapa pengusaha di Kg Parit Lapis, Sungai Ayam, Batu Pahat dan Kg Tampok Laut, Pontian, Johor serta beberapa lokasi di Kuala Selangor dan Bagan Datoh, Perak. Hasil kajian ini telah dianalisa secara teknikal oleh penulis bagi dijadikan satu temuan yang boleh dijadikan bahan rujukkan. Saya dapati temuan mengenai senario dalam kajian kes ini amat menarik dan ia boleh dijadikan satu strategi dalam perlaksanaan pembangunan tanaman kelapa dinegara ini. Artikel malam ini selepas membuat lawatan kepada beberapa petani jaya yang menanam kelapa di Johor, saya terus menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai temuan kajian kes penuaian kelapa tua dengan kelapa muda sebagai satu temuan kajian berguna kepada semua.



Temuan pertama yang saya dapati adalah dimana hampir 70-75% pengusaha tanaman kelapa matag dikawasan kajian memetik kelapa muda sebagai strategi pemasaran. Ini kerana dengan memetik kelapa muda (umur kelapa muda adalah apabila buah kelapa ditandan pokok berumur 7-8 bulan) ianya memberikan pulangan kepada petani lebih menguntungkan. Kelapa akan menghasilkan satu tandan buah setiap bulan dan ini membolehkan aktiviti penuaian kelapa matag muda boleh dilakukan setiap bual satu tandan bagi setiap pokok. Satu tandan kelapa matang yang dijaga baik dengan pembajaan dan pengurusan penyakit mampu menghasilkan purata antara 10 - 15 biji kelapa muda setandan sebulan. Satu hektar kawasan tanaman kelapa sekitar 178 pokok dan jika semuanya dapat menghasilkan buah dengan baik maka dalam sebulan boleh dituai sebanyak 1,780 - 2,670 biji kelapa muda. Bagaimana pun sekitar 25-30% lazimnya tidak dapat dituai mengikut waktunya kerana pelbagai sebab (tertinggal ketika pusingan memetik atau terlalu tua untuk dipetik sebagai kelapa muda). Ini menjadikan anggaran kelapa muda yang di petik setiap bulan sekitar 1,246 - 1,870 biji sebulan. Bakinya sekitar 534 - 800 biji akan dijadikan sebagai kelapa tua sehingga ia jatuh gugur atau dipetik sebagai kelapa tua. Kajian kes ini mendapati harga purata jualan kelapa muda jenis matag adalah RM1.40 sebiji dan hasil jualan kelapa matag tua adalah RM1.00 sebiji. Ini akan memberikan pulangan kasar hasil sebanyak RM1,744 - RM2,618 sebulan bagi kelapa muda dan sebanyak RM 534 - RM800 sebulan bagi kelapa tua. Senario ini menjadikan purata pendapatan kasar bagi penanaman kelapa matag adalah diantara RM 2,278 - RM3,418 sebulan. Pendapatan kasar ini membolehkan petani yang menanam kelapa matag mendapat pendapatan bersih diantara RM1,594 - RM2,393 sebulan. Pendapatan ini boleh meningkat lagi jika pengeluaran kelapa matag setandan melebihi 15 biji setandan seperti mana yang dicapai oleh beberapa petani di Sungai Ayam, Batu Pahat (Purata 18 -20 biji setandan dengan penanaman monokrop kelapa matag). Petani di Kg Tampok Laut, Pontian pula mendapat purata buah setandan sekitar 16 - 18 biji setandan (kawasan yang ada intergrasi dengan tanaman kopi liberica). Usahawan di Parit Tengah, Bagan Datoh (Projek Khas PPK Bagan Datoh) mendapat purata buah setandan diantara 10 - 16 biji setandan.


Bagi penanaman kelapa pandan, temuan senarionya berbeza dengan penanaman kelapa matag. Kelapa Pandan (Aromatic coconut) adalah jenis kelapa renek yang menghasilkan buah kelapa dimana airnya mempunyai bau seperti pandan dan manis rasanya. Ia dipopularkan dari negara Thailand dan telah banyak ditanam di Malaysia semenjak berpuloh tahun dahulu sama ada secara komersil monokrop, bercampur dengan kelapa lain, tanaman buah-buahan atau tanaman keliling rumah. Kajian kes yang dijalankan mendapati tanaman kelapa pandan komersil mempunyai kapasiti kepadatan tanaman sekitar 260 - 280 pokok sehektar. Pokok kelapa pandan yang matang mampu menghasilkan sebanyak 8 - 12 biji buah kelapa setandan. Kelapa pandan dipetik muda (umur sekitar 8 bulan keatas) sebagai umur paling sesuai untuk dijual sebagai kelapa pandan muda. Bagaimana pun jika penuaian kelapa pandan lewat sedikit ia tetap menghasilkan air kelapa yang lebih manis dan aroma pandan yang lebih kuat. Masaalahnya adalah isinya yang telah keras dan sukar untuk dimakan. Kajian kes yang saya jalankan mendapati sebanyak 2,080 - 3,360 biji kelapa pandan boleh dituai setiap bulan sehektar. Di kawasan kajian harga kelapa pandan diladang adalah RM1.70 sebiji (ia telah pun dinaikan semenjak awal tahun 2015 iaitu sekitar RM1.40 sebiji di Johor). Ini memberikan pendapatan kasar sebanyak RM 3,356 - RM5,712 sehektar sebulan. Jika ditolak 30% kos pengeluaran untuk kelapa pandan maka analisa menunjukkan anggaran pendapatan bersih bagi penanaman kelapa pandan adalah sebanyak RM2,350 - RM4,000 sehektar sebulan. 


Kajian diatas mendapati penanaman kelapa matag dan kelapa pandan adalah menguntungkan jika semua amalan agronomi dijalankan seperti pakej amalan teknologi penanaman kelapa dan mendapat jaminan pasaran yang stabil. Kajian ini mendapati ramai petani yang menanam kelapa matag mengubah teknik penuaian hasil kepada memetik kelapa muda. Analisa menunjukkan perbezaan ketara (signifikan) diantara penuaian kelapa matag muda dengan kelapa matag tua. Selain daripada ia lebih cepat dituai, harga yang ditawarkan untuk kelapa muda adalah tinggi. Bagaimana pun teknik memetik kelapa muda lebih rumit dimana penuaian dijalankan dengan memanjat menggunakan tangga dan tandan dipotong sebelum diturunkan dengan menggunakan tali. Jika buah kelapa muda terjatuh diatas tanah ia akan rosak dan pecah. Penuaian kelapa matag tua hanya perlu mengaitnya dengan galah panjang dan tandan akan jatuh ketanah dan tidak rosak. Permintaan kelapa muda pula kini semakin meningkat dan boleh didapati dibanyak gerai, restoran, hotel dan pelbagai lokasi lain. Saya ada banyak menulis mengenai produk hasilan kelapa dan produk air kelapa dalam artikel sebelum ini. Anda boleh membaca artikel mengenai produk kelapa dan air kelapa (Sila klik disini), (Sila Klik Disini) dan (Sila Klik Disini). Sebagai kesimpulan kajian kes ini saya ingin menyatakan penanam kelapa matag komersil memetik 70% hasil kelapa sebagai KELAPA MUDA dan 30% lagi sebagai KELAPA TUA. Harga kelapa muda adalah lebih tinggi daripada harga kelapa tua di ladang (Matag dan Pandan). Permintaan kelapa muda kini semakin diterima dikalangan pengguna sebagai minuman berkhasiat. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!.
TANAM KELAPA... PETIK HASILNYA...
KINI DITUAI ... JENIS KELAPA MUDA...
KURANG DIPETIK... KELAPA TUA...
LEBIH UNTUNG... KENA CARANYA...

