Wednesday, September 30, 2015

BUAH NADIR - JAMBU BOL

Berapa ramai dikalangan generasi muda kenal akan buah nadir ini?. BUAH JAMBU BOL (Syngium malaccense) merupakan sejenis pokok buah-buahan nadir yang juga di panggil sebagai "Malay Apple" atau ada yang panggil Jambu Jamaika atau Jambu Melaka. Nama biasa jambu ini di kampong saya disekitar Muar, Johor ialah Jambu Bol yang memang ada dimakan segar dan atau pun diproses menjadi halwa atau lain-lain produk. Apa yang penulis suka mengenai pokok jambu bol adalah apabila ia mempunyai bunga yang bermarna merah atau pink serta cantik dan akan berguguran diatas tanah semasa musim ia berbunga. Pokok Jambu Bol dikategorikan sebagai Jenis Buah Nadir kerana pokok ini kini agak jarang ditemui. Dalam membuat beberapa rujukkan dengan Jabatan Pertanian, penulis tidak dapat maklumat mengenai keluasan tanaman jambu bol di Malaysia kerana mungkin ia terlalu sedikit (scarce) atau sebab lain. Terdapat seluas 1,374 hektar tanaman jambu batu di Malaysia pada tahun 2015 (Sumber : Laporan Statistik Tanaman Jabatan Pertanian 2015) dan kemungkinan ia tidak termasuk akan keluasan tanaman jambu bol. Ini kerana tanaman jambu batu kebanyakannya adalah ditanam secara monokrop dan komersil terutama di Johor, Melaka, Selangor, Perak dan Pahang. Penulis pernah makan dan kutip buah jambu bol masa kecil dulu di kampong dari pokok yang berdekatan sekolah rendah ketika itu. Memang seronok dapat makan buah jambu bol yang masam dan manis bersama-sama rakan sekolah. Buah jambu bol yang matang dipetik menggunakan galah atau dibaling dengan kayu sahaja dan jatuh ketanah sebelum dikutip, dibasuh dan dimakan segar. Itu berlaku sekitar tahun 1970'an dan kini tinggal kenangan. Artikel ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman jambu bol berdasarkan ilmu pengetahuan dan pembacaan dari buku-buku teknikal serta pengalaman sendiri.


Pokok jambu bol mempunyai batang kayu yang kuat dan mampu tumbuh membesar sehingga 20-25 meter tinggi. Ia mempunyai banyak dahan yang kukuh kayunya (jenis kayu keras) yang boleh dipijak ketika memanjat tanpa patah. Batang pokok yang besar dan kuat membolehkan ia sesuai dijadikan kayu keras untuk dibuat pelbagai kraftangan. Daunnya berwarna hijau gelap dan tebal dengan berukuran 30 cm panjang serta 15 cm lebar. Apa yang saya teliti adalah dimana ia selalunya ada bintil-bintil yang jelas terkeluar dari lai daun terutama dibahagian bawah (Lihat foto daun di sebelah). Bintil-bintil daun ini banyak didapati pada pokok tua yang kurang sihat. Bunga jambu bol mempunyai jambak berwarna merah ungu, pink dan cantik jika diteliti. Buah jambu bol muda berwarna hijau dan akan menjadi merah ungu bercampur hijau apabila masak. Rasa buah jambu bol sangat masam semasa muda dan bertukar daripada rasa masam manis apabila masak. Isinya yang berwarna putih krim dan 'spongy' serta berair (juicy). Biji jambu bol lazimnya berbentuk bulat sebesar buah pingpong (jenis besar) dan strukturnya keras. Biji ini berwarna coklat gelap yang sesuai digunakan sebagai biji benih dengan menyemainya dahulu. Belum ada kajian mengenai khasiat dan kegunaan  biji jambu bol selain daripada untuk dijadihan bahan tanaman. Berat buah lingkungan 200-400 gram sebiji yang berangkai antara 6-10 biji satu tangkai. Jika tidak dituai buah jambu bol akan gugur ketanah bersama biji dan akan tumbuh jadi anak pokok. Belum banyak buah jambu bol yang diproses untuk dijadikan produk selain daripada halwa dan jus minuman sehingga kini. Daun muda atau pucuk jambu bol pernah digunakan sebagai ulam makan dengan nasi seperti rasa daun pokok gajus dengan dicicah pada sambal belacan atau sambal lain.

