Tuesday, April 22, 2014

BUNGA TELANG

BUNGA TELANG (Clitoria ternatea) juga dikenali dengan pokok kacang telang merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Fabaceae (Kekacang) yang cantik dan banyak guna. Bunga Telang ini juga dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai 'Butterfly-Pea', 'Blue-Pea' dan juga 'Cprdofan-pea'. Saya dapati bunga telang di sebelah Kelantan lebih popular dengan nama bunga untuk membuat nasi kerabu. Ini kerana bunga ini digunakan dalam mewarnakan nasi kerabu menjadi biru yang saya kira agak unik (Baca artikel Nasi Kerabu - Sila klik disini). Bunga ini juga memberikan warna biru yang cantik dimana ia digunakan sebagai pewarna biru untuk mewarnakan mengkuang dan kain putih. Didalam aplikasi genarasi dahulu, selain dari bahagian bunga, kadang-kadang bahagian daun pokok bunga telang ini juga ada digunakan bagi mewarnakan makanan menjadi hijau (Apakah agaknya nama untuk nasi yang warna hijau ini?). Buah Kacang telang pula boleh dimasak dan dimakan kerana ia adalah jenis kekacang. Paling manarik ialah tumbuhan ini memberikan warna bunga menarik dan sesuai juga dijadikan sebagai tanaman hiasan dikawasan taman bunga atau dihalaman rumah. Tumbuhan ini juga boleh diambil bahagian pucuknya untuk dibuat sayur atau ulam jika mahu. Artikel petang Jumaat ini sempena cuti Thaipusam saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan bunga telang sebagai bahan bacaan dan rujukkan anda.

Tumbuhan ini merupakan sejenis tumbuhan yang menjalar pada pokok lain atau tiang pagar atau kayu sokong yang disediakan oleh penanamnya. Dalam keadaan liar semulajadi, tumbuhan ini menjalar dengan melilit apa juga tumbuhan disekelilingnya. Ketinggian pokok ini mampu mencapai 3-4 meter bergantung kepada lilitan pada sokong. Ia mempunyai kadar pertumbuhan yang sangat cepat sekiranya ditanam di tanah yang subur dan menerima cahaya matahari yang baik. Tanah yang subur dengan banyak bahan organik dan mempynyai saliran baik sangat sesuai untuk tumbuhan ini/. Bagaimana pun ia kurang sesuai pada tanah yang mudah tenggelam air dan sangat asidik. Daunnya berbentuk simpel sama ada Epiliptik atau Obtuse dengan warna hijau pada susunan bertentangan. Bunganya keluar dari celah ketiak daun dengan warna biru kuat (vivid deep blue flowers) berukuran 4 cm panjang dan 3 cm lebar. Dibahagian tengah bunga terdapat warna putih kekuningan (Lihat foto diatas sekali). Kajian mendapati terdapat juga varieti bunga telang yang berwarna putih walau pun jarang ditanam dinegara kita.

Penelitian saya mendapati buah tumbuhan ini dalam bentuk lengai (Pod) berukuran 5-7 cm panjang dan 1-1.5 cm lebar yang pipih. Setiap lengai mengandungi antara 6 - 10 biji benih berwarna kehitaman yang memang boleh di makan sebagai kekacang. Lengai terbentuk selepas proses pendebungaan berlaku dan lengai adalah berwarna hijau ketika masih muda.  Kebiasaanya tanaman bunga telang adalah ditanam menggunakan biji benih. Biji benih memang boleh didapati dari buah kacang telang yang telah merekah. Pilih biji benih yang elok daripada pokok induk yang subur, tidak berpenyakit dan banyak bunga dan buahnya. Jika hendak menanam boleh sediakan lokasi penanaman yang sebaiknya mendapat cahaya matahari yang banyak. Benih diletak dalam lubang penanaman sebanyak 2 biji satu lubang. Bergantung kepada sistem penanaman, jika ditanam diatas batas dalam 2 barisan jarak yang sesuai adal 1m x 1 m. Pasangkan kayu sokong atau para mengikut kesesuaian sistem tanaman. Siram selalu sehingga tumbuhan menjalar dan berikan baja organik dengan kadar sesuai.

Pada kita orang Malaysia, kegunaan utama bunga telang adalah untuk dijadikan bahan pewarna kepada pembuatan NASI KERABU (Sila lihat foto sebelah). Bunga yang segar dipetik dan dibasuh sebelum direndam dalam air bersih. Kadar sesuai sebanyak 4-5 kuntum bunga untuk 4-5 tin/pot beras (Kadar 1 kuntum untuk 1 tin/pot). Air berwarna biru ini kemudian dimasukkan didalam beras yang hendak di tanak. Kadar kepekatan warna biru pada nasi yang dihasilkan bergantung kepada kepekatan warna air biru bunga telangyang digunakan. Selain itu saya dapati dalam amalan perubatan tradisional, bunga juga mempunyai banyak kegunaan. Saya pernah lihat akar pokok ini di rebus dan airnya diminum kerana dipercayai dapat melawaskan air kencing. Bahagian bunganya boleh direndam lalu airnya digunakan bagi mencuci mata yang merah. Ada juga dakwaan bahagian daunnya boleh dihancurkan dan ditampal pada bisul dimana ia mampu mengecutkannya. Begitulah hebatnya bunga telang yang memang boleh kita tanam sendiri dirumah dan bunganya boleh kita gunakan sebagai pewarna. Nanti selepas baca ramai juga akan tanya pada 'comments', mana hendak mencari benih encik anim?. Jawabnya...cari sendirilah. Bye!

WARNA BIRU...BUNGA TELANG...
IA MENJALAR... PADA PALANG...
CEPAT TUMBUH...MUSUH KURANG...
NASI KERABU... ENAK KENYANG...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Herba Negeri Perak,
Jalan Gopeng, Perak,
Malaysia.
(22 Rabiulawal 1435H)
Kemaskini pada 21 April 2014)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.