Sunday, May 12, 2013

SAMBAL BELACAN - ENAKNYA

SAMBAL BELACAN (Shrimp paste sambal) merupakan satu hidangan sampingan yang biasanya pedas, masin dan dimakan bersama nasi atau pun ulam-ulaman. Sambal Belacan memang sangat popular dikalangan masyarakat Melayu di Malaysia kini telah pun diminati oleh bangsa lain seperti Cina, India, Iban dan lain-lain kaum. Pada masa ini sambal belacan telah dihidangkan di hotel-hotel antarabangsa, restoran-restoran terkenal malahan ia dihidangkan sebagai menu wajib di restoran tomyam ala-Thai. Sambal belacan mempunyai pelbagai jenis dan nama bergantung kepada lokaliti, kegunaan dan bahan asas yang digunakan. Saya dapati ada dipanggil Sambal Belacan Kelantan, Sambal Belacan Tomato, Sambal Belacan Ikan, Sambal Belacan Penang dan macam-macam lagi gelaran. Saya amat suka makan tomyam campur yang dihidangkan dengan sambal belacan dan ulam seperti kacang panjang dan timun direstoran ala-Thai yang terdapat dimerata lokasi. Artikel malam Ahad ini sambil menonton perlawanan bolasepak antara Johor Darul Takzim dengan PKNS di TV Astro, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu teknologi membuat sambal belacan untuk anda.

Sambal belacan juga boleh dicampurkan dengan bahan seperti tempoyak (durian paste) bagi menambah perasa dan kesedapkannya. Bagi mereka yang meminati sambal belacan pedas, lazimnya kita tambahkan cili padi atau juga dikenali sebagai cili api atau cabai burung ketika menyediakan bersama dengan cili besar. Ramai juga yang menambah rasa masam dalam sambal belacan dengan memerah limau kasturi atau limau nipis semasa sambal belacan dihidangkan. Selalunya sambal belacan akan dihidangkan sengan ulam-ulaman seperti timun, kacang panjang, ulam raja, daun selom, pucuk gajus, pucuk tenggek burung, terung pipit, pegaga, jantung pisang rebus dan macam-macam lagi (Lihat foto sebelah). Sambal belacan memang enak dimakan dengan ulam bersama nasi panas  bersama laun pauk yang lain.

Bahan-bahan yang perlu ada untuk membuat sambal belacan adalah seperti Cili Besar, Cili Padi, Buah Tomato, Bawang Kecil, Belacan, Asam Jawa, Garam, Gula dan Limau Nipis. Bahan-bahan tersebut disediakan secukupnya (Lihat foto sebelah). Penyediaan sambal belacan secara tradisional adalah menggunakan lesung batu sementara teknik moden adalah dengan menggunakan pengisar eletrik (Blender). Pada saya sambal belacan yang dibuat dengan lesung batu (Foto atas sekali) adalah paling sedap rasanya kerana memang berbeza dibandingkan dengan sambal belacan dikisar dengan blender.  Ini kerana cara penyediaan belacan dalam lesung batu dapat melumatkan bahan-bahan asas tersebut dan rasanya asli kerana tidak dicampur dengan air seperti cara menggunakan blender.

Bagi menghasilkan sambal belacan yang enak, sebaiknya bawang merah dikupas dan digoreng bersama cili api atau cili besar sehingga agak layu. Kalau tidak mahu goreng berminyak, kita boleh bakar diatas bara api sehingga agak layu. Bersihkan lesung batu dan alu lesung sehingga bersih dan keringkan. Masukkan cili besar atau cili padi dan bawang yang digoreng tadi bersama belacan kedalam lesung. Campurkan bahan lain seperti garam, gula dan ditumbuk sehingga lumat. Apabila semua telah lumat atau sebati kita akan dapat lihat adunan seperti pes yang menarik. Perahkan air limau atau asam jawa mengikut sukatan yang sesuai. Bagi menyediakan sambal belacan menggunakan blender pula, masukkan semua ramuan tersebut kedalam bekas blender dan kisar sehingga lumat. Lazimnya sedikit air masak dicampurkan untuk memudahkan proses pengisaran. Keluarkan kedalam bekas sambal dan perahkan dengan air asam jawa atau limau nipis sebelum dihidangkan. Enaknya makan nasi tengahari dengan nasi panas dan ulam-ulaman ketika perut lapar. Wasallam!


SAMBAL BELACAN...ENAKNYA....
CILI PADI... AMAT PEDAS RASANYA...
BELACAN ...TRADISIONAL MENUNYA...
WAKTU MAKAN ...PEMBUKA SELERA...

By,
M Anem
Room 205, Hotel Dragon Court,
Senai, Johor,
Malaysia
(3 Rejab 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.