Friday, January 11, 2013

KOPI TAHI MUSANG

KOPI TAHI MUSANG (Coffea spp) atau juga dipanggil "Civet Coffee" adalah sejenis kopi yang popular dikalangan peminat kopi di rantau Asia Tenggara malahan di negara Eropah dan USA. Kopi ini dihasilkan melalui satu proses semulajadi dimana biji kopi yang di makan oleh musang atau di Indonesia dipanggil 'Luwak' dan dikeluarkan semula sebagai najis. Kopi Luwak ini sebenarnya di proses secara fermentasi didalam perut haiwan tersebut. Bahagian lain kopi seperti kulit dan lendir akan dihancurkan tetapi biji kopi akan terus dalam bentuk asal ketika dikeluarkan melalui najis. Proses untuk menyediakan serbuk dari biji kopi lazimnya dibuat secara tradisional melalui proses fermentasi biasa dan diproses sehingga menjadi serbuk kopi. Aktiviti menternak musang didalam kurungan dan diberi makan buah kopi, air dan makanan lain antara teknologi didalam penghasilan kopi ini. Saya belum pernah minum kopi tahi musang atau mungkin pernah minum tanpa disedari ketika melawat Indonesia beberapa kali. Kalau terpandang kopi tahi musang yang dijual di kedai atau airport pun rasanya belum teringin hendak membelinya. Tidak mengapalah itu, yang penting artikel kali ini saya minat untuk menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai Kopi Tahi Musang untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita terutama orang Malaysia yang meminati produk istimewa ini.


Tanaman kopi memang satu bentuk tanaman minuman yang telah dipopularkan sejak dulu kala walau pun keluasan tanaman kopi kini di Malaysia terus menurun dengan amat drastik. Buah kopi yang masak boleh diproses melalui kaedah fermentasi secara biasa untuk dijadikan serbuk kopi. Kopi Tahi Musang yang diproses secara tradisional berlaku dimana biji kopi masak yang telah gugur diatas tanah di Indonesia akan dibiarkan untuk di makan oleh musang dikawasan kebun. Petani akan mengutip tahi musang tersebut dimerata kebun dan dikumpulkan. Tahi musang ini kemudan dibersihkan, dijemur, digoreng tanpa minyak (sangan) dan dihancurkan sehingga menjadi serbuk kopi. Menurut beberapa dakwaan oleh mereka yang meminati kopi ini, ianya lebih enak dan ada rasa kelainan daripada kopi yang diproses melalui cara konvensional. Selain daripada aromanya yang agak berbeza, rasa macam lemak, pahit dan kepekatannya juga amat memberangsangkan. Kopi ini dijual dengan harga lebih tinggi daripada kopi tahi musang yang dihasilkan melalui ternakan musang didalam kandang. Musang ini hidup liar dengan makan pelbagai makanan lain dan bebas bergerak didalam kebun.


Berbeza dengan cara menyediakan kopi tahi musang secara tradisional dan liar, kaedah moden dengan kutip biji kopi yang masak dan dikumpulkan untuk dijadikan makanan musang. Musang (Civet) jenis 'Musang Kelapa' dikatakan paling sesuai diletak didalam kurungan atau kandang dan diberi makan biji kopi dan makanan buah-buahan lain. Kandang yang dibuat mempunyai lantai jarang dan tahi musang akan turun jatuh kebawah dan dikumpulkan didalam bekas khas. Najis ini akan dibersihkan dengan membasuh, dijemur, disangan dan kemudian dijadikan serbuk kopi. Beberapa saintis di Eropah dan USA telah membuat kajian dimana katanya kandungan protin dari biji kopi masak ranum didalam perut musang agak tinggi didalam kopi tahi musang. Ini adalah satu perkara yang menyebabkan kelazatan kopi tersebut dijual sehingga mencecah harga USD 50 USD satu paket (yang original). Di Eropah dilaporkan hidangan kopi tahi musang yang dihasilkan di Indonesia dijual dengan harga USD 40 - USD 50 secawan!. 


Aktiviti ini merupakan satu aktiviti menghasilkan biji kopi tahi musang untuk pasaran khusus (Niche market). Pengeluaran kopi ini memang amat terhad kerana bukan mudah untuk mendapatkan kuantiti yang banyak. Kopi Tahi Musang atau Kopi Luwak memang sangat kurang bekalannya berbanding dengan kopi yang diproses menggunakan teknologi moden sekarang. Peghasilan kopi tahi musang ini dibungkuskan dengan bungkusan menarik (Lihat Foto Sebelah) dan dipasarkan dengan harga tinggi. Antara negara yang ada mengekspot kopi tahi musang adalah Indonesia, Vietnam dan Filipina. Beberapa akhbar tempatan dan Indonesia telah menyatakan hukum kopi tahi musang adalah 'HARUS' bagi orang Islam. Ini kerana ia masih dianggap najis walau pun biji kopi ini telah dibersihkan dan diproses untuk dijadikan bahan perasa minuman. Kalau anda berpeluang menikmati kopi tahi musang agak 'mengelikan' hendak minum. Oleh itu cara terbaik yang saya dapat gunakan ialah dengan minta secawan minuman "Civet Coffee' , baru ada class bunyinya! 


Ini dia secawan 'Civet Coffee'.
By,
M Anem
Kg Gulang-gulang,
Batu Pahat,
Johor,
Malaysia.
(29 Safar 1434H).








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.