Oleh,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana 2, Taman Cendana,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(16 Zulhijjah 1436H)

Monday, September 28, 2015

VARIETI BUAH BINJAI

BUAH BINJAI (Mangifera caesia) adalah sejenis buah nadir iaitu tumbuhan saka dari keluarga Anacardiaceae yang ada tumbuh di negara kita. Pokok Binjai atau kadang-kadang dipanggil Buah Belunu ini tumbuh tinggi dan lazimnya akan menghasilkan banyak buah binjai pada musim tertentu. Buah ini mempunyai Rasa Masam walau pun telah ada dilaporkan terdapat varieti binjai yang mempunyai rasa yang agak Manis. Buah binjai boleh dimakan segar jika ianya manis dan kepada mereka yang suka makan. Lazimnya buah binjai yang masak paling sedap adalah untuk dibuat 'sambal buah binjai' untuk dimakan bersama nasi putih. Kali pertama penulis makan sambal buah binjai ketika bertugas di Melaka sektiar awal tahun 1980'an dulu. Belum banyak maklumat mengenai amalan agronomi penanaman atau mengenai cara pengurusan tanaman pokok binjai di Malaysia. Penulis telah merujuk kepada laporan statistik Jabatan Pertanian dan mendapati memang tidak ada kepastian tentang keluasan tanaman ini di Malaysia. Bagaimana pun saya dapat juga menganggarkan keluasan tanaman binjai di Malaysia sekitar 40 hektar CHE sahaja. Belum ada penanaman pokok binjai secara komersil dengan monokrop yang saya jumpa kerana kebanyakan pokok binjai ditanam dikawasan keliling rumah dalam dusun bercampur atau tumbuh liar dihutan. Nama lain bagi buah binjai adalah Jack ; Malaysian Mango (English), BinYaa ; Lamyaa (Thailand), Bayuno (Filipina), Binglu ; Palong (Indonesia), Belunu (Brunei), Asam Kembawang ; Beluno; Balunoh ; Binjai ; Ondo; Wanchi ; Dendahan (Borneo) dan banyak lagi. Buah ini jika musim berbuah ada dijual dipasar basah dan juga di gerai tepi-tepi jalanraya disekitar Melaka, Negeri Sembilan, Sabah Sarawak dan Pahang. Kini buah binjai semakin sukar didapati kerana banyak pokok binjai telah ditebang kerana dikatakan tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding dengan tanaman lain. Terdapat 3 varieti buah binjai di Malaysia iaitu VARIETI KULIT KUNING, VARIETI KULIT COKLAT-PINK PUCAT dan VARIETI KUNING PUCAT (SABAH). Anda boleh tengok foto kesemua varieti ini pada foto paling atas sekali. Artikel subuh yang henng ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology"  mengenai 3 varieti pokok binjai yang terdapat di Malaysia berdasarkan beberapa rujukan dan pengalaman penulis yang belum didaftarkan dalam National Plant Variety Listing di Jabatan Pertanian Malaysia.


Daripada 3 varieti yang saya nyatakan, Varieti Kulit Coklat Pink Pucat merupakan varieti yang sering dijumpai di Semenanjung Malaysia (Sila lihat foto disebelah). Ia tumbuh dikawasan hutan sekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang serta beberapa lokasi di Johor dan Perak berdasarkan kepada buah jenis ini yang ada dijual. Pokok binjai dewasa bagi varieti ini adalah tinggi dengan mempunyai bentuk pokok merimbun. Daun pokok binjai ini berwarna hijau terkumpul dibahagian hujung dahan dengan ukuran sekitar 1-12 cm panjang dan 4-5 cm lebar. Daunnya adalah berkilat iaitu dibahagian atas tetapi agak pudar serta kasar dibahagian bawah daun dengan bentuk 'lanceolate'. Akar tujangnya memang kukuh masuk kedalam bumi untuk menahan pokok yang besar agar tidak tumbang. Bunga binjai keluar dari bahagian hujung ranting dengan banyak cabang dan ranting pada tangkai bunga. Tangkai bunga binjai berwarna coklat berukuran 15-30 cm dengan mempunyai 5 kelopak dan berwarna merah jambu yang pucat berukuran 10 mm setiap satu serta berbau harum. Pendebungaan dijalankan oleh serangga seperti semut, lebah dan juga oleh angin dan peratus kejayaan pendebungaan adalah selalunya rendah. Dalam satu rangkaian bunga binjai hanya 1-2 biji buah sahaja yang akan terhasil walau pun ada yang lebih. Musim bunga di Melaka dan Negeri Sembilan yang saya buat pemerhatian lazimnya musim puncak pada bulan Feb-Mac atau Ogos-September setiap tahun. Buah binjai jenis ini mempunyai kulit kulit agak licin dengan warna coklat kepada pink yang pucat. Isinya berwarna putih krim dengan rasa yang manis dan masam. Varieti ini belum didaftarkan dengan Jabatan Pertanian untuk mengetahui ciri-ciri agronomi, taksonomi dan marfologinya. Buah binjai ini sesuai dimakan terus atau paling popular dibuat sambai buah binjai.


Buah binjai jenis kulit kuning ini mudah dikenali kerana mempunyai kulit kulit agak licin dengan warna kuning yang terang (Sila lihat foto disebelah). Isinya berwarna putih krim dengan rasa yang manis dan masam. Varieti ini masih juga belum ada orang yang mendaftarkan dengan Jabatan Pertanian dibawah National Variety Listing bertujuan untuk mengetahui tentang ciri-ciri agronomi, taksonomi dan marfologinya. Buah yang berbentuk bulat lonjong ini (obovate-oblong drupe) ini berukuran sekitar 12-20 cm panjang dengan ukurlilit sekitar 6-12 cm. Ia juga mempunyai kulit buah yang agak licin dengan isi yang lembik apabila ia cukup masak. Sesuai dipetik apabila matang dan kalau sudah jatuh lazimnya tidak boleh disimpan lama. Buah binjai jenis ini sama dengan varieti binjai yang lain lazimnya berwarna hijau semasa muda dan akan menjadi kuning   apabila matang untuk dituai. Kaedah menuai buah binjai yang sesuai dengan menggunakan galah panjang dengan ada karung bagi mengelakkan buah jatuh ketanah. Buah binjai masak yang jatuh ketanah dari pokok tinggi lazimnya rosak dan tidak tahan lama untuk dijual. Buah binjai kuning ini boleh dimakan terus atau sesuai dijadikan sambal buah binjai untuk dimakan dengan nasi putih dan lauk pauk yang lain. Memang enak kalau makan ketika waktu tengahari ketika peruta kita sedang lapar.


