Tuesday, August 16, 2011

IKAN PUYU

IKAN PUYU (Anabas testudineus) merupakan spesies ikan air tawar yang paling lasak dari keluarga ANABANTIDAE yang mudah didapati dinegara kita. Ikan ini dikenali sebagai ‘Climbing Perch’ kerana sifat semula jadinya yang tahan lasak dan mampu bertahan dan berpindah kekawasan lain. Saya memang minat menangkap ikan puyu di sawah atau tali air serta sungai kecil di kampong saya di Muar, Johor semasa remaja dulu pada tahun 1970’an. Ikan puyu menjadikan habitat utama dikawasan air tawar disekitar kampong dan sawah padi. Ikan puyu yang bersisik dan bersirip keras memudahkan spesies ini bergerak di atas tanah yang berair. Saya masih ingat pada ketika tertentu pada musim hujan kebanyakan ikan puyu berhijrah dan akan memanjat tebing sungai mencari lopak air yang lain. Ia paling layak digelar spesies yang suka berhijrah. Spesies ini juga mampu bertahan tanpa air hingga beberapa jam. Artikel subuh 16 Ramadan 1434H ini saya menceritakan dalam "Anim Agro Technology" mengenai ikan puyu berdasarkan pengalaman penulis semasa muda dahulu dan pembacaan dari beberapa buku.

Spesies ikan puyu biasanya hidup secara berkumpulan didalam lubuk atau kolam yang mempunyai air bersih secara semula jadi. Ikan ini mudah terancam oleh aktiviti-aktiviti penangkapan ikan seperti aktiviti menjaring, pukat, jala, tuba dan aktiviti memancing yang keterlaluan (tanpa mengamalkan kaedah 'tangkap dan lepas' bagi yang bersaiz kecil). Pada masa kini telah ada teknologi untuk menternak ikan puyu secara komersial dijalankan iaitu dengan cara menggunakan kolam simen atau kanvas dan paling sesuai dalam kolam tanah. Teknologi penternakan ikan puyu boleh dipelajari melalui kursus penternakan ikan air tawar dianjurkan oleh Jabatan Perikanan atau melalui lawatan pensendirian ke projek ternakan ikan puyu di dalam negara atau luar negara. Thailand dilaporkan menjalankan penternakan ikan puyu dengan agresif dikawasan sawah padi sebagai sumber pendapatan tambahan. Penternakan ikan puyu cara moden menggunakan bahan makanan daripada pelet makanan ikan komersil.

Ikan puyu popular dikalangan penduduk di Utara Semenanjung Malaysia untuk dibuat Pekasam selain daripada digoreng rangup dan dimakan dengan nasi putih. Kalau pada masa dulu hanya orang-orang Melayu dan Siam yang meminati ikan puyu tetapi sekarang harga ikan puyu pun telah mahal disebabkan permintaan tinggi oleh Orang Bangladesh yang bekerja di Malaysia. Pendek kata kalau ada jualan ikan puyu segar di pasar malam atau pasar basah, warga Bangladesh sanggup berbaris untuk mereka membelinya. Kajian saya dibeberapa lokasi mendapati harga ladang ikan puyu sekitar RM 7.00 – RM 9.00 sekilogram sementara harga runcit dalam lingkungan RM 10.00 – RM 15.00 sekilogram. Harga ini jauh lebih mahal atau tinggi berbanding dengan harga semasa zaman saya kecil dulu iaitu cuma RM 1.00 sekilogram….itu pun kalau ada orang nak beli!. Permintaan untuk ikan puyu kini semakin meningkat kerana ramai pekerja luarnegara daripada Indonesia, Vietnam dan Bangladesh yang suka akan ikan ini. Mereka lazimnya makan dengan nasi putih.

Kajian saya juga menunjukkan ikan puyu yang sesuai untuk dijual bila saiz ikan sekitar 180 – 250 gram seekor. Jika ikan terlalu kecil atau terlalu besar agak sukar diterima pasaran tetapi yang penting adalah kesegaran dan keseragaman ukuran. Semasa saya melawat projek ternakan ikan puyu di Kedah, saya dimaklumkan ikan ini akan matang dalam masa 120-150 hari bergantung kepada saiz benih, pemberian makanan dan cara pengurusan air. Sementara itu didapati ikan puyu jantan purata beratnya cuma 150 gram seekor berbanding ikan puyu betina yang bersaiz lebih berat iaitu sekitar 180-250 gram seekor. Kajian menunjukkan dalam satu populasi sebanyak 60% adalah ikan puyu betina dan 40% adalah terdiri dari ikan puyu jantan. 

