Wednesday, November 13, 2013

VARIETI - MANGGIS DIMALAYSIA

MANGGIS (Garcinia mangostana) merupakan sajenis buah-buahan tropika dari keluarga Clusiaceae yang dipercayai berasal dari negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Di Malaysia tanaman manggis diusahakan secara tradisional semenjak dahulu dan ditanam bercampur dengan durian, rambutan, duku dan pokok dusun lain. Jabatan Pertanian merekodkan seluas 7,414 hektar (2006) kawasan tanaman manggis di Malaysia dengan pengeluaran 28,900 metrik telah menurun kepada seluas 7,390 hektar pada tahun 2012 dengan pengeluaran sebanyak 28,350 metrik tan. Negeri Perak, Selangor dan Johor merupakan negeri yang banyak menenam pokok manggis selain daripada Pahang. Daerah Batang Padang di Perak menanam paling luas tanaman manggis (340 ha) diikuti Daerah Hulu langat Selangor (300 ha) dan Daerah Segamat , Johor (288 ha). Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti manggis yang didaftarkan di Malaysia untuk dibuat rujukan peminat tanaman manggis, penyelidik dan pelajar serta pihak berkenaan.


Manggis ialah sejenis tumbuhan saka yang tumbuh dengan lambat dan melalui tempoh produktif yang lama. Kanopi pokok manggis padat dan berbentuk piramid. Pokok dewasa mencapai ketinggian 10-25m dan garis pusat batang 25-35cm. Pertumbuhan yang lambat disebabkan oleh sistem akar yang lemah, mudah rosak dan tumbuh dengan lambat. Sistem akar ini terdiri daripada akar tunjang yang panjang, akar sisi yang tidak begitu banyak serta ketiadaan akar rambut sepanjang peringkat awal pertumbuhan. Pokok manggis yang ditanam daripada biji biasanya mula berbuah ketika berumur 8 tahun, tetapi pokok-pokok yang dijaga dengan rapi mula berbuah 5-6 tahun selepas ditanam.

Pokok manggis yang matang mampu berbuah antara 100 - 3,000 biji bergantung kepada pengajaan dan umur pokok. Biasanya pokok manggis berbuah selepas musim hujan. Pemerhatian di Segamat mendapati pokok berumur 2-3 tahun mampu berbuah sebanyak 1.2 metrik tan sehektar/tahun dan meningkat kepada 7 mt/ha/tahun pada tahun ke 12-13. Pokok berumur 19-20 tahun pula sebanyak 22 mt/ha setahun dan pokok dewasa berumur 25 tahun mampu berbuah sebanyak 28 mt hektar setahun. Buah manggis yang masak dikenali dengan warna ungu gelap dan di kutip samada mengutip dengan tangan semasa panjat pokok atau gunakan galah panjang yang ada karung penampan buah. Buah manggis yang jatuh ketanah akan pecah dan rosak dan mudah busuk. Buah dikumpulkan dibersihkan dan digredkan mengikut saiz. Bagi jualan segar tempatan ditepi jalan buah manggis dijual secara longgok atau diikat dengan tali secara tersusun (Lihat foto disebelah). Bagi pasaran ekspot seperti ke Jepun perlukan proses yang lebih rumit lagi. 



Jadual 1 diatas menunjukkan hanya ada 3 varieti manggi yang dikenalpasti di negara kita iaitu GA1 (Manggis tanpa biji), GA2 (Mesta) dan satu lagi varieti yang masih belum didaftarkan dipanggil sebagai 'Manggis Tempatan'. Manggis varieti GA1 ini didaftarkan pada tahun 1991 dengan tempat asal daftar di negeri Kedah. Manggis GA2 pula adalah jenis manggis 'Varieti Mesta' yang memang berasal di Pahang (Khususnya kawasan sepanjang Sungai Pahang) dekat Temerloh didaftarkan pada tahun 1993. Manggis Tempatan yang belum didaftarkan ini belum dapat dibezakan dengan manggis varieti GA1 dari segi penciriannya kerana ia merupakan varieti yang paling banyak ditanam. Saya ada menulis artikel mengenai Manggis (Sila Klik disini) dan Mesta (Sila Klik disini) serta masaalah Gamosis Buah Manggis (Sila Klik disini) untuk pembacaan lanjut. Mereka yang berminat menanam manggis secara komersil boleh berhubung dengan agen pengembangan pertanian. Wasallam!


Buah Manggis yang manis isinya di Temerloh, Pahang.
BUAH MANGGIS..SEDIKIT VARIETINYA...
HANYA TIGA .. DIMANA BIAKBAKANNYA...
PERAK, SELANGOR... JOHOR ADANYA...
WALAU BERMUSIM...BUAH BERHARGA...

By,
M Anem
Senior Agronomist.
Pusat Pertanian Hortikultur,
Kg Awah, Temerloh, 
Pahang, Malaysia.
(19 Ramadan 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.