Monday, April 21, 2014

KANGKONG GORENG BELACAN

KANGKONG GORENG BELACAN merupakan satu resepi daripada sayur kangkong yang popular di Malaysia. Kangkong (Impomea reptans) merupakan jenis sayur daun yang luas ditanam di Malaysia untuk pasaran domestik dan sebahagian diekspot ke Singapura terutama yang ditanam di Negeri Johor. Terdapat 2 jenis kangkung yang lazim ditanam di Malaysia iaitu Kangkung Darat (Impomea reptans Poir) dan juga jenis Kangkung Air (Impomea aquatica Forsk) iaitu dari keluarga Convulvulaceae. Kangkung Darat adalah kangkong yang ditanam atas batas tanah darat dimana ia akan tumbuh menegak dan diusahakan secara komersial sementara kangkong air adalah jenis kangkong yang tumbuh dalam kolam atau taliair yang menjalar. Kangkong Darat merupakan jenis yang banyak ditanam dan dimakan iaitu dianggarkan lingkungan 90% daripada penggunaan. Kangkong Air pula kebanyakannya diambil oleh mereka yang tinggal dikawasan luar bandar atau memang meminati kangkong jenis ini. Kangkong merupakan satu jenis sayuran jenis daun yang popular ditanam kerana sayur ini mempunyai pasaran yang besar. Pada tahun 2013 terdapat seluas  3,600 hektar dengan penghasilan sebanyak 126,500 mt bernilai RM 15.8 juta (Laporan ststistik Jabatan Pertanian Malaysia 2013). Artikel ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" dalam usaha memberikan maklumat mengenai sejenis resepi masakan popular di Malaysia iaitu Kangkong Goreng Belacan untuk bacaan dan rujukkan anda.

Walau pun resepi ini dianggap mudah dan senang disediakan, ianya sering menjadi hidangan yang ada disediakan dirumah, restoran masakan tradisional, di hotel-hotel dan juga di asrama sekolah. Kecekapan tukang masak penting dalam menyediakan juadah ini agar ia dapat disediakan dan mempunyai rasa yang enak dan tidak terlalu masak (overcook). Ia enak dimakan ketika masih panas lagi dengan nasi putih untuk hidangan makan tengahari atau makan malam. Terdapat beberapa restoren (termasuk restoren seafood) yang sering menghidangan sayur goreng belacan dalam menu mereka. Jangan terkejut kalau direstoren seafood harganya sampai berbelas ringgit sepinggan. Bahan utama dalam menyediakan hidangan ini adakah Kangkong Segar, Belacan, Cili, bawang, minyak masak dan garam. Bagi tulisan kali ini saya sediakan satu kaedah untuk menyediakan masakan kangkong yang sesuai dimakan untuk 5 orang. Pilih kangkong segar satu ikat dari pasar atau petik sendiri dekat rumah (jika ada tanam sendiri). Sediakan 1 tangkai cili merah (kalau hendak pedas makan anda boleh bubuh beberapa ulas cili padi ikut citarasa kita). Sediakan juga 2 ulas bawang merah serta 1 ulas bawang putih. Jangan lupa bahan penting lain iaitu segenggam ikan bilis atau pun udang kering dan 1 sudu masak (ikut sukatan sesuai atau boleh lebih) belacan. Bahan terpenting adalah belacan asli dan sebaiknya ia dibakar dahulu. Bagi lebih enak masakan kangkong goreng belacan, sediakan juga garam dan perasa (ajinomoto) secukup rasa. Kalau rasa belacan agak mencukupi tidak perlu tambah lagi garam. Minyak masak secukupnya untuk menumis dalam kuali. Sebaiknya gunakan kuali yang agak besar kerana kuantiti kangkong sebelum masak banyak dibanding dengan bila sudah siap dimasak.

Cara-cara memasak agak mudah iaitu dengan memotong kangkung mengikut ukuran sesuai (sila lihat foto sebelah). Ambil bahagian daun dan tangkainya dan jika batangnya masih lembut boleh di ambil juga. Bagaimana pun sebaiknya kangkong segar tersebut dibasuh bersih dahulu dengan air paip mengalir sebelum dipotong. Selepas dipotong sebaiknya dibasuh sekali lagi dan toskan airnya. Bahan ramuan tumis perlu di tumbuk hingga hampir lumat seperti cili merah dan cili padi, bawang merah, bawang putih, belacan, ikan bilis atau udang kering. Seterusnya ambil kuali dan panaskan dengan masukan minyak masak. Apabila minyak sudah panas maka masukkan bahan ramuan dan ditumis bahan ditumbuk tadi dan kacau hingga naik bau atau sedikit kekuningan. Kemudian masukkan kangkong dan kacau lagi sebelum menambah garam dan serbuk perasa. Gaul rata dan kacau sehingga masak (elakkan terlalu kuat api atau terlalu lama hingga terlampau masak). Bagi mereka yang suka berkuah maka boleh bubuh sedikit air dan bila kuah dah mendidih padamkan api. Sebaiknya ia akan didangkan segera dengan nasi panas untuk dimakan dengan nasi putih. Lauk lain seperti ikan goreng, asam pedas, kari daging, ayam goreng, sambal tempe mungkin akan menambah selera makan dengan sayur kangkong goreng belacan ini ketika lapar.

Saya fikir tidak cukup makan sedap sayur kangkong goreng belacan kalau tidak diberikan kebaikan khasiat kangkong. Laporan kajian yang dirujuk ada menyatakan kangkong membantu melawaskan pembuangan air besar jika kita makan dengan banyak. Ia juga didapati dapat membantu mengatasi masalah sukar tidur atau insomnia kerana ia didapati mempunyai kuasa sedatif iaitu sebagai agen penenang semulajadi. Kalau ada dikalangan kita yang sukar tidur adalah disyorkan makan banyak sayur kangkong goreng belacan tetapi nasinya sedikit sahaja. Kalau hendak boleh celur sahaja sayur kangkomng dengan sedikit garam dan makan begitu sahaja. Kangkong juga didakwa membantu mengatasi lemah badan dan keputihan serta membantu dalam meredakan pembengkakan, terseliuh, bisul dan jangkitan kulit. Selain itu kangkong akan membantu melancarkan haid dan merawat hidung berdarah. Ia juga membantu meredakan sakit kepala, sakit gigi dan mengatasi masalah kelemumur serta mampu melembutkan rambut. Kangkung juga mempunyai kuasa diuretik iaitu membantu melancarkan dan melawas kencing. Antara kebaikkan mineral dan manfaat semulajadinya ini juga membuatkan kangkung mempunyai pelbagai khasiat lain seperti membantu dalam mengurangi haid berlebihan dan membantu meredakan cirit birit akibat keracunan makanan. Siapa yang kata makan kangkong itu jenis sayur kelas bawahan adalah kurang tepat berdasarkan hujah yang saya bentangkan. Wasallam!.


KANGKONG.... GORENG BELACAN...
MEMANG ENAK...IA DIHIDANGKAN...
NASI PUTIH... MAKAN KELAPARAN...
BUAT SENDIRI... KELUARGA MAKAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(20 JamadilAkhir 1435H

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.