Ketiga adalah jenis buah binjai dengan kulit yang warnanya kuning pucat dan hanya terdapat banyak di Sabah sahaja (Sila lihat foto disebelah). Varieti ini walau pun belum didaftarkan dengan Jabatan Pertanian dibawah National variety Listing merupakan jenis buah nadir yang ada ditanam dibeberapa stesyen di Sabah. Buah yang berbentuk bulat lonjong ini (obovate-oblong drupe) ini berukuran sekitar 10-18 cm panjang dengan ukurlilit sekitar 5-10 cm. Ia juga mempunyai kulit buah yang agak licin dengan isi yang sederhana lembik apabila ia cukup masak. Sesuai dipetik apabila matang dan kalau sudah jatuh lazimnya tidak boleh disimpan lama. Buah binjai jenis ini sama dengan varieti binjai yang lain lazimnya berwarna hijau semasa muda dan akan menjadi kuning pucat apabila matang untuk dituai. Kaedah menuai buah binjai yang sesuai dengan menggunakan galah panjang dengan ada karung bagi mengelakkan buah jatuh ketanah. Buah yang jatuh ketanah dari pokok tinggi lazimnya rosak dan tidak tahan lama untuk dijual. Buah binjai merupakan buah yang dikategorikan tidak ekonomik. Dalam perbualan dengan Mr Keith Chapman seorang pakarunding (Fruit Agriculture Consultant) dari Australia yang mahir dengan buah-buahan tropika di Chiang Rai bulan Ogos 2015 lepas, dia telah pun menyatakan ia jenis buah yang tidak boleh dikomersilkan. Katanya 'Bloody Hell with this fruit that never making money' apabila kami jumpa dan beli buah ini yang ada dijual ditepi hotel penginapan. Saya terpinga-pinga dengan kenyataan beliau. Bagaimana pun akhirnya saya dapat menulis sebanyak 4 artikel mengenai buah binjai sekadar bahan rujukkan anda semua. Wasallam!...


BUAH BINJAI... NADIR JENISNYA...
POKOK BESAR...ADA 3 VARIETINYA...
JENIS KUNING... COKLAT PUN ADA...
DIBUAT SAMBAL... AMBOI ENAKNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Cendana 2, Taman Cendana,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka, Melaka,
Malaysia.
(11 Zulhijjah 1436H)

Sunday, September 27, 2015

KACANG KEDELAI (SOYA)

TANAMAN KACANG SOYA (Glycine max atau Glysine soja) merupakan sejenis tanaman bijirin (cereals) yang pastinya penting didunia selain daripada gandum, padi, jagung dan sebagainya. Tanaman ini memang tidak popular di Malaysia tetapi ia popular dan amat luas ditanam di Indonesia yang mana masyarakat petani disana didapati menamakannya sebagai 'Kedelai' atau 'Kacang Kedelai'. Ia merupakan sejenis tanaman makanan yan dijadikan bahan makanan penting dinegara tersebut terutama di Pulau Jawa dimana ia dijadikan tanaman penting. Kacang Soya atau Kedelai ini merupakan bahan asas untuk beberapa jenis makanan penting di Indonesia dan Malaysia seperti Tempe, Tauhu, Air Soya, Tauhu Kering, Kicap, pelbagai jenis kuih dan bahan masakan lain. Tanaman ini diptanam oleh manusia semenjak lama dahulu sebagai tanaman penting semenjak 3,500 tahun dahulu di kawasan Asia Timur. Merujuk kepada laporan ststistik dari Jabatan Pertanian penulis dapati tidak ada penanaman dan keluasan tanaman kacang soya dalam negara ini. Namun begitu kebanyakan orang Malaysia memang kenal akan biji kacang soya atau kedelai ini yang dijual dikedai untuk diproses menjadi pelbagai produk lain. Biji kacang soya ini kebanyakannya diimport daripada USA, China dan India serta beberapa negara lain. Harga kacang ini terus meningkat berbanding dahulu kerana ia adalah barangan import untuk Malaysia. Kalau anda kepasar malam atau pasar tani atau juga mana-mana kompleks perniagaan pastinya suka dengan minuman air kacang soya. Kini terdapat pelbagai jenama minuman kacang soya bertaraf dunia yang menghasilkan dan menjual air kacang soya. Antara jenama air kacang soya popular di Malaysia seperti Yeo's, Marigold, Drinho, Soy Rich dan banyak lagi. Ia dibotolkan dalam pelbagai cara packaging yang lazat diminum dengan ais. Kacang Kedelai ini menjadi penting di negara kita sebagai 'net importers' dengan nilai ratusan juta ringgit setahun. Artikel malam abtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman kacang kedelai yang banyak diusahakan dinegara jiran dari lawatan teknikal yang penulis pernah lakukan dan membuat rujukkan dari banyak sumber. 

Tanaman Kedelai kini merupakan sumber utama bahan protein dan minyak tumbuhan yang penting dunia. Minyak kacang soya merupakan pesaing terhebat dengan minyak kelapa sawit dimana beberapa NGO di USA pernah cuba memboikot minyak kelapa sawit yang bersaing dengan minyak kacang soya. Laporan FAO menyatakan antara pengeluar kedelai utama dunia adalah Brazil (90 juta mt) diikuti dengan USA (89.4 juta mt), Argentina (52.6 juta mt) , China (15.0 juta mt) dan India (9.8 juta mt) pada tahun 2014. Kacang Kedelai yang ditanam di Indonesia adalah jenis Glycine max yang merupakan hasil kacukan daripada pokok induk terkenal iaitu Glycine soja. Varieti ini telah dikenali sebagai nama baru iaitu G. soja subsp. max. Kedelai merupakan tanaman penting di Asia seperti di China, Jepun dan India. Tanaman kedelai adalah jenis tumbuhan yang selalu sensitif atau pun peka terhadap cahaya (Photo sensitive). Jika berlaku kurang cahaya semasa ditanam akan menyebabkan batangnya akan menjadi tumbuh memanjang seakan ujud seperti tanaman mernjalar atau merambat. Laporan juga mendapati diantara beberapa kultivar kedelai putih yang ditanam di Indonesia seperti Varieti 'Ringgit', 'Orba', 'Lokon', 'Davros', dan 'Wilis'. Sementara itu dilaporkan varieti 'Edamame' adalah kultivar kedelai berbiji besar berwarna hijau yang belum baru diperkenalkan berasal daripada Jepun. Saya masih tertanya-tanya kenapa ada nama varieti ringgit iaitu nama bagi mata wang Malaysia. Menurut petani yang say atemubual jawabnya "Tanam saja apa yang bagus pak.... asalkan ada pulangannya".

Kedelai kebanyakannya akan ditanam disawah atau kawasan tanah biasa (bukan sawah) yang kering. Penanaman biasanya dilakukan pada akhir musim hujan atau selepas aktiviti menuai padi selesai. Maknanya ia adalah satu kaedah tanaman giliran dengan padi (crop rotation) yang baik dilakukan. Ini disebabkan selepas menuai padi lazimnya aktiviti penyediaan tanah sawah adalah minima untuk mengurangkan kos pengeluaran. Biji kedelai yang terpilih perlu dimasukkan terus kepada lubang-lubang tanaman yang dibuat secara menugal. Biasanya jarak tanaman yang sesuai sekitar 20-30 cm. Pemberian baja asas menggunakan unsur nitrogen dan fosfat diperlukan diperingkat awal. Bagaimana pun setelah tanaman sudah tumbuh maka penambahan baja nitrogen (N) sudah tidak perlu diberikan. Bagi kebun yang belum pernah ditanam dengan kacang kedelai sebaiknya diberikan bahan dinamakan "starter" bakteria pengikat nitrogen Nitrojan iaitu bahan Bradyrhizobium japonicum untuk membantu proses pertumbuhan tanaman. Pengawalan rumpai dan aktiviti menaikan tanah dipangkal pokok dilakukan semasa pokok diperingkat awal pertumbuhan (vegetatif stage). Proses pembajaan kedua dijalankan sebelum pokook kedelai berbunga dengan baja fosfat. Seterusnya bagi pembajaan ketiga ditambah unsur Kalium (K) agar menghasilkan buah yang lumayan. 

