Monday, May 13, 2013

MADU KELULUT - KHASIATNYA (Part 1)

KELULUT (Trigona spp) merupakan sejenis serangga dari keluaarga Apidae yang terdapat di negara kita dan dikawasan tropika diseluruh dunia sebagai sejenis lebah yang mampu menghasilkan manisan madu. Serangga kelulut ini tidak menyengat dan bersaiz kecil iaitu lebih kecil daripada lalat. Ia adalah bukan pokok Kelulut (Urena lobata) pula merupakan sejenis tumbuhan jenis herba yang mudah didapati dikawasan tanah terbiar dimana antara khasiat buah kelulut untuk perubatan sakit gigi serta sebagai ramuan ubat periok. Serangga Kelulut juga di panggil sebagai 'Stingless Bee'  yang mempunyai 33 spesis di Malaysia dimana sebanyak 21 spesis terdapat di Semenanjung Malaysia dan bakinya hanya berada di Sabah dan Sarawak. Saya dapati belum ramai saintis yang buat kajian mengenai kelulut. Usahawan serta teknologi menternak kelulut di negara kita yang juga masih kurang kerana ianya masih dianggap sebagai serangga liar yang hidup dalam habitat semulajadi. Bagaimana pun dengan promosi hebat mengenai khasiat madu lebah kelulut yang dipaparkan didalam akhbar perdana dan pameran pertanian, kini telah ramai  yang berminat untuk mendapatkan teknologi menternak lebah kelulut dan ingin membeli koloni induk lebah kelulut. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat pada Madu Kelulut yang mana ia merupakan antara jenis madu yang ada dipasaran berdasarkan pengalaman, kajian persendirian dan juga rujukkan daripada beberapa lamanweb.


Madu Kelulut mempunyai warna  yang lebih jernih berbanding madu hutan biasa daripada lebah tualang (Apis dorsata) dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Ia dihasilkan oleh lebah kelulut yang kecil berwarna hitam dimana kelulut agak paling istimewa kerana ia jenis lebah yang saya pasti tidak menyengat (Lihat foto sebelah). Madunya didakwa mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik dan sangat berguna dalam bidang perubatan serta untuk kesihatan. Apa yang saya faham, madu kelulut berasal daripada himpunan nektar dari sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia. Berbanding dengan lebah yang lebih besar, kelulut mampu masuk hingga kedalam kuntum bunga jauh kedalam walau pun ia terbang lambat. Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan tempatan dan luar negara. Saya pernah mengajar ilmu mengenai ternakan lebah madu iaitu Lebah Keran (Apis cerana) selama 10 tahun ketika bertugas di Negeri Melaka dan Johor dahulu (Lihat foro dibawah). Apa yang saya dapat baca adalah mendapati bahawa khasiat madu kelulut memang mampu meningkatkan proses metabolisma badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawati pelbagai penyakit serta kecederaan dalaman.


Lebah Keran (Apis cerana)
Sama seperti Lebah Keran (Apis cerana) atau Lebah Tualang (Apis dorsata) dan Lebah Impot (Apis melifera), saya dapati Lebah Kelulut (Trigona spp) juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti produk antioksidan yang tinggi. Apa yang saya kaji, madu dari Lebah Kelulut rasanya agak masam sedikit berbanding madu biasa yang warnanya lebih cerah. Madu kelulut juga dijual dengan harga lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana kekurangan bekalan (Belum banyak penternak) dan penghasilan madu amat sedikit oleh setiap koloni yang mampu menghasilkannya. Ia juga agak sukar dibeli dipasaran biasa. Beberapa laporan menyatakan, ada beberapa penyakit yang dilaporkan sembuh melalui kaedah rawatan tradisional yang mengunakan hasilan lebah kelulut. Ini termasuk Penyakit seperti Diabetis mellitus (kencing manis), Strok, Hepatitis (Hati), Kanser, Hipentensi (Darah Tinggi) dan Batu Karang. Dilaporkan juga hasil penyelidikan itu telah memberi nilai tambah kepada madu kelulut dan madu lebah tempatan yang menyebabkan permintaannya telah melebihi bekalan. Madu lebah diketahui mengandungi bahan anti-oksidan yang tinggi dan ia amat baik untuk kesihatan. 


Kajian khusus telah dilakukan oleh saintis di MARDI dan Universiti Malaya dimana hasilnya telah menunjukkan madu kelulut mempunyai nilai dalam perubatan tertentu. Kajian awal yang dilakukan MARDI Serdang menunjukkan bahawa kandungan Asid fenilpropanaoik, Asid protocatechuik dan juga bahan seperti Asid 4-hidroksifenilasetik adalah di antara bahan utama yang telah berjaya dikenalpasti berada dalam madu kelulut. Bahan-bahan ini tergolong dalam kumpulan Asid fenolik bebas dimana kehadirannya dalam madu kelulut memberikan jumlah keseluruhan sebanyak (g/g) daripada berat kering. Asid fenolik bebas merupakan bahan aktif yang boleh bertindak sebagai antikanser dan antioksidan. Laporan juga mendapati bahan ini lebih mudah untuk diserap dalam tubuh manusia berbanding bahan aktif lain seperti flavonoid. Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) juga telah merekodkan secara khusus yang madu memang mempunyai khasiat dari segi perubatan. Kajian makmal yang telah dilakukan ke atas tikus yang telah disuntik dengan diabetes menunjukkan, madu berupaya menurunkan glukosa dan ia mampu mengurangkan kerosakan fungsi ginjal dan dapat mengurangkan stress aksidatif. Selain itu kajian pada tikus yang telah di buang ovari untuk kajian menapous menunjukkan, madu dapat mengurangkan atrofi pada uterus dan vagina serta meningkatkan ketebalan trabekular tulang. Ini bermakna ia selalunya akan membantu manguatkan tulang melalui penyerapan kalsium. Khasiat madu kelulut memang amat baik walau pun harganya agak tinggi berbanding dengan madu lebah tempatan atau pun madu impot. Dapatkan bekalan madu kelulut dari penternak yang betul.
Bersambung kepada artikel Madu Kelulut (Part 2).
Wasallam!

MADU KELULUT...GELAP WARNANYA...

ADA YANG PUTIH..JARANG JUMPANYA...
BANYAK KHASIAT... PERLU MAKANNYA...
BADAN SIHAT... LEBIH LAMA USIANYA...

By,
M Anem
Pusat Pertanian Pulau Gadong,
Melaka Tengah,
Melaka, Malaysia.
(5 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.