Saturday, September 26, 2015

BUAH NADIR - BINJAI

BUAH BINJAI (Mangifera caesia) atau lebih dikenali adalah sejenis buah nadir atau tumbuhan saka iaitu dari keluarga Anacardiaceae yang tumbuh di negara kita. Pokok Binjai yang tinggi lazimnya akan menghasilkan banyak buah binjai lazimnya pada musim tertentu. Buah ini mempunyai Rasa Masam walau pun telah ada dilaporkan terdapat varieti yang mempunyai rasa yang Manis. Buah binjai boleh dimakan segar jika ianya manis dan kepada mereka yang suka makan tetapi paling sedap adalah untuk dibuat sambal buah binjai untk dimakan bersama nasi putih. Kali pertama penulis makan sambal buah binjai ketika bertugas di Melapa sektiar awal tahun 1980'an dulu. Belum banyak maklumat mengenai amalan agronomi penanaman mengenai tumbuhan binjai di Malaysia. Penulis merujuk kepada laporan statistik Jabatan Pertanian dan mendapati memang tidak ada kepastian keluasan tanaman ini di Malaysia tetapi saya dapat juga menganggarkan sekitar 70 hektar CHE sahaja. Belum ada penanaman pokok binjai secara komersil monokrop yang saya jumpai kerana kebanyakan pokok binjai ditanam dikawasan rumah dalam dusun bercampur atau tumbuh liar dihutan. Nama lain bagi buah binjai adalah Jack ; Malaysian Mango (English), BinYaa ; Lamyaa (Thailand), Bayuno (Filipina), Binglu ; Palong (Indonesia), Belunu (Brunei), Asam Kembawang ; Beluno; Balunoh ; Binjai ; Ondo; Wanchi ; Dendahan (Borneo) dan banyak lagi. Buah ini dijual dipasar basah dan juga di gerai tepi-tepi jalanraya disekitar Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Kini buah binjai semakin sukar didapati kerana banyak pokok binjai telah ditebang kerana dikatakan tidak mempunyai nilai ekonomi berbanding dengan tanaman lain. Terdapat 3 varieti buah binjai di Malaysia iaitu VARIETI KULIT KUNING, VARIETI KULIT COKLAT-PINK PUCAT dan VARIETI KUNING PUCAT (SABAH). Anda boleh tengok foto varieti ini pada foto paling bawah sekali. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi mengenai pokok binjai berpandukan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman persendirian penulis dalam bidang pertanian selama 34 tahun.


Pokok Binjai adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan banyak cabang merimbun dan ketinggian maksima 35-40 meter. Batangnya bulat mempunyai kulit tebal berwarna coklat kelabu dengan beralur-alur semakin pokok jadi tua. Batang pokok binjai yang cukup tua dan besar boleh dijadikan kayu keras untuk pembinaan rumah dan perabot. Seperti pokok Keluarga Anacardiaceae yang lain kulit pokok akan mengeluarkan cecair berwarna putih apabila dilukai dan bertukar menjadi beku beberapa lama kemudian apabila terdedah diudara. Cecair ini saya dapati apabila terkena kulit akan menyebabkan rasa gatal-gatal atau bahagian mata dan perlu dibasuh dengan air sabun segera. Daun pokok binjai berwarna hijau terkumpul dibahagian hujung dahan dengan ukuran sekitar 1-12 cm panjang dan 4-5 cm lebar. Daun ini berkilat dibahagian atas tetapi agak pudar serta kasar dibahagian bawah daun dengan bentuk 'lanceolate'. Akar tujang kukuh masuk kedalam bumi. Bunga binjai dihasilkan dari bahagian hujung ranting dengan banyak cabang dan ranting pada tangkai bunga. Tangkai bunga berwarna coklat berukuran 15-30 cm dengan adanya 5 kelopak dengan warna merah jambu yang pucat berukuran 10 mm setiap satu dan berbau harum. Pendebungaan dijalankan oleh serangga seperti semut, lebah dan juga oleh angin dan peratus kejayaan pendebungaan adalah rendah. Dalam satu rangkaian bunga binjai hanya 1-2 biji buah sahaja yang akan terhasil walau pun ada yang lebih. Musim bunga di Melaka dan Negeri Sembilan lazimna musim puncak pada bulan Feb-Mac atau Ogos-September setiap tahun. Buah ini walau pun dikatakan berhasil sepanjang tahun tetapi varieti yang ada di Malaysia belum ada yang didaftarkan dengan Jabatan Pertanian untuk mengetahui ciri-ciri agronomi, taksonomi dan marfologinya.