Kedelai merupakan tumbuhan dikotil dengan singkat masa serta mempunyai cabang sedikit (Sila lihat foto disebelah). Ia mempunyai sistem akar tunjang dan dikelilingi dengan akar serabut yang setek. Batangnya lembut dengan berkambium. Ia lazimnya tumbuh menegak jika mendapat baja , air dan cahaya matahari yang banyak. Bagaimana pun jika kurang mendapat sinaran matahari atau pun ternaung maka pokoknya seakan menjalar diatas tanah (merambat). Tanaman kacang kedekai (terutama jenis putih) dari sub-tropika ini perlukan cahaya sekurang-kurangnya 13 jam sebagai masa kritikal. Ini kerana ia akan segera berbunga apabila menerima cahaya matahari yang cukup tetapi terjejas untuk berbunga dimana panjang hari kurang dari 13 jam. Ini menjelaskan pengeluaran hasil dan rendahnya kuantiti hasil kacang soya yang ditanam di kawasan tropika. Biji kedelai terbahagi kepada dua bahagian atau berkeping dua, dibungkus kulit biji dan tidak ada kandungan jaringan endosperma. Embrio terletak di antara keping biji. Kacang kedelai ini mempunyai warna kulit biji kuning, hitam, hijau atau coklat bergantung kepada varieti yang ditanam. Terdapat Pusar biji (hilum) adalah jaringan bekas biji melekat pada dinding buah. Bentuk biji kedelai umumnya bulat lonjong tetapi ada juga yang bundar atau bulat agak pipih. Biji kedelai yang kering akan bercambah bila mendapat air yang cukup. Kecambah kedelai tergolong epigeous, yaitu keping biji muncul diatas tanah. Warna hipokotil, yaitu bagian batang kecambah di bawah daun kecambah (kotiledon), ungu atau hijau yang terpaut dengan warna bunga. Kedelai yang berhipokotil ungu berbunga ungu, sedang yang berhipokotil hijau berbunga putih. Kecambah kedelai dapat digunakan sebagai sayuran (tauge). 

Tanaman kedelai mempunyai akar tunjang yang membentuk akar-akar serabut yang tumbuh mendatar (horizontal) tidak jauh dari permukaan tanah. Jika kelembapan tanah menurun lazimnya berlaku dimana akar akan berkembang lebih ke dalam agar dapat menyerap unsur baja dan air. Pertumbuhan kedelai lazimnya mempunyai kanopi sekitar 40 cm dengan kedalaman akar sehingga 120 cm dalam tanah. Selain tanaman ini akan berfungsi sebagai tanaman menghasilkan buah lazimnya akar tanaman kedelai juga merupakan tempat terbentuknya bintil-bintil akar. Bintil akar tersebut berupa koloni bereimbiosis dengan bakteria untuk pengikat nitrogen. Bakteria jenis Bradyrhizobium japonicum yang bersimbiosis secara mutualis dengan kedelai perlu disembur pada kawasan kebun kali pertama menanam kedelai (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya jika pada tanah telah pernah ditanam kedelai ia sedia ada telah ujud dan mengandungi bakteria ini,. Selalunya bintil akar mulai terbentuk sekitar 15-20 hari setelah ditanam. Bakteria dalam bintil akar dapat mengikat nitrogen langsung dari udara dalam bentuk gas N (nitrogen) yang kemudian dapat digunakan oleh kedelai setelah dioksidakan manjadi bahan jenis Nitrat (NO3+). Batang Kedelai selalunya tumbuh tinggi sekitar 30-100 cm dimana akan mempunyai sebanyak 3-6 cabang tetapi bila jarak antara barisan tanaman rapat maka jumlah cabang menjadi berkurang atau pun tidak bercabang sama sekali. Bunga kedelai termasuk bunga sempurna iaitu setiap bunga mempunyai organ jantan dan organ betina. Pendebungaan terjadi pada masa mahkota bunga masih terutup sehingga kemungkinan kahwin kacukan semulajadi amat kecil. Bunga terletak pada ruas-ruas batang yang selalu berwarna ungu atau putih. Tidak semua bunga dapat menjadi polong buah (lenggai) walaupun telah terjadi pendebungaan secara sempurna. Sekitar 60% bunga akan gugur sebelum membentuk polong buah.

Buah kedelai berbentuk lengai atau kelongsong (polong) yang ada biji didalamnya (Sila lihat foto disebelah). Setiap tanaman mampu menghasilkan antara 100-250 polong. Polong kedelai lazimnya berbulu dan berwarna kuning kecoklatan atau kelabu. Semama proses permatangan buah, polong yang mula-mula berwarna hijau akan berubah menjadi kehitaman.  Kedelai boleh dituai apabila sebahagian besar polong berwarna coklat dan kering. Negara Indonesia mampu mengeluarkan kacang soya atau kedelai diantara 603,000 - 730,000 metrik tan setahun bergantung kepada musim dan cuaca serta faktur harga dipasaran. Walau pun begitu statistik yang penulis kaji dan buat perbandingan mendapati Indosesia masih mengimpoort 75% daripada keperluan kacang soya dari luar negara. ini kerana jumlah penduduk yang ramai memerlukan tempe sebagai makanan berkhasiat yang sangat popular dinegara tersebut. Untuk meningkatkan pengeluaran kacang kedelai di Indonesia, Kerajaan mereka telah membuka 1 juta hektar kawasan penanaman kedelai baru di kawasan transmigrasi untuk ditanam kedelai secara bertahap selama tiga tahun. Lahan itu tersebar di sebanyak 26 provinsi di Indonesia. Di Indonesia, kedelai menjadi sumber zat protein tumbuhan yang masih utama. Ini terjadi disebabkan keperluan yang tinggi jenis kedelai putih. Kedelai putih bukan asli tanaman tropika di Indonesia tetapi dari kawasan sub-tropika. Kedelai merupakan tumbuhan serbaguna dan kini merupakan tanaman yang digunakan sebagai bahan membuat baja hijau dan bahan makanan untuk ternakan ruminan. Artikel ini diharap jadi sumber rujukan teknikal untuk anda semua. Wasallam!...
KEDELAI... ITU SAMA KACANG SOYA...
MALAYSIA TIDAK TANAM.... KENAPA....
LUAS DITANAM... JIRAN INDONESIA...
ARTIKEL DITULIS...HATI GEMBIRA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(11 Zulhijjah 1436H)

