Wednesday, August 17, 2011

PENYAKIT MATIROSOT BETIK

Penyakit Mati Rosot Betik atau Papaya Dieback Disease adalah sejenis penyakit disebabkan oleh Bakteria yang di kesan di Malaysia pada tahun 2003. Penyakit ini menyerang pokok betik (Carica papaya) di Negeri Johor, Melaka dan Perak sehingga menyebabkan industrI pengeluaran betik untuk pasaran domestik dan ekspot terjejas teruk. Anggaran kerugian akibat penyakit ini sehingga tahun 2010 adalah sebanyak lebih RM 30 juta dan dijangka akan meningkat jika kawalan tidak dibuat. Pengalaman saya sebagai Pegawai Pertanian Daerah Muar pada masa itu terlibat terus dengan proses mengenalpasti, membuat penerangan kepada pekebun dan membuat kawalan berlandaskan kepada peraturan dibawah akta terlibat. Keluasan serangan pada waktu tersebut seluas lebih 805 hektar daripada 65% kawasan penanaman betik yang telah di banci. Kawasan Pagoh merupakan salah satu kawasan penanaman betik yang luas di Malaysia selain daripada Daerah Batu Pahat dan Segamat di Johor. Artikel subuh 17 Ramadan ini saya akan mempaparkan dalam "Anim Agro Technology"  penyakit Mati Rosot Betik berdasarkan pengalaman yang ada dan membuat rujukan kepada risalah-risalah teknikal Jabatan Pertanian yang diberikan.


Patogen penyebab telah dikenalpasti dan disahkan sebagai bakteria Erwinia papayae (famili Enterobacteriaceae) (Rujuk: New Disease Reports – Erwinia papayae causing papaya dieback in Malaysia) .Erwinia papayae telah dilaporkan menyebabkan penyakit ’bacterial canker’ dan ’stem canker’ pada betik di Perancis, US Virgin Islands, Venezuela, Mariana Islands dan French West Indies. Erwinia sp telah dilaporkan menyebabkan penyakit ’Papaya decline’ di rantau Carribean dan beberapa negara lain.

Antara tanda serangan adalah seperti berikut :- 


a) Daun
i) Terdapat lecuh basah yang berminyak (greasy water-soaked lesion) dan nekrotik pada tepi dan hujung daun.
ii) Bahagian tepi daun dan sepanjang urat daun menjadi nekrotik kehitaman, layu dan kering.
iii) Pangkal daun nekrotik dan genting menyebabkan daun terkulai.

b) Pucuk
i) Simptom awal pada bahagian pucuk ialah terdapat lecuh basah (lesion water-soaked) pada tisu lembut antara pucuk dan pangkal pelepah daun.
ii) Serangan teruk menyebabkan bahagian pucuk reput dan terkulai dan akhirnya pokok mati rosot (dieback).

c) Pelepah daun
i) Terdapat simptom lecuh basah (lesion water-soaked) pada pelepah yang bermula dari pangkal daun.
ii) Tanda nekrotik, lecuh basah (water-soaked) dan reput pada pangkal pelepah dan akhirnya daun terkulai.

d) Buah
i) Tompok-tompok hitam pada buah muda bermula dengan satu bintik perang kehitaman kecil yang kemudiannya membesar dan merebak.
ii) Pada peringkat serangan yang teruk, terdapat serangan kulat (patogen sekunder) pada buah yang diserang.
iii) Terdapat lecuh basah (water-soaked) pada isi buah betik yang dibelah.

e) Batang
i) Simptom awal pada bahagian batang, kelihatan lecuh basah (lesion water-soaked)
ii) Apabila serangan teruk, simptom nekrotik kelihatan pada bahagian batang dan merebak ke tisu dalam batang.