Buah Binjai yang muda lazimnya berwarna kehijauan ketika putik dan akan bertukar kepada warna coklat kelabu atau warna coklat kekuningan apabila masak. Bentuk buah binjai berbagai mengikut varirti dari yang berbentuk bujur telur, Bentuk Lonjong, Bentuk Lonjong terbalik dengan lekuk ditengahnya dan banyak lagi. Buah binjai berukuran 12-15 cm panjang dan ukurlilit 6-7 cm mempunyai kulit nipis yang lembut dan mudah pecah apabila cukup matang atau jatuh dari pokok yang tinggi. Isi binjai berwarna putih krim susu, lembut dan mempunyai serat atau ada yang tidak berserat langsung bergantung kepada spesis. Rasa isi buah binjai daripada yang betul-betul masam, sederhana masam dan ada juga yang manis. Kebanyakannya adalah Masam-masam manis dan kita akan 'kecur lidah' atau terliur apabila bau kuat mencecah hidung. Setiap buah binjai mempunyai biji leper berukuran 9-11 cm panjang dan 6-7 cm lebar berserabut , kulit sederhana keras dan dari kategori mono-embrionik. Penanaman pokok binjai adalah menggunakan biji benih yang disemai dalam polibeg dahulu. Pilih biji benih dari varieti yang manis atau masam-masam manis dan masukkan dalam polibeg yang mengandungi tanah campuran 3:2:1 atau media 'peatmoss'. Bahan tanaman dari cantuman baji juga boleh digunakan tetapi kajian mendapati cantuman dengan anakpokok mangga kurang berjaya dibuat. Jarak penanaman dicadangkan  12 meter x 18 meter atau lebih kerana pokok ini sangat besar. Pembajaan asas dengan baja organik dan baja pertumbuhan NPK 15:15:15 dibuat sehingga pokok mula berbuah. Baja buah NPK 12:12:17:2 TE dan baja Organan diberikan sebanyak 3-4 aplikasi setahun. Pemerhatian saya mendapati tidak ada muduh dan penyakit yang serius menyerang pokok binjai.


Pembacaan saya daripada beberapa sumber mendapati bahagian buah binjai yang boleh dimakan sebanyak 65% selain daripada bijinya dan kulitnya yang nipis. Setiap 100 gram buah binjai mengandungi Air (86.6 gram), Protin ( 1 gram), Karbohiderat (11.9 gram), Lemak (0.2 gram), Ash (0.3 gram) serta banyak Vitamin (Thiamine - 0.08 mg), Beta Karotin (0.005 mg) dan Vitamin C sebanyak 58 mg. Kandungan tenaga dalam buah binjai dilaporkan sebanyak 200 KiloJoule setiap 100 gram. Buah binjai yang masam mengandungi gula yang kurang berbanding dengan buah binjai yang manis. Buah binjai sedap dimakan mentah bagi jenis yang manis dengan bau yang kuat bagi menarik sesiapa yang meminatinya. Saya paling suka makan sambal binjai dengan ulam-ulaman seperti kacang botor, kacang panjang, pegaga, selom, tenggek burung, kobis, timun, terung pipit dan banyak jenis ulaman lagi. Sambal Binjai Belacan atau Sambal Binjai Pedas sangat mudah disediakan iaitu dengan menumbuk cili, garam, bawang putih, gula dan digaulkan dengan isi buah binjai hingga sebati (Sila lihat foto disebelah). Sambal binjai dengan rasa masam, manis, pedas, lemak dan ulam-ulaman yang kelat amat membuka selera dimakan dengan nasi panas dan ikan sungai seperti ikan Terbul, Ikan Kelah, Ikan Haruan, Ikan Lampam atau juga ayam bakar. Lebihan isi binjai boleh dimasukkan didalam Bekas Kaca Kedap Udara (Jar) dan disimpan dalam peti sejuk ketika buah ini tidak ada. Ada yang simpan dengan bahan pengawet seperti campuran garam sebelum disimpan. Pokok Binjai merupakan spesis yang semakin pupus saban tahun akibat tidak ada program penanaman semula dan pihak yang ingin memajukannya. Kajian oleh pihak tertentu seperti FRIM, MARDI dan lain-lain perlu di teruskan mengenai potensi pokok binjai.


BUAH KEMANG...BINJAI DIKENALI...
BUAH NADIR....TIADA HARI-HARI...
BUAH MASAM...MANIS SUSAH DICARI...
MUNGKIN PUPUS...JIKA TIDAK DIGANTI...
  
By,
M Anem
Senior Agrologist,
Kem Gemas, Gemenceh,
Tampin, 
Negeri Sembilan,
Malaysia.
(24 Zulhijjah 1432H)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.