Saturday, September 26, 2015

BUAH NADIR - BINJAI

BUAH BINJAI (Mangifera caesia) atau lebih dikenali adalah sejenis buah nadir atau tumbuhan saka iaitu dari keluarga Anacardiaceae yang tumbuh di negara kita. Pokok Binjai yang tinggi lazimnya akan menghasilkan banyak buah binjai lazimnya pada musim tertentu. Buah ini mempunyai Rasa Masam walau pun telah ada dilaporkan terdapat varieti yang mempunyai rasa yang Manis. Buah binjai boleh dimakan segar jika ianya manis dan kepada mereka yang suka makan tetapi paling sedap adalah untuk dibuat sambal buah binjai untk dimakan bersama nasi putih. Kali pertama penulis makan sambal buah binjai ketika bertugas di Melapa sektiar awal tahun 1980'an dulu. Belum banyak maklumat mengenai amalan agronomi penanaman mengenai tumbuhan binjai di Malaysia. Penulis merujuk kepada laporan statistik Jabatan Pertanian dan mendapati memang tidak ada kepastian keluasan tanaman ini di Malaysia tetapi saya dapat juga menganggarkan sekitar 70 hektar CHE sahaja. Belum ada penanaman pokok binjai secara komersil monokrop yang saya jumpai kerana kebanyakan pokok binjai ditanam dikawasan rumah dalam dusun bercampur atau tumbuh liar dihutan. Nama lain bagi buah binjai adalah Jack ; Malaysian Mango (English), BinYaa ; Lamyaa (Thailand), Bayuno (Filipina), Binglu ; Palong (Indonesia), Belunu (Brunei), Asam Kembawang ; Beluno; Balunoh ; Binjai ; Ondo; Wanchi ; Dendahan (Borneo) dan banyak lagi. Buah ini dijual dipasar basah dan juga di gerai tepi-tepi jalanraya disekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Kini buah binjai semakin sukar didapati kerana banyak pokok binjai telah ditebang kerana dikatakan tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding dengan tanaman lain. Terdapat 3 varieti buah binjai di Malaysia iaitu VARIETI KULIT KUNING, VARIETI KULIT COKLAT-PINK PUCAT dan VARIETI KUNING PUCAT (SABAH). Anda boleh tengok foto varieti ini pada foto paling bawah sekali. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi mengenai pokok binjai berpandukan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman persendirian penulis dalam bidang pertanian selama 34 tahun.


Pokok Binjai adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan banyak cabang merimbun dan ketinggian maksima 35-40 meter. Batangnya bulat mempunyai kulit tebal berwarna coklat kelabu dengan beralur-alur semakin pokok jadi tua. Batang pokok binjai yang cukup tua dan besar boleh dijadikan kayu keras untuk pembinaan rumah dan perabot. Seperti pokok Keluarga Anacardiaceae yang lain kulit pokok akan mengeluarkan cecair berwarna putih apabila dilukai dan bertukar menjadi beku beberapa lama kemudian apabila terdedah diudara. Cecair ini saya dapati apabila terkena kulit akan menyebabkan rasa gatal-gatal atau bahagian mata dan perlu dibasuh dengan air sabun segera. Daun pokok binjai berwarna hijau terkumpul dibahagian hujung dahan dengan ukuran sekitar 1-12 cm panjang dan 4-5 cm lebar. Daun ini berkilat dibahagian atas tetapi agak pudar serta kasar dibahagian bawah daun dengan bentuk 'lanceolate'. Akar tujang kukuh masuk kedalam bumi. Bunga binjai dihasilkan dari bahagian hujung ranting dengan banyak cabang dan ranting pada tangkai bunga. Tangkai bunga berwarna coklat berukuran 15-30 cm dengan adanya 5 kelopak dengan warna merah jambu yang pucat berukuran 10 mm setiap satu dan berbau harum. Pendebungaan dijalankan oleh serangga seperti semut, lebah dan juga oleh angin dan peratus kejayaan pendebungaan adalah rendah. Dalam satu rangkaian bunga binjai hanya 1-2 biji buah sahaja yang akan terhasil walau pun ada yang lebih. Musim bunga di Melaka dan Negeri Sembilan lazimna musim puncak pada bulan Feb-Mac atau Ogos-September setiap tahun. Buah ini walau pun dikatakan berhasil sepanjang tahun tetapi varieti yang ada di Malaysia belum ada yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian untuk mengetahui ciri-ciri agronomi, taksonomi dan marfologinya.


Buah Binjai yang muda lazimnya berwarna kehijauan ketika putik dan akan bertukar kepada warna coklat kelabu atau warna coklat kekuningan apabila masak. Bentuk buah binjai berbagai mengikut varirti dari yang berbentuk bujur telur, Bentuk Lonjong, Bentuk Lonjong terbalik dengan lekuk ditengahnya dan banyak lagi. Buah binjai berukuran 12-15 cm panjang dan ukurlilit 6-7 cm mempunyai kulit nipis yang lembut dan mudah pecah apabila cukup matang atau jatuh dari pokok yang tinggi. Isi binjai berwarna putih krim susu, lembut dan mempunyai serat atau ada yang tidak berserat langsung bergantung kepada spesis. Rasa isi buah binjai daripada yang betul-betul masam, sederhana masam dan ada juga yang manis. Kebanyakannya adalah Masam-masam manis dan kita akan 'kecur lidah' atau terliur apabila bau kuat mencecah hidung. Setiap buah binjai mempunyai biji leper berukuran 9-11 cm panjang dan 6-7 cm lebar berserabut , kulit sederhana keras dan dari kategori mono-embrionik. Penanaman pokok binjai adalah menggunakan biji benih yang disemai dalam polibeg dahulu. Pilih biji benih dari varieti yang manis atau masam-masam manis dan masukkan dalam polibeg yang mengandungi tanah campuran 3:2:1 atau media 'peatmoss'. Bahan tanaman dari cantuman baji juga boleh digunakan tetapi kajian mendapati cantuman dengan anakpokok mangga kurang berjaya dibuat. Jarak penanaman dicadangkan  12 meter x 18 meter atau lebih kerana pokok ini sangat besar. Pembajaan asas dengan baja organik dan baja pertumbuhan NPK 15:15:15 dibuat sehingga pokok mula berbuah. Baja buah NPK 12:12:17:2 TE dan baja Organan diberikan sebanyak 3-4 aplikasi setahun. Pemerhatian saya mendapati tidak ada muduh dan penyakit yang serius menyerang pokok binjai.