Benih pokok jambu bol biasa ditanam menggunakan biji matang yang telah bercambah atau ambil anak benih dari bawah pokok sedia ada. Pokok ini belum ada laporan ditanam secara komersil secara tunggal (monocrop) di Malaysia. Pokok ini ditanam keliling rumah oleh orang dulu-dulu sebagai hiasan dan untuk pengeluaran hasil kegunaan sendiri. Pembacaan penulis dari majalah Trubus menyatakan sebaiknya pembajaan menggunakan baja organik sebanyak 6 kg sepokok setiap 3 bulan dan baja NPK 15:15:15 sebanyak 1 kg sepokok pada pokok berumur 6 tahun. Ketika pokok berbunga tambah baja NPK sebanyak 330 gram sepokok dan baja tambahan Kalium 330 gram sepokok pada minggu ke 4 dan ke 7. Kajian teknikal menyatakan Kalium akan memaniskan buah dan mengurangkan buah jambu bol gugur. Tambah unsur kalsium (Ca) untuk mengurangkan keguguran buah. Perbanyakan baja organik seperti tahi kambing dan lain-lain baja organik. Amalan membakar sampah atau membakar daun2 dibawah atau hampir pokok menyebabkab 'Nafthaline' dalam asap mempengaruhi pokok uuntuk kerap berbunga.

Bagi mendapatkan buah berkualiti boleh di buat pembungkusan buah (Jika pokok tidak terlalu tinggi) dan buat penjarangan buah. Serangan Lalat buah (Bactocera spp) akan merosakkan kualiti buah jambu bol dan di kawal sebaiknya dengan kaedah membalut atau gunakan umpan protin. Musuh lain adalah seperti tupai, monyet, kelawar dan burung yang makan buah hampir masak. Penuaian dijalankan dengan menggunakan galah yang berkarung agar buah tidak jatuh ketanah. Pastikan buah telah cukup masak apabila hampir keseluruhan akan berwarna merah dan gredkan mengikut saiz. Jarang-jarang kita lihat jambu bol di jual dimana-mana tempat di Malaysia. Kalau ada pun mungkin di kedai buah di pekan-pekan kecil. Buah jambu bol yang masak sedap untuk dimakan segar. Harga sekilogram dipasaran pun pun tidak menentu tetapi anggaran penulis lingkungan RM 3.00 - RM 5.00 sekilogram.

Penanaman jambu bol boleh di kaji semula kepentingannya untuk kegunaan genarasi akan datang. Kajian ekonomi dan maklumat pakej teknologi tanaman ini perlu disediakan kerana lazimnya buah ini dikategorikan sebagai buah nadi yang rendah dari segi nilai ekonomiknya. Penanaman jambu bol mungkin boleh dijadikan sebagai tanaman keliling rumah di kampong atau boleh di komersilkan jika ada yang berminat. Pihak tertentu boleh mengedarkan dengan percuma atau secara belian kepada penduduk dikampong tradisional dan diklusterkan agar ia mempunyai 'volume' yang banyak tujuan pemasaran dan pengurusan agronomi. Beberapa kawasan taman bunga atau tempat rekreasi Majlis Daerah dan Perbandaran wajar di tanam dengan jambu bol untuk rujukkan pengunjung disamping memperkenalkannya kepada generasi muda. Pokok jambu bol perlu didaftarkan varietinya untuk menambah koleksi tanaman ini yang semakin dilupakan. Diharap artikel ini memberikan sedikit maklumat mengenai tanaman jambu bol yang semakin pupus di negara kita. Wasaalam...!
BUAH JAMBU BOL....NADIR JENISNYA...
POKOK BESAR...TINGGI PUCUKNYA...
JARANG DITANAM...DIMNANA JUGA....
BUAHNYA BESAR....MANIS ISINYA...


By
M Anem,

Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.

(11 Zulhijjah 1436H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.