Dalam membuat rujukan dan teknologi cara menternak ikan puyu di Thailand semasa saya berkursus di Kyusei Nature Farming Institut di Saraburi, Bangkok pada tahun 2006 mendapati pemberian sejenis hormon khas membantu meningkatkan peratus ikan puyu betina. Hormon ini diberikan semasa anak ikan puyu dilepaskan didalam kolam tanah yang dibina bagi tujuan penternakan ikan puyu secara komersil. Kepadatan yang disyorkan di institute tersebut adalah sebanyak 3 – 4 ekor setiap sekaki persegi. Kolam yang dibuat berukuran 40 kaki x 100 kaki dengan kedalaman air 3-4 kaki mampu menampong sebanyak 10,000 – 12,000 ekor ikan puyu. Ikan puyu yang dipelihara adalah ikan puyu siam yang saiznya agak lebih besar sedikit daripada ikan puyu tempatan yang ada di Malaysia.

Pemerhatian saya mendapati ikan puyu nampak mudah untuk diternak kerana faktur ketahanan nyawa, tahan lasak, sussh mati, 'air breather' dan juga ikan ini makan apa sahaja makan yang diberikan. Teknologi kini lebih mudah dan cepat membesar dengan formulasi makanan ikan komersil di pasaran seperti keluaran Syarikat Cargill dan Gold Coin dalam bentuk pellet atau butiran (floated granules). Lazimnya semasa anak ikan baru masuk kedalam kolam pembesaran mesti diberi makan secukupnya iaitu 4-5 kali sehari menjadikan kadar pembesaran sehingga 20% dari berat badan. Kaedah ini perlu dijalankan selama 2-3 minggu pertama.

Keadaan pemberian makanan pada umur 2-3 minggu pertama adalah kritikal untuk memberi makan sebanyak 4-5 kali sehari kerana ikan puyu adalah sejenis ikan karnibal yang akan makan anak puyu lain atau anak ikan lain didalam kelompok dikolam. Pemberian usus ayam, baja ikan dan lain-lain bentuk makanan selain daripada pellet dapat membantu mengurangan isu karnibalism dimana cara ini mampu mengurangkan sehingga 50% dari jumlah populasi jika tidak di kawal. Pengalaman penternak menunjukkan selepas sebulan buatlah aktiviti pengredan atau pemilihan ikan puyu dimana kita perlu mengeluarkan ikan puyu jantan kerana apabila sampai peringkat matang ianya susah membesar seperti ikan betina. Bagi meningkatkan bilangan telur pada puyu betina perlu berikan makan berlemak dan berminyak bangi meningkatkan penghasilan telur dan seterusnya anak ikan puyu.

Terdapat kepercayaan dalam kalangan masyarakat Melayu yang mana ikan puyu mampu menghalang gangguan makhluk halus seperti gangguan toyol dan jin. Kerana itu, masyarakat Melayu lama memelihara spesies ini di dalam rumah untuk tujuan itu. Sebenarnya ikan puyu memang sesuai dijadikan ikan akuarium walau pun warna dan bentuknya tidak cantik seperti ikan guppy, ikan laga dan ikan hiasan yang lain. Ikan ini tidak mudah mati walau pun system pengudaraan akuarium tidak berfungsi untuk beberapa hari. Jika dicampur dengan ikan lain dalam akuarium….maka nahaslah ikan tersebut kerana menjadi habuan ikan puyu!.


IKAN LASAK...ITU IKAN PUYU....
DALAM PAYA...IA BERTUMPU...
HARGA MAHAL...BELI TAK MAMPU...
KINI DITERNAK...TEKNOLOGI BARU...
By,
M Anem
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Serdang,
Selangor
Malaysia
(Subuh 4.15 pagi; 16 Ramadan)
Kemaskini pada 26 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.