Pembacaan saya daripada beberapa sumber mendapati bahagian buah binjai yang boleh dimakan sebanyak 65% selain daripada bijinya dan kulitnya yang nipis. Setiap 100 gram buah binjai mengandungi Air (86.6 gram), Protin ( 1 gram), Karbohiderat (11.9 gram), Lemak (0.2 gram), Ash (0.3 gram) serta banyak Vitamin (Thiamine - 0.08 mg), Beta Karotin (0.005 mg) dan Vitamin C sebanyak 58 mg. Kandungan tenaga dalam buah binjai dilaporkan sebanyak 200 KiloJoule setiap 100 gram. Buah binjai yang masam mengandungi gula yang kurang berbanding dengan buah binjai yang manis. Buah binjai sedap dimakan mentah bagi jenis yang manis dengan bau yang kuat bagi menarik sesiapa yang meminatinya. Saya paling suka makan sambal binjai dengan ulam-ulaman seperti kacang botor, kacang panjang, pegaga, selom, tenggek burung, kobis, timun, terung pipit dan banyak jenis ulaman lagi. Sambal Binjai Belacan atau Sambal Binjai Pedas sangat mudah disediakan iaitu dengan menumbuk cili, garam, bawang putih, gula dan digaulkan dengan isi buah binjai hingga sebati (Sila lihat foto disebelah). Sambal binjai dengan rasa masam, manis, pedas, lemak dan ulam-ulaman yang kelat amat membuka selera dimakan dengan nasi panas dan ikan sungai seperti ikan Terbul, Ikan Kelah, Ikan Haruan, Ikan Lampam atau juga ayam bakar. Lebihan isi binjai boleh dimasukkan didalam Bekas Kaca Kedap Udara (Jar) dan disimpan dalam peti sejuk ketika buah ini tidak ada. Ada yang simpan dengan bahan pengawet seperti campuran garam sebelum disimpan. Pokok Binjai merupakan spesis yang semakin pupus saban tahun akibat tidak ada program penanaman semula dan pihak yang ingin memajukannya. Kajian oleh pihak tertentu seperti FRIM, MARDI dan lain-lain perlu di teruskan mengenai potensi pokok binjai.


BUAH KEMANG...BINJAI DIKENALI...
BUAH NADIR....TIADA HARI-HARI...
BUAH MASAM...MANIS SUSAH DICARI...
MUNGKIN PUPUS...JIKA TIDAK DIGANTI...
  
By,
M Anem
Senior Agrologist,
Kem Gemas, Gemenceh,
Tampin, 
Negeri Sembilan,
Malaysia.
(24 Zulhijjah 1432H)    

Friday, September 25, 2015

KELADI - AMALAN AGRONOMI

KELADI (Colocasia esculenta Linn.) merupakan sejenis tanaman umbisi yang di percayai berasal dari Malaysia atau India yang hidup subur di kawasan rendah (khususnya tanah gambut) dan mempunyai saliran yag baik seperti di kawasan tanah gambut sederhana dalam. Keladi adalah tumbuhan umbisi dari keluarga Araceae. Tanaman Keladi atau juga di panggil Taro (Indonesia), Callalo, Coco dan Cocoyam digunakan sebagai sumber makanan ramai penduduk semanjak dulu kala. Keladi mengandungi banyak zat mineral dan vitamin seperti Thiamin, Riboflavin, Zink, Posforus, Kalium, Manganese dan juga Zat Besi. Kandungan vitamin pula seperti Vitamin C, Niacin, B6 dan juga asid Oksalik. Keladi mempunyai sumber Kanji yang sangat tingggi. Dibeberapa negara seperti Irian Jaya, Papua New Guinea, Timor Leste dan beberapa masyarakay di Afrika menjadikan keladi sebagai makanan ruji mereka. Ini telah menjadikan tanaman keladi amat penting dinegara mereka dengan ditanam untuk sumber makanan negara. Keluasan tanaman keladi di Malaysia sekitar 4,500 hektar CHE (Crop hectarage equivalent) direkodkan oleh Jabatan Pertanian pada tahun 2014. Aantara negeri yang banyak menanam keladi adalah seperti Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah. Kebanyakan tanaman keladi adalah dikawasan tanah gambut walau pun ada segelintir petani menanam ditanah mineral. Penanaman keladi juga dijalankan secara monokrop dan juga secara tanaman campuran dengan tanaman makanan lain. Pasaran keladi adalah untuk bekalan tempatan atau domestik dan masih kurang yang dieksport ke Singapura. Artikel pada kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi amalan agronomi tanaman keladi untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.

Tanaman keladi merupakan sejenis tanaman umbisi yang mempunyai daun lembut berwarna hijau gelap dan mengeluarkan umbisi dibahagian pangkal pokok dibahagian dalam tanah. Terdapat dua jenis keladi iaitu Keladi yang tidak boleh dimakan (Digunakan sebagai pokok ornamental hiasan) dan Keladi yang boleh di makan. Di Malaysia keladi yang popular di tanam adalah seperti Keladi Minyak, Keladi Cina, Keladi Mawar, Keladi Sarawak, Keladi Taro, Keladi Ais Kerim dan sebagainya yang ditanam secara komersial. Ais Kerim perasa keladi biasanya berwarna Ungu oleh Syarikat Marigold atau Jenama lain. Rasa aiskrim keladi memang sedap dan diminati ramai. Pada zaman dulu keladi digunakan sebagai sumber makanan utama dengan merebus sahaja dan dimakan terus. Di Malayisia keladi lebih digemari dengan di goreng dengan tepong (70% kegunaan masa kini) atau di proses untuuk kerepek ubi atau di proses buat kueh. Pucuk keladi atau batang keladi yang umbisinya boleh dimakan selalunya boleh digunakan sebagai sayuran. Akar keladi yang di panggil 'SULUR' sangat enak untuk dijadikan sayuran dikalangan maysrakat Jawa di Muar dan Johor. Keladi banyak mengandungi kabohiderat dan protin serta nutrient lain serta antiokisdan. Penulis mempunyai pengalaman dalam menjalankan projek penanaman keladi secara komersil di Johor (Daerah Mersing, Segamat dan Muar) dan menjalankan pengembangan Pakej Teknologi Tanaman keladi (Gambar atas).

Daripada 11,860 hektar kategori tanaman kontan di Malaysia dalam tahun 2010 yang dimajukan , seluas 4,520 hektar (38%) merupakan tanaman keladi. Negeri Johor dan Selangor merupakan penyumbang utama pengeluaran keladi di Malaysia. Negeri Johor pada tahun 2010 menanam seluas 685 hektar tanaman keladi iaitu di Daerah Kota Tinggi (303 ha), Muar (41 ha) dan bakinya di daerah2 lain sementara Daerah Kuala Langat, Selangor menanam seluas 22 ha pada tahun yang sama. Kebanyakan kawasan penanaman padi di Johor dan Selangor adalan dari jenis tanah gambut. Kebanyakan keladi ditanam diatas tanah gambut (Gambut sederhana atau gambut cetek). Selain daripada dijual segar sebagai "fresh produk" didapati keladi ini dihantar kekilang proses ais kerim dan sebahagian lagi di buat kerepek keladi yang popular terutama Hari Raya Puasa. Keladi Mawar merupakan jenis keladi yang disukai di Kawasan Muar kerana mempunyai pasaran yang baik. Harga keladi ditawarkan sehingga RM 1.30 - RM 1.60 diladang sekilogram. Ada beberapa petani yang menanam keladi daiatas tanah mineral tetapi mesti dibuat batas agar pembentukkan umbisi keladi dapat membesar. Dalam lawatan saya ke Kahang, Kluang , Johor saya berpeluang bagaimana Mr Lee menanam keladi diatas tanah mineral seluar 4 hektar diantara tanaman pisang. Petani tersebut menanam keladi dengan membuat batas setinggi1.5 kaki dengan panjang mengikut barisan. Penanaman adalah sepokok diatas batas mengikut baris. Oleh kerana ia tanah mineral jenis liat berpasir, jika tidak dibuat batas maka pembentukkan umbisi keladi kurang menjadi.