Antara tanda-tanda atau simptom serangan penyakit Papaya Dieback yang saya jumpa disekitar Pagoh masa membuat pemantauan iaitu dari peringkat awal hingga peringkat serius adalah seperti berikut :-
1. Daun lecuh basah (water-soaked) pada tepi dan hujung daun. Urat daun dan sepanjang urat daun menjadi nekrotik kehitaman.
2. Pucuk lecuh basah (water-soaked) dan nekrotik kehitaman pada bahagian antara pucuk dan pelepah. Pucuk kemudian reput dan terkulai.
3. Tompok-tompok hitam pada kulit dan lecuh basah (water-soaked) pada isi buah.
4. Pelepah daun lecuh basah (water-soaked) dan nekrotik kehitaman pada bahagian hujung pelepah. Daun akhirnya terkulai.
5. Batang lecuh basah (water-soaked)


Dalam memberikan penerangan kepada penanam betik, kaedah menjalankan konsep Amalan Pertanian Baik (APB) perlu sentiasa dijalankan. Antara langkah-langkah kawalan yang disyorkan adalah seperti mengelakkan menanam tanaman betik di kawasan yang telah mengalami serangan penyakit Papaya Diebak untuk selama satu tahun. Ini kerana bakteria yang menyerang betik masih terdapat dikawasan tersebut. Kaedah kawalan kedua yang disyorkan adalah dengan mempastikan pokok betik yang diserang dan pokok-pokok di dalam lingkungan 5-10 meter diameter dipotong, disembur racun rumpai dan dimusnahkan dengan cara ditanam atau dibakar. Pagarkan kawasan ini dengan tali dan galikan parit lebih kurang 0.3 meter (satu kaki) dalam di sekeliling kawasan ini untuk mengelakkan serangan melalui tanah dan air.


Kaedah langkah kawalan ketiga adalah dengan mempastikan penggunaan biji benih betik yang diambil dari kawasan bebas penyakit Papaya Dieback serta elakkan penggunaan mata tunas dari kawasan yang diserang. Penyakit ini juga disebarkan melalui pembawaan oleh biji benih apa lagi anak benih. Kaedah kawalan keempat adalah dengan menjalankan cara pengurusan rumpai yang baik dapat memusnahkan perumah-perumah sekunder yang boleh menjadi sumber jangkitan patogen di ladang. Kawalan kelima adalah denga mengelakkan atau mencegah penggunaan baja tahi ayam yang tidak reput sepenohnya kerana ini menjadi punca kepada serangan. Paling akhir iaitu langkah kawalan yang ke enam adalah dengan mempastikan tidak berlaku jangkitan daripada ladang yang telah diserang penyakit kepada ladang yang sihat melalui pelbagai cara.


Pemerhatian saya di Pagoh dulu mendapati kemasukkan kenderaan keluar masuk, pelawat dan pekerja lading perlu dikawal dan dihadkan bagi mengelakkan kemungkinan jangkitan penyakit. Kajian di kawasan Batu Pahat oleh Jabatan Pertanian kemasukan lori, bakul dan alatan pertanian dari lading yang berpenyakit telah dengan cepat merebak kekawasan lading sihat dalam masa 1 minggu sahaja. Tanah yang melekat pada tayar lori dan kasut membantu merebaknya penyakit ini. Bagi langkah kawalan perlu diujudkan tapak pencuci yang mengandungi bahan kimia seperti Klorox. Detol dan sebagainya iaitu pembasmi kuman dibuat diladang. Ianya bertujuan mencuci kasut dan tayar lori. Segala alatan lading juga disyorkan untuk dibasuh dengan bahan kimia seperti klorox pada kepekatan 5-10 %. Sebaiknya bakul-bakul mengisi hasil di basuh dengan larutan sama untuk membasmi kuman pembawa penyakit Papaya Dieback yang ada.


Pemantauan dan pengawasan yang rapi dan kerap sentiasa dijalankan di ladang betik sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk pengesanan awal jangkitan penyakit Papaya Dieback. Sekiranya simptom awal ditemui, pokok betik tersebut hendaklah dicabut dengan segera dan dimusnahkan. Penyakit ini perlu dikawal untuk mempastikan industry tanaman betik di Malaysia masih boleh di teruskan. Kaedah penanaman di kawasan baru yang belum ujud serangan seperti di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Kedah serta beberapa negeri lain boleh di perluaskan. Pemantauan berterusan secara aktif perlu dijalankan bagi mempastikan serangan akan dapat dikesan segera. Penyakit Mati Rosot Betik menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit yang merbahaya dan perlu dikawal.


PAPAYA DIEBACK...SANGAT MERBAHAYA...
MUSNAHKAN BETIK...MEREBAK PELBAGAI CARA...
PERLU DIKAWAL..DIBAWAH AKTA...
BAGI MENJAMIN...BEKALAN BUAH NEGARA...


By,
M Anem
Putrajaya
Malaysia
(Subuh 4.50 pagi ; 17 Ramadan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.