Wednesday, April 23, 2014

TIKUMIN - RACUN TIKUS

TIKUMIN 1000 adalah sejenis nama dagangan bagi racun tikus yang dikeluarkan oleh ACM (Agriculture Chemical of Malaysia).  Racun ini amat popular dikalangan pesawah padi dan pengurus estet kelapa sawit di Malaysia sebagai sejenis racun yang berkesan untuk mengawal tikus. Kandungan bahan aktif racun ini adalah Warfarin 1% dijual dalam bentuk umpan (Bait concentrate). Ramai dikalangan petani selain pesawah seperti pengurus ladang kelapa sawit menggunakan racun tikus ini untuk mengurangkan populasi serangan tikus diladang kelapa sawit. Buah kelapa sawit yang hampir masak sering dirosakkan oleh tikus jika tidak dikawal dengan baik. Racun ini lazimnya dibungkus dalam saiz bungkusan 1 kilogram atau 25 kilogram dimana ia menyasarkan jualan kepada pekebun kecil dan juga estet-estet yang luas. Racun ini telah diluluskan pendaftarannya dengan nombor rujukkan LRMP R1/0025 yang juga ada ditulis pada label. Gambar diatas menunjukkan cara pembungkusan racun Tikumin 1000 iaitu mempunyai warna bungusan Kuning Kunyit dan ada gambar tikus tergolek berwarna hitam ditengah-tengahnya.  Pada saya perkataan 'TIKUMIN' mungkin membawa erti sebagai Tikus (Tiku) dan Meninggal (mati - Min) agar petani mudah ingat dan suka membelinya.  Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai racun Tikum 1000 dan bagaimana kita menggunakannya.


Pengurus Ladang Kelapa Sawit merupakan pelanggan penting dalam penjualan racun Tikumin 1000 dipasaran. Jenis tikus yang menyerang buah kelapa sawit adalah Tikus Kebun (Rattus sp.). Serangan tikus ini adalah pada buah kelapa sawit yang masak atau hampir masak serta batang kelapa sawit reput sebagai rumah atau dibawah pelepah kelapa sawit yang dilonggokkan atau dalam tanah. Serangan tikus diladang kelapa sawit jika tidak dikawal dari peringkat awal boleh mengurangkan hasil sehingga 25%. Daripada pemerhatian penulis dibeberapa estet yang mana tanamannya adalah kelapa sawit masih muda, mereka akan menggunakan kaedah cara Kawalan Perosak Bersepadu (Intergrated Pest Management - IPM) iaitu dengan meletakkan Sarang Burung Pungguk Jelapang padi (Tyto alba).  Burung pemangsa ini akan menjadikan tikus pada malam hari sebagai makanannya. Lazimnya kita akan mula mengumpan tikus diladang kelapa sawit dengan Tikumin 1000 pada kadar iaitu satu umpan atau pokok sawit apabila 10 pokok dalam setiap hektar diserang tikus. Seterusnya, hanya 50% daripada jumlah pokok diletakkan umpan. Ganti uncang yang hilang setiap 3 hari sehingga kadar penerimaannya kurang daripada 20%. Ulangi pengumpanan setiap 6 bulan (jika perlu). Kadar bagi penggunaan racun ini adalah sebanyak 20 g atau sebanyak 135 umpan bagi menggantikan jumlah umpan yang dimakan.


Bagi tanaman padi (Oryza sativa) lazimnya tikus sawah (Rattus argentiventus) akan menyerang tanaman padi ketika peringkat padi mula masak. Serangan tikus yang serius boleh menyebabkan kerosakan teruk dimana pesawah tidak mendapat hasil langsung. Penggunaan racun Tikumin 1000 dilakukan dengan meletakkan satu umpan dalam lubang tikus atau pada jarak setiap 6 meter sepanjang batas. Pastikan bahawa umpan tersebut akan dimakan oleh tikus sawah dimana tandanya adalah ianya akan habis jika dimakan. Kadar yang disyorkan oleh ACM adalah disawah padi adalah penggunaan 150 umpan bagi menggantikan umpan yang dimakan. Bagi tanaman TEBU (Saccharum officinarum), lazimnya racun tikus jenama Tikumin 1000 ini akan diletakkan satu umpan dikepala batas atau barisan tebu dengan jarak antara umpan sekitar 10 kaki (3meter). Kadar untuk penggunaan untuk tanaman tebu sebanyak 330 umpan bagi menggantikan umpan yang dimakan oleh tikus. 


Dalam kebun koko (Theobroma cacao) pula serangan oleh tikus (Rattus sp) dengan memakan buah koko adalah perlu dikawal. Tikus akan mengigit buah koko dengan menebuk kulitnya dan memakan isinya (Sila lihat foto sebelah). Serangan tikus berlaku jika kurang sumber makanan lain dalam kebun koko. Simptom serangan tikus macam sama dengan simptom serangan oleh Tupai (Calosiurus spp) dengan memakan buah koko dan ia perlu dikawal. Racun Tikumin boleh digunakan dalam mengawal masaalah ini dengan meletakkan sekitar satu (1) umpan dalam jarak 5 - 6 meter dalam barisan tanaman koko. Walau pun mungkin pembelian racun Tikumin ini mudah, kaedah penggunaan racun ini perlu berhati-hati seperti arahan yang ditulis pada label. Jika berlaku kecuaian oleh pengguna seperti cara meletak dikebun, cara menyimpan dan sebagainya boleh mendatangkan kesan merbahaya kepada petani dan haiwan lain yang termakan umpan tersebut. Oleh itu perlu sentiasa mematuhi peraturan ketika menggunakan racun kimia yang merbahaya ini. Wasallam!.



RACUN TICUMiN... TIKUS SASARNYA...
PRODUK ACM... UMPAN BENTUKNYA...
DIMAKAN TIKUS... WARFARIN ISINYA...
TIKUS KURANG... UNTUNG PASTINYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Sawit Guthrie,
Banting, Selangor,
Malaysia.
(22 JamadilAkhir 1435H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.