Benih keladi di perolehi daripada sulur anakbenih pokok berumur lebih 4 bulan dan dikutip dengan memotong sepanjang 4 - 6 inci (Buang daun dan umbisi keladi). Kos bagi benih keladi sekitar RM0.30 - RM 0.50 satu sulur bergantung kepada saiz dan jenis keladi. Kawasan penanaman di tanah gambut yang telah dibersihkan di buat lubang dengan menggunakan tugal kayu tajam berukurlilit 4-6 inci untuk membuat lubang sedalam 5 -8 inci. Masukkan satu benih sulur kedalam setiap lubang dangan jarak tanaman 75 cm x 75 cm dan bilangan pokok sebanyak 18,000 pokok/ha. Pembajaan dengan NPK 15:15:15 sebanyak 20 gm/pokok dibuat peringkat 2 minggu lepas tanam. Baja 12:12:17:2 pula diberikan dengan kadar 300 kg/ha pada umur 2 bulan lepas tanam serta Bulan ke 5 dan Bulan Ke 6. Jalankan kawalan rumpai menggunakan kaedah manual dan semburan racun rumpai tidak digalakkan. Penggunaan racun pra-cambah seperti Racun Altrazine dan Racun Ametryn dibuat sebelum mula penanaman. Tanaman keladi matang dalam tempoh 7-12 bulan bergantung kepada jenis keladi dan kaedah pengurusan dengan hasil potensi sebanyak 20,000 kg sehektar. Penuaian perlu dijalankan secara berperingkat-peringkat mengikut saiz pokok, umur pokok dan harga pasaran. Keladi yang matang di cabut dan dibersihkan dengan membuang daun serta bahagian batang serta akar serabut tinggalkan kira-kira 6-10 inci. Gredkan mengikut saiz dan jenis sebelum dijual. Keladi tahan seningga 3-4 bulan jika dijaga dengan baik. Lazimnya sakibaki tanah pada keladi yang tidak dibuang akan dapat mengekalkan kesegaran keladi lebih lama.

Antara masaalah penanaman keladi ialah kesukaran untuk mendapatkan anakbenih berkualiti dan selalunya kena cari daripada pembekal yang telah disahkan jenis dan kualitinya. Oleh kerana kawasan penanaman biasanya tanah gambut, maka kejadian tanah terbakar musim kemarau dan banjir musim hujan juga menjejaskan tanaman keladi. Antara perosak tanaman keladi ialah serangan koya hijau pada daun yang berlaku pada musim panas dan serangan siput kecil yang merosakkan bahagian daun tanaman. Kawalan menggunakan racun kimia yang disyorkan. Antara Penyakit tanaman keladi adalah Penyakit Hawar Daun yang menyerang daun dan dikawal dengan mengamalkan giliran tanaman. Penyakit Reput Umbisi pula menyerang umbisi keladi yang menyebabkan reput dan busuk dikawal dengan mencabut dan musnahkan serta rawatan racun kulat pada sulur benih sebelum menanam. Perosak keladi pula ialah Kumbang Pengorek Umbisi yang mengorek buah keladi mengakibatkan umbisi busuk dan dikawal dengan mencabut serta musnahkannya. Serangan Koya sering berlaku pada musim panas dimana koya akan berada di bahagian bawah daun dan menghisap air sap daun akibatkan kerosakan daun dan boleh dikawal dengan 'white oil'. Serangan Tikus yang makan umbisi keladi di kawal dengan racun Matikus (Bahan aktif warfarin). Kajian saya di Daerah Muar mendapati purata hasil dicapai tanaman keladi di kawasan tanah gambut sebanyak 18,000 kg sehektar dan jika dijual dengan purata harga ladang sekitar RM 1.20 sekilogram menjadikan pendapatan kasar ladang sebanyak RM 21,600 sehektar. Sementara itu kiraan kos pengeluaran tanaman keladi pula sebanyak RM 11,460.00 sehektar (Kos benih paling banyak) dan akan menjadikan pendapatan bersih ladang adalah sebanyak RM 10,140.00 sehektar. Kos pengeluaran setiap kilogram keladi ialah sebanyak RM 0.63 dan pulangan setiap ringgit dilaburkan ialah bernilai RM 1.88. Tanaman keladi merupakan aktiviti yang menguntungkan jika di urus dengan baik dengan menjalankan Amalan Pertanian Baik di ladang. Pengurusan oleh petani dengan bimbinngan oleh pegawai pengembangan adalah diperlukan (Lihat foto saya memeriksa projek tanaman keladi di Air Hitam, Muar, Johor). Memang ramai dikalangan pembaca mencari artikel mengenai keladi dan artikel ini boleh dijadikan rujukan penting. Wasallam!..
TANAM KELADI ...MESTI MENJADI....
MAKAN KELADI...KENYANG PASTI ....
KELADI MAWAR...ENAK SEKALI....
TEKNOLOGI KELADI ..KENA CARI...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(10 Ailhijjah 1436H)
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA 2015

Thursday, September 24, 2015

GANDA RUSA - APA DIA?

GANDARUSA  (Justicia gendarussa) merupakan sejenis tumbuhan kumpulan herba dari keluarga Acanthaceae yang tumbuh dikawasan tropika beriklim panas lembab seperti dinegara kita. Beberapa nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Daun Ganda Rusa, Kisi-kisi (Melayu) dan Bo Gu Dan (China) atau Gandarussa (English) dengan nama sinomim lain juga dipanggil sebagai Justicia vulgaris. Saya telah pun jumpa tumbuhan ini di Taman Herba Negeri Perak, Gopeng dan juga di Taman Florikultur, Pusat Pertanian Serdang, Selangor yang ditanam untuk pameran dan kajian saintifik. Tumbuhan ini mendapat nama 'Ganda Rusa' saya fikir memang ada kaitan dengan haiwan rusa yang bermungkinan haiwan tersebut dipercayai suka makan pucuk tumbuhan ini. Sehingga kini penulis pun belum jumpa terdapat petani atau usahawan di negara kita yang menanam ganda rusa secara monokrop dengan tahap komersil. Maklumat mengenai keluasan tanaman ini yang ditanam di Malaysia juga tidak ada laporan rasmi dari mana-mana sumber rasmi kerajaan. Mendengar namanya pun mungkin pembaca akan tertanya-tanya apakah sebenarnya tumbuhan yang juga boleh dikelaskan sebagai 'Tanaman Herba' ini dari segi marfologi dan amalan agronomi. Banyak juga yang ,ungkin tidak tahu akan apakah kegunaan dan khasiat tumbuhan ini. Bagaimana pun penulis membuat rujukkan dari beberapa sumber dan membuat temubual dengan beberapa individu yang tahu dan pernah terlibat dengan tumbuhan ini. Salah satu daripada testimoni yang diperolehi dimana khasiat dari tumbuhan ini yang terbaik adalah kerana ia didakwa mampu menghilangkan sakit kepala apabila sesiapa mengambilnya. Walau pun belum lagi banyak lagi artikel mengenai kajian saintifik dan teknologi agronomi penanaman pokok ganda rusa yang dapat kita rujuk tetapi rasanya ia mudah untuk ditanam. Sesiapa yang hendak menanam secara komersil boleh melakukannya jika mereka mempunyai bahan tanaman, pengetahuan teknikal dan paling penting adalah apa yang boleh dibuat dengan tanaman ganda rusa ini. Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai herba Ganda Rusa untuk kita menambah lagi ilmu pengetahuan kita yang berminat dalam teknologi pertanian membaca blog ini.


