Saturday, May 19, 2012

PETIK DAN EKSPOT BUAH DURIAN

DURIAN (Durio zibethinus) merupakan sejenis buah-buahan tropika yang sangat popular di kebanyakan negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei dan sebagainya. Buah Durian di gelar 'King of the Fruit' sementara buah Manggis (Garcinia mangostana) pula di gelar 'Queen of the Fruit'. Buah durian kini telah diekspot keluar negara seperti ke China, Hong Kong, Jepun, Asia Barat malahan ke Eropah oleh beberapa negara pengekspot utama durian seperti Thailand, Malaysia dan Indonesia. Saya berpeluang melawat negera Thailand dari 8 - 14 Mei 2012 dan meninjau bagaimana buah durian Thailand di ekspot dengan kuantiti yang banyak dan kualiti yang terjamin untuk pasaran antarabangsa.  Teknologi dan amalan yang dijalankan dari peringkat ladang, amalan agronomi , pengauan hasil, aktiviti lepas tuai dan peroses pengekspotan di Thailand memang canggih dan patut dijadikan contoh kepada negara-negara lain dam industri buah-buahan tropika. Artikel petang ini saya menulis artikel dalam "Anim Agro Technology" mengenai pengalaman saya berkaitan teknologi memetik buah durian dan proses pembungkusan durian untuk ekspot.

Petani panjat untuk potong buah
Sebelum saya ke ladang durian di Chantaburi, Thailand memang sukar hendak bayangkan bagaimana durian di petik dari pokok yang tinggi (Durian kampong tempatan di Malaysia tingginya sampai lebih dari 150 kaki). Kebun komersil durian di Chantaburi yang dilawati menanam durian jenis Chanee, Kan Yau dan Munthong serta bercampur dengan pokok dokong, manggis dan pisang seluas 4 hektar. Kebanyakan pokok durian dikebun ini mempunyai ketinggian tidak melebihi 60 kaki dan purata ketinggian sekitar 30 - 40 kaki sahaja. Petani menjalankan program cantasan pembentukkan dari peringkat awal penanaman dan cantasan penjagaan sepanjang masa. Cantasan Pucuk (Topping) juga dijalankan mengikut kesesuaian. Pokok varieti yang ditanam tidak mempunyai dahan merimbun semulajadi seperti di negara kita kerana sering di cantas. Program amalan agronomi ladang dijalankan mengikut standard yang disediakan seperti membaja, mengawal rumpai, sistem pengairan (Micro jet dan drip), kawalan perosak dan penyakit dan aktiviti penuaian.

Petani mampu mengira bila bunga berkembang dan umur putik serta bila masa yang sesuai untuk memetik buah durian diatas pokok. Apabila telah dikenal pasti buah sesuai dipetik, tangga buluh (ketinggian ikut kesesuaian pokok) di letakkan dipangkal pokok dan petani akan menaiki tangga tersebut dengan membawa pisau tajam. Tangkai durian akan dipotong pada paras dahan dan buah akan di turunkan. Dua kaedah menurunkan buah adalah dengan menggunakan tali dan karung, Satu lagi cara dengan menjatuhkan buah dan di tampan dengan guni oleh orang di bawah agar tidak jatuh ketanah. Kajian saya mendapati mereka mengambil masa 10 -15 minit sahaja untuk memetik satu dahan buah durian. Tangkai durian dipastikan tidak patah semasa menurunkan buah kerana bagi pasaran ekspot ianya manjadi satu indikator penting. Buah durian ini dikumpulkan dan di gredkan mengikut saiz, warna, tahap kematangan dan juga aroma (Kurang berbau kerana belum masak ranum). Saya ngeri juga tengok gaya buah durian di tampan dengan guni di bawah...kalau tersilap dan  jatuh atas kepala!!!

Buah durian yang masak di kumpulkan di pusat pengumpulan hasil di kampong tersebut yang mana mengumpulkan segala buah dari ladang. Buah ini dimasukkan dalam pick-up dan dihantar ke Pusat Pengekspotan atau Pengedaran buah Durian.  Setibanya di pusat buah akan diturunkan dan di campak kepada 2 orang pemeriksa yang pakai sarung tangan tebal di tangan kiri. Setelah di teliiti dan di periksa buah tersebut di masukkan dalam bakul. Terdapat 3-4 bakul disusun di atas lantai dimana bakul A untuk buah kualiti Ekspot, Bakul B untuk buah pasaran tempatan (Gred yang rendah dan tidak diekspot) dan Bakul C untuk buah yang ditolak (Reject). Setiap bakul akan ditimbang dihadapan tuannya ikut gred tadi. Buah durian ini di bawa ke tempat merendam dalam larutan berwarna kuning pekat. Kata towwkey larutan tersebut adalah campuran air kunyit dan bahan lain yang menjadi rahsia mereka. Buah di toskan sehingga kering dalam susunan seperti piramid yang panjang. Buah untuk pasaran tempatan akan dinaikan lori atau pick up lain untuk dijual di Bangkok atau kawasan lain.

Apabila buah yang dicelup selama 3-5 minit dalam larutan kuning tadi kering, buah tersebut akan ditimbang setiap biji dan ditandakan dengan pelekat akreditasi daripada Jabatan Pertanian Thailand yang mengesahkan kualiti ekspot. Buah ditimbang setiap satu untuk di genapkan sekitar 20 kg satu kotak. Tangkai buah akan di potong sedikit dan di sapu dengan bahan kimia agar tahan lama dan di tampal plastik kualiti berwarna kuning. Satu baku lazimnya mempunyai 4 biji durian dan akan dimasukkan kedalam kotak yang dilapik dengan kertas kotal tebal. Setiap kotak akan di label dan di sita dengan kuat. Kotak-kotak ini terus di masukkan kedalam kontena yang ada penghawa dingin dan terus di hantar ke Lapangan Terbang untuk dihantar terus keluar negara setelah proses karantin diselesaikan. Pengguna di lluar negara akan mendapat buah durian yang masak ketika membelinya. Pengalaman saya melihat kecekapan pengeluaran durian di Thailand dari aktiviti penjagaan kebun durian sehingga pasaran ekspot amat mengkagumkan. Inilah catitan dari Anim Agro Technology untuk di kongsi bersama anda.
Wasaalam.

PETIK DURIAN...DULU PELIK BUNYINYA..
DAPAT TENGOK...PERCAYA DIBUATNYA....
DURIAN DI GRED...EKSPOT PASARANNYA...
SAMPAI KL...SE KILO >RM 10 HARGANYA....

By,
M Anem

Room 302, Caesar Palace Hotel,
Pattaya, Thailand.
(24 Jamadil akhir 1433H)



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.