Tananam ganda rusa dari segi marfologinya adalah sejenis tumbuhan renek yang tumbuh menegak dengan kadar ketinggiannya mampu mencapai 1.5 - 2.0 meter. Tumbuhan ini juga mempunyai dahan yang sederhana lembut berwarna gelap (sama ada hitam atau hijau) dan mempunyai cabang yang mengeluarkan daun (Lihat juga struktur foto pokok ganda rusa disebelah). Daripada beberapa rujukkan yang saya baca, terdapat dua varieti atau jenis pokok ganda rusa cuma dibezakan dengan warna batang. Dua varieti yang dikenalpasti adalah Jenis Batang Hitam (satu varieti) atau Jenis Batang Hijau (varieti lain). Penelitian penulis dari beberapa testimoni dan temubual mendapati jenis batang hitam dipercayai lebih baik kerana ia mengandungi lebih khasiat dan sesuai dijadikan bahan herba berbanding dengan batang warna hijau. Jenis Daunnya Hijau lazimnya mempunyai warna hijau cerah kekuningan dengan keadaan permukaan atas daun yang lebih berkilat dan licin. Daunnya dari jenis daun tunggal berbentuk panjang tirus 'laceolate' dengan ukuran sekitar 5 - 20 cm dan lebar 2 - 6 cm juga ia bergantung kepada kesuburan pokok dan usia daun. Pucuk tumbuhan ini menghasilkan daun muda yang bersaiz kecil dibandingkan dengan daun yang keluar dari bahagian tengah dan bawah pokok.

Pokok Ganda Rusa mempunyai bunga yang bersaiz kecil dan keluar dibahagian atas pucuk dahan apabila usianya sudah matang (Lihat foto sebelah). Bunganya mempunyai beberapa kelopak berwarna putih krim dengan berbentuk macam 'trompet' yang pendek. Susunan bunga juga berlapis-lapis yang keluar dari ketiak daun dengan 3 - 6 kuntum bunga dengan susunan seakan spiral. Saya dapati tidak banyak tulisan melaporkan mengenai buah pokok ganda rusa ini. Bahagian akar juga mempunyai akar tunjang serta akar serabut yang lembut. Pembiakan tumbuhan herba ganda rusa ini dipercayai atau lazimnya boleh dilakukan dengan menggunakan teknik keratan batang (vegetative reproduction). Sebaiknya jika hendak memilih bahan tanaman, pilih batang sihat serta saiz sederhana dengan beberapa mata tunas dan potong sepanjang 10 -15 cm. Jika ada yang ingin menanam didalam pasu maka sebaiknya keratan ini boleh dicucuk terus dalam tanah dipasu dan siram sehingga ia tumbuh. Pemilihan media tanaman dalam pasu adalah tanah campuran atau peatmoss dan saya syorkan ditambah dengan gel tanaman (plant gel). Bahan Plant gel merupakan satu bahan yang berfungsi sebagai 'empangan kecil' atau mini resevoir untuk menyimpan air dalam pasu atau tanah untuk satu jangkamasa agak lama. Jadinya kalau pasu tidak disiram beberapa hari kerana balik kampong tidak jadi masaalah kerana akar akan mendapat air daripada gel tersebut. Jika hendal menanam diatas tanah dikawasan keliling rumah, disyorkan agar keratan batang tadi disemai dulu dalam polibeg sehingga tumbuh sebelum dialihkan keladang untuk ditanam.

Pokok ganda rusa yang ditanam diatas tanah yang subur dan dijaga dengan baik cepat membesar. Kawasan dipilih ssebaiknya mempunyai sistem saliran baik kerana tumbuhan ini tidak tahan terendam air ketika musim hujan. Tanah yang baru perlu dibajak dan sebaiknya dibuat batas dan diberikan baja asas serta baja organik. Oleh kerana ia juga merupakan tanaman jenis herba maka cara penanaman juga perlu mengelakkan penggunaan bahan kimia. Keratan batang yang ditanam dengan jarak sesuai (0.5m - 1.0 m) sesuai disusun dalam batas. Apabila tumbuh maka sebaiknya batang akan keluar dari pangkal pokok dan naik keatas dengan cepat. Aktiviti awal adalah membuat cantasan pembentukkan bertujuan untuk mendapatkan lebih banyak cabang. Pastikan diberi baja organik seperti tahi ayam proses, tinja kambing dan baja kompos untuk tanaman ini dan pohon persijilan dibawah MyGAp iaitu MyOrganic. Penanaman pokok ganda rusa seperti juga pokok herba yang lain tidak dibenarkan menggunakan sebarang racun kimia. Elakkan daripada kawasan tanaman dari ditenggelami air kerana pokok yang sedia untuk dituai pun boleh rosak. Pemerhatian saya di dua lokasi dan taklimat dari pegawai bertugas menyatakan bahawa tanaman pokok ganda rusa tidak mempunyai masaalah serangan serangga perosak dan penyakit. Ini kerana tumbuhan tersebut memang tahan lasak dan mudah diselenggara. Tanaman ganda rusa boleh dituai setelah 4-6 bulan ditanam diladang jika ianya tumbuh dengan baik. Cara tuaian adalah dengan memotong batang tumbuhan tersebut dan dibawa kepusat pmprosesan. Ia juga boleh dikeringkan jika adal pasaran.


Beberapa dakwaan mengenai khasiat ganda rusa adalah seperti kemampuannya untuk memberikan kesan Analgetik, Diuretik dan juga sebagai Anti-spermatozoa. Mungkin ramai juga tidak pasti apakah sebenarnya kegunaan mengikut dakwaan klinikal ini. Bagaimana pun daripada beberapa laporan saya baca ada juga menyebut daunnya mengandungi bahan Alkoloid yang berkemungkinan akan menjadi racun jika diambil secara berlebihan oleh manusia. Bagaimana pun daun ganda rusa segar yang dilumatkan dengan bahan cili dan dijadikan pes kemudian diletakkan dibahagian kepala mampu menghilangkan sakit kepala dengan mujarab. Pes ini juga mampu merawat daripada kesan bisa patukkan ular, penyakit seriawan kanak-kanak, sakit tulang belakang, rheutisma, bengkak, rambut gugurdan juga kembung perut. Ada juga beberapa testimoni yang menyatakan bahawa masaalah kecacingan dan juga rawatan lepas ibu bersalin boleh dilakukan dengan tumbuhan ganda rusa. Walau pun telah ada kajian klinikal dengan saintifik tetapi maklumat sebenar mengenai kegunaan daun ganda rusa ini masih kurang. Sebaiknya kajian dan penyelidikan ganda rusa ini terus dijalankan untuk dimenafaatkan pada masa akan datang. Semuga artikel ini memberikan ilmu tambahan kepada pembaca semua. Wasallam!...
Produk Kapsul Ganda Rusa di Indonesia.
DAUN GANDA RUSA... HIJAU WARNANYA...
MUDAH DITANAM...BANYAK KHASIATNYA...
SAKIT KEPALA...MAMPU DIUBATINYA...
MINAT MENANAM... MANA BENIHNYA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Saujana
Presint 11, Putrajaya,
Malaysia
(30 RabiulAhkri 1434H)
Diposting pada 24 September 2015
(Hampir 1.5 tahun selepas ditulis dan dikemaskini)